mencari jalan pulang part 1

- i -

Puas aku menelusuri kehidupan di perlembahan hutan batu ini. Pencemaran udara sudah rasi dengan diriku. Kulitku juga seolah-olah sudah bersebati dengan udara hinggakan segala alergikku menyusup hilang. Aku juga seolah-olah sudah berada dalam keterbiasaan pergerakan masa yang laju sehari-hari.

   Segala-galanya mesti cepat. Segala-galanya mesti pantas atau kita akan ketinggalan. Itu budaya hidup di perlembahan hutan batu ini. Sikap budi bahasa sesama manusia juga kadang-kadang bermukim di sudut yang terbawah dalam hati.

   Sepanjang permerhatianku sejak menjadi penghuni hutan batu sejak hampir empat tahun yang lalu, manusia-manusia di sini banyak yang mementingkan diri sendiri dari orang lain. Banyak yang individualistik dari yang tidak! Sudah terlebih mat saleh dari mat saleh sendiri. Alasannya, untuk maju kita harus berubah! Dan perubahan itu merubah segala-galanya, dari aspek budaya, hinggakan gaya hidup yang sudah jauh menyimpang dari Islamnya.

   Tidak...

   Bukan bermakna semua orang yang berada di permukiman ini begitu semuanya. Sudah tentu tidak! Masih ada yang kental mempertahankan akidahnya. Tapi yang kental itu boleh dikira.

   Dalam kebosanan menantikan KTM Komuter, mataku meliar ke sana ke mari. Memperhatikan gelagat orang lalu lalang. Yang muda dengan galak mereka yang bahagia dengan syurga dunia, yang tua yang serius wajahnya dengan dahi sesekali berkerut memandang gelagat yang muda, yang bercinta sedang asyik berkepit sesama pasangan. Semuanya berada dalam pemerhatianku.

   Dari satu objek kepada satu objek, mataku menelanjangi kesemua mereka. Hinggalah akhirnya pandangan mataku jatuh pada seorang anak kecil, bertocang dua di kepala rambutnya. Asyik benar anak itu berlari ke sana ke mari. Si ibu yang pada mulanya memerhatikan kini sudah berubah laku seperti ibu ayam yang mengepung anaknya dari bahaya sang musang. Si anak pula terkekek-kekek ketawa gembira melihat ibu mahu menahannya bersuka ria berlari ke sana ke mari.

   Sungguh anak sekecil itu tidak faham adat resmi dunia. Sungguh anak sekecil itu tidak tahu apa yang sedang terjadi. Fikiran kosong tanpa perlu diberatkan dengan apa-apa. Dalam sedap anak itu berlari, akhirnya berjaya dicempung sang ibu. Si anak mula menangis, mahu bebas dari terkongkong dalam pelukan si ibu.

   Aku memerhatikan. Untuk seketika aku seperti diketuk soalan lama. Dari seseorang yang akrab denganku dan keluarga di kampung.


   “Hingga bila awak mesti bergini? Membenci pada sesuatu yang tak pasti? Menjauhkan diri dari si tua yang memerlukan?”

   “Pulanglah... Jenguklah mereka walau sekali. Jangan nanti bila jenazah diusung awak menangis tak berlagu.. Melutut di kaki nisan pun dah tak berguna Wardah.”

  
   Kisah itu  berlalu lama dulu...

   Aku merajuk dengan emak. Aku merajuk dengan ayah. Justeru aku membawa diri jauh dari semua. Kononnya mahu membina hidup baru. Mahu mengubat luka di hati. Kerana aku anak yang tidak diingin. Kerana aku anak yang tak diperlukan. Justeru di hutan batu inilah aku terdampar, membawa diriku mengubat luka dan lara.





- ii -

“Mak lebih sayang adik-adik dari kakak...”

   “Mak pilih kasih!” bentakku tidak puas hati. Entah ke mana terbangnya sabarku, entah syaitan apa yang merasuk, aku membentak dan memberontak. Meluahkan rasa yang bersarang di atmaku sejak dulu. Meluahkan segala rasa yang selama ini menjerit dalam kotak fikiranku menerusi lontaran vokal kepada emak.

   Aku sedih kerana aku amat sayangkan emak dan ayah. Aku amat menyintai kedua-dua ibu bapaku, tapi aku merasakan mereka langsung tidak memerlukan aku. Aku terasa dikongkong! Aku terasa tidak dipedulikan!

   Segala perhatian mereka, segala kasih sayang mereka pada kaca mataku jauh tertumpah kepada kedua-dua adik lelakiku. Apakah ibu bapaku ini mengamalkan diskrimanasi jantina? Hanya kerana aku perempuan justeru adik-adikku mesti diutamakan? Mengapa sikap jahiliyah itu terbawa lagi dalam kehidupan zaman moden seperti kini sedangkan zaman itu sudah beratus tahun ditinggalkan ke belakang.

   “Mak tak pernah beza-bezakan kasih sayang mak untuk anak-anak.”

   “Tak kira adik, tak kira kakak, tak kira abang... emak sayang semua anak-anak emak.” Ujar emak saat aku memberontak. Aku memandang emak dengan bibir yang bergetar. Mata yang saat itu sarat mengandung air yang hampir pecah dari tubirnya.

   “Mak tipu!” bentakku.

   “Mak tak pernah sayang kakak! Mak tak pernah suka kakak! Apa yang kakak buat tak pernah betul! Apa yang kakak buat semuanya salah!”

   “Kalau adik buat salah mak marah kakak! Salah adik kakak tanggung! Kalau salah kakak pun kakak tanggung!” bentakku lagi.

   “Patutnya siapa yang salah dia yang kena hukum, ini semuanya atas kakak.” Ujarku geram. Nafasku turun naik tidak terkawal. Aku sungguh-sungguh marah. Aku sungguh-sungguh geram.

   Saat itu aku sudah terlupa yang syaitan sedang berjoget gembira kerana aku sudah hilang akal dikuasai oleh amarah. Aku terlupa yang tiang arasy bisa bergegar dek kerana derhakanya seorang anak yang meninggikan suara ke atas ibunya. Aku sudah terlupa, yang pintu syurga ditutup serapat-rapatnya untukku andai redha emak tidak bersamaku. Aku sudah terlupa semua itu. Dan habuan dari kelancangan mulutku yang tidak kenal tua tidak kenal muda, penampar ayah berlabuh di pipi.
   Untuk seketika aku tersentak. Tersedar lancang mulutku menguris hati seorang ibu yang melahirkan aku. Tanpa desis kata, aku terus melangkah ke bilik. Berkurung di situ hingga hatiku membulat tekad yang membawa aku pergi terus dari sisi mereka.

Semakin lama aku dan emak semakin jarak hubungan. Apatah lagi saat aku melanjutkan pengajian ke universiti. Seboleh mungkin aku tidak mahu pulang ke rumah. Sengaja aku sibukkan diriku dengan pelbagai aktiviti universiti. Sengaja aku aktifkan diri walau ada sesetengahnya tidak langsung menarik minatku. Alasannya? Aku tidak mahu pulang ke rumah kalau setiap pertemuanku dengan emak akan bersulam dengan rasa tidak puas hati dan marah.

Aku tidak mahu menjadi saksi keprihatinan dan kasih sayang emak kepada adik-adik. Bahkan aku sanggup ikat perut berlapar kalau duit pinjaman PTPTNku sudah habisku gunakan asal saja aku tidak perlu meminta daripada emak.

Bahkan setiap kali kalau emak bertanya, masih ada duit belanja? Tidak pernah aku berkata tidak. Kerana itu aku tidak pernah kisah untuk mencari kerja sambilan. Walaupun sekadar dihujung minggu saat tiada kuliah, semata-mata mahu menampung duit poketku yang kekadang tidak mencukupi.

Hingga amarah ayah timbul saat dia tahu dari temannya ternampak aku berkerja di kedai 7 Eleven saat kunjungannya ke Kuala Lumpur. Semuanya secara kebetulan. Amarah ayah menjulang tinggi, kerana sangkanya aku membelakangkannya. Air mata emak menitis laju, tidak menyangka aku menyembunyikan segalanya dari mereka. Menyimpan semuanya sendiri. Rapat disimpan dikunci sendiri. Seolah-olah aku ini yatim piatu, tiada tempat untuk mengadu hinggakan terpaksa membuat kerja sambilan sedangkan emak dan ayah masing-masing mampu.

“Ayah bukan papa kedana, sampai tak mampu nak bagi duit poket kat anak-anak.”

“Ayah mampu nak sara anak-anak...” luah ayah hampa setelah larva kemarahannya dimuntakan padaku sebentar tadi. Aku sekadar menunduk. Tidak menjawab biarpun di dalam hatiku ingin saja aku khabarkan, aku sudah dewasa, aku tidak mahu menyusahkan. Simpan saja duit emak dan ayah untuk adik-adik kerna mereka lebih memerlukan.

“Kalau dah rasa boleh berdiri atas kaki sendiri, dah rasa tak perlukan emak ayah... tak payah balik sini lagi.”

“Hiduplah kau ikut cara yang kau suka. Aku dah tak peduli lagi!”

Kata-kata ayah membulatkan lagi tekadku. Walau hati aku terluka. Tapi aku degil. Langkahku terus berderap ke depan tanpa aku menoleh ke belakang. Aku terus melangkah dan melangkah. Aku lupakan jeritan hatiku kadang-kadang yang ingin mendengar suara mereka. Aku buang mereka jauh-jauh dari dasar hatiku.

Kerana aku tahu, aku anak terbuang. Kerana aku tahu marah ayah padaku tak akan pernah sirna. Dan aku tahu, wujudnya aku di depan mereka akan menimbulkan lebih banyak sakit dan hatiku pada mereka. Akan menambahkan lagi butiran beban di bahu kiriku sekaligus meluaskan pintu neraka buatku.

Justeru, lebih baik aku pergi. Agar marah mereka setakat itu saja. Lebih baik aku menjadi anak terbuang dari terus-terusan menjadi anak yang durhaka.


Comments

Popular Posts