Saturday, September 29, 2012

mandi malam menyebabkan paru-paru berair:hanya kepercayaan orang tua


Ramai dalam kalangan masyarakat kita percaya bahawa jika seseorang itu kerap mandi malam, dikhuatiri akan dijangkiti paru-paru berair. Sebenarnya, itu tidak benar sama sekali. Mandi malam bukan penyebab utama masalah paru-paru berair. Proses kondensasi yang disebutkan oleh kebanyakan orang tidak berlaku sama sekali di dalam badan manusia kerana terdapat system imuniti badan yang mampu mengatasi masalah ini.
Bagaimana system imuniti badan bertindak?
Apabila bendasing (seperti bakteria,kuman dan lain-lain) masuk ke dalam badan, sistem imuniti tubuh akan segera bertindak mengawal bendasing ini daripada terus merebak ke seluruh badan dengan melalui proses inflamasi di mana salur darah di sekitar alveoli peparu akan mengembang, menyebabkan cecair dalam salur darah  akan keluar dan masuk ke dalam alveoli peparu. Proses ini berlaku secara berterusan jika tidak dirawat dengan segera. Akibatnya, peparu dipenuhi dengan cecair yang disebut sebagai exudate dan bukannya dipenuhi dengan air seperti dibayangkan oleh kebanyakan orang! Keadaan ini disebut sebagai ‘jangkitan kuman pada peparu’ atau lebih tepat didefinasikan sebagai pneumonia. Dan apabila cecair exudate keluar dan memenuhi ruang pleura, ianya disebut sebagai ‘pleural effusion’ ataupun paru-paru berair.

Apa itu exudate?
Exudate merupakan cecair yang kaya dengan elemen seperti protein dan sel-sel dari salur darah, yang keluar ke bahagian luar salur darah (dalam ke sini, dibahagian alveoli) akibat proses inflamasi. Akibatnya, elemen ini akan terkumpul di dalam alveoli dan lama kelamaan akan menyebabkan jangkitan pada peparu, dikenali sebagai PNEUMONIA.
Apa kaitan antara pneumonia dan paru-paru berair?
Pneumonia bermaksud inflamasi peparu disebabkan oleh bakteria iaitu   alveoli terisi nanah supaya udara diasingkan dan peparu menjadi pejal(consolidation)( 1 )
Patologi atau proses berlakunya pneumonia ini telah diterangkan dengan lanjut sebelum ini. Paru-paru berair atau efusi pleura (pleural effusion) merupakan salah satu komplikasi pneumonia. Ini disebabkan nanah/exudate dari peparu keluar ke ruang pleura (selaput yang melekat pada peparu dan dinding dada), dan cecair tadi memenuhi ruang tersebut .
Apa itu paru-paru berair/ pleural effusion?
Paru-paru berair terjadi apabila banyaknya cecair berkumpul di kawasan pleura; selaput nipis yang melitupi kawasan peparu dan ruang dada (chest cavity). Pleura berfungsi sebagai lubrication dan memudahkan proses pernafasan. Sebenarnya, dalam keadaan normal, terdapat sedikit sahaja cecair di dalam kawasan pleura untuk melancarkan(lubricate) proses pernafasan.

Terdapat kekeliruan sebenarnya dalam mendifinasikan paru-paru berair. Ada yang mengatakan paru-peru berair lebih sesuai dipanggil pneumonia dan ada yang mengatakan ianya sesuai dipanggil sebagai pleural effusion.  Hasil perbincangan dengan panel yang lain, juga dengan doktor-doktor di Malaysia, juga kajian berterusan melalui sumber website yang dipercayai, maka paru-paru berair lebih sesuai dikenali sebagai pleural effusion. Pneumonia lebih sesuai dipanggil sebagai ‘jangkitan kuman pada peparu’.
Cuba rujuk definisi pleural effusion yang sebenar.
Pleural effusion occurs when too much fluid collects in the pleural space (the space between the two layers of the pleura). It is commonly known as “water on the lungs.”

Terdapat dua jenis cecair yang berkumpul di ruang pleura, dikenali sebagai transudate dan exudate
Lihat perbezaan di bawah.
Transudate
Exudate
Berwarna lebih jernih dan cairMempunyai kandungan protein yang tinggi,cecair yang pekat,mempunyai spesifik gravity yang tinggi
Punca –punca terjadinya ‘transudate’ pleural effusion:
  • kegagalan jantung
  • Pulmonary embolism
  • Post open heart surgery
Punca-punca ‘exudative’ pleural effusion:
  • Pneumonia
  • Kanser
  • Pulmonary embolism
  • sakit buah pinggang
  • penyakit inflamasi
Apakah symptom yang dapat dilihat pada pesakit yang mengalami pleural effusion?
-          SESAK NAFAS- disebabkan ruang pleura dipenuhi dengan cecair, pesakit akan mengalami sesak nafas
-          Sakit dada(disebabkan pleuritic pain)
-          Batuk tanpa kahak
-          Tanpa sebarang symptom- biasanya berlaku pada pesakit TB, pesakit yang baru menjalani pembedahan pada bahagian abdomen dan pesakit yang mengalami kanser.
Bagaimana cara merawat pleural effusion?
Rawatan utama untuk efusi pleura ialah merawat punca utama penyebab penyakit ini berlaku,seperti merawat pneumonia dengan antibiotic, merawat kegagalan jantung dengan rawatan tertentu dan sebagainya. Tetapi, jika punca utama penyebab penyakit ini tidak dapat dikenal pasti, maka doktor biasanya akan melakukan prosedur dinamakan ‘thoracentesis’ iaitu mengeluarkan cecair dalam pleura(fluid drainage)
 Kesimpulan
Setakat ini, tiada lagi kajian yang mampu membuktikan bahawa mandi pada waktu malam boleh menyebabkan pneumonia dan pelbagai jenis penyakit yang lain. Sebaliknya, mandi malam boleh merawat insomnia dan melegakan tekanan. Tidak hairanlah di Jepun misalnya, mereka mengamalkan mandi pada waktu malam sebelum tidur sebagai langkah mengelakkan stress setelah seharian berpenat lelah menjalankan aktviti di tempat kerja dan sebagainya.

Rujukan
Kumar and Clark Clinical Medicine,7th edition
http://www.chkd.org/HealthLibrary/Facts/Content.aspx?pageid=0152
Kamus Kejururawatan,terbitan Fajar Bakti- pneumonia-m/s 434 (1)

Sumber: http://cyberclinics.org/

LAWAN HAWA NAFSUMU!



Bagaimana keadaan kita jika terlihat seekor lipan di hujung kaki tetapi kemudian terpandang seekor harimau tidak berapa jauh daripada kita? Apakah kita masih memikirkan bahaya lipan atau bahaya harimau. Ya, tentu sahaja kita akan berikhtiar untuk menyelamatkan diri daripada bahaya harimau. Walaupun lipan dekat, tetapi gigitannya tidaklah seganas cengkaman harimau. Begitulah perumpamaan antara bahaya nafsu dengan bahaya-bahaya yang lain. Nafsu akan menyebabkan kita lebih rasa menderita. Bukan sahaja di dunia tetapi juga di akhirat.
Malangnya, hal yang sepenting itu tidak dititik-beratkan. Kejahatan hawa nafsu, sifat-sifat dan kaedah melawannya hampir tidak pernah dibicarakan. Padahal, nafsu itulah angkara segala kejahatan yang kita deritai kini. Sebut sahaja, apa kejahatannya, pasti dalangnya adalah hawa nafsu.
Kita sibuk memperketat kawalan, disiplin dan undang-undang tetapi membiarkan puncanya berkembang subur dan membiak. Mampukah pagar yang rapuh mengawal binatang buas yang bilangannya kian banyak dan tenaganya semakin kuat? Begitulah bandingannya undang-undang ciptaan manusia dengan kejahatan hawa nafsu.
Undang-undang walaupun sehebat mana pun tidak akan berkesan jika nafsu tidak dijinakkan terlebih dahulu. Pagar itu akan diterjah dan rebah dipijak dan diinjak menyebabkan kita terpaksa membina pagar demi pagar, berulang-kali.
KUASAI NAFSU, KUASAI DUNIA
“Jika kita menguasai diri, kita akan menguasai dunia,” demikian kata cerdik pandai. Tetapi bagaimana pula kalau kita gagal menguasai diri? Ya, pasti kita pula yang akan dikuasai dunia. Jika demikian amat buruk akibatnya lantaran dunia itu adalah ‘hamba’ yang baik tetapi ‘tuan’ yang sangat jahat.  Orang yang berjaya adalah orang yang gigih mencari kebaikan dunia tetapi selamat daripada tipuannya. Firman Allah:“Sesungguhnya tiadalah kehidupan dunia itu melainkan mata benda yang menipu daya.” (Surah al-An’am 6: 32)
Al-kisah, seorang raja sedang menaiki kuda dengan angkuhnya. Dia terserempak dengan seorang petani yang soleh sedang berjalan kaki. Raja pun bertanya, “siapa kamu?” Petani yang soleh itu menjawab, “aku seorang raja.” Raja tertawa, kemudian terus berkata dengan nada menyindir, “raja kerajaan mana?” Petani menjawab, “raja untuk kerajaan diriku.” Raja terdiam. Dan kemudian petani itu pula bertanya, “adakah tuanku menjadi raja kepada diri sendiri?” Raja terus terdiam kerana faham maksud kata-kata petani yang soleh itu.
Begitulah dalam kehidupan kita sehari-hari. Ramai orang besar yang  hakikatnya hanya insan kerdil kerana tidak mampu melawan hawa nafsunya. Kuasa, ilmu, harta dan nama yang tersohor tidak membawa makna dan kebahagiaan dalam hidup sekiranya hidup diperkotak-katikkan oleh hawa nafsu. Hal ini kerana nafsu itu sifat tabiinya hanyalah mengarah kepada kejahatan. Maka hidup seseorang yang dikuasainya hanya akan penuh dengan kejahatan. Jika demikian, mana ada ketenangan dan kebahagiaan? Tidak ada kebahagiaan bagi manusia yang tenggelam dalam kejahatan.
Dikuasai dunia maksudnya, diri kita akan didorong oleh sesuatu yang berbentuk kebendaan, kemasyhuran dan jawatan dalam apa jua fikiran dan tindakan. Ketika itu kita gagal memperalatkan dunia sebaliknya dunialah yang memperalatkan kita. Akibat gagal menguasai dirilah kebanyakan manusia sangat cintakan dunia. Firman Allah yang bermaksud: “Sesungguhnya, manusia itu sangat cintakan mata benda.” (Surah : )
Selain itu cintakan dunia akan menyebabkan manusia cenderung melakukan kejahatan. Sebab itu masyhurlah kata-kata popular dalam kalangan ahli-ahli tasawuf, cinta dunia itu adalah kepala segala kejahatan.
Apabila semua itu terjadi, manusia tidak lagi layak menjadi hamba Allah. Oleh sebab itu, untuk menjadi hamba Allah manusia mestilah menguasai dirinya. Inilah yang dibimbangkan oleh Syeikh Ibn Ataillah dalam al-Hikam menerusi katanya:“Bagaimana akan terang hati seseorang yang segala gambaran dunia itu terpahat dalam cermin hatinya? Atau bagaimanakah dia akan mengembara menuju kepada Allah padahal ia terbelenggu oleh nafsu syhawatnya?
MANUSIA DAN MUJAHADAH
Seterusnya, apakah yang dimaksudkan dengan menguasai diri? Jelas maksud menguasai diri ialah menundukkan nafsu jahat yang ada di dalam diri bagi membolehkan kita melakukan perintah Allah dan meninggalkan larangan-Nya. Sedangkan nafsu itu sebahagian daripada diri kita yang sentiasa ingin menghancurkan diri kita.
Berhubung dengan melawan hawa nafsu ini Imam al-Ghazali menyebutkan tiga tingkatan manusia dalam usaha memerangi hawa nafsunya:
i)                    Telah menyerah kalah.
Golongan ini tergolong dalam mereka yang dikuasai sepenuhnya hawa nafsunya dan tidak dapat melawannya sama sekali. Ini merupakan keadaan majoriti manusia. Mereka ini telah mempertuhankan hawa nafsunya. Firman Allah: ”Maka, pernahkah kamu melihat orang yang telah menjadikan hawa nafsunya sebagai tuhannya dan Allah membiarkannya sesat berdasarkan ilmu-Nya.” (Surah al-Jatsiyah: 23)
ii)                  Sedang dan sentiasa berperang
Golongan ini terdiri daripada mereka yang sentiasa dalam bertarik tali berlawan dengan hawa nafsu. Adakalanya dia menang dan ada kalanya kalah. Insya-Allah, inilah orang yang sedang berjuang (mujahadah). Mereka ini menunaikan apa yang diperintahkan oleh Nabi Muhammad s.a.w. melalui sabdanya yang bermaksud: ”Berjuanglah kamu melawan hawa nafsumu sebagaimana kamu berjuang melawan musuh-musuhmu.”
iii)                Orang yang telah menang
Golongan itu terdiri daripada mereka yang berjaya menguasai sepenuhnya hawa nafsunya. Mereka ini terpelihara daripada berbuat dosa dan maksiat kecuali sangat sedikit melakukan maksiat. Perjuangan menentang hawa nafsu adalah satu bentuk perjuangan jangka panjang. Perjuangan ini hanya akan berakhir dengan kematian. Sikap waspada dan sentiasa siapa siaga amat diperlukan setiap masa.
ERTI MUJAHADAH DAN KEPENTINGANNYA
Melawan hawa nafsu bagi maksud mengawal, mengurus dan mengendalikannya adalah wajib kerana kita hanya wajar menjadi hamba Allah. Demikian yang dapat difahami daripada kaedah, “tidak sempurna sesuatu yang wajib melainkan dengan sesuatu itu maka sesuatu itu juga menjadi wajib.”  Berdasarkan itu, jika kita tidak berbuat demikian, sudah tentu kita akan berdosa. Bukankah syurga itu hanya ada pada mereka yang menundukkan kehendak nafsunya kepada kehendak Allah? Firman Allah: “Dan adapun orang-orang yang takut kepada kebesaran Tuhannya dan menahan diri daripada nafsunya, maka sungguh syurgalah tempat tinggalnya” (Surah al-Naziat: 40-41)
Melawan hawa nafsu juga adalah syarat untuk mendapat pimpinan Allah. Firman Allah: “Mereka yang berjuang untuk melawan hawa nafsu kerana hendak menempuh jalan Kami, sesungguhnya Kami akan tunjuk jalan Kami. Sesungguhnya Allah itu berserta dengan orang yang buat baik.” (Surah : )
Kepentingan melawan hawa nafsu ini ditegaskan lagi oleh Rasulullah s.a.w. menerusi sabdanya: “Tidak beriman salah seorang antara kalian hingga hawa nafsunya mengikuti apa yang aku bawa.” Baginda juga bersabda: “Seorang mujahid (iaitu seorang yang berjihad) ialah dia yang melawan hawa nafsunya kerana Allah.”
Mujahadah bermaksud berusaha untuk melawan dan menundukkan kehendak hawa nafsu. Istilah “mujahadah” berasal daripada kata “al-jihad” iaitu berusaha segala kesungguhan, kekuatan dan kesanggupan pada jalan yang diyakini benar. Dengan kata yang lain, seorang yang bermujahadah dengan rela meninggalkan apa yang disukainya demi memburu sesuatu yang diyakininya benar, baik dan betul. Inilah maksud kata-kata Imam al-Ghazali: “Antara tanda kecintaan hamba kepada Allah ialah dia mengutamakan perkara yang disukai Allah daripada kehendak nafsu serta peribadi, sama ada dalam aspek zahir atau batin.”
Selain itu ilmu, taktik dan strategi melawan hawa nafsu wajib dipelajari. Bahkan kita tidak akan menang jika dalam menempuh jalan mujahadah hanya dilakukan dengan semberono. Malangnya, ilmu tentang mujahadah ini seolah-olah terpinggir pada masa kini. Manakala strategi melawan hawa nafsu hampir tidak dibicarakan lagi.
Ironinya, jika dengan musuh zahir yang jarang-jarang kita berdepan dengannya,  kita sanggup membelanjakan jutaan ringgit untuk membeli kelengkapan perang dan sejata, mengorbankan banyak masa dan tenaga untuk persiapan berperang, tetapi dengan hawa nafsu yang setiap detik kita berperang dengannya, mengapa ambil tidak indah sahaja. Sedangkan nafsu ini adalah musuh yang paling berbahaya, yang sepatutnya lebih diberi perhatian serius. Rasulullah s.a.w. bersabda:”Orang yang kuat bukanlah orang yang dapat mengalahkan musuhnya tetapi dapat menguasai marahnya.”
PRINSIP ASAS DALAM MELAWAN HAWA NAFSU
Berikut tiga prinsip asas kaedah melawan nafsu. Tiga kaedah ini telah digariskan oleh ulama pakar dalam meneliti perjalanan hati dan nafsu manusia. Dalam kitab Minhajul Abidin misalnya, Imam Ghazali telah menggariskan tiga prinsip asas berikut:
i) Menahan atau menyekat sumber kekuatannya.
Nafsu yang diumpamakan kuda yang liar itu boleh dijinakkan dengan syarat ditahan sumber yang memberikannya tenaga. Jadi, nafsu boleh dikawal dengan menahan makan (berpuasa). Oleh sebab itulah dalam Islam kita diwajibkan berpuasa sebulan dalam setahun. Dan digalakkan juga berpuasa sunat hari-hari tertentu. Malah mereka yang belum mampu berkahwin, nabi Muhammad s.a.w. menganjurkan mereka menjinakkan nafsu seks dengan berpuasa.
Selain menahan perut daripada banyak makan, ada lagi beberapa sumber kekuatan nafsu yang perlu disekat. Antaranya, menahan pandangan (mata) daripada yang haram, telinga daripada mendengar sesuatu yang berdosa, mulut daripada berkata-kata yang dilarang, hati daripada sifat-sifat mazmumah dan lain-lain. Semua ini perlu diketahui dengan cara belajar. Ilmu yang berkaitan dengan menjaga pancaindera inilah yang dimaksudkan dalam ilmu tasawuf sebagai akhlak. Hukum mempelajarinya, fardhu ain bagi setiap mukhallaf.
ii) Membebankan nafsu itu dengan ibadah.
Setelah nafsu yang diumpamakan sebagai kuda liar itu disekat sumber kekuatannya, langkah seterusnya ialah dengan dibebankan ibadah tertentu terutamanya ibadah khusus yang berbentuk fardhu dan sunat. Solat terutamanya, sangat diperlukan dalam kaedah ini semata-mata untuk ‘menyeksa’ nafsu. Bukan sahaja solat lima waktu tetapi solat malam (qiamulalil) sangat berkesan untuk menundukan hawa nafsu.
Begitu juga dengan zikrullah yang lain seperti membaca al-Quran serta wirid-wirid tertentu (yakni yang bersumberkan al-Quran,  hadis-hadis sahih dengan tunjuk ajar dan didikan syeikh atau guru yang benar serta mendapat petunjuk (mursyid). Begitu juga dengan amalan sedekah, kerja-kerja amal, mengajar, belajar dan lain-lain amal kebajikan. Pokok pangkalnya,  bebankanlah nafsu kita dengan ibadah hingga ia merasa letih untuk melakukan kejahatan. Ingatlah nafsu itu tidak pernah puas dan kehendanya tidak terbatas, maka ibadah yang dapat menundukkannya hendaknya begitu juga. Jangan terbatas dan jangan dibatasi oleh rasa puas.
iii) Berdoa minta bantuan Allah untuk menewaskannya.
Usaha menentang hawa nafsu hendaklah dimulakan, diiringi dan disudahi dengan berdoa kepada Allah. Nafsu itu makhluk Allah, maka Allah sahaja yang mampu memudahkan diri manusia untuk menguasai dirinya sendiri (nafsu). Bahkan, usaha awal kita untuk memperbaiki diri perlulah dimulai dengan membentuk komunikasi dan interaksi yang harmoni dengan Ilahi.
Hubungan ini dibentuk melalui doa. Jika Allah permudahkan, jalan mujahadah yang payah akan menjadi mudah. Bantuan Allah inilah yang sangat kita dambakan. Malah inilah pesan Rasululllah s.a.w. kepada Muaz bin Jabal dengan katanya:
“Wahai Muaz, aku sangat cinta kepadamu. Maka selepas kau mengerjakan solat jangan sekali-kali kau lupa berdoa kepada Allah dengan doa ini: “Ya Allah, bantulah aku mengingati-Mu, bantulah aku mensyukuri nikmat-Mu dan bantulah aku untuk mmperbaiki ibadah kepada-Mu.”
Banyak lagi doa-doa yang dianjurkan oleh Rasulullah s.a.w. dalam bermujahadah melawan hawa nafsu ini. Antara doanya itu ialah: “Ya Allah ya Tuhanku, berilah aku taqwa, dan bersihkanlah diriku. Sesungguhnya Engkaulah sebaik-baik yang membersihkan. Engkaulah pelindungku dan pemimpinku.”
LANGKAH-LANGKAH JALAN MUJAHADAH
Langkah-langkah tersusun untuk melawan hawa nafsu seperti berikut:
i) Belajar mengenai sifat nafsu dan angkaranya.
Belajar mengenai sifat-sifat mahmudah dan mazmumah (ilmu akhlak atau tasawuf) adalah wajib. Kita mesti mendapat ilmu yang digali daripada al-Quran dan Sunnah untuk mengetahui sifat-sifat nafsu, angkara kejatannya dan bagaimana melawannya. Para ulama telah mempermudahkan ilmu-ilmu ini mengikut kategorinya tersendiri.
ii) Membina kesedaran dan keazaman yang tinggi.
Tidak cukup dengan mempunyai ilmu sahaja tanpa kesedaran dalam hati dan keazaman yang kuat untuk mengamalkannya. Bagaimana jika kita hanya ada senjata (ilmu) tetapi tidak ada keingininan yang kuat untuk mngamalkannya apabila diserang musuh? Ilmu bukan untuk pengetahuan dan kefahaman semata-mata, tetapi yang lebih penting untuk diamalkan.
iii) Mempraktikkan ilmu.
Inilah tahap yang paling sukar tetapi inilah tahap yang paling penting. Perkara ini memerlukan satu iltizam yang kuat dalam diri kerana apa yang disukai nafsu adalah juga yang disukai oleh diri kita sendiri. Ramai orang yang tahu sesuatu kebaikan tetapi masih malas melakukannya. Dan ramai yang tahu sesuatu kejahatan tetapi masih tega melakukannya.
Semua itu kerana mereka belum ‘mahu’, dan baru sekadar ‘tahu’. Pengetahuan itu dicapai melalui proses belajar manakala kemahuan dibina dengan mempraktikkan apa yang telah kita pelajari. Dengan mempraktiokkan ilmu barulah ilmu yang bertapak di akal dapat dipasakkan ke dalam hati. Oleh sebab itu ‘tahu’ tempat letakkannya di akal tetapi ‘mahu’ itu letaknya di hati.
iv) Terus melatih diri dan bersifat konsisten melawannya.
Ramai juga orang yang telah tahu dan mahu melakukan kebaikan dan meninggalkan kejahatan, tetapi tidak lama, mereka berpatah semula ke belakang. Bak kata peribahasa Melayu sekadar “hangat-hangat tahi ayam”. Mereka tidak berdaya untuk konsisten (istiqamah) dalam kebenaran. Apa yang perlu ialah latihan yang berterusan agar tahap pengetahuan dan kemahuan itu diteruskan hingga ke tahap kemampuan.
Imam Ghazali berpesan nafsu tidak dapat dikalahkan dengan tergesa-gesa. Kehendaknya tidak boleh ditekan sekali gus melainkan perlu ditahan secara bertahap-tahap. Latihan menundukkan hawa nafsu ini perlu dilaksanakan sedikit demi sedikit tetapi istiqamah selaras dengan sabda Rasulullah s.a.w.:
“Amalan yang baik ialah amalan yang berterusan (konsisten) sekalipun sedikit.”
“Alah bisa, tegal biasa,” begitulah nafsu yang jahat jika dilatih berterusan untuk melakukan kebaikan, akan terbiasalah nafsu itu dengan kebaikan dan kebajikan. Sampai ke tahap ini, nafsu itu akan menjadi tenaga penggerak atau kenderaan (kuda tunggangan) kepada manusia. Umpama, racun pada ular senduk – di situ ada racun, di situlah juga ada penawarnya. Sebab itu ditegaskan berkali-kali bahawa nafsu itu bukan untuk dihapus tetapi untuk diurus.
Jika diuruskan dengan baik, nafsu akan membawa kepada kemajuan rohaniah dan material dalam kehidupan. Nafsu seks yang diurus melalui pernikahan yang sah, akan memberi ketenangan, keberkatan dan rahmat dalam diri suami dan isteri. Ia juga meneruskan kesinambungan zuriat yang akan menjadi tenaga penggerakan kepada pembangunan ummah. Begitu juga nafsu makan yang terurus, akan memberi tenaga untuk beribadah dan menyebabkan terbentuknya jaringan perniagaan, industri makanan, hub halal, inovasi dan teknologi makanan dalam bidang bioteknologi dan sebagainya.
Manusia yang dibekalkan dengan unsur nafsu inilah yang menjadi sebab mereka dilantik menjadi khalifah di muka bumi – bukan malaikat, kerana dengan nafsu makmurlah muka bumi ini dengan pembangunan yang bersendikan hukum Allah. Sebaliknya, malaikat tidak mempunyai potensi ini kerana mereka sepi daripada sebarang keinginan dan rangsangan. Namun, jika nafsu tidak terurus manusia akan jatuh ke tahap yang lebih hina daripada haiwan (makhluk nafsu tanpa akal).
Jangan menoleh ke belakang… tempuhlah jalan mujahadah. Itulah jalan yang penuh saadah (kebahagiaan). Walaupun itu adalah jalan yang payah, tetapi itulah jalan yang paling mudah. Tidak ada jalan pintas!

kesesatan akidah syiah dan perangkapnya di dalam dakwah


Segala puji bagi Allah swt yang mentadbir sekalian alam serta selawat dan salam ke atas junjungan besar nabi Muhammad saw.
Pada kali ini saya ingin berkongsi kepada para pembaca semua mengenai kesesatan golongan SYIAH di dalam akidah dan kepercayaan serta perangkap liciknya di dalam dakwah. Hal ini kerana, jika kita melihat balik tentang realiti yang berlaku pada umat islam, mereka masih terkeliru dan kabur dengan dakyah dan agenda busuk yang dibawa oleh syiah. Mereka menganggap bahawa mereka sama sahaja seperti kita, masih solat dan melakukan perkara yang ada di dalam islam.
Namun, kita tidak sedar bahawa merekalah punca di antara punca yang besar yang memecahkan umat islam semenjak dari zaman khalifah lagi. Seperti yang kita sedia maklum bahawa dalang yang membawa ajaran ini adalah seorang berasal dari kalangan Yahudi yang berasal daripada yaman, namanya Abdullah bin Saba’. Pengkhianat ini telah datang ke madinah Al-munawwarah untuk mempelajari islam serta menghisap darah umat islam dari dalam ketika itu. Lantas pengkhiatan ini berlaku sehingga berlaku pembunuhan seorang khalifah, iaitu khalifah Othman bin Affan r.a. Ajaran ini telah disebarkan di seluruh negara-negara arab sewaktu ketika itu. Mereka menganggap bahawa Sayidina Ali r.a setaraf dengan tuhan dan percaya bahawa imam 12 adalah Maksum (tiada dosa) setaraf dengan makam para nabi dan rasul. Begitulah serba sedikit mengenai sejarah ringkas yang dilakukan oleh syiah pada zaman awalnya. Renungkan pula apa yang berlaku di Iraq pada hari ini, masjid-masjid Sunni diroboh, lelaki dan perempuan yang bernama sahabat (Aisyah atau Umar) dirogol dan dibunuh, golongan yang berpegang kepada Sunni dibunuh dan dicaci dan pelbagai lagi yang mereka lakukan di sana sehingga sekarang.
Syiah mempercayai imam-imam yang telah ditentukan oleh Allah melalui lisan Rasul-Nya secara nas. Hal ini dinyatakan di dalam kitab Aqaid al-imamiyah oleh ulama syiah iaitu Syeikh Muhammad Redha al-Muzaffar, hal. 78:
Terjemahannya:
Akidah Kami Tentang Imam Itu Telah Sabit Secara Nas.
Kami (syiah) beriktikad bahawa imam-imam seperti nabi tidak berlaku melainkan dengan nas daripada Allah swt atau lisan Rasul atau lisan imam yang dilantik secara nas apabila ia hendak menentukan imam selepasnya. Hukum Imamah sama seperti nabi, tidak ada perbezaan. Orang ramai tidak boleh membuat hukum lain terhadap orang yang talah ditentukan oleh Allah, sebagaimana mereka tidak mempunyai hak penentuan, pencalonan dan pemilihan kerana orang yang telah dilantik, telah mempunyai persediaan yang cukup untuk menanggung bebanan imam dan memimpin masyarakat yang sudah pasti tidak boleh diketahui, kecuali dengan ketentuan Allah dan tidak boleh ditentukan, melainkan dengan ketentuan Allah. Kami mempercayai bahawa nabi saw pernah menentukan khalifahnya dan imam di muka bumi ini selepasnya. Lalu baginda menentukan sepupunya Ali bin Abi talib sebagai amirul mukminin pemegang amanah terhadap wahyu dan imam kepada semua makhluk di beberapa tempat. Bagina telah melantiknya dan mengambil baiah kepadanya untuk memerintah orang-orang islam pada hari ghadir, lalu baginda bersabda: Ketahuilah bahawa sesiapa yang aku telah menjadikannya ketua maka Allah yang menjadi ketuanya. Wahai tuhan, lantiklah orang yang menjadikan Ali sebagai pemimpin dan musuhilah orang yang memusuhinya dan tolonglah orang yang telah menolongnya dan hinalah orang yang menghinanya. Berilah kebenaran kepada Ali di mana ia berada.
Syiah mempercayai pengganti Rasulullah saw ialah Sayidina Ali. Kemudian Sayidina Ali mewasiatkannya pula kepada anaknya hasan, hasan pula mewasiatkannya kepada hussain sehinggalah kepada Imam 12 Al-Mahdi Al-Muntazar. Ia merupakan sunnah Allah kepada semua nabi-nabi bermula daripada nabi adam sehinggalah nabi yang terakhir. Perkara ini disebutkan dalam kitab Aslu Al-syiah Wa usuluhu oleh Muhammad bin Husain Ali Khasyif al-Ghita’, hal. 136.
Ulasan mengenai petikan di atas.
Tidak terdapat sebarang nas dari al-Quran atau Hadis-hadis sahih yang jelas maksudnya bahawa Sayidina Ali itu ditentukan sebagai khalifah selepas wafat Rasulullah saw. Oleh sebab itu, para sahabat telah bersetuju dan bersepakat melantik Sayidina Abu bakar sebagai khalifah yang pertama sebaik sahaja kewafatan Rasulullah saw dan Sayidina Ali pun sendiri telah bermubaya’ah dengan Sayidina Abu bakar.
Berikutnya, syiah meyakini bahawa imam-imam adalah maksum iaitu terpelihara daripada sebarang dosa kecil dan dosa besar dari peringkat kanak-kanak sehinggalah meninggal dunia. Kedudukan mereka sama seperti para nabi. Pada iktikad mereka, imam-imam tidak melakukan kesalahan dan tidak lupa. Imam adalah pemelihara syariat dan melaksanakan hukum-hukum. Perkara ini dijelaskan oleh Syeikh Mufid, salah seorang tokoh besar syiah di dalamkitab Awail al-maqalat yang dipetik oleh Muhammad jawad Mughniah di dalam kitab al-Syiah Fi al-Mizan. Hal. 38.
Terjemahannya:
Ismah ialah sesuatu kekuatan yang menghalang tuannya daripada melakukan maksiat dan kesalahan, di mana ia tidak boleh meninggalkan yang wajib dan tidak boleh melakukan yang haram sekalipun ia mampu untuk berbuat demikian, jika tidak bersifat demikian nescaya ia tidak berhak mendapat pujian dan balasan. Dengan lain perkataan, yang dimaksudkan dengan maksum itu ialah mencapai had ketaqwaan yang tidak boleh dicapai oleh syahwat dan nafsu dan telah mencapai ilmu syariat dan hukum-hukumnya dan sampai ke martabat yang tidak melakukan kesalahan sama sekali. Syiah Imamiah mensyaratkan dengan makna tersebut kepada imam-imam secara sempurna sebagaimana disyaratkan kepada wali. Syeikh Mufid berkata di dalam kitab Awail al-maqalat bab perbincangan mengenai imam-imam itu maksum. Imam-imam yang memiliki sifat-sifat maksum itu adalah sama dengan makam nabi dalam melaksanakan hukum-hukum dan menegakkan hudud dan memelihara syariat dan mendidik masyarakat. Mereka itu maksum sama seperti nabi yang bersifat maksum yang tidak harus melakukan dosa besar dan kecil dan tidak harus bagi mereka bersifat lupa terhadap sesuatu berhubung dengan agama bahkan mereka tidak lupa sesuatu tentang hukum. Sifat ini wujud kepada keseluruhan mazhab imam syiah imamiah, kecuali sahaja yang bersifat ganjil daripada mereka.
Ulasan mengenai petikan di atas.
Jelas terdapat dalam al-Quran dan hadis-hadis sahih menyatakan bahawa yang maksum hanyalah para rasul dan anbiya’ sahaja. Oleh itu dalam hal-hal yang berkaitan dengan akidah, memerlukan kepada dalil-dalil yang qat’i. Ini dijelaskan oleh ayat-ayat al-Quran seperti berikut yang bermaksud:
Dan tiadalah yang diucapkannya itu (Al-Quraan) menurut kemauan hawa nafsunya. Ucapannya itu tiada lain hanyalah wahyu yang diwahyukan (kepadanya). (An-najmu ayat 3 dan 4)
Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu (yaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak menyebut Allah. (Al-ahzab ayat 21)
Ia memasamkan muka dan berpaling, kerana ia didatangi orang buta. Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui (tujuannya, wahai Muhammad). Barangkali ia mahu membersihkan hatinya dengan agama yang didapatinya daripada kamu. Ataupun ia mahu mendapat peringatan, supaya peringatan itu memberi manfaat kepadanya. (Abasa ayat 1-4)
Itulah di antara bukti-bukti yang telah dilakukan oleh golongan syiah di dalam akidah. Sebenarnya masih banyak lagi bukti yang ingin saya bawakan kepada para pembaca semua mengenai kesesatan syiah, tetapi saya rasa biarlah ia secara berperingkat-peringkat.
Kesimpulan.
Kesesatan syiah telah menjerumuskan golongan orang yang rendah daya pengetahuannya terhadap islam. Mereka memasang perangkap yang sangat licik untuk membawa orang lain kepada fahaman tersebut. Antara perangkap licik mereka adalah seperti berikut:
1.       Mengajak kita untuk menyintai “Ahlul Bait”.
2.       Mereka akan menceritakan kisah-kisah dusta bagaimana “Ahlul Bait” ditindas hanya kerana untuk menyentuh emosi dan membuatkan kita menangis.
3.       Syiah akan membuatkan kita meragui pegangan kita selama ini.
4.       Syiah akan menyuntik perasaan dendam dan secara tidak langsung mereka akan melatih kita untuk berbunuhan dan menyebabkan pertumpahan darah.

Thursday, September 27, 2012

KENANGAN DI UM (Universiti Mujahadah)


Selepas Subuh tadi, saya membelek-belek kembali buku catatan saya semasa ditahan di Kamunting. Terjumpa banyak lembaran-lembaran tulisan yang tidak pernah saya ketengahkan. Hanya untuk tatapan peribadi. Antaranya, saya bertemu dengan tulisan yang akan saya ketengahkan ini.
Saya akui diantara buku yang banyak saya uliti sewaktu di sana ialah Tafsir Al Azhar oleh Hamka, Pengajaran Hikmah Al Hikam dan huraian oleh Prof. Muhibbudin Al Wali, Hentikan risau dan Mulakan kehidupan oleh Dale Carnargie, dan banyak lagi.
Mari kita kongsikan satu catatan yang saya buat sebaik sahaja habis membaca “Hanya untuk hari ini oleh Dale carnargie”. Catatan yang saya buat sebaik menyapu sampah dan membersihkan longkang di sekeliling kem tahanan (hari itu saya bertugas). Ah, sekadar catatan ringkas. Semuga ada manfaatnya – bukan sekadar mengimbau nostalgia tetapi untuk mendapat “:rasa-rasa” yang melatari peristiwa yang sangat mendidik saya itu.
Saya akui, rasa takut, resah dan “lemah jiwa” yang sering menghantui hidup saya sebelumnya dapat sedikit sebanyak dikikis melalui pengalaman pahit itu. Ya, pahit… tapi ubat. Syukur ya Allah, dalam derita itu saya banyak belajar… ISA adalah UM (Universiti Mujahadah) saya. Inilah catatan itu: HANYA UNTUK HARI INI.
Maha suci Allah, yang misteri ketentuan dan ketetapan-Nya tidak dapat di duga dan diteka oleh sesiapa. Benarlah, “God always move in a mysterious way…”
Hakikat inilah yang sering berlaku dalam kehidupan kita.Cuba kita lihat contoh popular di kalangan figure ternama dan popular. Dapatkah Anwar Ibrahim misalnya, menjangka beliau akan digelar OT (orang tahanan) di kem tahanan kemunting padahal dia seorang pemimpin pelajar? Kemudian dia menjadi TPM, kemudian ditahan lagi sebagai OB (orang banduan) di penjara Sungai Buluh. Setelah itubebas, menjadi MP dan kini dia ada kemungkinan akan ditahan semula?
Sudah tentu juga mendiang Boon Siew tidak dapat menjangka akan menjadi seorang “bilionare” semasa masih menjual belon angin di awal karier perniagaannya. Dan paling agung, Nabi Musa AS –  dibesarkan dalam istana Firaun, berkelana di padang pasir, menjadi gembala kambing dan dilantik menjadi rasul…  Hidup yang gelap tiba-tiba jadi gemerlapan. Diri yang disanjung dan dipuja, dicaci nesta secara tiba-tiba!
Begitulah, hitam-putih nasib manusia, tidak dapat dijangkau dengan mata, fikiran dan rasa.Sebab itu orang tua-tua berpesan, jangan sekali-kali mendengar guruh di langit, air di tempayan dicurahkan. Hati-hati, semakin tinggi pokok yang dipanjat, semakin kuat angin yang menggoyang. Pada hari esok mungkin tangan yang menjulang kita hari ini akan menghenyak kita. Kawan boleh lawan, dan begitulah sebaliknya. Benar firman Allah, setiap kesusahan akan diiringi kesenangan, setiap kesenangan akan diiringi kesusahan.
Apakah kekuatan yang boleh membakar daya juang untuk terus bersemangat pada ketika yang begitu genting dalam perjalanan hidup seseorang?  Salah satunya: Jangan panjang angan-angan… Manfaatkan masa yang ada dan terus berkerja dalam waktu-waktu kritikal itu dengan segera. Kita tidak harus disusah-susahkan oleh angan-angan tentang masa depan yang jika dibayangkan pada masa sekarang akan membuat kita muram.
Oleh itu kita mesti merancang dan bekerja dengan apa yang sedang ada di tangan, tanpa takut dan bimbang akan hal-hal yang tidak menentu atau terbayang-bayang dalam angan-angan. Yang di tangan itulah realiti, yang ada dalam angan-angan itu cuma ilusi. Kita tidak mungkin hidup dalam dua alam yang samar - masa lalu yang memori dan masa depan yang ilusi. Hidup sebenar ialah hari ini, inilah yang realiti.
Saya ingin menceritakan pengalaman hidup sendiri untuk menjelaskan bahawa adalah tidak wajar buat kita meneka-neka atau menjangka sesuatu yang tidak pasti pada masa depan. Samada yang kita jangkakan itu baik atau buruk. Jika kita mengangan-angankan yang baik, kita akan jadi ‘over confident’. Jika kita hanya mengangan-angankan yang buruk, kita akan jadi pesimis. Kedua-duanya memusnahkan.
Saya pasti saudara/i pembaca juga mempunyai kisah tersendiri yang relevan dengan perbincangan kita ini. Apa yang boleh kita pelajari daripada kisah seumpama itu? Ya, untuk mendapat ketenangan pada saat-saat kritikal dalam hidup ialah: Pendekkan angan-angan. Hiduplah dalam lingkungan hari ini. Saya ulang lagi, hiduplah dalam lingkungan hari ini. Ertinya, jangan dikhuatiri hari esok, jangan bimbangkan hari semalam…. Susun jadual hidup harian dan ikutilah dengan tenang.
Hidup umpama membaca lembaran-lembaran dari sebuah buku yang sangat tebal. Jangan gerun hanya melihat ketebalan buku itu, hingga hilang mood untuk membacanya. Atau terlalu gelojoh hingga membacanya secara meloncat-loncat tanpa mengikut tertib muka surat.
Bacalah dari muka surat pertama, kedua, ketiga dan seterusnya. Buku yang tebal akan habis juga dibaca akhirnya. Bukan sahaja habis dibaca, bahkan ilmu yang dihidangkan akan dapat dihadamkan dengan mudah.
Inilah rahsia ketenangan jiwa para sahabat Rasulullah S.A.W. Mereka adalah individu yang pendek angan-angan dan menggunakan sepenuhnya kesempatan yang sedia ada di tangan. Mereka hidup tanpa rasa gundah dengan apa yang telah terjadi kelmarin dan tidak pula bimbang dengan apa yang bakal terjadi esok. Mereka tidak terdera dengan percubaan melihat masa depan dengan teropong angan-angan yang serba samar. Para sahabat nabi bukanlah pakar psikologi tetapi sikap mereka tepat seperti mana yang dikatakan oleh para psilogist moden:
“Tugas kita bukan melihat apa yang terletak jauh dan masih samar di hadapan, tetapi melakukan apa yang jelas di tangan.”Sikap mereka dibentuk oleh penghayatan mereka terhadap pesanan Rasulullah S.A.W. Mereka adalah insan produktif yang bekerja hasil dorongan hati, fikiran dan fizikalnya oleh sabda Rasulullah S.A.W:“Jika kamu berpagi-pagi, jangan menunggu ke waktu petang….”
Matlamat dan pendekatan hidup mereka ‘simple’ dan jelas. Mereka adalah insan praktikal dan realistik. Kebaikan yang boleh dilakukan pada hari ini, mereka terus laksanakan pada hari itu juga. Sementara kejahatan yang boleh diberhentikan pada hari ini, terus dihentikan ketika itu juga. Ibadat dan taubat mereka tidak kenal istilah nanti atau tunggu. Justeru itu tempoh hidup mereka tidak pernah diganggu oleh istilah terlambat atau tercepat… semunya TEPAT pada masanya.
Pernah satu malam Rasulullah S.A.W “rimas” ketika hendak tidur. Ketika ditanya oleh isterinya kenapa? Baginda bersabda:
“Aku risaukan dua tiga keping dirham yang masih tinggal dalam rumah ini. Takut-takut aku dipanggil oleh Allah (mati) dalam keadaan dirham itu tidak aku sedekahkan.”
Itulah peribadi Rasulullah S.A.W, yang tidak berangan-angan panjang. Baginda pernah bersabda yang maksudnya, bahawa bila matanya terbuka, baginda tidak yakin apakah sempat baginda menutup matanya semula. Bila baginda menarik nafas, baginda tidak yakin apakah baginda akan dapat melepaskannya semula.
Panjang angan-angan akan menyebabkan sikap bertangguh-tangguh untuk melakukan suatu kebaikan atau meninggalkan suatu kejahatan. Ramai orang yang khuatir, bukan berfikir, tentang masa depannya. Terimalah realiti walaupun takdirnya ia tidak seperti yang kita harapkan. Lebih baik satu ringgit di tangan daripada berjuta-juta ringgit di alam angan-angan. Tetapi ingat satu ringgit di tangan jika benar-benar dimanfaatkan mungkin menjanjikan pulangan berjuta-juta ringgit pada masa akan datang.
Hidup adalah satu pusingan perubahan yang tidak henti-henti. Hukum alam menetapkan bahawa yang tidak berubah hanyalah perubahan. Oleh kerana itu adalah satu kerja gila jika kita hendak menyelesaikan ‘masalah-masalah’ masa depan yang hakikatnya belum berlaku. Dan jangan cuba hidup dalam “masa lalu”. Sebaik sahaja mengambil pengajaran daripadanya, terus lupakan! Kita tidak akan dapat menjejak kaki pada air sungai yang sama dua kali. Justeru air sungai sentiasa mengalir.  Dan begitu jugalah dengan masa lalu, ia telah berlalu… lalu biarkanlah ia terus berlalu!
Sekali lagi saya tegaskan bahawa hidup adalah perubahan yang tidak henti-henti. Jangan cuba mengawalnya. Jangan cuba mengambil ‘tempat’ Tuhan untuk mengawal semua perubahan kerana yang mampu mengawalnya hanyalah DIA yang tidak berubah-rubah. Inilah hikmah mengapa Qada’ dan Qadar Allah dirahsiakan daripada pengetahuan manusia. Agar dengan itu manusia boleh hidup dengan aman tanpa diganggu walau sedikitpun oleh pengetahuan tentang masa hadapan.
Dapatkah seorang yang sihat makan dengan enak jika mengetahui pada hari esoknya dia akan mati? Atau mampukah seorang ayah membesarkan anaknya dengan sabar jika diketahuinya bahawa anaknya bakal menderhakainya? Manusia boleh hidup dengan aman tanpa mengetahui tentang masa depannya. Madah pujangga, “masa lalu adalah kelmarin yang telah mati. Masa depan adalah esok yang belum lahir… tetapi selamatkanlah hari ini yang masih hidup.”
Seorang manusia walau bagaimana kuat sekalipun, tidak akan mampu menanggung derita masa lalu dicampur beban masa depan, lalu dipikul bersama masalah pada hari ini. Tiga beban dalam satu masa boleh menyebabkan seorang genius dihantar ke hospital sakit otak. Tiga beban dalam satu masa boleh menyebabkan seorang atlit di hantar ke wad pesakit jantung. Hidup ini mesti ditangani dengan mudah. Namun ini bukan pula alasan untuk mempermudah-mudahkan hidup. Cuma “take it easy….”
Mungkin anda akan bertanya, kalau begitu salahkah kita merancang untuk masa depan? Tidak. Pendek angan-angan bukan bererti tidak bersedia untuk hari esok. Fikirkan hari esok, tetapi jangan khuatir. Banyak bezanya antara fikir dan khuatir. Mungkin sama banyaknya bezanya antara angan-angan dan cita-cita. Sesiapa yang khuatir tentang hari esok, akan mensia-siakan peluang yang ada pada hari ini. Sebaliknya sesiapa yang berfikir tentang hari esok, akan memanfaatkan peluang pada hari ini.
Tidak ada gunanya berangan-angan. Angan-angan tentang kebaikan akan menyebabkan seseorang itu alpa. Angan-angan tentang keburukan akan menyebabkan seseorang itu kecewa. Manusia angan-angan tidak akan dapat merancang, bekerja dan berusaha dengan baik. Sebaliknya, hiduplah dalam lingkungan hari ini kerana cara yang paling tepat untuk hari esok ialah dengan menumpukan perhatian dan bekerja dengan sepenuhnya pada hari ini. Pemikiran dapat mencari kesan dan sebab-sebab untuk melahirkan perancangan dan pelaksanaan. Kekhuatiran akan membawa kekusutan fikiran dan tekanan perasaan.
Lihatlah mentaliti orang tua-tua Melayu zaman dahulu. Pada mereka sudah ada pemikiran bertaraf wawasan (visi). Mereka sering memikirkan nasib anak cucu di kemudiaan hari. Mereka menanan pokok durian yang dijangka berbuah bertahun-tahun kemudian yang mungkin mereka pun tidak sempat merasanya. Mereka telah memafaatkan benih pokok durian lalu ditanam pada ‘hari esok’ mereka. Mereka berfikir, bukan khuatir.
Kita tidak akan dapat menikmati buah durian datuk dan nenek kita jika mereka hanya berangan-angan bahawa pada masa hadapan generasi Melayu akan terus makan durian. Atau khuatir kemungkinan tanah kebun akan tergadai menjadi kilang perindustrian.
Anda mungkin marahkan saya kerana asyik berfalsafah. Tetapi bukanlah niat saya begitu. Saya hanya ingin meyakinkan diri saya dan juga pembaca bahawa untuk selamat melalui ketika paling mencabar dalam kehidupan ialah dangan memendekkan angan-angan. Ini bukanlah falsafah yang hendak dibincangkan semata-mata. Tetapi ilmu mesti dan boleh mengamalkannya. Mungkin ada orang yang perlukan ilmu untuk mula mengamalkannya. Mungkin juga telah dapat mengamalkannya secara semulajadi (nature) tanpa belajar akan falsafahnya. Hidup ini bukan untuk ahli falsafah sahaja. Sinisnya, ada juga ahli falsafah yang hidupnya lebih celaru berbanding juga insan yang tidak punya apa-apa ijazah….
Mari saya kenalkan dengan seorang teman berbangsa Cina sewaktu sama-sama ditahan di Kamunting dahulu. Dia seorang positif dan cergas sewaktu melalui hari-hari yang sukar bagi di ken tahanan. Setiap hari, pagi-pagi lagi dia telah bangun dan mula bersenam dengan disiplin Taicinya. Setelah mandi dan bersarapan pagi, dia mula belajar bahasa Inggeris dan kemudian mengajar bahasa Mandarin. Jadual waktu belajar, bermain, pakaian dan aktiviti hariannya terdisiplin dengan begitu rapi.
Jarang saya melihat dia susah hati. Kalau adapun cuma sekali-sekala terutama pada hari Sabtu. Kalau saya tidak mengenalinya dari dekat, saya tentu tidak menyangka bahawa dia sebenarnya mempunyai banyak masalah yang tidak kurang beratnya berbanding orang tahanan yang lain. Pada suatu hari, dia telah dibenarkan pulang untuk satu masalah keluarga yang sangat urgent…. Daripada situ barulah rahsia dirinya tersingkap oleh saya (yang kebetulan rapat dengannya).
Sebenarnya, dia mempunyai seorang ayah yang sedang nazak kerana penyakit barah. Perniagaan yang dikendalikan oleh isterinya pula sedang merosot akibat penahanannya. Anak lelakinya masih tertanya-tanya akan ‘kehilangan’nya. Dan macam-macam lagi masalahnya yang berbelit-belit. Dia mengaku pada hari Sabtu dia sedikit gelisah, kerana hari itulah hari paling sibuk buat isteri dan anaknya dengan pelbagai urusan hidup.
Tetapi kenapa kawan saya itu tetap senang dan mampu gembira? Malah lebih gembira dari sesetengah kawan yang lain, yang kadang kala masalah-masalah mereka jauh lebih ringan daripadanya? Jawabnya… kerana kawan saya itu mengamalkan falsafah: Hidup dalam lingkungan hari ini.
Dia selalu berkata, “apa guna risau-risau. Nanti sakit. Bila sakit, apa guna harta dan wang. Hari ini gua mahu senaman. Nanti gua mahu jumpa gua punya bini dan anak dengan badan kuat dan sihat. Kalau lu susah hati…. Talak makan, talak tidur, lu akan sakit. Kalau sakit nanti satu sen pun tak ada guna.”
Itu orang bukan Islam… Kita seorang Islam sepatutnya lebih ke hadapan kerana kita bukan sahaja milik hati yang fitrahnya murni tetapi juga wahyu yang memandu fitrah hati itu agar sentiasa gagah dan tenang.
Ramai kawan-kawan berbangsa Cina di kem tahanan yang mengamalkan falsafah mudah untuk mententeramkan hati mereka. Mereka selalu berkata, “jangan kita rugi dua tahun. Kita mesti untung dua tahun.” Pada mulanya saya tidak faham apa yang dimaksudkan oleh mereka tetapi kemudian saya faham maksud ‘ahli-ahli falsafah’ Kamunting itu.
Penjelasannya begini…. Di luar mereka tidak punya masa unutk bersenam, menjaga kesihatan dan mneguruskan badan. Bahkan ada yang setiap malam minum arak dan berpeleseran hingga pulang jauh-jauh malam. Akibatnya, ramai yang kena penyakit darah tinggi, kencing manis, lemah jantung dan lain-lain lagi. Tetapi bila ditahan, badan yang sakit mula sihat kembali hasil senaman, makan, tidur, baring dan lain-lain yang terkawal. Lebih-lebih lagi sentiasa mendapatkan pemeriksaan kesihatan dan rawatan daripada pegawai perubatan (H.A) yang dikhaskan.
Bagi mereka, pencapaian ini menguntungkan. Dengan badan yang sihat dan kuat terhasil semasa dua tahun ditahan, mereka lebih beruntung berbanding berada di luar dengan badan yang sakit-sakit dan lemah. Boleh jadi jika kesihatan terus diabaikan kematian pun boleh berlaku lebih cepat. Kalau begitu bukankah elok ditahan 2 tahun oleh ISA? Begitulah isi falsafah para “cendikiawan” Kamunting itu adanya…. Mereka amalkan “reframing” insiden yang negative kepada yang positif. Dalam Islam, prose situ ialah “mencari hikmah”!
Mereka hanya bercakap secara spontan tanpa istilah bombastik kerana mereka bukanlah ahli falsafah atau psikologist. Tetapi sebenarnya apa yang mereka katakan adalah sama dengan kata seorang pakar psikologi – Robert Louis Steven son:
“Sesiapa sahaja boleh membuat kerjanya, walau bagaimana berat, untuk satu hari. Sesiapa sahaja boleh hidup dengan riang, penuh kesabaran, kasih sayang, bersih, sehingga matahari jatuh. Dan inilah sebenarnya makna kehidupan.
Ingatlah, jangan sampai menunggu untuk menjadi ahli falsafah bagi mengamalkan prinsip: Hidup dalam lingkungan hari ini. Kita lebih kuat daripada apa yang kita jangkakan! Justeru, di sisi orang beriman, Allah sentiasa berada disisi. When God is your friend, who is your enemy?

KEMBALILAH!



Kekadang kita terkejut dengan ungkapan-ungkapan yang kedengarannya begitu aneh. Ungkapan yang bukan dilahirkan oleh orang yang biasa, tetapi manusia yang luar biasa. Mereka yang mengucapkannya adalah hukama, ulama dan bijak pandai yang begitu arif tentang kehidupan. Ada ungkapan yang berbunyi:
“Barang siapa yang ingat mati akan hidup… tetapi mereka yang ingat hidup akan mati.”
Ah, aneh. Mengapa begitu ya… Mari kita telusuri apa makna tersirat di sebaliknya. Bukan sekadar untuk bermain dengan kata-kata tetapi dengan berpijak pada ilmu dan pengalaman yang nyata. Justeru kata-kata itu hanya membenarkan sahaja apa yang telah disabdakan oleh Rasulullah SAW menerusi sabdanya:
“Yang paling banyak mengingati kematian di antara mereka, dan yang paling bagus persiapannya setelah kematian. Mereka itu orang-orang yang cerdik.
Riwayat Imam Ibnu Majah
Mari kita kembara seketika untuk mengungkap cebisan rahsia kematian dan kehidupan yang hakikat adalah ujian bagi setiap insan. Firman Allah:
“Dia yang menjadikan mati dan hidup untuk menguji antara kamu siapakah yang terbaik amalannya.”
Apakah kaitan antara hidup dan mati? Apakah rahsia di sebalik kata-kata bahawa mati itu adalah tunang kepada kehidupan? Justeru, marilah kita ‘kembali’ sebelum pergi menemui kehidupan yang abadi!
Sayidina Ali karamallahuwajhah pernah berkata:
“Manusia semuanya tidur, bila mati baru mereka terjaga (tersedar).”
Kata-kata itu sungguh dalam dan tersirat maknanya. Ia bermaksud, hanya apabila seseorang itu telah mati barulah hakikat atau realiti kehidupan ini tersingkap dengan sejelas-jelasnya.
Pendek kata, mati adalah ‘program realiti’ yang benar-benar realiti. Setelah roh berada di alam barzah (yakni alam kubur yang menjadi sempadan antara dunia dan akhirat), barulah kebanyakan manusia sedar apakah perkara yang benar-benar bernilai dalam hidupnya ketika hidup di dunia. Bila mata yang ada hancur dimamah bumi, maka ketika itulah matahati yang alpa selama ini tersentak… Terbeliak, lalu ketika itu barulah terserlah yang mana ‘intan’, yang mana ‘kaca’?
Menjelang kematian, setiap diri akan akur betapa bernilainya kebaikan dan kebajikan. Itulah hakikatnya intan yang selama ini dianggap kaca. Dan pada saat itu barulah kita sedar betapa intan yang selama ini kita puja hakikatnya kaca yang tidak berharga. Itulah perbuatan dosa dan perkara yang sia-sia. Alangkah ruginya ketika hidup di dunia. Kita tersentak!
Manusia baru tersedar apakah hakikat kehidupan yang sebenar setelah kematian. Dan lebih malang lagi rupa-rupanya baru pada ketika itu manusia menyedari bahawa mati sebenarnya bukanlah satu pengakhiran, tetapi ia adalah satu permulaan kepada satu kehidupan yang tidak ada mati-mati lagi (hidup di akhirat kekal abadi).
Manusia telah diingatkan bahawa di alam roh kita telah mengenal Allah. Firman Allah:
“Bukankah aku ini Tuhanmu? Maka semua (roh manusia) menjawab: ‘Benar, kami (Engkaulah Tuhan kami) menjadi saksi.”
Al-A’raf : 172
Bahkan telah mengakuinya sebagai Rob yang sebenar (Tuhan kita). Mengenal Allah ertinya mencintai Allah. Kerana siapa sahaja yang kenal Allah, pasti akan jatuh cinta kepada-Nya.
Namun alangkah sedikitnya manusia yang benar-benar mengenal Allah. Kebanyakan manusia hanya ‘mengetahui’ tetapi tidak mengenali-Nya. Mengenal dan mengetahui itu jauh berbeza. Mengenal dengan hati, mengetahui dengan akal. Mengenal hanya memahami, tetapi mengenali akan merasai. Kebanyakan kita hanya mengetahui Allah Maha Melihat, tetapi tidak merasai Allah Maha Melihat. Justeru, kita masih tega dan tergamak melakukan kemungkaran walaupun kita tahu Allah Maha Melihat.
Bermula da Di alam roh dahulu hati kita yang telah mengenal Allah. Pendekata, cinta sejati sejak diri bermula ialah cinta Allah. Malangnya, ramai manusia dipisahkan daripada cinta sejati itu sebaik sahaja lahir ke dunia. Detik itu ramai manusia yang mula dipisahkan daripada cinta Allah seperti seorang anak yang dipisahkan daripada ibu sejatinya. Sejak itu tempat cinta sejati di hati kita telah diambil oleh cinta palsu..
Siapa yang memisahkan kita daripada cinta Allah? Sedih, yang memisahkan manusia daripada cinta Allah kerap-kalinya ialah ibu-bapa mereka sendiri. Ibu-bapa tidak meneruskan peranan mengenalkan Allah kepada anak-anaknya. Benih cinta Allah yang sudah ada dalam diri terbiar. Tidak dibajai dan diairi. Ramai manusia dipisahkan daripada cinta sejati itu sebaik sahaja lahir ke dunia. Detik itu ramai manusia yang mula dipisahkan daripada cinta Allah seperti seorang anak yang dipisahkan daripada ibu sejatinya. Sejak itu tempat cinta sejati di hati kita telah diambil oleh cinta palsu..
Siapa yang memisahkan kita daripada cinta Allah? Sedih, yang memisahkan manusia daripada cinta Allah kerap-kalinya ialah ibu-bapa mereka sendiri. Ibu-bapa tidak meneruskan peranan mengenalkan Allah kepada anak-anaknya. Benih cinta Allah yang sudah ada dalam diri terbiar. Tidak dibajai dan diairi… Semakin bertambah usia, semakin jauh jarak perpisahan itu.
Pepatah Arab ada mengatakan, manusia menjadi hamba kepada apa yang dicintainya. Jadi, bila cinta itu sudah tersalah, maka tersalah jugalah ramai manusia meletakkan sifat kehambaannya. Hidup beralih arah, daripada menghambakan diri kepada Allah kepada ‘menyembah’ hawa nafsu. Firman Allah:
“Terangkanlah kepadaku tentang orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai tuhannya, maka apakah kamu dapat menjadi pemelihara atasnya?”
Al-Furqon 43
Akibatnya, tujuan hidup telah tersasar. Ini kerana hanya manusia yang menyedari adanya Tuhan dan memperhambakan diri kepada-Nya sahaja, akan mempunyai tujuan hidup yang tepat dan jelas. Manusia tidak akan tahu apa tujuan hidup, kerana manusia tidak pinta dihidupkan. Allah yang menghidupkan kita, maka Allah jualah yang Maha Mengetahui untuk apa manusia dihidupkan. No God, No purpose! – tanpa Tuhan tidak ada tujuan.
Setelah terantuk (mati), barulah dia terngadah (sedar). Rupa-rupanya apa yang diburu selama ini hanyalah kepalsuan manakala apa yang dihindari adalah kebenaran. Ah, betapa tersasarnya langkah hidup selama di dunia, setelah mati baru terjaga. Pada ketika itu jugalah ramai yang mengharapkan agar dapat pulang ke dunia semula. Minta untuk dipanjangkan umur, bagi menukar perbuatan yang buruk selama hidup di dunia dulu dengan amalan kebaikan.
Di alam kubur, ketika debu-debu tanah menjadi ‘bumi dan langit’ kepada kita, barulah kita terjaga daripada buaian ‘mimpi’ selama ini. Tiba-tiba arus kesedaran melanda. Cahaya ilmu menerpa dengan tiba-tiba. Lalu tersentaklah dia bahawa hakaikatnya hidup ini adalah untuk menghambakan diri kepada Allah – beribadah kepada-Nya. Rasa ingin bertaubat singgah dengan tiba-tiba. Terasa dosa yang dilakukan begitu banyak, bagaikan bueh di lautan.
Sayangnya, segala-galanya sudah terlambat. Apa gunanya sedar di alam kubur kerana pada saat itu kita tidak boleh berbuat apa-apa lagi untuk memperbaiki keadaan. Jadi, kesedaran itu mesti dirasai semasa hidup di dunia lagi, barulah ia mempunyai makna dan berguna. Apabila hidup di dunia dilalui dengan penuh kesedaran akan hakikat kematian, maka barulah seorang manusia akan berlumba-lumba melakukan kebaikan dan kebajikan.
Sebaliknya, sekiranya kesedaran itu hanya berlaku di alam kubur , maka segala-galanya sudah terlambat. Jadi bertaubatlah sebelum terlambat, kembalilah ketika masih sempat! Mereka yang ingat mati inilah hakikatnya orang yang bijak. Mereka yang ingat mati inilah hakikatnya orang yang hidup. Merekalah orang yang berani. Dan orang yang berani tidak pernah mati – the brave never die!
Bagaimana untuk mengembalikan semula manusia kepada asas dan teras jati dirinya yakni sebagai hamba Allah? Atau rengkasnya, bagaimana hendak mencapai ketenangan dalam hidup yang serba mencabar ini? Inilah yang menjadi teras persoalan dalam nasyid yang bertajuk ‘Kembali’ ini. Kembali di sini bermaksud, kembali kepada fitrah, kembali kepada Allah.
Roh yang dekat kepada Allah akan tenang dan sihat semula. Hati yang tenang ialah hati yang mengingati Allah. Firman Allah:
“Ketahuilah dengan mengingati Allah, hati akan menjadi tenang.”
Ar-Ra’du: 28
Inilah ubat hati. Namun jalan ke situ bukan mudah. Ubat sakit fizikal selalunya pahit. Rawatan sakit fizikal juga selalunya perit. Tetapi oleh kerana inginkan badan yang sihat, kita rela menelan kepahitan, kita rela menanggung ke[peritan berpantang. Menahan daripada makan makanan yang berkolestrol, lemak, manis, masin, berminyak walaupun itu semua itu enak rasanya. Kita ikut semua nasihat doktor. Berlari, bersenam dan mengawal stresss… kita ikuti, patuhi walaupun begitu ‘berat’ untuk mendapat sihat.
Maka begitulah jalan untuk ‘mengubat’ hati. Penawarnya juga pahit. Ubat hati jarang yang manis. Namun, semua itu perlu ditempuh jua. Apakah ubat hati? Mula-mula lazimilah menghadiri majlis ilmu. Ilmu adalah cahaya hati. Majlis ilmu adalah ‘taman syurga’ di dunia. Kata ulama, siapa yang tidak menghadiri majlis ilmu selama 40 hari (sesetengahnya mengatakan 7 hari) maka hati seseorang akan keras. Walaupun berat kaki melangkah, gagahilah juga sepertimana pesakit yang terpaksa menelan ubat yang pahit.
Terangi hati yang gelap dengan cahaya ilmu. Dengan ilmu kita dapat mengetahui sifat-sifat Allah yang Maha Sempurna dan nama-Nya yang baik dan mulia. Ingat, ilmu wahyu akan menerangi hati, manakala ilmu dunia akan menerangi kehidupan. Hakikatnya ubat hati ialah ilmu-ilmu yang diambil daripada Al Quran.
Dari sana, susuli langkah seterusnya. Ilmu imam, amal adalah makmumnya. Mulalah amalkan latihan-latihan asas dan teras untuk merawat hati. Ubat hati ialah zikrullah – ingat Allah. Dan cara mengingati Allah yang paling utama ialah mendirikan solat. Solat lima waktu adalah silah (penghubung) antara hamba dengan Tuhan. Fahami makna bacaan, hayati erti gerakan dan resapkan rasa-rasa daripada segala gerakan dan bacaan itu ke dalam hati. Walau susah sungguh, tetapi paksalah diri bersungguh-sungguh.
Sedangkan bisa boleh jadi biasa apabila dilazimi. Apatah lagi ‘penawar’ yang datang daripada Allah – Tuhan yang mencipta kita. Al Quran dan solat tentulah akan lebih mudah kita biasakan apabila dilazimkan. Ingatlah solat itu penawar. Walaupun sukar kita merasa kemanisannya di peringkat awal, tetapi kemanisannya pasti datang juga jika kita berterusan mengamalkannya. Ingat selalu kata-kata, mujahadah itu pahit kerana syurga itu manis. No pain, no gain. Sedangkan merebut cinta makhluk pun susah, apalagi mencari cinta Allah. Tentulah lebih susah. Tidak ada jalan mudah, itulah jalannya… jalan mujahadah.
Seperti sakit fizikal yang perlu pada pantang larangnya, begitu jugalah ‘sakit hati’ , juga ada pantang larangnya. Makan ubat tidak boleh diiringi oleh makan ‘racun’. Maksudnya, apalah ertinya kalau kita rajin makan ubat penyakit darah tinggi, jika kita terus makan daging, garam dan lemak secara berlebihan? Atau pesakit kencing manis yang rajin menyuntik insulin tetapi rajin juga minum teh tarik yang manisnya keterlaluan? Penyakit tidak akan sembuh, jika melanggar pantang. Bahkan, pengamal perubatan sering menegaskan bahawa berpantang lebih baik daripada berubat.
Begitulah halnya dengan usaha penyembuhan ‘sakit hati’, ada pantang larang juga. Perlu ‘berpantang’ daripada perkara-perkara yang boleh menyuburkan nafsu. Misalnya, melihat, mendengar atau terlibat secara langsung dengan perkara-perkara yang diharamkan seperti pergaulan bebas, program hiburan yang merangsang nafsu, filem-filem lucah, dan lain-lain suasana yang boleh menyuburkan hawa nafsu. Sebaik-baiknya carilah kawan yang seiya sekata. Bentuk kumpulan kecil yang mempunyai satu fikiran, satu tujuan dan satu rasa – yakni sama-sama ingin mencari cinta Allah.
Untuk buat baik, perlu ada kumpulan. Untuk buat jahat, perlu ada ‘geng’. Untuk buat baik perlu ada ‘jamaah’ – kumpulan yang bersatu untuk melakukan kebaikan. Bila ada perkumpulan, usrah atau jamaah, maka tentu ada program-program yang tersusun dan berkala. Program yang positif boleh dibentuk sebagai alternatif kepada program yang negatif. Membaca dan mengkaji buku-buku agama, meningkatkan ilmu fardhu Ain, mendengar kuliah tafsir, mendengar nasyid-nasyid atau lagu-lagu yang baik, program riadah, sukan dan rehlah yang Islamik adalah program-program soleh yang boleh diatur oleh perkumpulan itu.
Ini adalah penebat kepada idea-idea nakal dan jahat yang boleh menggoda kita. Kita ada kawan, ada aktiviti dan akhirnya terbentuklah suasana dan persekitaran yang soleh. Masa lapang kita akan terisi. Ingat, musuh orang muda adalah ‘masa lapang’. Bahkan rasululah SAW sendiri pernah menegaskan bahawa nikmat yang sering memperdayakan manusia ialah masa lapang dan kesihatan tubuh badan.
Masa lapang ini perlu diisi dengan kesibukan belajar menuntut ilmu dan pelbagai usaha untuk memperbaiki diri. Dengan adanya program-program ini pantang larang dalam usaha menyembuhkan hati yang sakit dapat dijaga. Ada kawan mengingatkan. Ada program yang menyibukkan. Ada suasana yang mencorakkan. Mula-mula kita membentuk program dan akhirnya program akan membentuk kita. Inilah pentingnya program yang baik, kita akan terdisiplin melakukan kebaikan walaupun ada masa-masanya kita diserang rasa jemu, malas dan godaan-godaan jahat.
Inilah sebahagian langkah untuk mengubat ‘sakit hati’ di kalangan para orang muda masa kini
Kata Sayidina Ali lagi:
“Beramallah ketika di tempat yang tidak ada ganjaran tetapi hanya ada amalan (dunia), sebelum kita berpindah ke tempat yang hanya ada ganjaran tetapi sudah tidak ada amal (akhirat).”
Oleh itu adalah lebih baik kita terlebih dahulu sedar ketika hidup di dunia (kerana kita masih ada peluang untuk memperbaiki diri dan membetulkan kesilapan), daripada kita tersedar ketika berada di alam kubur, yang mana pada ketika itu segala-galanya sudah tidak berguna lagi. Berjuanglah menghadapi kemalasan dan kejahatan diri sendiri. Malulah kalau kita kalah dengan diri sendiri. Jangan hanya malu jika ‘kalah’ dengan orang lain. Biasanya orang yang menang dalam bertanding dengan dirinya sendiri akan menang juga dalam pertandingan dengan orang lain – Only me can beat me!”
Benar, anda sahaja boleh mengalah diri anda sendiri. Jadi bertandinglah dengan diri sendiri, dengan mengalahkan rasa malas, menundukkan sifat malu tidak bertempat, mengatasi rasa takut yang tidak kena pada masanya dan lain-lain sifat negatif. Jangan terkeliru dengan anggapan bahawa remaja hanya sekali, lalu kita mesti ‘enjoy’ sepaus-puasnya. Remaja sebenarnya dua kali – satu di dunia, satu lagi di akhirat. Remaja di dunia akan diakhiri oleh usia tua. Tetapi remaja di akhirat kekal selama-lamanya (ahli syurga semuanya dalam usia remaja).
Gunakan masa remaja di dunia untuk mencapai keremajaan yang lebih bermakna di akhirat. Oleh itu kembalilah!