Bahagia bila kita membahagiakan


Kita tidak akan bahagia selagi orang di sisi kita tidak bahagia. Pegang kata-kata itu. Impilikasinya, untuk kita bahagia, carilah orang yang paling hampir dengan kita dan bahagiaakanlah mereka. Hanya setelah itu, barulah kita akan merasa bahagia. Sesungguhnya bahagia itu bukan "benda" yang akan berkurang bila diberikan, tetapi ia umpama cahaya yang semakin "diberikan" akan bertambah terangnya. Kata bijak pandai, dengan menyalakan lilin orang lain, lilin kita tidak akan padam... tetapi kita akan mendapat lebih banyak cahaya.
Siapakah orang yang paling hampir? Siapakah yang paling layak kita berikan bahagia? Selain kedua ibu-bapa (bagi seorang lelaki), maka isterinyalah yang paling utama diberikan kebahagiaan itu. Jika isteri yang di sisi tidak bahagia, jangan harap kita boleh membahagiakan orang lain. Dan paling penting, jika isteri sudah menderita itu juga petanda yang kita juga menderita – ingat, kita tidak akan bahagia selagi orang di sisi kita tidak bahagia.
Apakah langkah pertama untuk membahagiakan isteri? Ya, pertama, hargailah kehadirannya. Rasakan benar-benar bahawa sidia adalah anugerah Allah yang paling berharga. Jodoh pertemuan itu di tangan Tuhan, justeru dia adalah anugerah khusus daripada-Nya buat teman hidup kita sepanjang kembara di dunia. Isteri kita ialah jawapan Tuhan pada doa yang selalu kita pohonkan.
Ingatlah bahawa yang paling berharga di dalam rumah kita bukannya perabot, bukan peralatan eletronik, komputer ataupun barang-barang antik yang lain. Yang paling berharga ialah manusianya – isteri atau suami kita itu. Itulah" modal insan" yang sewajarnya lebih kita hargai daripada segala-galanya. Tetapi benarkah kita telah menghargai isteri atau suami lebih daripada barang-barang berharga di rumah kita?
Sayang sekali, lain yang difikirkan lain pula yang dirasa. Cuba renanungkan, berapa ramai para suami yang lebih prihatin tentang perasaan isteri berbanding 'keadaan' keretanya. Batuk isteri yang berpanjangan semacam tidak kedengaran. "Batuk" kereta yang sedikit cepat-cepat dihantar ke "workshop" untuk diselenggarakan.
Itu belum dikira lagi kaki pancing yang setiap hujung minggu berkepit dengan joran dan umpan tetapi membiarkan anak-anak dan isteri kesepian di rumah. Atau para isteri yang leka dengan aorkid dan barang antik, dibelek dan dikelek siang malam, sedangkan suami terbiar tanpa ditanya perasaan dan didengar luahan hatinya.
Bila kereta 'aneh' sedikit bunyinya, cepat-cepat diusung ke workshop, dibetulkan enjin, ditunekan semula bunyinya. Tetapi isteri yang batuk-batuk, lenguh dan sembab dibiarkan... alasannya, itu memang adat, badan dah tua. Itu belum dikira yang 'workoholic' – bekerja siang, malam, tak kenal cuti dan rehat... Bila ditanya mengapa begitu sibok? Dia menjawab, demi isteri. Padahal, dia bekerja sampai ke tahap mengabaikan isteri. Aneh juga, ada yang mencari duit sampai tidak sempat menikmati duit. Bila duit sudah terkumpul, kesihatan sudah tergadai, rumah tangga sudah berkecai, isteri telah terabai.
Sesetengah bertanya? Bagaimana kita boleh mengharagai pasangan kita. Insya-Allah, bila ada kemahuan pasti ada jalan. Dunia akan menyediakan jalan kepada orang yang mempunyai tujuan. Kata orang, kasih, cinta dan sayang umpama aliran air, sentiasa tahu ke arah mana ia hendak mengalir. Mulakan dengan memandangnya dengan pandangan kasih... mungkin wajah isteri kita sudah kedut, tetapi rasakanlah mungkin separuh "kedutan" itu kerana memikirkan kesusahan bersama kita. Mungkin uban telah penuh di kepala suami kita, tetapi uban itu "mercu tanda" pengorbanannya membina rumah tangga dan keluarga kita.
Itulah pandangan mata hati namanya. Kalau dulu semasa awal bercinta, pandangan kita dari mata turun ke hati. Tetapi kini setelah lama bersama, pandangan kita mesti lebih murni. Tidak dari mata turun ke hati lagi, tetapi sudah dari hati "turun" ke mata. Yang kita lihat bukan "body" tetapi budi. Yang kita pandang bukan urat, tulang dan daging lagi... tetapi suatu yang murni dan hakiki – kasih, kasihan, cinta, sayang, mesra, ceria, duka, gagal, jaya, pengorbanan, penderitaan – dalam jiwanya yang melakarkan sejarah kehidupan berumah tangga bersama kita!
Daripada pandangan mata hati itulah lahirlah sikap dan tindakan. Love is verb – cinta itu tindakan. Kata penyair bila sudah cinta, ingin dipintal awan-gemawan untuk dijadikan kerosang di dada isteri, ingin dijadikan rembulan untuk menjadi lentera teman beradunya, mentari sebagai sinar dalam duka dan nestanya... Ah, kita tidak payah mengajar cara apabila sudah cinta. Kerana dalam cinta itu sudah menyala kemahuan.
Mungkin sikaya pulang bersama cincin permata untuk menghargai siisteri. Atau petani hanya membawa sebiji mangga untuk dimakan bersama sang "permaisuri". Buruh yang pulang bersama keringat disambut senyuman dan dihadiahkan seteguk air sejuk oleh isteri tentunya lebih bahagia dan dihargai oleh seorang jutawan yang disambut di muka pintu villanya tetapi hanya oleh seorang "orang gaji". Begitulah ajaibnya cinta yang dicipta Allah, ia hanya boleh dinikmati oleh hati yang suci. Ia terlalu mahal harganya. Intan, permata tidak akan mampu membeli cinta!
Hargailah sesuatu selagi ia masih di depan mata. Begitu selalu pesan cerdikiawan dan pujangga. Malangnya, kita selalu lepas pandang. Sesuatu yang 'terlalu' dekat, kekadang lebih sukar dilihat dengan jelas. Isteri di depan mata, tidak dihargai. Kajian menunjukkan bahawa para suami di Amerika lebih banyak meluangkan masa menonton TV daripada bercakap dengan isteri. Di sini apa kurangnya, tiga jam menonton TV bersama tanpa sepatahpun berbual. Suami dan isteri sibok melayani fikiran sendiri walaupun duduk hanya berselang beberapa inci.
Malah, bila berjauhan pun kekadang terlalu lokek bertanyakan berita. Jika duduk berjauhan, masa berSMS dengan teman lebih banyak berbanding dengan isteri. No news is a good news. Begitu selalunya, rasa di hati. Tetapi bila isteri atau suami diserang "sakit" – katalah hilang keupayaan bercakap dan bergerak, maka ketika itu puaslah kita menangis kerana tidak dapat mendengar suaranya lagi. Waktu itu barulah duduk di tepi katil hospital, merenung mata isteri atau suami kita yang berkelip-kelip, tanpa kata, tanpa suara...
Hidup terlalu singkat. Hidup hanya sekali. Yang pergi tak kan kembali. Yang hilang, mungkin tumbuh lagi... Tetapi tidak semua perkara akan tumbuh semula. Apakah ibu-bapa yang 'hilang' akan berganti? Apakah anak, isteri, suami yang 'pergi'... akan pulang semula? Jadi, hargailah semuanya selama segalanya masih ada. Pulanglah ke rumah dengan ceria, tebarkan salam, lebarkan senyuman. Mungkin esok, anda tidak 'pulang' atau tidak ada lagi sidia yang setia menunggu di sebalik pintu. Mungkin anda 'pergi' atau dia yang 'pergi'. Hargailah nyawa dan kehidupan dengan sayang dan cinta. Kita tidak akan bahagia, selagi orang di sisi kita tidak bahagia!

Comments

Popular Posts