Saturday, October 11, 2014

random post

Nur ada satu habit sejak dari dahulu, bilamana nur rasa tersangat sedih,lemah,kecewa, dan sewaktu dengannya dan ketika itu solat dan pengajian Al Quran pun tidak mampu diberi fokus yang sewajarnya, nur akan lakukan perkara ini.(ini untuk tahap yang kritikal.kalau biasa-biasa, biasanya nur hanya akan melakukan solat sunat,tahajud dan perbanyakkan mengaji al quran)

Selepas selesai solat dan berdoa, nur akan rebah di sejadah. Nur yang berbadan panjang ni akan berusaha mengecilkan badan supaya muat-muat di atas sejadah tu. Masa tu nur akan luahkan dan mengadu semua benda yang nur rasa pada Allah walaupun mulut tidak dibuka. Ini kerana nur merasakan sejadah itu sangat menyenangkan dan nur rasa seperti sedang didakap oleh pelukan seorang ibu yang sangat menyayangi anaknya dan nur tahu itulah dakapan kasih sayang Nya yang sangat menyayangi nur.

Sesi luahan itu berterusan bersama air mata sehinggalah nur tertidur dalam dakapan kasih sayang Nya. Dan apabila nur tersedar dari tidur yang sekejap itu, nur akan rasa seakan tenaga dan semangat nur telah dipulihkan dan dirawat. Allahu Allah. Engkaulah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Engkau Yang Maha Mengetahui akan segala sesuatu yang berlaku kepada hamba Mu. Dakaplah aku sentiasa di dalam rahmat kasih sayang Mu. Allahumma aaminn.

Ramai yang bertanya pada nur akan tips untuk menjadi kuat dalam menghadapi dugaan dan ujian. InsyaAllah inilah cara yang nur amalkan selama ini. Moga bermanfaat. J

Nur dan kamu semua hanyalah hamba. Sebagai seorang hamba sudah selayaknya kita diuji. Ada masa kita gembira ada masa pula kita bersedih. Itulah kehidupan. Tidak akan pernah ada rehat melainkan kerehatan yang sebenar selepas kita mati dan menemui Pencipta kita.

Bertabahlah duhai sahabat dan hati, kerana sesungguhnya ujian itu tanda cinta Allah kepada kita. Cinta menuntut kesabaran dan keyakinan. Cintanya kita kepada Allah menuntut pengorbanan dan pengertian yang lebih hebat dan kuat kerana yang kita cintai itu juga hebat. Bersabarlah kerana disebalik kesedihan itu tersimpan sejuta hikmah yang tidak kita ketahui dan tiadalah sesuatu itu berlaku melainkan Allah sedang memelihara kita dari sejuta keburukan yang tidak kita ketahui.


Senjata kita adalah doa. Doa,doa,doa dan teruskan berdoa. Sesungguhnya Dia Maha Mendengar lagi Maha Melihat. Kejujuran dan keilhlasan hati kita dalam memanjatkan doa kepada Nya pasti tidak akan disia-siakan. Sabarlah kerana Allah lebih tahu bila masa yang tepat dan sesuai untuk doa kita dimakbulkan. Teruskan berdoa dan dekatkan diri kepada Nya. insyaAllah. Wallahualam.

Orang-orang yang Terpedaya oleh Dirinya


Petikan teks daripada MINHAJUL ABIDIN WASIAT IMAM GHAZALI edisi Bahasa Melayu

Orang-orang yang terpedaya oleh dirinya terbahagi kepada empat golongan. Setiap golongan mempunyai beberapa bahagian lain. Imam Al Ghazali dalam kitab Ihya’ nya telah membahaskan perkara ini dengan panjang lebar, tetapi di sini saya akan mengemukan untuk satu golongan sahaja dan secara ringkas sahaja.

Golongan Keempat:

Golongan hartawan yang antara lainnya ialah orang yang suka bersedekah terhadap fakir miskin, tetapi menginginkan kesaksian orang ramai. Fakir miskin yang disenangi ialah yang mahu menceritakan tentang kebaikan dirinya serta memuji-mujinya. Mereka tidak mahu bersedekah dalam diamsebaliknya mahu melakukannya di hadapan orang ramai dengan tujuan memberi tauladan dan untuk mengetuk pintu hati orang lain agar melakukan kebaikan kerana pada pendapat mereka apa yang penting ialah niat.

Terdapat juga golongan yang gemar menggunakan harta kekayaannya untuk menunaikan haji, sedangkan ramai jiran tetangganya yang kelaparan. Berkaitan dengan perkara ini, Ibnu Mas’ud berkata “Kelak pada akhir zaman, ramai orang melakukan ibadah haji dengan mudah, tetapi mereka tidak akan mendapat pahala kerana dia tidak mempedulikan jiran tetangganya yang dalam kesulitan, bahkan bertanya khabar pun tidak.” Ini kerana hukum membantu jiran terdekat adalah wajib dan menunaikan haji untuk kali kedua adalah sunat.

Selain itu, terdapat pula golongan yang banyak wang tetapi terlalu menyayangi kekayaannya sehingga kedekut untuk membelanjakannya. Dalam beribadat, mereka memilih ibadat yang dapat dikerjakan oleh anggota badan kerana mereka enggan mngeluarkan wang.

Mereka banyak mengerjakan puasa sunat dan sembahyang sunat pada malam hari dan banyak kali khatam Al-Quran. Tetapi mereka tidak mahu mengeluarkan wang atau dngan kata lain sangat kedekut membelanjakan harta mereka untuk jihad, pembinaan masjid dan madrasah serta derma anak yatim. Mereka ini termasuk ghurur kerana meninggalkan amalan yang lebih penting dan lebih perlu diutamakan.

Sebahagian lagi ghurur adalah dari golongan awam, hartawan dan fakir. Mereka beranggapan bahawa menghadiri majlis ilmu telah memenuhi kewajipan. Mereka menjadikan ia sebagai satu kebiasaan dan beranggapan bahawa mendengar tanpa beramal juga sudah melyakkan mereka untuk mendapat pahala dari Allah SWT.