untuk kita pendosa:satu permulaan

Pendosa. Siapa yang bukan pendosa di dalam kehidupan dunia?
Ya. Hanya Rasulullah SAW dan para nabi sahaja maksum dari segala noda. Tetapi buat kita manusia biasa, dosa hakikatnya adalah sebahagian daripada fitrah. Saya, anda, manusia di sekeliling kita, semua punya dosa. Tinggal jelas, atau tersembunyi sahaja. Masing-masing ada aib masing-masing. Tinggal terzahir atau terhijab sahaja.
Tetapi persoalannya bukanlah jelas atau tidak.
Persoalannya, apakah kita mahu membersihkan dosa-dosa kita atau tidak?
Jawapan ‘Mahu’ adalah yang akan menjadikan kita berbeza dari pendosa-pendosa yang lainnya.
Saya tidak akan sesekali mencaci pendosa
Saya tidak akan sesekali melakukan itu.
Kita sering mendengar cacian dan makian kepada pendosa.
“Ini semua adalah ahli neraka!”
“Mereka ini tiada harapan.”
“Inilah dia sampah masyarakat.”
Saya tidak akan sesekali melakukan demikian. Kerana pada saya, saya adalah pendosa juga. Hakikat saya menulis perkara ini, apa yangsedang dan akan anda baca ini, adalah untuk menyelamatkan diri saya juga.
Benarkah pendosa tidak punya harapan? Tidak. Siapakah manusia untuk berkata demikian? Sedangkan Allah SWT itu amat luas pengampunanNya.
Pendosa yang tidak mahu pergi kepadaNya, benar, itu akan menjadi sebahagian ahli neraka. Tetapi pendosa yang bersungguh-sungguh membersihkan dirinya, mencari kesalahan diri dan berusaha memperbaikinya, pendosa-pendosa ini adalah yang akan memasuki syurgaNya.
Itu adalah yang saya percaya. Kerana saya percaya keampunan Allah itu meluasi segala-gala. Tetapi saya juga percaya, keampunan Allah itu perlu didapatkan dengan usaha. Bukan dengan bersahaja.
Justeru, dari saya terus ‘menghumban’kan orang ke dalam neraka, menyatakan mereka tiada harapan, saya lebih suka mengajak manusia pergi ke syurga Allah, dan memberikan mereka impian. Kerana jika saya adalah yang tersungkur, saya suka ada yang menarik saya untuk bangun.

Kita Pendosa, harapan itu ada.
Maka sukalah saya nyatakan bahawa, kita para pendosa ini ada harapan. Jangan kata tiada.
Selagi ajal belum kesampaian, dan kiamat belum tiba, harapan sentiasa wujud buat semua.
“Dan sesiapa yang melakukan kejahatan atau menganiaya dirinya sendiri (dengan melakukan maksiat) kemudian ia memohon ampun kepada Allah, nescaya ia akan mendapati Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. Surah An-Nisa’ ayat 110.
Itu adalah salah satu daripada ayat-ayat yang mengandungi bicara: “Allah Maha Pengampun.”
Terdapat lebih dari 90 ayat di dalam Al-Quran menyatakan kenyataan itu. Maka siapakah yang hendak menafikan?
Dan untuk apa wujudnya taubat, kalau bukan kepada yang berdosa?
Tidakkah dengan Allah mewujudkan taubat di dalam Islam, itu tandanya Dia bersedia mengampuni kita?
Dan ketahuilah wahai pendosa, rahmat Allah itu lebih luas dari segala-galanya.
“RahmatKu meliputi segala sesuatu.” Surah Al-A’raf ayat 156.
Ketahuilah ini semua.
Sesungguhnya kita pendosa, masih ada harapan daripadaNya.

Persoalan utama – Bagaimana Kita Menggunakan Harapan Tersebut?
Persoalannya, bagaimanakah kita menggunakan harapan yang Allah SWT berikan kepada kita?
Bagaimanakah kita menggunakan sifat keampunan Allah SWT yang sangat luas itu?
Di situlah letaknya persoalan utama. Yang menentukan sama ada kita ini layak atau tidak untuk mendapat keampunanNya.
Maka pilihan saya adalah, kita bersegera mendapatkan keampunan itu tanpa lengah. Tanpa berkira-kira. Kita berusaha bersungguh-sungguh, bermati-matian untuk mendapatkannya. Tidak pula kita menjadikan alasan “Allah itu Maha Pengampun” untuk menambah dosa.
Itu tandanya, manusia yang benar-benar inginkan harapan. Semestinya manusia itu akan menggunakan segala peluang yang ada bukan?
Kerana sekiranya kita kufur, tidak bersyukur, tidak menghargai harapan yang Allah SWT berikan ini, apakah mungkin wujud keampunan buat kita? Mustahil.

Penutup: Maka Ini Adalah Untuk Kita Pendosa
Maka “Untuk Kita Pendosa” ini adalah untuk kita. Ya, kita. Saya dan anda yang membaca. Bersama-sama. Bukan anda sahaja. Kerana telah saya katakan, bahawa kita adalah sama.
Sepanjang menelaah artikel-artikel di dalam “Untuk Kita Pendosa” ini, saya akan berusaha membawa diri saya dan anda, melayari makna dosa, benarkah wujud kepuasan di dalamnya, nilai dosa, apa efek dosa kepada hati, jiwa, minda, diri dan kehidupan, juga akan saya berikan contoh mereka yang berdosa tetapi tidak mahu berpatah semula dan apa yang Allah lakukan terhadap merkea, juga contoh-contoh mereka yang berdosa dan kembali bertaubat kepada Allah dan apa yang Allah lakukan terhadap mereka, juga saya akan menyentuh bagaimana usaha yang boleh kita lakukan untuk keluar daripada dosa ini.
Semoga sama-sama kita merasa ada harapan, tahu jalan untuk keluar daripada dosa ini, memandang betapa dosa ini perlu untuk kita tinggalkan, dan menggapai makna kehidupan yang sebenar di sisi Tuhan.
Jangan sesekali rasa tiada harapan. Jangan sesekali rasa bahawa kita memang diciptakan untuk menjadi yang derhaka kepada Tuhan. Allah memberikan pilihan sebenarnya. Kitalah yang sebenarnya memilih, untuk masuk ke syurga, atau nerakaNya. Untuk menjadi hambaNya, atau penderhaka kepadaNya.
Sama-sama, kita bergerak ke arahNya.
Amiin.
by hilal asyraf

Comments

Popular Posts