Saturday, March 16, 2013

Aku Mahu Gadis Seperti Itu



Testing, testing 1,2,3…hai para Ikhwan semua!
Pernah anda mengalami situasi sebegini apabila terpandang kepada seseorang ukhti yang betudung labuh, berjubah, sopan, ayu dan lemah gemalai….->
“Aku lihat dia di sana
Aku ingin mendekatinya
Aku cuba menghampirinya
…..
Hatiku rasa sesuatu
Bila dia, senyum pada diriku
Hatiku rasa tak menentu

Kadangkala hatiku bertanya
Adakah dia dah berpunya
Kerana diriku berasa
Aku jatuh hati padanya
Aku ingin memilikinya
Aku ingin menjaga dia
Ingin mencinta dia
Aku ingin hidup dengannya
(amboi jauhnya antum berangan ya! …)
     Sememangnya fitrah manusia suka pada perkara yang cantik,comel, baik, ayu, dan bla bla bla… Namun, sekiranya sekadar indah di mata adalah tiada nilainya tanpa disusuli dengan indah akhlaknya.
Justeru itu, penulisan kali ini suka sekali untuk ana melontarkan sedikit pandangan berkaitan dengan ‘wanita perhiasan dunia’ yang sesuai untuk dijadikan calon zaujah antum.
Jika mahu mengenal buah itu masak ada tandanya
Jika mahu mengetahui makanan itu lazat ada caranya
Begitulah juga dengan akhawat. Pasti ada buktinya untuk menunjukkan seseorang wanita itu baik maruah dan akhlaknya. Melalui pembacaan ana yang pelbagai, ana telah menyimpulkan beberapa gugusan idea yang membolehkan antum semua mengenali seseorang ukhti itu baik maruah dan akhlaknya.
       Pertama, akhawat tersebut terdiri dari keturunan yang kuat agama, anak cucu orang alim dan soleh. Maka, persekitaran akhawat tersebut dibesarkan dalam lingkaran agama dan tatacara Islam seterusnya melahirkan kuntuman-kuntuman akhlak yang mahmudah seperti kuat agama, memiliki sifat-sifat kemanusiaan dan berbudi pekerti tinggi. Bak kata pepatah “bagaimana acuan, begitulah kuihnya”. Sekiranya, akhwat tersebut dibesarkan dalam waqi’ islamiah maka hasilnya pasti islamik juga! In Shaa Allah.
Mencerminkan dengan jelas hakikat yang sebenarnya, letaknya realiti seorang wanita adalah wanita yang mempunyai sifat-sifat kewanitaan yang tulen maka itulah keistimewaan dan kecantikan seorang wanita yang hakiki. Rasulullah saw sendiri ada menerangkan bahawa seorang lelaki yang beristeri wanita solehah bererti dia telah mendapat satu nikmat Allah yang besar.
Keterangan ini terdapat dalam hadis yang diriwayatkan oleh ibnu Abbas :
“Empat jenis, sesiapa yang diberi keempat-empatnya bermakna dia telah memperolehi sebaik-baik dunia dan akhirat. Iaitu hati yang selalu syukur, lidah yang sentiasa berzikir, jiwa raga yang sabar dengan ujian dan isteri yang tidak melakukan dosa serta tidak menzalimi suaminya.”
Hikmahnya memperolehi wanita yang terdidik di dalam golongan keluarga yang soleh ini telah jelas dinyatakan sebahagian daripada sifat- sifatnya oleh Rasulullah saw:
Tidak perlu bagi seorang Mukmin setelah ianya bertaqwa kepada Allah, sebaik-baik keperluan baginya ialah seorang isteri yang solehah, jika suami melihat kepada isterinya, isterinya tetap juga berbuat baik kepada suaminya dan jika suaminya tiada di rumah dia menyimpan rahsia dan harta suaminya.”
            Keduanya, Berakhlak dengan Allah. Iaitu menjaga hak Allah dalam apa jua keadaan sekalipun. Tekun dan bersungguh-sungguh dalam ibadahnya. Sabar dalam menempuh ujian daripada Allah, sentiasa bersyukur dengan kurniaan Allah, tenang dalam menerima ketentuan Allah serta banyak mengingati Allah swt.
Tumpuan hatinya adalah mencari keredhaan Allah dalam hidupnya. Setiap tingkah lakunya menggambarkan tatacara Islam dan keindahannya terdampar pada keayuan langkahnya dalam menjaga maruah dirinya. Di mana hatinya tidak mudah terbuai dengan bisikan ‘kumbang’ perosak dan tidak mudah terjentik hatinya dengan kata-kata rayuan ‘buaya’.
Kerana, bagi akhawat tersebut hati adalah nilaian ALLAH yang paling utama dalam setiap amalan yang telah dilakukan. Oleh itu, dia mencuba sehabis daya untuk membalut hatinya daripada terdedah dengan anasir-anasir yang cuba mengeruhkan kesucian hatinya.
Ibnu Qayyim berkata : “sesiapa yang ingin jernih hatinya hendaklah dia mengutamakan ALLAH swt daripada hawa nafsunya ,kerana hati yang dilumuri dengan hawa nafsu terlindung daripada ALLAH sekadar bergantungnya kepada hawa nafsunya” 
Akhawat itu menyedari bahawa hati itu mampu berkarat seandainya disulami dengan perbuatan-perbuatan lagha da maksiat.
Akhawat itu memahami hadis baginda yang berkaitan hati. Iaitu
Dari Abdullah Ibnu Umar r.a meriwayatkan, “Sesungguhnya hati ini dapat berkarat sebagaimana berkaratnya besi bila tekena air.” Beliau ditanya, “Wahai Rasulullah, bagaimana cara membersihkannya ?” Rasullah s.a.w bersabda, “Memperbanyak mengingat maut dan membaca Al-qur´an.”
[Riwayat Baihaqi]
Ketiganya, Baik pergaulannya sesama rakan, jiran dan masyarakat sekeliling. Tidak mengganggu dan menyakiti mereka, malah membantu dan memudahkan mereka dengan apa cara yang termampu selagi mana tidak bercanggah dengan tuntutan syariat.
Akhawat tersebut bergaul dengan temannya dengan baik dan terjaga perbuatannya. Sebagaimana pesan baginda “HambaNya yang lebih disukai ALLAH ialah yang tinggi akhlaknya .”
Cinta dan Sayang akhawat terhadap rakan, jiran dan tetangganya adalah tidak lain dan tidak bukan kerana Allah. Hal ini bersesuaian dengan kata baginda “Perbuatan yang lebih disukai ALLAH ialah kasih atau senang kerana ALLAH dan benci atau tidak suka kepada sesuatu kerana ALLAH .”
Terhias tutur kata akhawat tersebut dengan kalam-kalam yang indah, sedap didengar, lembut terasa terbuai menyapa tatkala mendengar santapan bual bicaranya. Kerana akhawat tersebut memahami pesan kekasihNya “Perbuatan yang lebih disukai ALLAH ialah menjaga lidah (jangan lancang berbicara) .”
Entiti mithali yang dinyatakan oleh ana di atas mudah-mudah mampu dijadikan sebagai garis panduan kepada ikhwan yang masih lagi tercari-cari ‘wanita perhiasan dunia’ yang hendak dijadikan sebagai pendamping hidup.
Ingatlah firmanNya dalam surah Al-Ahzab ayat 59 yang bermaksud
“..yang demikian itu agar mereka mudah untuk dikenali (sebagai perempuan yang baik-baik), maka dengan itu mereka tidak diganggu…” (33:59
Kata Ibnu Abbas lagi, syaitan berada di tiga tempat di dalam diri seseorang lelaki, pada pandangan, hati dan ingatan. Manakala bagi wanita pula, ada pada lirikan matanya, hati dan kelemahannya.
Justeru itu, jagalah pandanganmu wahai para mujahid agar melihat akhawat itu aulanya keindahan akhlaknya sebelum melihat keelokan paras rupanya.
Ingatlah bahawa Islam itu tidak hanya hadir dengan solusi tapi berusaha mencegah dari punca yang datang dari akar umbi
Pesanku sebagai seorang ukhti,
lelaki itu HANDSOME bila…
taat perintah Allah dan patuh pada Ibu bapanya..
lelaki itu SWEET bila…
suka kat perempuan tu terus jumpa wali perempuan tu dan cakap ‘saya suka anak pakcik..saya nak nikah dengan dia..’ dan sentiasa hormat perempuan..
lelaki itu COMEL bila..
berwawasan dan bertanggungjawab..
lelaki itu SMART bila..
berakhlak mulia dan berusaha menjadi yang soleh…

sebagai penutup kalam,
hayatilah bait-bait syair yang dilafazkan oleh seorang suami kepada isterinya
Demi Allah, tidaklah aku melupakanmu
Walau mentari tak terbit meninggi
Dan tidaklah terurai air mata merpati itu
Kecuali berbagi hati
Tak pernah kudapati orang sepertiku
Menceraikan orang seperti dia
Dan tidaklah orang seperti dia dithalaq kerana dosanya
Dia berakhlaq mulia, beragama, dan bernabikan Muhammad
Berbudi pekerti tinggi, bersifat pemalu dan halus tutur katanya
(syair cinta Abdurrahman ibn Abu Bakar kpd isterinya, Atika..)
http://www.ilmi-islam.com/

Lelaki idaman setiap ‘perhiasan dunia’



Biarlah dia seorang yang buta,
Kerana matanya sunyi dari melihat perkara-perkara maksiat dan laghah,
Kerana kedua matanya terpelihara dari memandang aurat wanita ajnabi,
Asalkan kedua matanya terang dalam memerhati keagungan ciptaan Allah,
Asalkan dia celik dalam melihat kesengsaraan umat Islam di Palestin, Bosnia dan seumpamanya
Biarlah dia seorang yang bisu,
Bisu dari pujuk rayu yang bisa mengoncang keimanan,
Bisu dari mengungkapkan ungkapan yang bisa meracun fikiran,
Bisu dari perkataan yang bisa mengundang kekufuran,
Asalkan bibirnya sentiasa basah mengingati Tuhan,
Asalkan lidahnya tidak pernah lekang dari membaca Al-Quran,
Asalkan dia petah membangkang kemungkaran dan dia lantang menyuarakan kebenaran.
Biarlah dia seorang yang bakhil,
Bakhil dalam memberi senyuman pada wanita yang bukan mahramnya,
Bakhil dalam meluangkan masa untuk membuat temujanji dengan wanita ajnabi yang boleh dinikahinya,
Bakhil untuk menghabiskan wang ringgitnya kerana seorang wanita yang tidak sepatutnya,
Tetapi dia begitu pemurah meluangkan masanya untuk beribadah dengan Khaliqnya,
Dia begitu pemurah untuk mempertahankan aqidahnya,
Pemurah dalam memberikan nasihat dan teguran,
Sehingga dia sanggup menggadaikan hartanya bahkan nyawanya demi melihat kalimah syahadah,
Kembali megah di muka dunia,
Biarlah dia seorang yang papa,
Papa dalam melakukan perkara maksiat,
Papa dalam ilmu-ilmu yang tidak berfaedah dan tidak bermanfaat,
Papa memiliki akhlaq mazmumah,
Tetapi dia cukup kaya dalam pelbagai ilmu pengetahuan,
Dia begitu kaya memiliki ketinggian akhlaq dan budi pekerti yang mulia,
Dia begitu kaya dengan sifat sabar dalam mengharungi tribulasi kehidupannya,
Dan dia seorang yang kaya dalam menanam impian untuk menjadi seorang syuhada yang syahid di jalan Allah..


http://www.ilmi-islam.com

Bila Cinta Harus Memilih




Sering kali dalam kehidupan kita terjadi banyak perkara yang memerlukan kita untuk membuat pemilihan. Contohnya, memilih pakaian yang hendak dipakai pada hari tersebut atau mungkin juga menu yang hendak dimakan. Keputusan demi keputusan telah kita buat dalam kehidupan kita seharian. Kadangkala memerlukan kepada pertimbangan yang lama…. Dan kadangkala mungkin sepantas kilat Cuma.

Bagaimana pula dengan cara akhawat memilih pasangan? Adakah kita memerlukan kepada timbangan bagi mengukur kesesuaian dalam memilih pasangan?

       Kasih manusia sering bermusim, sayang manusia tiada abadi. Kasih Tuhan tiada bertepi, sayang Tuhan janjiNya pasti” Lantaran kasih manusia yang sering bermusim dan sayangnya yang tidak kekal lama, kita perlu sentiasa berwaspada terutamanya dalam memilih pasangan. Andainya sikit daripada cinta itu hendak diberi pada seseorang yang boleh digelar zauj. Maka secara pragmatisnya pilihlah seorang muslim yang

1-Kuat agamanya.

 Biar sibuk macamana sekali pun, solat fardu tetap terpelihara. Justeru itu, utamakanlah pemuda yang kuat pengamalan agamanya. Lihat saja Rasulullah menerima pinangan Saidina Ali buat puterinya Fatimah. Lantaran ketaqwaannya yang tinggi biarpun dia pemuda paling miskin. Sebagaimana sabda Rasulullah dalam hadis baginda.

Daripada Abu Hurairah, katannya , Rasulullah pernah bersabda yang bermaksud:”Sesungguhnya ALLAH tidak melihat kepada rupa dan hartamu ,tetapi ALLAH melihat kepada hati dan amalmu yang ikhlas”  [Riwayat  Muslim]

2-Baik akhlaknya.

 Ketegasannya nyata tetapi seseorang yang lemah lembut dan bertolak -ansur pada hakikatnya. Sopan tutur kata gambaran peribadi dan hati yang mulia. Bukankah Rasulullah itu diutuskan untuk menyempurnakan akhlak? Selaras dengan firman ALLAH yang bermaksud:
“Demi diri (manusia) dan yang menyempurnakanNya (ALLAH) ,lalu diilhamkan (ALLAH) kepadanya mana yang buruknya dan mana yang baiknya ,Sesungguhnya telah menanglah orang yang  membersihkan (jiwanya) ,dan merugilah orang yang mengotorinya”
[Surah Asy- Syams : 7-10]

3-Tegas mempertahankan maruah.
 
Pernahkah bakal zauj antunna itu menjengah ke tempat – tempat yang menjatuhkan kredibiliti dan maruahnya sebagai seorang Islam? Nilailah bagaimana sang dia mempertahankan maruahnya daripada terjerumus kepada lembah fitnah.

4-Amanah

Jika future husband pernah mengabaikan tugas yang diberi dengan sengaja ditambah pula salah guna kuasa, maka lupakan saja si dia.
“Sesungguhnya ALLAH mencintai dan mengasihi orang yang bila mengerjakan sesuatu ,selalu memperbaguskan menyempurnakan perbuatannya .”

5-Tidak boros

Dia bukanlah kedekut tapi tahu membelanjakan wang dengan bijaksana. Setiap nikmat yang ada dikongsi bersama mereka yang berhak.

6-Tidak liar matanya
Perhatikan apakah matanya kerap meliar ke arah perempuan lain yang lalu-lalang ketika berbicara. Jika ya jawabnya, dia bukanlah calon yang sesuai buat kamu. Ini kerana Allah telah berpesan bahawa seorang lelaki yang beriman itu haruslah menundukkan pandangannya dari melihat perkara-perkara yang haram.

“Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Amat Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan.” (nur:30)

“Pandangan adalah anak panah beracun dari anak panah iblis. Siapapun yang menghindarkannya kerana takut kepada Allah, Allah akan mengurniakan keimanan yang akan ia temui manisnya di dalam hati,”(HR Al-Hakim)

7-Terbatas pergaulan
Sebagai lelaki dia tahu dia tak mudah jadi fitnah orang, dan dia tak amalkan cara hidup bebas

.8-Rakan pergaulannya.

Rakan- rakan pergaulannya adalah mereka yang sepertinya. Rasulullah sollallahu `alaihi wasallam pernah bersabda,” Seseorang itu (dipandang) dengan siapa yang duduk bersamanya, dan seseorang itu (diukur) dengan siapa yang berjalan dengannya, oleh itu hendaklah anda memerhatikan siapa yang hendak dijadikan kawan.”

9-Bertanggungjawab
Rasa tanggungjawabnya dapat diukur kepada sejauh mana dia memperuntukkan dirinya untuk ibubapa dan ahli keluarganya. Jika ibubapanya hidup melarat sedang dia hidup hebat, nyata dia tak bertanggungjawab

10-Tenang wajah

Apa yang tersimpan di dalam sanubari kadang – kadang terpancar pada air muka. Wajahnya tenang, setenang sewaktu dia bercakap dan bertindak. Kerana seorang lelaki yang mukmin hatinya tidak pernah sunyi dari berzikir kepada Allah dan seterusnya keberkatan amalan tersebut terpancar pada raut wajahnya yang tenang. Sebagaimana firman Allah taala:
 “(yaitu) orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingat Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah lah hati menjadi tenteram.” Ar Ra’d (13) : 28

Duhai muslimah ku….
Duhai sahabatku…

      Berbahagialah kamu jika dicintai calon yang demikian sifatnya…kerana memperolehi pasangan yang beriman itu seolah-olah memperolehi syurga dunia yang mana dihiasi keindahan taman-taman syurga yang akan menghasilkan tanaman-tanaman yang diyakini kualitinya…

            Sabda Nabi: “Empat dari tanda-tanda kebahagiaan seseorang: Isterinya solehah, anak-anaknya abrar (soleh), teman-temannya orang soleh dan sumber rezekinya di negeri sendiri.” (Riwayat ad-Dailami dari Ali .a).

http://www.ilmi-islam.com

MUNGKIN BUKAN KERANA ILMU…


Jika pertikaian itu hanya kerana ilmu, insyaAllah tidak akan ada tuduh menuduh, laknat melaknat, bahkan hingga ke tahap mempertikaikan keislaman seseorang.
Ulama-ulama silam pun banyak berbeza pendapat, bukan hanya dalam soal-soal ranting tetapi menyentuh juga soal pokok… namun, hampir tidak ada kedengaran tuduh menuduh, caci mencaci, sindir menyindir, bahkan kafir mengkafir,  seperti yang kita lihat sekarang.
Namun, berbeza dengan ilmuan masakini – kekadang ada yang jadi begitu berani menuduh tanpa bertemu empat matapun untuk mendapat apa maksud sebenar tentang kata-kata, pandangan atau pendapat yang diperselisihkan. x
Jika benar semuanya kerana ilmu hadapilah secara ilmiah dan berakhlak, Jangan dicampur adukan dengan kepentingan komersial, dendam peribadi dan hasad dengki. Kesihanilah masyarakat yang umumnya masih rendah tahap ilmunya (malah masih tidak terkawal emosinya) – jangan sampai gajah sama gajah berjuang, pelanduk mati di tengah-tengah atau terlebih sudu daripada kuahnya. 
Ada  pihak yang menegur pihak  lain… yang dakwanya tidak beradab, tetapi ironinya nada tegurannya itupun sudah tidak beradab. Ada yang mendakwa ingin menjunjung akhlak Islamiah, tetapi ironinya kepentingan akhlak itu telah dibela dengan cara yang tidak berakhlak. Masyarakat tiba-tiba tertusuk oleh satu persoalan, apakah semua ini kerana perbezaan ilmu atau hanya kerana kepentingan diri dan puak?
Perjuangan menegakkan Islam dalam diri dan masyarakat sewajarnya mengambil bukan sahaja ‘apa’ yang dibawa oleh Rasulullah SAW tetapi juga ‘bagaimana’ baginda memperjuangkannya. Kata Imam Malik:” Jahiliyah yang ke dua tidak akan dapat diatasi melainkan mengikut kaedah menangani jahilyah yang pertama.” Tetib perjuangan Rasululllah SAW. mestilah diikuti langkah demi langkah berdasarkan awlawiyat (keutamaan) dan waqi’ (realiti) semasa umat kini yang dari segi prinsipnya sama juga seperti yang pernah dihadapi oleh baginda.
Imam Ghazali berpesan:“Jangan membawa masyarakat awam kepada perbahasan-perbahasan yang sukar difahami. Tetapi cukuplah ajarkan mereka ilmu tentang tatacara ibadah dan sikap amanah dalam bekerja. Penuhi hati mereka dengan sikap takutkan neraka dan mengharapkan syurga seperti yang diperintahkan dalam al Quran.”
 Musuh perkara yang lebih penting ialah perkara yang penting. Justeru, kecenderungan suatu pihak mengocak ‘keharmonian’ ilmu dan amalan dengan persoalan-persolan khilafiah dan kemudian disanggah oleh pihak lain secara lebih aggresif, sesungguhnya  tidak banyak menyumbang dalam usaha dakwah dan mendidik umat. Berbeza dalam menilai kedudukan hadis, berbeza pula dalam mentafsirnya;  begitu juga perbezaan ketika mentafsir fakta yang didakwa bersifat hakiki manakala pihak lain mengatakan itu bersifat majazi, sesungguhnya telah menimbulkan ‘keserabutan’ yang bukan sedikit dikalangan orang awam yang sepatutnya didedahkan kepada input yang lebih utama!
Menyambung perbahasan silam yang sudah terhenti pada titik ‘kita bersetuju untuk tidak bersetuju’  bukanlah tindakan yang bijaksana. Jika ulama-ulama silam ‘berperang’ dengan ilmu dan hujah, namun masih dalam kerangka adab dan akhlak tetapi kini berbeza sekali. Kelihatan seolah-olah medan ilmu ini telah dicemari oleh kata-kata, tulisan-tulisan, yang menyinggung pihak lain secara langsung atau sindiran. Ironinya, apabila kita terjebak membela kebenaran tetapi bukan dengan cara yang benar!
 Satu kesalahan tidak mewajarkan kita melakukan kesalahan kedua yang kononnya untuk menegur kesalahan sebelumnya.  Jangan hanya menilai apa yang kita sampaikan itu benar, tetapi nilailah juga apakah kaedah, ketika (‘timing’) dan sasarannya benar. Jangan sampai umat ini terpinga-pinga dengan lambakan hujah yang bertentangan, tetapi semuanya didakwa dari kitab muktabar dan bersumberkan ulama-ulama yang berotoriti. Akibatnya umat ini akan menjadi seperti semut yang diajak membandingkan mana lebih terang antara bulan dan matahari…
Perbezaan tidak lagi diterima sebagai satu hakikat yang bukan sahaja mesti diterima keyataannya tetapi mestilah diraikan dan dimanfaatkan dengan cara yang bijaksana dan beradab. Penyakit orang berilmu ialah hasad. Justeru,  umat mengharapkan para ulama membina satu kematangan baru dalam menguruskan perbezaan, agar setiap perbezaan tidak dianggap satu pertentangan. Tidak ada jaguh mutlak dalam perjuangan Islam selepas Rasulullah SAW justeru setiap individu dan kumpulan, tidak punya ‘kekebalan’ daripada godaan nafsu dan syaitan.
 Tertib perjuangan Baginda bermula dengan turunnya wahyu-wahyu di peringkat Makiyyah yang menekankan soal tauhid (keimanan). Dua kaedah perjuangan yang dilaksanakan oleh Baginda Rasul di peringkat ini ialah berdakwah (menyeru) dan mentarbiah (mendidik). Bagi yang masih belum menerima Islam, Rasululah melancarkan operasi dakwah. Umat Arab diajak berfikir tentang alam yang pasti ada yang menjadikannya itu (Allah). Kemudian di­terangkan prinsip Tauhid, keimanan kepada Allah, kehidupan Hari Akhirat, syurga dan neraka.
Rasulullah fokus kepada soal “akar” dalam diri manusia. Lampu hati yang ter­putus daripada “cahaya” hidayah oleh pintasan syirik dinyalakan semula. Hasilnya,  hati yang gelap itu menjadi bercahaya semula walaupun keadaan luaran (masyarakat jahiliah) masih gelap-gelita.    Bagi mereka yang sudah menerima Islam pula, Rasulullah s.a.w. terus mendidik agar keimanan mereka terus mantap dan tahan uji. Jika sebelumnya iman itu diterima dengan akal, maka di peringkat didikan iman itu dimantapkan ke dalam jiwa.
Dua langkah itu (dakwah dan tarbiah) dilakukan secara lemah lembut dan konsisten ini melahirkan generasi sahabat yang sungguh cintakan Allah, yakin pada hari akhirat dan mengasihi sesama saudara seperti mengasihi diri mereka sendiri.
Pada waktu itu, walau sebesar dan sekejam mana pun pertentangan, Rasulullah s.a.w. tidak membalasnya. Bukan kerana takut, bukan kerana lemah, justeru apa kurangnya keberanian Nabi Muhammad berbanding Nabi Ibrahim yang sanggup menentang Namrud? Tetapi Nabi Muhammad berpegang kepada kitaran proses membangunkan ummah berdasarkan “kaedah” yang telah di­tentukan Allah.
Tempoh berdakwah dan mendidik tidak boleh “terkacau” oleh agenda pertumpahan darah atau perkara-perkara yang bersiaf pinggiran. Justeru dalam dakwah dan didikan mesejnya tidak lain melainkah keindahan, keamanan dan kasih sayang – antara Allah dengan manusia (habluminallah) dan antara manusia sesama manusia (habluminannas)!
Setelah 13 tahun dididik dengan keyakinan yang men­dalam terhadap perkara-perkara ghaib itu, Rasulullah s.a.w. berhijrah, satu tindakan “pengunduran” untuk me­ngambil lajak buat melonjak lebih jauh dan tinggi. Bermula dengan persaudaraan sesama sahabat yang mula-mula beriman di Makkah, kemudian antara suku Aus dan Khazraj di Madinah. Dan pada ketika itu ke­kuatan iman dan ukhwah pun berpadu dan para sahabat telah bersedia untuk menerima perintah Allah yang seterusnya.
Dengan itu bermulalah tahap kedua dalam perjuangan Rasulullah dengan turunnya ayat Quran yang menuntut dilaksanakan peraturan Allah sebagai satu cara hidup yang lengkap. Menerusi surah-surah Madaniyah Allah menjelaskan falsafah dan pelaksanaan sistem hidup Islam yang syumul. Walaupun begitu ini tidak bererti persoalan iman (tauhid) mula “didormankan” apalagi di­pinggirkan.  Sebaliknya, kekuatan iman terus dimantapkan sebagai satu “on going process” dalam kesemarakan pem­bangunan material dan fizikal.
Semoga jalan dakwah, tarbiah dan tertib perjuangan ini terus akan dihiasi oleh sikap lapang dada, menegur secara beradab dan berhujah secara berakhlak. Sama ada yang disentuh soal pokok atau ranting, furiiyah mahupun akidah,  yang ditegur dan menegur… wajib menjunjung prinsip adab dan akhlak Islamiah. Inilah hak yang mesti diberikan kepada sesiapa sahaja yang masih bersyahadah dan mengaku Islam…
Tolong pastikan segala  perberbezaan ini adalah kerana ilmu bukan kerana nafsu!
http://genta-rasa.com/