PEMINANGAN (KHITBAH) SEBELUM PELAKSANAAN PERNIKAHAN
Definisi Peminangan.
Beberapa ahli Fiqih berbeza pendapat dalam mendefinisikan peminangan. Di antaranya adalah sebagai berikut:
Sayyid Sabiq dengan ringkas mendefinisikan pinangan (khitbah) sebagai permintaan untuk mengadakan pernikahan oleh dua orang dengan perantaraan yang jelas. Pinangan ini merupakan syariat Allah SWT yang harus dilakukan sebelum mengadakan pernikahan agar kedua calon pengantin saling mengetahui.
Wahbah Zuhaili pula mengatakan bahawa pinangan (khitbah) adalah pernyataan seorang lelaki kepada seorang perempuan bahawasanya ia ingin menikahinya, baik langsung kepada perempuan tersebut maupun kepada walinya. Penyampaian maksud ini boleh secara langsung ataupun dengan perwakilan wali.
Adapun Amir Syarifuddin mendefinisikan pinangan sebagai penyampaian kehendak untuk melangsungkan ikatan perkahwinan. Peminangan disyariatkan dalam suatu perkahwinan yang waktu pelaksanaannya diadakan dalam tempoh sebelum berlangsungnya akad nikah.
Al-Hamdani berpendapat bahwa pinangan ertinya permintaan seseorang lelaki kepada anak perempuan orang lain atau seseorang perempuan yang ada di bawah perwalian seseorang untuk dikahwini, sebagai pendahuluan nikah.
Dari beberapa pendapat di atas, dapat disimpulkan bahawa pinangan (khitbah) adalah proses penyataan hasrat untuk mengadakan pernikahan yang dilakukan baik secara langsung ataupun melalui wali. Ia dianggap mengikat apabila kedua-dua pihak saling bersetuju.
Pinangan yang lebih barakah kepada seorang gadis dan lebih kuat ikatannya ialah sebagai mana yang ditunjukkan oleh sunnah iaitu dengan memuliakan hak wali.Praktikalnya, menyatakan hasrat melalui perantaraan wali atau dalam pengetahuan wali.
Apabila Rasulullah SAW ingin menikahi Aisyah r.ha (satu-satunya wanita yang dinikahi ketika masih gadis), Rasulullah menyatakan hasratnya itu kepada bapa Aisyah, Abu Bakar al-Siddiq. Keelokan peribadi dan besarnya potensi Aisyah diketahui dan dikenali melalui orang tengah iaitu Khaulah binti Hakim, bukannya melalui berkawan-kawan dengan Aisyah r.ha sendiri.
Manakala peminangan terhadap janda, Rasulullah SAW banyak menggunakan khidmat orang tengah dan merujuk walinya sendiri. Namun, baginda pernah juga menunjukkan contoh pernah menyatakan hasratnya secara langsung kepada calon tersebut seperti pinangan baginda terhadap Ummu Hani' binti Abi Talib.
Dasar dan Hukum Pinangan
Dari Mughirah r.a., sesungguhnya ia pernah meminang seseorang perempuan, lalu Nabi SAW bersabda kepadanya, “Lihatlah perempuan itu dahulu kerana sesungguhnya melihat itu lebih cepat membawa kekekalan cinta antara keduanya.” (Riwayat Nasa’i dan Tirmizi).
Bolehkah Wali Memaksa?
Wali boleh mencadangkan calon yang baik kepada puterinya seperti Nabi Syua’ib yang berkenankan Nabi Musa sebagai calon menantu. Namun begitu, wali tidak boleh memaksa puterinya menerima calon yang tidak disukai, samada puterinya itu gadis atau janda.
Pernah terjadi suatu kisah, seorang ayah mengahwinkan anak gadisnya tanpa diminta persetujuan. Gadis itu kemudian datang mengadukan perkara itu kepada Rasulullah SAW. Atas pengaduannya itu, baginda kemudian menceraikannya daripada suaminya. (HR Jabir).
Imam Ahmad telah meriwayatkan pada hadis yang ke 136/6, Al-Nasa`ie: 3269 dan Ibn Majah: 1874, bahawa:-
عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ بُرَيْدَةَ عَنْ عَائِشَةَ أَنَّ فَتَاةً دَخَلَتْ عَلَيْهَا فَقَالَتْ إِنَّ أَبِي زَوَّجَنِي ابْنَ أَخِيهِ لِيَرْفَعَ بِي خَسِيسَتَهُ وَأَنَا كَارِهَةٌ قَالَتْ اجْلِسِي حَتَّى يَأْتِيَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَجَاءَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَأَخْبَرَتْهُ فَأَرْسَلَ إِلَى أَبِيهَا فَدَعَاهُ فَجَعَلَ الأَمْرَ إِلَيْهَا فَقَالَتْ يَا رَسُولَ اللَّهِ قَدْ أَجَزْتُ مَا صَنَعَ أَبِي وَلَكِنْ أَرَدْتُ أَنْ أَعْلَمَ : أَلِلنِّسَاءِ مِنْ الأَمْرِ شَيْءٌ ؟ وفي رواية : أَرَدْتُ أَنْ تَعْلَمَ النِّسَاءُ أَنْ لَيْسَ إِلَى الآبَاءِ مِنْ الأَمْرِ شَيْءٌ
Maksudnya:
Daripada Abdullah ibn Buraidah daripada Aisyah: Seorang pemudi pergi menemui Aisyah. Beliau berkata kepadanya: “Bapaku telah mengahwinkan aku dengan anak saudaranya untuk menghilangkan kehinaannya sedang aku tidak menyukainya.” Maka Saidatina Aisyah berkata: “Duduklah sehingga Rasulullah datang.” Setelah Rasulullah SAW datang, Aisyah memberitahu kepada baginda lalu Rasulullah SAW mengutus seseorang kepada bapa pemudi itu dan menjemputnya datang. Rasulullah memberikan hak keputusan kepada pemudi itu. Pemudi itu berkata: “Wahai Rasulullah! Saya telah redha dengan apa yang dilakukan oleh bapaku, tetapi saya cuma ingin mengetahui: Adakah bagi wanita ada hak untuk membuat ketetapan?.” Dalam riwayat yang lain: “Saya inginkan kaum wanita mengerti bahawa bukanlah bapa yang berhak untuk membuat ketetapan.”
Comments
Post a Comment