jadilah hamba yang ikhlas

Setiap umat Islam wajib meyakini dan menyembah hanya kepada Allah s.w.t. Kita sememangnya tahu akan ibadah yang difardhukan ke atas umat Islam yang telah akil baligh dan cukup syaratnya. Namun begitu, ramai dalam kalangan umat Islam yang kurang menitik beratkan aspek ikhlas dalam ibadah kepada Allah s.w.t. Ikhlas bermaksud setiap kata-kata, perbuatan, dan amalan adalah kerana Allah s.w.t, lillahi taala.
Ikhlas juga beerti setiap apa yang kita lakukan itu tidak mengharapkan apa-apa faedah, gelaran, pujian, kemuliaan dan pangkat dari sesiapa melainkan Allah s.w.t semata-mata. Islam mewajibkan setiap umatNya melakukan setiap amalan dengan ikhlas kerana ia merupakan inti pati dan penentu penerimaan amalan. Firman Allah s.w.t :
"Padahal mereka tidak diperintahkan, melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadah kepadaNya dalam (menjalankan) agama dengan lurus, dan supaya mereka mendirikan solat dan menunaikan zakat, dan yang demikian itulah agama yang benar" (al-Bayyinah:5)
Jika kita amati benar-benar, sekurang-kurangnya kita telah mengucap kata ikrar dan janji sewaktu di awal permulaan solat. Hal ini sekurang-kurangnya berulang lima kali dalam sehari jika kita membaca doa iftitah.
"Sesungguhnya solatku, dan ibadahku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah tuhan yang memelihara dan mantadbir sekalian alam." (al-An'am:162)
Setiap amalan yang ikhlas kerana Allah s.w.t akan diangkat dan diterima olehNya. Amalan yang dilakukan dengan tidak ikhlas pula bukan sahaja tidak diterima malah menjurus kepada kemurkaan Allah s.w.t. Niat dan keikhlasan adalah saling berkait rapat. Keikhlasan akan terbit dari apa yang diniatkan. Hal ini telah disebut dalam hadith daripada Umar r.a, Rasulullah s.a.w bersabda:
"Sesungguhnya semua amalan perbuatan adalah dinilai mengikut niat dan setiap orang dinilai dengan niatnya. Sesiapa yang berhijrah kepada Allah dan RasulNya, maka hijrahnya dinilai mengikut niatnya menuju kepada Allah dan RasulNya. Sesiapa yang berhijrah untuk mendapatkan dunia atau wanita untuk dikahwininya, maka hijrahnya dinilai mengikut tujuan hijrah itu"(Riwayat Bukhari dan Muslim)
Keikhlasan adalah terbit daripada hati dan disudahi dengan tindakan. Ia bukanlah sesuatu yang boleh dibuat-buat atau berpura-pura. Sesungguhnya, amalan yang berpura-pura tidaklah dikira ikhlas kerana Allah s.w.t. Niat hati yang ikhlas sudah cukup untuk membuahkan ganjaran pahala disisi Allah s.w.t sekalipun amalan tersebut belum dilakukan. Daripada Ibn Abbas r.a, Rasulullah s.a.w bersabda:
"Sesungguhnya Allah telah mencatatkan kebaikan dan keburukan serta telah menjelaskannya di dalam Kitab-Nya. Sesiapa yang berniat untuk berbuat kebaikan namun tidak mengerjakannya, maka akan dituliskan untuknya satu kebaikan yang sempurna. Jika dia benar-benar mengerjakannya, maka Allah akan menuliskan untuknya 10 hingga 700 kebaikan, bahkan mampu lebih banyak lagi. Sesiapa yang telah berniat untuk berbuat keburukan namun tidak mengerjakannya, maka akan dituliskan untuknya satu kebaikan yang sempurna. Jika dia benar-benar mengerjakannya, maka Allah akan menuliskan satu keburukan untuknya."(riwayat Muslim)
Kejayaan dan kemenangan seringkali bersama dengan amalan yang disertakan dengan keikhlasan keranaNya. Mereka yang ikhlas akan menuju kepada suatu jalan kebaikan, bersih daripada sikap keangkuhan, dan terselamat daripada jatuh ke lembah keduniaan yang pastinya akan membaca kepada kemusnahan serta kehancuran.
Al-Bukhari dan Muslim meriwayatkan daripada Jundab bin Abdullah r.a, Rasulullah s.a.w bersabda:
"Sesiapa yang berbuat kebaikan dengan niat supaya diketahui oleh orang lain, nescaya Allah akan membuat orang lain mengetahuinya (dan hanya itulah balasannya). Sesiapa yang berbuat kebaikan dengan niat supaya dilihat oleh orang lain, nescaya Allah akan membuat orang lain melihatnya (dan hanya itulah balasannya)."(riwayat Bukhari dan Muslim)
Pujian dan celaan sering kali menjadi ujian dan cabaran yang besar buat insan yang beramal dengan ikhlas. Keikhlasan tidak menyebabkan diri terpengaruh atau terjejas ketika dipuji atau dikritik. Jika melakukan amalan hanya untuk mengharapkan pujian, maka keikhlasannya adalah diragui. Adapun begitu, jika dengan pujian membuatkan keikhlasannya tidak berubah, maka itu adalah suatu kebaikan buat seseorang muslim. Abu Zar r.a berkata. Ada seseorang bertanya kepada Rasulullah s.a.w :
"Bagaimanakah tentang seseorang yang berbuat kebajikan, lalu ada orang memujinya, sedangkan niatnya ikhlas kerana Allah?. Baginda menjawab: itu adalah kegembiraan awal yang diberikan kepada seorang Mukmin"(riwayat Muslim)
Semoga kita bersama-sama berusaha menjadi hamba yang ikhlas kepada Allah dalam setiap amalan yang dilakukan. Ingatlah, setinggi mana pun kedudukan kita, sebanyak mana harta yang kita ada dan semulia mana kita disisi manusia, kita hakikatnya hanyalah hamba yang lemah dan tidak berdaya. Moga keikhlasan menjadi asbab untuk meraih redha Allah, wallahua'lam.
Artikel iluvislam.com

Comments

Popular Posts