Pasangan Soleh Part 1

Nizam menangis semahu-mahunya. Menangis melepaskan segala apa yang menyesakkan hatinya. Hatinya terasa perit yang bersangatan. Sukar baginya untuk menerima sebuah kenyataan. Dalam bilik itu, Nizam melepaskan segalanya, tidak mungkin lagi dia mampu berpura-pura tersenyum tenang.

-----------------------

Nizam mencium dahi isteri yang baru dinikahinya. Isteri yang halal baginya. Dia merasakan perasaan nyaman yang menyenangkan saat menatap wajah isterinya. Dia bersyukur kerana dikurniakan Allah akan isteri yang sangat menyenangkan hatinya.

”Abang..nanti kita bertilawah sama-sama ye? Abang cuba periksa bacaan Safi,” tanya Safi sambil membaringkan kepalanya ke riba suaminya. Nizam mengangguk sambil mengusap lembut ubun-ubun isterinya yang masih bertelekung. Dia mencium dahi dan kelopak mata isterinya. Dia sangat-sangat bersyukur kerana isterinya mahu ikut bangun menunaikan solah tahajud dengannya. Al azwaju shalihah, iaitu pasangan hidup yang sholeh merupakan antara petunjuk kebahagiaan yang dipandukan oleh Ibnu Abbas r.a.

-------------------------

Terasa lututnya kian melemah untuk terus berdiri. Nizam tetap juga menangis. Tangannya diraupkan ke muka. Perlahan, dia berdoa agar hatinya dicekalkan oleh Allah untuk menerima kenyataan ini. Berdoa supaya perit yang terasa amat menyesakkan,sirna dari hatinya. Dalam doanya, dia berterusan menangis.

------------------------

Setelah selesai memeriksa akaun perniagaannya, Nizam bersegera mengambil wuduk dan menunaikan solah taubat dan hajat dengan khusyuk sebelum bersiap untuk tidur. Sesudah memberi salam, dia terlihat isterinya yang telah nyenyak tidur. Dia tersenyum dengan pandangan kasih pada isterinya. Tiba-tiba, dia teringat bahawa ada sesuatu yang ingin dilakukannya sebelum tidur. Dia menuju ke meja dan mencapai kertas yang tercatat sesuatu. Dia cuba menghafalkan kandungan yang ditulis olehnya. Malam itu, Nizam terlena di atas meja bersama catatan di tangannya.

Awal pagi itu, Safi bangun sambil menggosokkan matanya. Dia hairan kerana suaminya tidak mengejutkannya seperti biasa. Bertambah hairan apabila suaminya tiada di sisinya. Rasa cemasnya segera hilang apabila melihat suaminya sedang tidur pada meja tulis. Safi bingkas bangun untuk menggerakkan suaminya, dan terlihat catatan yang terhimpit di tangan Nizam. Safi cuba memahami catatan itu dan matanya basah secara tiba-tiba.

Safi mengetahui suaminya tidak meminati muzik dan tidak tahu menyanyi. Pernah sekali Safi memberitahu Nizam bahawa dia sukakan sebuah lagu yang didengarinya. Hatinya sangat tersentuh apabila melihat catatan yang terhimpit di tangan suaminya adalah lirik lagu yang digemari olehnya.

------------------------

Nizam baring dan berusaha menahan emosinya. Dia mula mengaturkan kembali nafasnya dan menghilangkan isak tangisnya. Dia insaf pada dirinya yang lemah menanggung ujian. Tidak henti-henti hatinya berdoa agar dicekalkan dan dipermudahkan Allah akan apa yang telah menimpa dirinya. Walau begitu, tetap saja air matanya terus mengalir keluar dari matanya.

----------------------------------

Safi menggigil. Suhu badannya meningkat. Berulang kali keluhannya pada Nizam menyatakan dirinya sangat sejuk. Hanya Allah sahaja yang mengetahui cemas yang menyelubungi hati Nizam. Dia menyelimutkan isterinya, menyuapkan air dan ubat. Nizam menjadi tidak senang duduk dan sentiasa berjalan ulak alik di sisi Safi. Safi menolak bila diajak untuk ke hospital. Safi mengatakan dirinya hanya terkena demam biasa. Safi tersenyum melihatkan kecemasan yang melanda suaminya.

” Kenapa Safi senyum? Jangan buat abang risau.” Nizam mengerutkan dahi.
” Abang..kenapa lah tiap-tiap kali Safi sakit, mesti abang jadi macam ini. Cemas tak tentu pasal. Safi demam biasa je abang. Macam mana lah kalau nanti jadi apa-apa kat Safi. Macam mana dengan abang?” Safi masih tersenyum. Wajah pucatnya tetap ayu dipandang Nizam.
“Dah..! jom ke hospital. Kenapa takut sangat nak jumpa doctor dengan makan ubat? Bukannya doctor tu makan orang. Perangai macam budak-budak. Abang pergi ambil baju salin.” Nizam cemas.
“Taknak!” Safi kembali memejamkan matanya.

Keesokannya, Safi sihat seperti biasa. Menyediakan sarapan sambil mengejek-ngejek suaminya yang cemas semalaman.

“Demam kura! Lain kali abang taknak peduli Safi lagi.” dengus Nizam.
”Eleh..kata je taknak peduli,tapi bila Safi sakit,abang cemas tak tentu pasal..:senyum:. wekk.” Safi mengejek sambil mendekatkan mukanya kepada muka Nizam yang berpaling. Nizam melepaskan roti di tangannya lalu mencapai pipi Safi dan mencubitnya. Ditariknya Safi mendekat kepadanya, dielus lembut rambutnya.

”Kalau Safi sakit lain kali, Safi kena dengar cakap abang. Jangan buat abang risau lagi ye?” Nizam bertutur lembut. Perkataannya disulami dengan rasa kasih yang tulus.
Safi mengangguk. Dia memahami kehendak suaminya. Tapi kemudian menjauhkan dirinya dari Nizam.
”...tapi Safi suka tengok Abang risaukan Safi..hee” ejek Safi sambil berlari-lari anak.

--------------------------

Nizam bangun dan mencapai mushaf al Qur’an. Dibacanya ummul kitab dan dibukanya pada helaian surah At Taubah,surah kegemarannya. Dilapkan air matanya pada tuala kecil dan meneruskan bacaan. Perlahan, air matanya mulai mengering dan isak tangisannya berkurang. Dengan rasa tenang, Nizam cuba memahami sedikit maksud ayat-ayat yang pernah dipelajarinya. Sesekali bacaannya terhenti dan diteruskan kemudiannya.

---------------------------

“Allah s.w.t dengan kerahiman Nya telah mengurniakan pelbagai nikmat pada hambaNya. Dan nikmat yang paling mahal adalah nikmat iman dan Islam. Dengan Iman, kita mengenal siapakah Rabb yang telah menjadikan kita. Dengan Islam, kita memahami petunjuk jalan hidup yang dikehendaki Allah pada umat manusia.

Hati yang beriman, sentiasa cinta dan rindu kepada penciptaNya. Hati yang beriman sentiasa mengawasi tingkah lakunya. Hati yang beriman sentiasa berusaha memperbaiki hubungannya dengan Allah s.w.t. Hati yang beriman sentiasa beramal dengan perintahNya yang akan menjauhkannya dari azab dan murka-Nya. Hati yang beriman sentiasa mengharap rahmat dan ampunanNya.

Bersyukurkah kita akan nikmat paling mahal yang dianugerahkan Allah kepada kita? Adakah hati-hati kita sentiasa berzikir mengingatiNya dengan rasa takzim akan kebesaranNya? Pernahkah lafaz-lafaz bicara kita mengagungkan kehebatan Nya? Hati-hati kita benar-benar berserah pada ketentuanNya, menyembah pada Allah yang Esa? Sesungguhnya tiadalah yang kekal hanya melainkan Allah yang Maha Kuasa.”

Nizam menyudahkan tazdkirahnya. Safi mencapai kitab Riyadh as Solihin dalam tangan suaminya untuk disimpan. Safi bergerak dan duduk bersandar di dada suaminya. Dicapai tangan suaminya dan digenggam erat tangan suaminya.

”Safi bersyukur pada Allah sebab dikurniakan pasangan hidup seperti abang. Jiwa Safi tidak pernah kosong dari kasih sayang Allah. Abang membimbing Safi menjadi lebih dekat padaNya.” Safi bersuara lembut.

Nizam mencium ubun-ubun isterinya. ”Abang pun bersyukur sebab dikurniakan Safi sebagai isteri. Safi sebaik-baik pendorong pada abang. Safi menurutkan kemahuan abang untuk lebih bersemangat mengenalNya. Safi adalah sebaik-baik kesenangan dunia pada Abang. Alhamdulillah.”

----------------------

Nizam menyudahkan bacaannya. Dia menutup dan menyimpan mushaf al-Qur’an. Nizam kembali duduk ke atas sejadahnya dan mula beristighfar. Jiwanya terasa damai dan tenang. Rasa perit yang menyesakkan kini berubah menjadi rasa mengharap yang sangat tinggi pada rahmat Allah dalam hatinya. Nizam berterusan beristighfar sambil membenihkan rasa-rasa pengharapan . Benih pengharapan yang ingin dicambahkan dalam doanya.

-----------------------

Nizam marah. Dia beredar meninggalkan bilik dengan membawa bantal dan selimut. Disusun bantalnya di atas sofa halaman ruang tamunya. Nizam terus merebahkan badannya dan memejamkan mata. Hatinya berulang kali beristighfar untuk mengurangkan rasa marahnya. Dia berusaha mengosongkan fikirannya dan memejamkan matanya.

”Abang..kenapa abang diam? Bagitahu Safi apa yang buat abang marah? Safi tak tahu apa kesalahan Safi kalau abang diam. Abang..jangan begini abang. Mari kita tidur di bilik.” Safi mengusap-ngusap lengan suaminya. Safi sangat memahami tabiat suaminya yang tidak mahu bersuara langsung ketika marah. Tapi dia juga tahu yang suaminya akan menjelaskan segalanya ketika hatinya tenang. Safi berusaha menenangkan hati suaminya. Namun dia resah melihatkan suaminya yang seakan tidak memperdulikannya.

”Abang...jangan buat Safi begini.” Safi mencapai telapak tangan suaminya dan meletakkannya di pipinya. Diusap tapak tangan suaminya lembut pada pipinya. Safi cuba bertahan namun air matanya tetap menitis keluar dan membasahkan tapak tangan suaminya.

Dia sedikit tersentak apabila tangan suaminya bergerak perlahan mengesat air matanya. Dilihatnya wajah suaminya yang memberi perhatian mengelap titisan air matanya.

“Safi..kan banyak kali abang dah melarang Safi berchatting dengan lelaki yang Safi tak kenal. Safi dah punya suami..” Nizam memulakan bicaranya.

”..tapi Safi tak buat apa-aa...” jawapan Safi terhenti apabila Nizam menutup mulutnya lembut. Nizam terus mengesat air mata Safi yang masih mengalir.

”Abang faham Safi seorang isteri yang baik. Abang juga tahu Safi sering berchatting dengan kawan-kawan sepengajian dengan Safi. Sedikitpun Abang tak salahkan Safi. Tetapi kadang-kadang abang lihat Safi layan juga lelaki asing yang mahu berchatting sekadar suka-suka. Walaupun abang tak sangsi dan ragu pada kejujuran Safi, tapi abang tidak suka perkara begitu. Abang cemburu. Dan abang tidak senang biarkan rasa cemburu abang ini terpendam begitu sahaja dan membiarkan Safi dengan kebiasaan yang Abang tidak suka. Abang suami Safi. Abang mahu meredhai seluruh perlakuan Safi, sedikitpun abang taknak simpan rasa tidak senang pada Safi. Bukan ke Rasulullah s.a.w pernah bersabda kepada Fatimah r.ha,” Hai anakku, tidakkah engkau mengetahui bahawa kerelaan seorang suami itu juga merupakan kerelaan Allah dan kemarahan seorang suami itu juga merupakan murka Allah. Hai anakku, seorang perempuan yang beribadah menyerupai seperti ibadahnya Maryam putri Imran, Kemudian suaminya tidak merelakan kepadanya, maka Allah tidak akan menerima amal ibadah darinya. Hai anakku, amal yang paling utama bagi para wanita ialah ketaatan mereka kepada suaminya....””

Nizam memegang ubun-ubun isterinya,” Abang marah kerana nak Safi faham kehendak abang sebab abang sebelum ini dah pernah menegur Safi, maafkan abang.”

Safi terus menangis, dia menganggukkan kepalanya. ”Safi faham abang. Safi akan lebih berhati-hati pada masa akan datang. Maafkan Safi abang.”

Nizam tersenyum,”Abang maafkan. Kasihannya isteri abang ni kena buli..hee”

Safi terus menumbuk-numbuk dada Nizam. Mukanya memerah dan bingkas bangun dan berlari-lari anak menuju ke bilik, ”Abang tetap kena tidur dekat luar! Padan muka abang.”
”Aikk? Pulak?” sahut Nizam sambil ketawa kecil,lucu melihatkan telatah Safi.

---------------------------

Nizam semakin larut dalam zikirnya. Dia menyerahkan dirinya secara total kepada kehendak takdir Allah. Dia menerima segalanya dengan rasa rendah diri sebagai hamba yang lemah. Keluasan rahmat dan kasih sayang Allah tiada bertepi baginya. Pengharapan demi pengharapan telah menghidupkan hatinya daripada kegelapan akibat kesedihan dan kesengsaraan perasaannya. Aqidahnya meyakini bahawa jodoh, rezeki dan ajal sudah ditentukan Tuhannya.

Nizam membuka matanya yang redup. Dia bangun dan memperbaharui wudhunya. Nizam kembali ke biliknya dan mula berdiri untuk menunaikan solah sunat. Hatinya kini cuma mengharap pada keampunan dan rahmat Allah s.w.t. Memohon agar dilindungi Allah daripada syaitan yang direjam, Nizam memulakan solahnya.


http://halaqah.net/v10/index.php?topic=11304.msg139428#msg139428

Comments

Popular Posts