Thursday, July 26, 2012

Wanita, Bersediakah Anda Menjadi Penyejuk Mata?


” Wahai Tuhan kami, kurniakanlah kepada kami dari isteri-isteri kami dan anak pinak kami, penyejuk mata kami. Dan jadikanlah kami penghulu bagi orang-orang bertaqwa.”
Ya. Penyejuk mata. Suatu perkara yang tidak pernah kita lupa untuk pohon setiap kali kita menadah tangan berdoa. Kenapa Allah ta’ala suruh kita minta penyejuk mata? Sebabnya, itulah yang bakal menjamin ketenangan dan kebahagiaan kita dalam kehidupan nanti.

Bagaimana kalau nantinya ada isteri, tetapi seringkali menyakitkan hati kita, raut wajahnya langsung tidak mendamaikan kita, tingkah lakunya ada sahaja yang tidak kena di mata kita. Adakah kita akan bahagia? Bagaimana pula kalau nantinya ada anak. Comel-comel belaka. Tetapi wujudnya mereka begitu menyusahkan kita, sikap mereka kerapkali melukakan hati kita, kedegilan mereka selalu sahaja membuatkan kita hilang sabar dan sakit hati sentiasa. Adakah kita beroleh ketenangan?

Tentu sekali tidak.

Lantas, kita dianjurkan supaya berdoa. Minta supaya Allah beri pasangan yang mendamaikan hati dan perasaan kita, serta zuriat yang boleh menjadi penyejuk mata kita. Mudah-mudahan, Allah makbulkan doa dan permintaan kita.

Suatu lontaran untuk para wanita hari ini, khususnya yang belum berumahtangga.

Sedarkah anda , bahawa bakal teman hidup anda setiap hari berdoa supaya anda menjadi penyejuk mata mereka? Sedarkah anda, bahawa mereka tidak pernah melupakan anda dalam setiap doa mereka?

Tidak. Saya tidak maksudkan anda mengenali mereka atau mereka mengenali anda.

Tetapi hakikatnya, mereka mendoakan anda yang bakal hadir dalam hidup mereka suatu ketika nanti. Sayangnya, anda mungkin terlupa lantaran anda tidak kenal siapa mereka. Kerana itu juga, anda kurang mengambil berat tentang persediaan anda untuk menjadi penyejuk mata mereka.

Penyejuk mata?

Sungguh, ia bukan tugas yang mudah. Kalau anda fikir ia akan berhasil dengan anda berhias diri, memakai wangian dan berbaju cantik di hadapan mereka setiap hari, sesungguhnya anda silap sama sekali. Anda harus sedar, ramai sekali golongan cantik dan menawan di luar sana yang gagal untuk menjadi penyejuk mata kepada suami mereka. Bahkan sebahagian besar dari mereka berakhir dengan perceraian. Semoga dijauhkan Allah.

Menjadi penyejuk mata suami, prosesnya bermula hari ini.

Tilik kembali diri anda. Zahiriah dan batiniah. Kedua-duanya.

Pertama sekali, bagaimana hubungan anda dengan Allah? Solat wajib dan sunat. Bacaan Al-Quran. Zikir munajat. Selawat serta amalan-amalan yang lain. Berapa peratus yang telah anda capai dan lakukan secara istiqamah? Tahukah anda, faktor paling besar yang menentukan samada anda berjaya atau tidak menjadi penyejuk mata suami adalah ; cemerlang atau tidak hubungan anda dengan Allah? Justeru, perbaiki dari sekarang.

Kedua, sikap dan perangai. Carilah seorang kawan yang jujur dan yang anda kira agak rapat serta kenal dengan anda. Sekiranya anda yakin akan kejujurannya, minta pandangannya tentang diri anda, terutama tentang sikap dan perangai. Jika anda dapati diri anda masih dibelenggu sikap meninggi diri, degil, ego yang tinggi, kurang rasa hormat pada orang, suka mengumpat, pemalas dan seribu satu sikap negatif yang lain, maka perkara pertama yang wajib anda buat adalah ; kikis sedaya upaya semua sikap tersebut dari terus melekat dalam diri anda. Percayalah, ia antara faktor yang bakal menggagalkan anda dari menjadi penyejuk mata suami.

Ketiga, lihat balik luaran diri anda. Khususnya pemakaian. Sempurnakah anda dalam menutup aurat? Jika masih selesa bertudung ringkas, berbaju t-shirt lengan sekerat dan berseluar jeans separa ketat, maka percayalah anda bakal bertemu kegagalan. Itupun sekiranya anda mempunyai hasrat untuk bergelar penyejuk mata suami.

Tidak, ini bukan soal suami anda islamik atau tidak, mengambil berat semua perkara itu atau tidak. Ia adalah soal Si Pemberi Ketenangan, iaitu Allah. Kalau Dia tak bagi, siapa lagi yang boleh bagi?

Mudahnya begini. Doa itu kan permintaan kita dengan Allah. Contohnya, kita minta supaya Allah terangkan hati kita supaya mudah belajar. Tetapi kita tidak berhenti dari tabiat suka minum arak. Mana mungkin Allah akan berikan ketenangan itu pada hati kita yang gelap?

Sama juga. Suami minta pada Allah, berikan dia penyejuk mata supaya dia beroleh tenang dalam hidup. Tetapi kita pula melazimi maksiat dan penderhakaan kepada Allah. Aurat kita terdedah setiap hari. Akhlak kita langsung tiada ciri isteri mithali. Hubungan kita dengan Allah lompong di sana sini. Lantas, adakah kita layak untuk menduduki tempat ‘penyejuk mata’ tersebut? Bagaimana pula kita yang jauh dari Tuhan, boleh menjadi penyejuk mata manusia?

Sekadar lontaran buat kaum hawa. Ramai di antara anda mahu menjadi isteri solehah suatu ketika nanti. Tetapi usaha ke arah itu masih lemah. Perbaikilah dari sekarang. Bisikkan ke dalam hati anda setiap hari, bahawa anda bakal menjadi penyejuk mata kepada seorang lelaki yang baik suatu ketika nanti. Lelaki itu pula setiap masa mendoakan anda supaya berjaya menjadi penyejuk mata mereka suatu masa nanti. Besar harapan mereka, sanggupkah anda hancurkan begitu sahaja?

Jadi mulai hari ini, berusahalah untuk menjadi penyejuk mata suami. Sebenarnya, andai anda mampu melaksanakan langkah pertama yang saya sebut di atas ; iaitu memperbaiki hubungan anda dengan Allah, maka anda sebenarnya telah berjaya melepasi separuh masa pertama piala kemenangan untuk bergelar isteri solehah – penyejuk mata suami.

Justeru, selamat berjaya, wahai para penyejuk mata!

Sekian.

Raja Al-Najasyi: Penghilang Duka Muslimin

Bergeliga Meleraikan Kemarahan Rakyat
           
 “Raja kita sudah terpengaruh dengan agama pendatang itu.”
Berita ini gempar tersebar. Dibualkan di merata ceruk desa dan bandar. Diapi-apikan oleh golongan pemimpin yang dengki. Mereka menghasut rakyat supaya menggulingkan rajanya.
 Bahkan beberapa orang penting ingin membatalkan bai’atnya kepada Najasyi. Najasyi terpaksa berstrategi mengendurkan kemarahan rakyat. Baginda ingin menangani puak pembangkang dengan sikap saksama.
Baginda mengkhabarkan situasi negeri kepada pendatang muslimin melalui ketua mereka iaitu Ja’far bin Abi Thalib. Baginda menyerahkan dua buah kapal sambil berkata,
“Naiklah kalian ke kapal itu, amati perkembangan. Bila beta kalah, pergilah ke mana kalian suka. Tapi kalau beta menang, kalian boleh kembali dalam perlindungan seperti semula.”
Kemudian, Najasyi mengambil sehelai kulit kijang dan menulis, “Aku bersaksi bahawa tiada Ilah kecuali Allah dan Muhammad adalah hamba dan utusan-Nya  yang terakhir. Dan aku bersaksi bahwa Isa adalah hamba dan utusan-Nya yang ditiupkan kepada Maryam.”
Dipakainya tulisan itu di dada, kemudian dia mengenakan pakaian perangnya dan pergi bersama perajuritnya. Berdirilah Najasyi menghadapi para penentangnya. Baginda mulakan dengan perbincangan. Baginda berkata,
“Wahai rakyat Habasyah, katakanlah, bagaimana perlakuanku kepada kalian?”
Mereka menjawab, “Sangat baik, Tuanku.”
Najasyi berkata, “Lalu mengapa kalian menentangku?”
Mereka berkata, “Kerana Tuanku telah keluar dari agama kita dan mengatakan bahawa Isa adalah seorang hamba.”
Najasyi berkata, “Bagaimana menurut kalian sendiri?”
Mereka menjawab, “Dia adalah putera Allah.”
Maka Najasyi mengeluarkan tulisan yang dipakainya di dada, diletakkan di atas meja dan berkata, “Aku bersaksi bahawa Isa bin Maryam tidaklah lebih dari yang tertulis di sini.”
Di luar dugaan tentang apa yang tertulis, ternyata rakyat menerima dengan senang  pernyataan Najasyi. Mereka membubarkan diri dengan lega. Kebijaksanaan Najasyi menyelamatkan rakyat daripada pertumpahan darah. Dalam masa yang sama, dia tetap teguh dengan kepercayaannya.
 
Bersahabat dengan Rasulullah SAW Dari Jauh
 
Keadilan Najasyi melindungi kaum muhajirin yang berhijrah ke negerinya menggembirakan Rasulullah SAW. Lebih-lebih lagi apabila Rasulullah SAW mendengar betapa tawadhuknya hati Najasyi terhadap kebenaran al-Quran. Meskipun mereka tinggal berjauhan, namun hubungan mereka menjadi akrab.
Pada tahun baru 7 hijriyah, Rasulullah SAW berhajat untuk berdakwah kepada enam  orang pemimpin negeri tetangga agar mahu masuk agama Islam. Beliau menulis untuk mengingatkan mereka tentang iman, dan menasihatkan mereka tentang bahaya syirik dan kekufuran.
Maka baginda menyiapkan enam orang sahabat. Mereka mempelajari bahasa kaum yang hendak didatangi terlebih dahulu agar dapat menyelesaikan tugas dengan sempurna. Setelah siap, keenam-enam sahabat itu berangkat pada hari yang sama. Di antara mereka ialah Amru bin Umayah Adh-Dhamari yang diutus kepada Najasyi di negeri Habasyah.
Amru bin Umayah Adh-Dhamari menghadap Najasyi. Dia memberi salam secara Islam dan Najasyi menjawabnya dengan lebih indah serta menyambutnya dengan baik.
Setelah dipersilakan duduk di majlis Habasyah, Amru bin Umayah memberikan surat Rasulullah SAW kepada Najasyi. Surat itu segera dibaca. Di dalamnya tertulis ajakan kepada Islam, disertai beberapa ayat al-Quran.
Najasyi menempelkan surat itu di kepala dan matanya dengan penuh hormat. Setelah itu dia turun dari singgahsana dan menyatakan ke-Islamannya di hadapan hadirin. Selesai mengucapkan syahadat, dia berkata,
“Kalau saja beta mampu untuk mendatangi Muhammad SAW nescaya beta akan duduk di hadapan baginda dan membasuh kedua kakinya.”
Kemudian dia menulis surat jawapan kepada Rasulullah SAW berisi pernyataan menerima dakwahnya dan keimanan atas kenabiannya.
 
Wakil Rasulullah SAW Menikahi Ummu Habibah
 
Kemudian, Amru bin Umayah menyodorkan surat Nabi SAW yang kedua. Dalam surat itu, Rasulullah SAW meminta agar Najasyi bertindak sebagai wakil untuk pernikahan baginda  dengan Ramlah binti Abu Sufyan yang termasuk rombongan Muhajirin ke Habasyah.
Ramlah yang lebih dikenali sebagai Ummu Habibah sedang menghadapi ujian hidup yang sangat getir. Ayahnya antara penentang Islam yang paling utama.
Suaminya Ubaidullah bin Jahsy pula mati dalam keadaan murtad.
Hancur hati Ummu Habibah tatkala suaminya masuk agama Nasrani dan berbalik memusuhi Islam serta kaum muslimin. Pekerjaannya hanya duduk-duduk di tempat maksiat dan menjadi pemabuk berat. Bahkan dia memberikan tawaran kepada Ummu Habibah, ikut agama Masehi seperti dirinya atau diceraikan.
Ummu Habibah tidak memilih suami atau ayahnya. Dia memilih Allah dan Rasul. Terkontang-kanting bersama puterinya, Habibah di bumi Habsyah yang asing. Tanpa ayah dan suami sebagai pembela hidupnya, dia ibarat sebatang kara. Jiwanya tetap kental dengan akidahnya.
 
Utusan Najasyi
 
Pagi itu amat cerah. Terdengar ketukan di pintu rumah Ummu Habibah. Ketika dibuka, seorang wanita utusan Najasyi memberi salam dan berkata,
“Tuanku Najasyi mengirimkan salamnya untukmu dan berpesan bahawa Muhammad Rasulullah SAW telah meminang dirimu. Baginda Najasyi ditunjuk sebagai wakil untuk akad nikah. Maka bila kamu menerima pinangan itu, bersiaplah segera siapa yang kamu tunjuk sebagai wali.”
Betapa tidak terukur kebahagiaan Ummu Habibah. Beliau berkata kepada utusannya tersebut, “Semoga kamu mendapatkan kebahagiaan dari Allah.”
Kemudian Ummu Habibah berkata, “Aku menunjuk Khalid bin Sa’id bin Ash sebagai waliku kerana dialah kerabatku yang terdekat di negeri ini.”
Pada hari yang dijanjikan, istana Najasyi nampak semarak. Seluruh sahabat yang ada di Habsyah hadir untuk menyaksikan pernikahan Ummu Habibah dengan Rasulullah SAW.
Najasyi mengucapkan salam dan tahmid dan berkata, “Amma ba’du, saya penuhi permintaan Rasulullah SAW untuk menikah dengan Ramlah binti Abi Sufyan. Dan saya berikan mahar sebagai wakil Rasulullah berupa empat ratus dinar emas berdasarkan sunnatullah dan sunnah Rasul-Nya.” (Satu dinar bersamaan lebih kurang harga seekor kambing. Cuba darab…)
Khalid bin Sa’id bin Ash sebagai wali Ummu Habibah berkata, “Saya terima permintaan Rasulullah SAW dan saya nikahkan Ramlah binti Abi Sufyan yang memberi saya wakalah (dilantik sebagai wakil) dengan Rasulullah. Semoga Allah memberkahi Rasul dan isterinya.”
Kemudian Najasyi mempersiapkan dua buah kapal untuk menghantarkan Ummul mukminin
Ramlah binti Abi Sufyan dan puterinya, Habibah beserta sisa-sisa kaum muslimin yang masih ada di Habasyah. Sejumlah rakyat Habsyi yang beriman kepada Allah dan Rasul-Nya turut bersama mereka. Mereka rindu untuk berjumpa langsung dengan Rasulullah SAW dan solat di belakang baginda. Rombongan tersebut dipimpin oleh Ja’far bin Abi Thalib.
 
Tongkat Buat Rasulullah
 
Najasyi juga memberikan banyak hadiah kepada Ummu Habibah berupa wangi-wangian mahal, juga beberapa bingkisan untuk Rasulullah SAW. Di antaranya ada tiga batang tongkat Habsyah yang terbuat dari kayu-kayu terpilih.
Di kemudian hari, salah satu daripada tongkat itu dipakai oleh baginda sendiri, dan yang lain dihadiahkan kepada Umar bin Khathab dan Ali bin Abi Thalib.
Tongkat tersebut biasa didirikan di hadapan Nabi (sebagai sutrah) ketika ditegakkan solat, tatkala tempat-tempat yang tidak ada masjid atau bangunan lainnya atau di dalam perjalanan, dalam solat-solat hari raya dan solat istisqa’.
Pada masa pemerintahan Abu Bakar al-Shiddiq, Bilal adalah orang yang memegang tongkat itu. Lalu pada zaman Umar bin Khatthab dan Usman bin Affan, tongkat tersebut beralih ke tangan Sa’ad al-Qarazhi. Begitulah seterusnya setiap kali pergantian khalifah.
Najasyi yang pemurah turut memberikan hadiah berupa perhiasan-perhiasan, di antaranya ada cincin emas. Nabi SAW menerima tetapi tidak dipakai sendiri. Baginda memberikan kepada Umamah, cucu baginda dari puteri baginda, Zaenab. Katanya dengan kasih sayang,
“Pakailah ini wahai cucuku.”
 
Solat Ghaib Nabi Buat Najasyi

Tidak lama sebelum pembukaan Makkah, Najasyi wafat, Rasulullah SAW memanggil para sahabat untuk melakukan solat ghaib. Padahal Rasulullah belum pernah solat ghaib sebelum wafatnya Najasyi dan tidak pula setelahnya.
Semoga Allah meredai Najasyi dan menjadikan syurga-Nya yang kekal sebagai tempat  kembalinya. Sungguh dia telah menguatkan kaum muslimin di saat mereka lemah, memberikan rasa aman di saat mereka ketakutan dan dia melakukan hal itu semata-mata kerana mencari reda Allah Taala.

Diadaptasi dari Dr. Abdurrahman Ra’fat Basya, Shuwaru min Hayati at-Tabi’in, atau Mereka Adalah Para Tabi’in, terj. Abu Umar Abdillah (Pustaka At-Tibyan, 2009).

Sayyidah Khadijah : Bantulah Aku Untuk Meneladaninya .

Pesanan daripada Rasulullah s.a.w ini sebenarnya telah menjawab persoalan kepada pencarian kita siapakah wanita Islam yang boleh dijadikan contoh di dalam segenap aspek kehidupan terutamanya di waktu akhir zaman ini.
Sedar atau tidak masyarakat kita terutamanya para wanita Islam dan generasi muda wanita Islam masih mencari idola selain daripada mereka dengan alasan idola yang masih hidup dan berada di depan mata lebih senang dicontohi dan diikuti. Kalaupun ada yang cuba mencontohi tokoh-tokoh wanita Islam terbilang ini, keterbatasan untuk menggali seberapa banyak khazanah tauladan kehidupan mereka menjadi asbab mengapa cita-cita untuk meneladani tokoh wanita Islam tersebut tidak tercapai.

Daripada Anas bin Malik r.a bahawa beliau mendengar Rasulullah s.a.w bersabda:
"Cukuplah bagimu empat wanita terbaik di dunia iaitu Maryam bt Imran, Siti Khadijah bt Khuwailid, Fatimah bt Muhammad dan Asiah, isteri Fir'aun"
(Hadith Riwayat Ahmad, Abdurrazaq, Tirmidzi, Ibnu Hibban dan Hakim) 

Barangkali penulisan ini tidak mampu untuk menceritakan secara khusus berkenaan dengan kesemua tokoh wanita Islam terbilang tetapi ianya sebagai satu permulaan untuk mengajak para pembaca terutamanya generasi muda untuk sama-sama menjadikan mereka sebagai panutan dalam menjalani kehidupan sebagai seorang wanita.
 
Mengenali Wanita Ummul Mukminun

Siapakah di antara kita yang tidak kenal dengan Sayyidah Khadijah Bt Khuwailid, isteri pertama dan isteri yang paling disayangi dan dikasihi oleh insan yang paling mulia di sisi Allah SWT, Rasulullah s.a.w. Wanita yang digelar sebagai Ummul Mukminun yang beerti Ibu kepada seluruh orang mukmin. Penulisan ini tidak bercadang untuk menulis semula sejarah hidupnya tetapi ingin menggali sedalam-dalamnya siapa itu wanita ini yang satu-satunya mendapat 'salam' daripada Allah SWT dan Malaikat Jibril a.s.
Penulisan ini menjadi penting kerana Sayyidah Khadijah Al Kubra r.a. telah wafat pada 11 Ramadhan iaitu tiga tahun sebelum peristiwa Hijrah. Mengingati hari kewafatan Sayyidah Khadijah At Tohirah r.a (Haul) merupakan salah satu cara untuk kita menunjukkan rasa kasih dan sayang kepada beliau. Sesungguhnya mengingati wanita Ummul Mukminin ini merupakan sunnah Rasulullah s.a.w.

Rasulullah s.a.w bersabda;
"Aku direzekikan oleh Allah SWT untuk mencintai dan menyayangi Khadijah. Sesungguhnya aku sangat kasih dan cinta kepada orang yang mengasihi dan mencintai Khadijah"
Rasulullah s.a.w bersabda;
"Cintailah Allah kerana Dia memberi ni'mat kepadamu, cintailah aku kerana Allah dan cintailah ahli keluargaku kerana cintamu kepadaku"
(Riwayat At Tarmizi)

Barangkali timbul persoalan di dalam benak hati kita. Bagaimana mahu mencintai dan mengasihi Ummul Mukminin ini sedangkan darah yang mengalir pada jasad Khadijah r.a. tidak mengalir di jasad kita? Bagaimana mahu mencintai beliau kerana sedari waktu kita tidak pernah untuk mengambil tahu tentang sejarah hidup dan sumbangan beliau di dalam sejarah penting Islam. Tidak melampau jika dikatakan bahawa kita hampir merasa tidak ada kepentingan buat kita untuk mengenali apatah lagi menyintai beliau.

Sekiranya persoalan-persoalan seperti ini telah ada di dalam hati kita, ini bermakna kita sebenarnya masih gagal untuk memupuk rasa cinta dan kasih kita kepada insan yang paling agung dan mulia serta paling sempurna di sisi Allah SWT iaitu Muhammad s.a.w.

Untuk mengasihi dan mencintai Sayyidah Khadijah r.a, kita harus berusaha bersungguh-sungguh untuk membaca biografi beliau, membaca dan menggali apa sumbangan beliau sehingga mendapat kedudukan yang mulia di sisi Allah SWT dan apakah sumbangan beliau kepada kita. Kita harus mencari kekuatan dan kesempurnaan Sayyidah Khadijah r.a malah berusaha menjadi wanita yang berjiwa besar seperti Sayyidah Khadijah Al Kubra!

Benar, jika kita mencintai dan menyayangi seseorang, kita akan berusaha untuk memenuhi keinginan kita untuk mengenali latar belakang orang tersebut sebanyak yang mungkin. Kita berusaha seboleh-bolehnya ingin mengetahui apa yang dilakukannya setiap saat dan ketika. Apa yang mendorong kita untuk mengenalinya kalau tidak kerana cinta dan kasih kita!
 
Sayyidah Khadijah r.a bukan hanya berperanan sebagai seorang isteri malah seorang sahabiah kepada Rasulullah s.a.w di mana beliau telah mendapat tempat yang khusus di sisi Allah SWT. Namanya terpahat di hati Nabi s.a.w.
Apakah keistimewaan yang diraih oleh Sayyidah Khadijah r.a dan disandang olehnya sebelum menjadi dan selepas menjadi isteri kepada baginda s.a.w? Terdapat empat gelaran yang disandang oleh Sayyidah Khadijah r.a. Dua gelaran yang disandangnya sebelum menjadi isteri kepada Rasulullah s.a.w dan dua lagi disandangya setelah menjadi isteri kepada Rasulullah s.a.w.

1.  At Tohirah

Sayyidah Khadijah r.a merupakan seorang yang suci dan yang menjaga maruahnya dan kehormatannya. Zaman jahiliah pada ketika itu tidak ada nilai-nilai murni yang menjadi pegangan dalam masyarakat kecuali sedikit sahaja dan penzinaan bermaharajalela ketika itu. Beliau sangat suci dan menjaga maruah serta berbeza dengan wanita di zamannya, tidak mudah bergaul dengan mana-mana lelaki manapun malah para lelaki sangat menghormatinya. Belia mempunyai budi pekerti luhur beserta akhlak yang mulia.

Beliau kerap mendatangi Waraqah Ibn Naufal dan mendapatkan banyak cerita-cerita tentang Bani Israil dan agama Nasrani. Malah beliau telah mengetahui khabar tentang adanya kenabian di akhir zaman dan menjadi harapan kepadanya untuk menunggu kedatangan nabi tersebut. Beliau juga sering bertanya dengan Waraqah Ibn Naufal tentang Allah dan tentang kekuasaan Allah SWT.

Walaupun beliau seorang yang hartawan dan berjaya dalam perniagaan, tetapi hatinya mencari-cari tentang agama yang benar yang diturunkan kepada Nabi akhir zaman. Aqidah beliau terjaga dan beliau tidak pernah menyembah berhala. [3] Sayyidah Khadijah At Tohirah r.a merupakan wanita yang suci zahir dan batin, luar dan dalam dan sentiasa mencari Nur yang diyakini akan sampai.

Sayyidah Khadijah At Tohirah r.a sebenarnya telah menunjukkan tauladan untuk kita wanita Islam zaman kini. Tatkala masyarakat kita hari ini dalam kebingungan dengan isu pembuangan bayi. Bagi tempoh 2008 hingga 2009 sahaja sebanyak 181 kes pembuangan bayi telah dilaporkan manakala bagi tahun 2010 telah pun mencatat sebanyak 60 kes. Bukankah ini di antara ciri-ciri masyarakat zaman jahiliah sebelum kedatangan Islam? Benar, faktor penzinaan yang berlaku dalam masyarakat kita yang kini seolah-olah telah diterima sebagai nilai dalam hidup merupakan punca kepada pembuangan bayi.

Punca kepada berlakunya penzinaan adalah kedangkalan dan kebebalan dalam memahami asas kepada pegangan hidup iaitu agama Islam.
Sayyidah Khadijah At Tohirah sebenarnya telah memberikan contoh yang hebat di mana beliau seorang yang sangat menjaga diri dan kehormatannya walaupun pada ketika itu gelombang penzinaan bermaharalela dalam masyarakat Arab Jahiliah. Beliau berpegang kepada apa yang telah disampaikan oleh Waraqah Ibn Naufal kepadanya. Sungguhpun beliau seorang yang hartawan dan memiliki kekayaan yang banyak, tetapi beliau tidak pernah lalai dan leka dengan kemewahan tersebut. Justeru, bukankah Sayyidah Khadijah At Tohirah telah menunjukkan kepada kita jalan yang sebetulnya?

2. Sayyidah An Nisa i Quraisy

Sayyidah Khadijah r.a. juga dikenali sebagai Penghulu kepada kaum wanita Quraisy yang paling termulia dikalangan wanita Quraisy yang mulia yang masih berpegang kepada nilai-nilai murni. Sayyidah Khadijah r.a tidak pernah menghampakan sesiapa yang mengetuk pintu rumahnya untuk memohon bantuan dan pertolongan daripada beliau. Sungguh beliau tidak pernah mengecewakan!. Sifat pemurah Khadijah menenangkan sesiapa yang memerlukan bantuan. Sayyidah Khadijah r.a tidak pernah lokek dengan kesenangan dan kekayaan yang dimiliki sehingga ianya dapat dirasai oleh masyarakat yang hidup bersama-samanya. Justeru, bukankah Sayyidah An Nisai Quraisy telah menunjukkan tauladan yang terbaik buat kita?
  
3. Ummul Mukminin

Sayyidah khadijah r.a menyandang gelaran Ummul Mukminin iaitu Ibu kepada seluruh kaum mukminin selepas beliau menjadi isteri kepada Rasulullah s.a.w. Keterkaitan Sayyidah Khadijah r.a dengan Rasulullah s.a.w telah mengubah kedudukan dan kemuliaan beliau. Beliau adalah insan pertama yang beriman kepada Allah SWT dan mengakui bahawa Muhammad s.a.w merupakan dan Nabi dan Rasul yang diutuskan oleh Allah SWT. Sayyidah Khadijah r.a sentiasa menjadi penyokong dan pembantu kepada Rasulullah s.a.w. Siapakah yang menyebabkan ketenangan jiwa Rasulullah ketika berkhalwat di Gua Hira'? Siapakah yang tidak pernah putus asa menyokong dan membantu Nabi s.a.w? Sayyidah Khadijah r.a tidak pernah bertanya apatah lagi menghalang Nabi s.a.w untuk beribadah sebulan lamanya di Gua Hira yang penuh dengan binatang berbisa seperti ular dan kala jengking. Sayyidah Khadijah r.a memanjat Jabal Nur ke Gua Hira yang jauhnya tiga batu demi untuk menghantar makanan kepada Nabi s.a.w. sehingga Sayyidah khadijah r.a menerima 'salam' daripada Allah SWT malah Malaikat Jibril a.s turut sama menyampaikan 'salam' kepada Sayyidah Khadijah r.a. Kecerdikan dan kepintaran Sayyidah Khadijah r.a terserlah apabila beliau menjawab 'salam' daripada Allah SWT dan Malaikat Jibril a.s dengan lafaz " Allah yang Maha Salam, Allah yang daripadaNya datangnya 'salam'. 'Salam' datang daripada Allah SWT, untuk Jibrail pun aku sampaikan 'salam' dan kepadamu juga ya 
Rasulullah s.a.w aku sampaikan 'salam'.

Sayyidah Khadijah r.a telah menyerahkan segala harta dan kekayaan miliknya kepada Rasulullah s.a.w dan ianya merupakan modal pertama di dalam penyebaran dakwah Islamiah. Justeru, disebabkan kerana pengorbanan Sayyidah Khadijah r.a inilah maka agama Islam sampai kepada kita hari ini. Sayyidah Khadijah r.a adalah perantara kita dengan Allah SWT. Tidakkah kita masih tidak mahu mengenang walau sedikitpun Sayyidah Khadijah r.a dalam hidup kita?

Apabila berlakunya peristiwa Kaum Kafir Quraisy membuat resolusi dalam parlimen mereka untuk memutuskan hubungan mereka dengan Bani Hashim dan Bani Abdul Mutallib, Sayyidah Khadijah r.a tidak termasuk dalam kalangan kedua-dua Bani tersebut. Tetapi Sayyidah Khadijah r.a tidak mahu meninggalkan suami tercinta, maka beliau masuk ke dalam perkampungan Bani Hashim dan Bani Abdul mutallib. Pada ketika itu Sayyidah Khadijah r.a berusia 60 tahun. Walaupun usianya sudah lanjut, tetapi beliau sanggup berada di samping suami dalam kepungan Kaum Kafir Quraisy. Bekalan makanan dan bantuan kepada Bani Hashim dan Bani Abdul Mutallib disekat dan tidak dibenarkan sesiapapun berurusan dengan mereka. Oleh kerana tiada bekalan makanan, mereka hanya makan rumput rampai, daun-daun sehingga pecah-pecah mulut mereka demi untuk meneruskan kehidupan.

Adakalanya saudara mara Sayyidah Khadijah r.a menusup masuk membawa makanan seperti gandum untuk diberikan kepada Sayyidah Khadijah r.a. Namun kemuliaan dan ketulusan hati Sayyidah Khadijah r.a tiada bandingan. Beliau tidak makan seorang diri malah dikongsikan bersama-sama dengan yang lain sehingga diriwayatkan bahawa yang paling mendapat sedikit makanan itu adalah Sayyidah Khadijah r.a! Sayyidah Khadijah r.a boleh sahaja membuat pilihan untuk berehat di rumahnya bersama dengan pembantu-pembantunya tetapi kerana kecintaan dan kasihnya kepada suami tercinta, beliau tidak pernah walau sesaat berenggang dengan Nabi s.a.w.
Selama tiga tahun mereka berada di dalam kepungan kaum Kafir Quraisy dan apabila resolusi tersebut dimakan oleh anai-anai, maka berakhirnya kepungan itu. Sayyidah Khadijah r.a sudah tidak bermaya dan lemah ketika keluar dari tempat kepungan tersebut. Sayyidah khadijah r.a telah kepenatan menemani Rasulullah s.a.w. Akhirnya wafatlah Syahidatul Sya' iaitu wanita yang mati syahid kerana kepungan kaum kafir Quraisy. Pemergiaannya benar-benar telah menyedihkan Rasulullah s.a.w dan seluruh kaum mukminin. Beliau bukan sekadar menyerahkan segala hartanya tetapi jiwa, raga dan jasadnya diserahkan kepada Islam!

4. Saiyidatul Nisa' Ahlul Jannah

Sayyidah Khadijah r.a merupakan penghulu kepada kaum wanita di syurga. Beliau bukan sahaja seorang wanita yang solehah tetapi lebih daripada itu. Wanita yang disebut oleh Allah SWT telah mendapat keselamatan dan keamanan daripada Allah SWT di dunia dan akhirat. Satu-satunya wanita yang mendapat salam dari Allah SWT dan sudah terjamin mendapat nikmat syurga.
Apabila Sayyidah Fatimah r.a bertanya kepada Rasulullah s.a.w ; Di manakah ibuku? Rasulullah s.a.w bersabda; "Bahawasanya ibumu berada di dalam sebuah rumah di dalam syurga di mana rumah itu tiada penat dan hiruk pikuk di dalamnya. Rumah itu dibina dari permata luluk dan zamrud"

Kenapa tidak ada penat? Kenapa tidak ada hiruk pikuk di dalamnya? Ini kerana Allah SWT telah menggantikan kepenatan dan keletihan Sayyidah Khadijah r.a di dunia ketika menemani Rasulullah s.a.w sejak dari ketika Nabi s.a.w menerima wahyu sehingga Nabi s.a.w berada di dalam kepungan kaum Kafir Quraisy.

5. Sayyidah Khadijah r.a : Madrasah dan Universiti Terbaik Tiada Tolok Bandingannya.

Di rumah Sayyidah Khadijah r.a telah lahirnya pahlawan dan panglima Islam yang hebat. Pentarbiyyah dan pendidikan di rumah beliau sangat luar biasa dan merupakan sebuah madarasah dan universiti yang tiada tolok bandingannya. Tiada yang mampu menjadi sehebat Sayyidah Khadijah r.a. Berkat asuhan dan didikan Sayyidah Khadijah r.a , maka lahirnya generasi Islam yang hebat seperti Saidina Ali Karamallah Wajha. Saidina Ali Karamallahu Wajha ini diambil oleh Rasulullah s.a.w daripada bapa saudaranya Abu Talib sebagai mengenang jasa Abu Talib yang menjaganya semasa kecil. Bagitu juga dengan Zaid Bin Haritsah, Zubair Bin Awwam dan beberapa lagi nama-nama pahlawan Islam yang hebat yang lahir dari didikan Sayyidah Khadijah r.a. Ibu Mithali yang tiada tolok bandingannya.

Cinta dan kasih sayang Rasulullah s.a.w kepada Sayyidah Khadijah r.a.
Rasulullah s.a.w tidak pernah memarahi Sayyidah Khadijah r.a. Rasulullah s.a.w sentiasa menyebut nama dan segala kebaikan Sayyidah Khadijah r.a. Rasulullah s.a.w tidak pernah tidak menyebut nama Sayyidah Khadijah r.a sebelum keluar daripada rumah baginda s.a.w sehingga telah timbul kecemburuan di hati Saidatina Aisya r.a.
Rasulullah berasa begitu marah apabila mendengar persoalan itu lalu baginda s.a.w bersabda;

"Allah tidak pernah memberiku pengganti yang lebih baik dari khadijah. Ia telah beriman kepadaku ketika orang lain kufur, dia mempercayaiku ketika orang-orang mendustaiku. Dia memberikan hartanya kepadaku ketika tidak ada orang lain yang membantuku. Dan, Allah SWT juga menganugerahkan aku anak-anak melalui rahimnya, sementara isteri-isteriku yang lain tidak memberikan aku anak".
(Riwayat At Tabrani) 

Rasulullah s.a.w sentiasa memberikan hadiah kepada saudara mara dan sahabat-sahabat Sayyidah Khadijah r.a. Apabila Rasulullah s.a.w menyembelih kambing, baginda s.a.w tidak pernah lupa untuk memberikan beberapa bahagian untuk sahabat-sahabat Sayyidah Khadijah r.a Betapa cinta dan kasihnya Rasulullah s.a.w kepada Sayyidah Khadijah r.a. Walaupun Sayyidah Khadijah r.a telah meninggalkan Rasulullah s.a.w tetapi baginda s.a.w tetap sentiasa menjaga hubungan baginda s.a.w dengan saudara mara dan sahabat Sayyidah Khadijah r.a

Untuk kita bagaimana pula? Sudahkah ada cinta dan kasih sayang kita pada Sayyidah Khadijah r.a.

Fahami dan Hayatilah Perjuangan Sayyidah khadijah r.a
Penulisan ini sebenarnya tidak layak dan tidak mampu untuk menggambarkan siapa sebenarnya insan yang mendapat tempat teristimewa di hati Rasulullah s.a.w. Namun, dalam usaha untuk mengenali,mencintai dan mentauladani suri hati Rasulullah s.a.w ini, hati tekad untuk menulis sedikit tentang Sayyidah Khadijah r.a dengan harapan dapatlah diri menagih cinta dan kasih sayang Rasulullah s.a.w apatah lagi syafaat baginda s.a.w yang di dambakan.

Oh Doa, Apa Salahnya Guna "Yang Terbaik"

www.murabbi.net
Dihantar Oleh : star_sts
Editor: KAKLONG



Tentang doa, sudah lama ana ingin poskan tentang ini. Baru berkesempatan untuk menulis. Sekadar pandangan dari diri yang hina ini....


Ahmad selalu berdoa agar dipanjangkan umurnya.


Apalah salahnya jika dia berdoa:


“Ya Allah, jika dengan memanjangkan umurku itu adalah yang terbaik buatku, kau panjangkanlah umurku. Dan jika dengan mengambil nyawaku itu adalah yang terbaik buatku, kau ambillah nyawaku dengan cara ……………….(ikut kehendak masing)


Apalah gunanya umur yang panjang jika hidup kita terus bergelumang dengan dosa.


Amri menyukai Alia kerana sifat dan agama yang ada padanya. Lalu dia berdoa supaya Alia dijadikan jodohnya.


Apa salahnya jika Amri berdoa:


Ya Allah, jika dia (Alia) adalah yang terbaik buatku, Kau jadikanlah dia sebagai teman hidupku di dunia dan di akhirat-Mu ya Allah.



Mungkin seseorang yang kita nampak sifatnya yang beragama itu adalah baik buat kita tetapi sebenarnya bukanlah yang terbaik. Kita tak tahu jodoh kita yang terbaik di antara yang baik buat kita.


Balqis mempunyai sahabat baik dan telah bertunang dengan Salman. Sahabatnya selalu mendoakan Balqis supaya Balqis akan mendapat jodoh yang baik dan bertanggungjawab.


Apa salahnya dengan ikatan pertunangan itu, sahabatnya berdoa:


Ya Allah, jadikanlah tunang sahabatku itu menjadi jodoh yang terbaik buat dirinya. Jadikanlah tunangnya itu (Salman) seorang yang baik dan bertanggungjawab buat sahabatku.



Jika janji pertunangan telah dimeterai, mengapa perlu meminta seolah-olah tidak redha dengan pertunangan tersebut. Apalah salahnya jika pertunangan itu kekal hingga ke gerbang perkahwinan.


Ali dan Asmah yang telah berkahwin masih tidak mempunyai anak walaupun telah lama mendirikan rumah tangga. Lalu mereka berdoa agar dikurniakan anak dan zuriat.


Apa salahnya jika mereka berdoa


Ya Allah, sesungguhnya Engkau tahu apa yang terbaik buat kami. Jika dengan tidak dikurniai zuriat ini adalah yang terbaik buat kami, kami redha dengan ketentuan-Mu. Dan jika dengan dikurniakan zuriat itu adalah yang terbaik buat kami, Kau kurniakanlah kami zuriat keturunan yang soleh dan solehah.


Kita tidak tahu apa yang terbaik buat kita. Mungkin ada sebab yang terbaik yang Allah sediakan buat kita dengan tidak mempunyai zuriat. Kita tidak tahu sebabnya...


Sekadar renungan: Jika kita berdoa dengan perkataan yang “Terbaik”, insyaallah kita akan redha dengan ketentuan yang telah ditetapkan oleh-Nya. Wallahualam….

Ibnu Hazm (Berkenala Kerana Ketegasan)

www.murabbi.net
Dihantar Oleh : tarmizi
Editor: MiftahuL_RaudhaH

Nama sebenarnya ialah Abu Muhammad Ali bin Ahmad ibn said ibn Hazm. Berasal daripada Sepanyol yang pada ketika itu dipanggil Andalus. Beliau hidup daripada 384 H dan telah menghembuskan nafas terakhirnya pada tahun 456 H. Selama lebih kurang 72 tahun ini beliau telah menghidapi pelbagai dugaan. Pada usianya kecil beliau adalah seorang yang kaya kerana anak seorang menteri tetapi kehidupannya berubah apabila kematian ayahnya di saat umur 20 tahun dan beliau terpaksa keluar daripada kota kediamannya disebabkan ancaman politik.

Semasa hidupnya di sekeliling beliau berlaku kekacauan politik yang dahsyat. Sifat dengki khianat manusia terhadap orang lain tidak kira saudara atau siapapun berleluasa di negerinya. Sifat pemerintah yang menderhaka terhadap amanah yang diberikan menjadi punca kepada ketidakstabilan politik di negeri ini. Pemerintah yang terlalu takut jawatan dan kuasanya dirampas musuhnya menjadi sebab untuk menjatuhkan musuhnya dahulu sebelum dijatuhkan. Sebanyak 3 kali beliau memegang jawatan disebabkan politik dan 3 kali itu jugalah beliau jatuh disebabkan politik.

Disebabkan kekecewaan di dalam politik, beliau telah memilih untuk menjadi penulis. Cermat, bersahaja, jelas dan logik itulah cara penulisan yang dipilihnya. Penulisan tentang agama, politik, falsafah, kemanusiaan dan sejarah adalah antara topik penulisan yang ditulisnya. Hujah-hujah yang diberikan olehnya berkenaan dengan hukum dalam Islam menjadi musuh kepada ulama-ulama yang berada sezaman dengannya kerana ulama pada zaman itu kebanyakkannya lebih mementingkan kuasa dan jawatan berbanding hukum dan kewajipan Islam. Disebabkan oleh pengalamannya, beliau pernah mengungkapkan :

“Persahabatan ulama dengan pemerintah sebenarnya satu perjudian besar. Keagamaannya terdedah kepada bahaya besar. Diri dan fikirannya juga terancam. Adalah lebih baik bagi seseorang ulama itu musnah secara terhormat di bawah kezaliman pemerintah daripada ikut berlaku zalim bersama mereka.”

Walaupun diancam pelbagai perkara tetapi beliau tidak pernah gentar dengan ancaman-ancaman berikut sebaliknya beliau bertambah kuat pendiriannya dan lebih agresif dalam penulisan yang ditulisnya. Sepangjang hidupnya, beliau telah menulis sebanyak 400 buah buku dan salah satunya bertajuk Al-Radd ala Ibn al-Ghrilah al –Yahud (Jawapan terhadap Yahudi Ibn al-Naghrilah). Buku ini adalah khas untuk seorang Yahudi yang bersumpah mahu menyusun semula al-Quran dalam bentuk sajak. Ketegasan beliau adalah merupakan peribadi beliau yang mulia.

Rasulullah s.a.w pernah bersabda :

"Janganlah seorangpun daripada kamu menjadi orang yang tidak berpendirian, beliau mengatakan "Aku bersama orang ramai, jika mereka berbuat baik aku akan berbuat baik, sekiranya mereka berbuat jahat, aku akan berbuat jahat (pula)", tetapi kamu mestilah menetapkan diri kamu, "Apabila orang berbuat baik, kamu mestilah berbuat baik, sekiranya mereka berbuat jahat, kamu mestilah menjauhkan diri daripada kejahatan mereka." (Tirmizi)

Penulisan beliau juga banyak mengkritik pemerintah dan ulama pada zaman tersebut. Bukan kerana dengki akan kekuasaan dan kekayaan yang mereka miliki tetapi kebencian terhadap kekufuran yang mereka miliki. Sesungguhnya kritikan-kritikan yang dilontarkan tidak lain tidak bukan hanyalah untuk membawa kembali pemerintah dan ulama kepada Islam yang sebenar. Ini ditegaskan beliau dalam dalam kata-katanya :
"Demi Allah aku tahu keaiban diriku lebih daripada mengetahui keaiban dan kekurangan orang lain. Dalam diriku ada keaiban. Lalu aku meneliti kata-kata para nabi dan bijak pandai tentang akhlak. Aku berlatih dan berusaha mengatasi keburukan itu sampai Tuhan memberi taufiqNya.”

Perihal Ibn Hazm adalah wajar kita jadikan tauladan kerana di era kemodenan ini pelbagai dugaan dan cabaran yang kita hadapi dalam usaha untuk mengenali, mempelajari, mengamal, dan menyampai dakwah Islam. Keadaan yang songsang di sekeliling tidak menjadi alasan untuk beliau berteguh dengan pendiriannya supaya diterima oleh masyarakat. Beliau lebih selesa dengan dirinya yang sebenar berbanding berpura-pura menjadi seseorang yang lain. Semoga Allah memberikan rahmat kepada beliau. Al-Fatihah.



Sumber: 5 Tokoh Penggugat Zaman (Prof. Dato' Paduka Dr. Mahmood Zuhdi abdul Majid)

kisah Raja Thalout dalam al-quran

 
Setelah Bani Isra'il memasuki Palestin dan menguasainya di bawah pimpinan Yusya bin Nun mereka selalu menjadi sasaran penyerbuan dan serangan dari bangsa-bangsa sekelilingnya, seperti suku Amaliqah dari bangsa Arab, bangsa Palestin sendiri dan bangsa Aramiyin. Kemenangan dan kekalahan di antara meeka silih berganti. Pada suatu waktu datanglah bangsa Palestin penduduk "Usydud" suatu daerah dekat Gaza menyerbu dan menyerang mereka dan terjadilah pertempuran yang berakhir dengan kemenangan bangsa Palestin yang berhasil, mencerai-beraikan Bani Israil dan merampas benda keramat mereka yang bernama "Tabout", iaitu sebuah peti tempat penyimpanan kitab Taurat.

Peti yang disebut Tabout itu adalah merupakan salah satu dari banyak kurnia yang telah diberikan oleh Allah s.w.t. kepada Bani Isra'il. Mereka menganggap Tabout itu suatu benda keramat yang dapat menginspirasikan kekuatan dan keberanian kepada mereka dikala menghadapi musuh. Maka kerananya dalam tiap medan perang dibawanyalah Tabout itu untuk memberi kekuatan batin dan semangat juang bagi mereka memberi rasa berani bagi mereka dan rasa takut bagi musuh. Maka dengan dirampasnya Tabout itu oleh bangsa Palestin hilanglah pegangan mereka dan berantakanlah barisannya, retaklah kesatuannya sehingga menjadi laksana binatang ternakan yang ditinggalkan gembalanya.

Dan memang sejak ditinggalkan oleh Nabi Musa, Bani Isra'il tidak mempunyai seorang raja atau seorang pemimpin yang berwibawa yang dapat mengikat mereka di bawah satu bendera dan menghimpun mereka di bawah satu komando bila terjadi serangan dari luar dan penyerbuan oleh musuh. Mereka hanya dipimpin oleh hakim-hakim penghulu yang memberi tuntutan kepada mereka dalam bidang keagamaan dan kadangkala menjadi juru damai jika timbul perselisihan dan sengketa di antara sesama mereka. Di antara penghulu itu terdapat seorang penghulu yang paling disegani dan di hormati bernama Somu'il. Kata-katanya selalu didengar dan nasihatnya selalu diterima dan ditaati.

Kepada Somu'il datanglah beberapa pemuda Bani Isra'il yang merasa sedih melihat keadaan kaumnya menjadi kacau bilau dan bercerai berai setelah dikalahkan oleh bangsa Palestin dan dikeluarkan dari negeri mereka serta dirampasnya Tabout yang merupakan peti wasiat dan benda keramat bagi mereka. Mereka mengutarakan kepada Samu'il bahawa mereka memerlukan seorang pemimpin yang kuat yang berwibawa dan mempunyai kekuasaan sebagai seorang raja untuk menghimpun mereka dan seterusnya menjadi panglima perang.

Samu'il yang mengenal baik watak mereka dan titik-titik kelemahan serta sifat-sifat licik dan pembangkangan yang meletak pada diri mereka berkata: "Aku khuatir bahawa kamu akan takut dan enggan bertempur melawan musuh bila kepadamu diperintahkan untuk berperang menghalau musuh dari negerimu." Mereka menjawab: "Bagaimana kami menolak perintah semacam itu dan enggan maju bertempur melawan musuh sedangkan kami telah dihina diusir dari rumah-rumah kami dan dipisahkan dari sanak keluarga kami. Bukankah suatu hal yang memalukan dan menurun darjat kami sebagai bangsa, bila dalam keadaan yang sedang kami alami ini, kami masih juga enggan berperang melawan musuh yang datang menyerang dan menyerbu daerah kami. Kami akan maju dan tidak akan gentar masuk dalam medan perang, asalkan saja kami akan dapat pimpinan dari seorang yang cekap, berani serta berwibawa sehingga komandonya dan segala perintahnya akan dipatuhi oleh kaum kami semuanya."

Somu'il berkata: "Jika demikian ketetapan hatimu dan demikian pula keinginanmu untuk memperoleh seorang raja yang akan memimpin dan membimbing kamu, maka berilah waktu kepadaku untuk beristikharah memohon pertolongan Allah s.w.t. menunjukkan kepadaku seseorang yang patut dan layak menjadi raja bagimu." Di dalam istikharahnya, Somuil mendapat ilham dan petunjuk dari Allah s.w.t., agar ia memilih serta mengangkat seorang yang bernama "Thalout" menjadi raja Bani Isra'il. Dan walaupun ia belum pernah mendengar nama itu atau mengenalkan orangnya Allah s.w.t. akan memberinya jalan dan tanda-tanda yang akan memungkinkan ia bertemu muka dengan orang itu dan mengenalinya dengan segera.

Thalout adalah seorang berbadan gemuk dan jangkung, tegak, kuat dan berparas tampan. Dari pancaran kedua matanya orang dapat mengetahui bahawa ia adalah seorang yang cerdik, cekap dan bijaksana, memiliki hati yang tabah dan berani. Ia hidup dan bertempat tinggal di sebuah desa yang agak terpencil sehingga tidak banyak dikenal orang Ia hidup bersama ayahnya bercucuk tanam dan memelihara haiwan ternak. 
Pada suatu hari di kala Thalout sedang sibuk bersama ayahnya menguruskan tanah ladangnya terlepaslah dari kandang seekor keldai dari haiwan-haiwan peliharaannya dan menghilang sesat. Pergilah Thalout bersama seorang hambanya mencari keldai yang hilang itu di celah-celah lembah dan bukit-bukit di sekitar desanya, namun tidak berhasil menemukan kembali haiwan yang terlepas itu. Akhirnya ia mengajak hambanya kembali kerana khuatir ayahnya akan menjadi gelisah bila ia lebih lama meninggalkan rumahnya mencari keldai yang hilang itu.

Berkata sang bujang kepada
Thalout: "Kami sekarang sudah berada di daerah Shuf tempat dimana Somu'il berada. Alangkah baiknya kalau kami pergi kepadanya menanyakan kalau-kalau ia dapat memberikan keterangan dan petunjuk kepada kami di mana kiranya kami dapat menemukan keldai kami itu. Ia adalah seorang nabi yang menerima petunjuk dari Tuhannya melalui para malaikat dan dia telah banyak kali mengungkapkan hal-hal ghaib yang ditanyakan oleh orang kepadanya." Thalout menerima baik cadangan itu dan berangkatlah mereka berdua menuju tempat tinggal Somu'il. Di tengah-tengah perjalanan, mereka bertanya kepada beberapa gadis yang ditemuinya sedang menimba air dari sebuah perigi: "Di manakah tempat tinggal Nabi Somu'il?" "Tidak usah kamu cepat-cepat meneruskan perjalananmu. Somu'il sebentar lagi akan datang ke sini. Ia sedang ditunggu kedatangannya di atas bukit oleh rakyat tempat itu." Para gadis itu menjawab.

Ternyata bahawa belum selesai para gadis itu memberikan keterangannya, muncullah Somu'il dengan wajahnya yang berseri-seri memancarkan cahaya kenabian dan kealiman yang mengesahkan.

Thalout
segera mendekati Somu'il dan setelah saling pandang memandang, berkatalah Thalout: "Wahai Nabi Allah, kami datang menemui bapak untuk memohon pertolongan iaitu dapatkah kiranya kami diberi keterangan dan petunjuk di manakah kami dapat menemukan kembali keldai kami yang telah terlepas dari kandang dan menghilang tidak kami temukan jejaknya walaupun sudah tiga hari kami berusaha mencarinya."

Somu'il setelah memandang wajah
Thalout dengan teliti sedarlah ia bahwa inilah orangnya yang oleh Allah s.w.t. ditunjuk untuk menjadi raja pemimpin dan penguasa Bani Isra'il. Ia berkata kepada Thalout: "Keldai yang engkau cari itu sedang berada dalam perjalanan kembali ke kandangnya di tempat ayahmu. Janganlah engkau rungsingkan fikiranmu dan ributkan dirimu dengan urusan keldai itu kerana aku memang mencarimu dan ingin menemuimu untuk urusan yang lebih besar dan lebih penting dari soal keldai. Engkau telah dipilih oleh Allah s.w.t. untuk memimpin Bani Isra'il sebagai raja, mempersatukan barisan mereka yang sudah kacau-balau serta membebaskan mereka dari musuh-musuh yang sedang menyerbu dan menduduki negeri mereka. Dan insya-Allah, Tuhan akan menyertaimu memberi perlindungan kepadamu dan mengurniakan kemenangan dan kemujuran dalam segala sepak terajangmu."

Thalout
menjawab: "Bagaimana aku dapat menjadi seorang raja dan pemimpin Bani Isra'il sedang aku ini seorang dusun anak cucu Benyamin yang paling papa, terasing dari pengaulan orang ramai, seorang anak tani dan penggembala haiwan yang tidak dikenal orang?" Berkata Somu'il: "Itu adalah kehendak Allah s.w.t. dan perintah-Nya. Dan lebih tahu pada siapa Ia meletakkan amanat dan tugas-tugas-Nya. Dialah yang menugaskan dan Dia pulalah yang akan melengkapi segala kekuranganmu. Bersyukurlah engkau atas nikmat dan kurniaan Allah s.w.t. ini. Terimalah tugas suci ini dengan keteguhan hati dan kepercayaan penuh akan pertolongan dan perlindungan Allah s.w.t. kepadamu." Kemudian dipeganglah tangan Thalout, diangkatnya keatas seraya menghadap kepada kaumnya dan berkata: " Wahai kaumku, inilah orangnya yang oleh Allah s.w.t. telah dipilih untuk menjadi rajamu. Ia berkewajiban memimpin kamu dan mengurus segala urusanmu dengan sebaik-baiknya dan setepat-tepatnya dan kamu berkewajiban taat kepadanya, mematuhi segala perintahnya dan berdiri tegak di belakang komandinya. Bersatu padulah kamu di bawah bendera raja Thalout dan bersiap-siaplah untuk berjuang melawan musuh-musuhmu."

Bani Isra'il yang sedang berkumpul mengerumuni Somu'il mendengarkan pidato pelantikannya mengangkat
Thalout sebagai raja, tercengang dan terkejut dan dengan mulut ternganga mereka melihat satu kepada yang lain, berpindahan pandangan mereka dari wajah Somu'il ke wajah Thalout yang menandakan kehairanan dan ketidak-puasan dengan pengangkatan itu. Selintas pun tidak terfikir oleh mereka bahawa seorang seperti Thalout yang papa dan miskin dan tidak dikenal orang ialah yang akan dipilih oleh Somu'il soal pemilihan dan pengangkatan seorang raja bagi mereka.

Berkata mereka kepada Somu'il: "Bagaimana seorang seperti
Thalout ini akan dapat memimpin kami sebagai raja padahal ia seorang yang miskin yang tidak dikenal orang dan pergaulan sehari-harinya hanya terbatas didesanya. selain itu, ia bukannya dari keturunan "Lawi" yang menurunkan para nabi Bani Israil, juga bukan dari keturunan "Yahuda" yang menurunkan raja-raja Bani Isra'il sejak dahulu kala. Ia pun tidak memiliki pengalaman dan kecekapan yang diperlukan oleh seorang raja untuk mengurus serta mempertahankan kerajaannya. Mengapa tidak dipilih sahaja seorang daripada mereka yang berada di kota yang pandai-pandai, berpengalaman dan berkeadaan cukup?"

Berkata Somu'il menanggapi keberatan-keberatan yang dikemukakan oleh kaumnya: "Pengurusan kerajaan dan pemimpin perang tidak memerlukan kebangsawanan atau kekayaan. Ia memerlukan kecekapan, kebijaksanaan, kecerdasan berfikir dan kecekatan bertindak. Sifat-sifat itu terdapat dalam diri
Thalout di samping ia memiliki tubuh yang kuat, perawakan yang tegap dan kekar serta paras muka yang tampan yang memberi kesan baik bagi orang-orang yang menghadapinya. Selain itu semuanya, ia adalah pilihan dan tunjukan Allah Yang Maha Mengetahui dan Maha Mengenal hamba-hamba-Nya. Maka tidak patutlah kami memilih orang lain setelah Allah s.w.t. menjatuhkan pilihan-Nya."

"Baiklah", kata mereka, "Jika yang demikian itu pilihan dan kehendak
Allah s.w.t., maka kami tidak dapat berbuat lain selain menerima kenyataan ini. Akan tetapi untuk menghilangkan keragu-raguan kami tentang diri Thalout, berilah kepada kami suatu tanda yang dapat menyakinkan kami bahawa Thalout benar-benar pilihan Allah s.w.t.." Somu'il menjawab: "Sesungguhnya Allah s.w.t. telah mengetahui watak dan tabiat kamu yang kaku dan keras kepala. Imanmu tidak berada di dalam hati tetapi di kelopak mata. Kamu tidak mempercayai sesuatu tanpa bukti yang dapat kamu rasa dengan pancaindera kamu. Maka sebagai bukti bahawa Allah s.w.t. merestui pengangkatan Thalout menjadi raja kamu, ialah bahawa kamu akan menemukan kembali peti keramatmu "Tabout" yang telah hilang dan dirampas oleh bangsa Palestin. Kamu akan menemukan itu datang kepadamu dibawa oleh malaikat. Pergilah kamu keluar kota sekarang juga untuk menerimanya."

Setelah ternyata bagi mereka kebenaran kata-kata Somu'il dengan ditemuinya kembali
Tabout yang sudah tujuh bulan berada di tangan orang-orang Palestin itu, maka diterimalah pengangkatan Thalout sebagai raja mereka dengan memberikan bai'at kepadanya dan janji akan taat serta mematuhi segala nasihat dan perintahnya.

Raja Thalout

Tugas pertama yang dilakukan oleh Thalout setelah dinobatkan sebagai raja ialah menyusun kekuatan dengan menghimpunkan para pemuda dan orang-orang yang masih kuat untuk menjadi tentera yang akan menghadapi bangsa Palestin yang terkenal kuat dan berani. Ia menyusun bala tenteranya dari orang-orang yang masih kuat, tidak mempunyai tanggungan keluarga, tidak mempunyai ikatan dagang usaha sehingga dapat membulatkan tekadnya untuk berjuang dan memusatkan fikiran dan tenaga bagi mencapai kemenangan dan menghalaukan musuh dari negeri mereka dengan semangat yang teguh yang tidak tergoyahkan. Sebagai ujian untuk mengetahui sampai sejauh mana rakyatnya atau barisan tenteranya yang disusun itu berdisiplin mengikuti komando dan perintahnya, Thalout berkata mereka: "Kamu dalam perjalananmu di bawah terik panasnya matahari akan melalui sebuah sungai. Maka barang siapa di antara kamu minum dari air sungai itu, ia bukan pengikutku yang setia yang dapat kupercayai kesungguhan hatinya dan kebulatan tekadnya. Sebaliknya barangsiapa di antara kamu yang hanya menciduk air sungai itu seciduk tangan untuk sekadar membasahi kerongkongannya, maka ia ialah seorang pengikutku dan tentera yang benar-benar dapat kuandalkan keberaniannya dan kedisiplinannya."

Ternyata apa yang dikhuatirkan oleh
Thalout telah terjadi dan menjadi kenyataan. Setiba barisan tentera Thalout di sungai yang dimaksudkan itu, hanya sebahagian kecil sahajalah dari mereka yang berdisiplin mengikuti petunjuk Thalout secara tepat. Sedang bahagian yang besar tidak dapat bersabar menahan dahaganya dan minumlah mereka dari air sungai itu sepuas-puas hatinya. Walaupun telah terjadi pelanggaran disiplin oleh sebahagian besar dari anggota tenteranya, Thalout tetap berkeras hati melanjutkan perjalanannya menuju ke medan perang dengan pasukan yang tidak bersatu padu dan berdisiplin sebagaimana ia menduga dan mengharapkannya. Ia hanya bersandar dan mengandalkan kekuatan tenteranya kepada bahagian kecil yang sudah ternyata setia dan patuh kepada perintah dan petunjuknya. Sedang terhadap mereka yang sudah melanggar perintahnya dan minum dari air sungai itu, Thalout bersikap sabar, lunak dan bijaksana untuk menghindari keretakan di dalam barisan tenteranya sebelum menghadapi musuh.

Tatkala mereka tiba di medan perang dan berhadapan dengan musuh, sebahagian daripada pasukan
Thalout ialah mereka yang telah melanggar disiplin dan minum dari air sungai, merasa kecil hati dan ketakutan melihat pasukan musuh yang terdiri dari orang-orang kuat dan besar-besar dengan peralatan yang lebih lengkap dan jumlah tentera yang lebih besar di bawah pimpinan seorang komandan bernama "Jalout".
Jalout, panglima komandan pasukan musuh terkenal seorang panglima yang berani, cekap dan terkenal tidak pernah kalah dalam peperangan. Tiap orang yang berani bertarung dengan dia pasti jatuh terbunuh. Namanya telah menimbulkan rasa takut dan kecil hati pada bahagian besar dari pasukan Thalout. berkata mereka kepadanya: "Kami tidak berdaya dan tidak akan sanggup menghadapi dan melawan Jalout berserta tenteranya hari ini. Mereka lebih lengkap peralatannya dan lebih besar bilangannya daripada pasukan kami."

Akan tetapi kelompok yang setia yang merupakan golongan yang kecil dalam pasukan
Thalout, tidak merasa takut dan gentar menghadapi Jalout dan bala tenteranya, walaupun mereka lebih besar dan lebih lengkap peralatannya kerana mereka keluar ke medan perang mengikuti Thalout dengan tekad yang bulat hendak membebaskan negerinya dari para penyerbu dengan berbekal tawakkal dan iman kepada Allah s.w.t.. Sejak mereka melangkahkan kaki keluar dari rumah mereka sudah berniat bulat berjuang bermati-matian melawan musuh yang telah merampas rumah dan tanah mereka dan bersedia mati untuk tugas suci itu. Berkata mereka kepada kawan-kawannya kelompok pengecut itu: "Majulah terus untuk bertempur melawan musuh. Kami tidak akan kalah kerana bilangan yang sedikit atau kerana kelemahan fizikal. Kami akan menggondol kemenangan bila iman di dalam dada kami tidak tergoyahkan dan kepercayaan kami akan pertolongan Allah s.w.t. tidak menipis. Berapa banyak terjadi sudah, bahawa kelompok yang kecil jumlahnya mengalahkan kelompok yang besar, bila Allah s.w.t. mengizinkannya dan memberikan pertolongan-Nya. Dan Allah s.w.t. selalu berada di sisi orang-orang yang beriman, sabar dan bertawakkal."

Dengan tidak menghiraukan kasak-kusuk dan bisikan kelompok pengecut yang ingin mundur dan melarikan diri dari kewajiban berperang,
Raja Thalout terus maju memimpin pasukannya seraya bertawakkal kepada Allah s.w.t. memohon pertolongan dan perlindungan-Nya. Setelah kedua pasukan merapat berhadapan satu dengan yang lain dan pertempuran dimulai, keluarlah dari tengah-tengah barisan bangsa Palestin, panglima besarnya yang bernama Jalout berteriak dengan sekuat suaranya menentang pasukan Thalout mengajak bertarung seorang lawan seorang Berulang-ulang ia berseru dengan suara yang lantang agar pihat Thalout mengeluarkan seorang yang akan melawan dia bertanding dan bertarung namun tidak seorang pun keluar daripada tengah pasukan Bani Isra'il menghadapinya. Kata-kata ejekan dan hinaan dilontarkan oleh Jalout kepada pihak musuhnya, pasukan Bani Isra'il yang sedang dicekam oleh rasa takut dan bimbang menghadapi Jalout yang sudah termasyur sebagai jaguh yang tidak pernah terkalahkan itu.

Pada saat yang kritis dan tegang itu di mana rasa malu rendah diri memenuhi dada dan hati para pemimpin pasukan Bani Isra'il yang sedang memandang satu kepada yang lain, seray bertanya-tanya dalam hati masing-masing gerangan siapakah di antara mereka yang dapat maju membungkam mulut si
Jalout yang berteriak-teriak itu dan melawannya, datanglah pada saat itu menghadap raja Thalout seorang lelaki remaja berparas tampan, bertubuh kekar dan tegak, sinar matanya memancarkan keberanian dan kecerdasan. Ia meminta izin dari sang raja untuk keluar menyambut tentangan Jalout dan menandinginya.
Thalout merasa kagum akan keberanian pemuda yang telah menawarkan dirinya untuk bertarung dengan Jalout, sementara orang-orang dari pasukannya sendiri yang sudah berpengalaman berperang tidak ada yang tergerak hatinya untuk menyahut cabaran Jalout yang berteriak-teriak melontarkan ejekan dan hinaan. Thalout dengan cermat memperhatikan perawakan  pemuda itu merasa berat dan ragu-ragu untuk memberi izin kepadanya turun ke gelanggang melawan Jalout. Ia tidak membayangkan seorang dalam usia semuda itu, yang belum pernah turun ke medan perang dan tidak berpengalaman bertarung akan selamat dan keluar hidup dari pertarungan melawan Jalout. Ia benar-benar bukan tandingannya, kata hati Thalout, bahkan merupakan suatu dosa bila ia melepaskan pemuda itu bertarung dengan Jalout. Sayang bagi usianya yang masih muda itu bila ia akan menjadi korban dan makanan pedang Jalout yang tidak pernah memberi ampun kepada lawan-lawannya.

Pemuda dengan memperhatikan muka
Thalout dapat menangkap isi hatinya bahawa ia ragu-ragu dan bimbang untuk melepaskannya bertarung dengan Jalout maka berkatalah ia kepadanya: "Janganlah engkau terpengaruh oleh usia mudaku dan keadaan fizikalku yang menjadikan engkau ragu-ragu dan khuatir melepaskan aku melawan Jalout kerana yang menentukan dalam pertarungan bukanlah hanya kekuatan fizikal dan kebesaran badan akan tetapi yang lebih penting dari itu ialah keteguhan hati dan keuletan bertempur serta iman dan kepercayaan kepada Allah s.w.t. yang menentukan hidup matinya seseorang hamba-Nya. Beberapa hari yang lalu aku telah berhasil menangkap seekor singa dan membunuhnya tatkala ia hendak menyergap dombaku dan sebelum itu terjadi pula aku menghadang seekor beruang yang ganas dan berhasil membunuhnya setelah bergulat mati-matian. Maka bukanlah usia atau kekuatan badan yang merupakan faktor yang menentukan dalam pertempuran tetapi keberanian dan keteguhan hati serta kelincahan dan kecepatan bergerak dengan disertai perhitungan yang tepat, itulah merupakan senjata yang lebih ampuh dalam setiap pertarungan."

Mendengar kata-kata yang penuh semangat yang keluar dari hati yang ikhlas dan jujur sedarlah
Thalout bahawa pemuda itu berkemahuan keras ingin melawan Jalout. Ia percaya kepada dirinya sendiri bahawa ia dapat mengalahkannya maka diberinyalah izin dan restu oleh Thalout untuk melaksanakan kehendaknya dengan diiringi doa semuga Allah s.w.t. melindunginya dan mengurniainya dengan kemenangan yang diharap-harapkan oleh seluruh anggota pasukan. Kemudian ia diberinya pedang, topi baja dan zirah baju besi namun ia enggan mengenakan pakaian yang berat itu dan pedang pun ia menolak untuk membawanya dengan alasan ia belum biasa menggunakan senjata itu. Ia hanya membawa sebuah tongkat beberapa batu kerikil dan sebuah bandul untuk melemparkan batu-batu itu.

Berkatalah
Thalout kepadanya: "Bagaimana engkau dapat bertarung dengan hanya bersenjatakan tongkat, bandul dan batu-batu melawan Jalout yang bersenjatakan pedang, panah dan berpakaian lengkap?" Pemuda itu menjawab: "Tuhan yang telah melindungiku dan taring singa dan kuku beruang akan melindungiku pula dari pedang dan panah Jalout yang durhaka itu." Lalu dengan berbekalkan senjata yang sangat sederhana itu, keluarlah ia dari tengah-tengah barisan Bani Isra'il menuju gelanggang di mana Jalout sedang menari-nari mengelu-elukan pedangnya seraya berteriak-teriak mengejek dan menyombangkan diri.

Tatkala
Jalout melihat bahawa yang masuk gelanggang hendak bertanding dengan dia adalah seorang pemuda remaja tidak bersenjatakan pedang atau panah dan tidak pula mengenakan topi baja dan zirah, dihinalah ia dan diejek dengan kata-kata: "Untuk apakah tongkat yang engkau bawa itu." Untuk mengejar anjingkah atau untuk memukul anak-anak yang sebaya dengan engkau? Di mana pedangmu dan zirahmu? Rupa-rupanya engkau sudah bosan hidup dan ingin mati padahal engkau masih muda yang belum merasakan suka-dukanya kehidupan dan yang masih harus banyak belajar dari pengalaman. Majulah engkau ke sini akan aku habiskan nyawamu dalam sekelip mata dan akan kujadikan dagingmu makanan yang lazat bagi binatang-binatang di darat dan burung-burung di udara."

Pemuda menjawab: "Engkau boleh bangga dengan zirah dan topi bajamu, boleh merasa kuat dan ampuh dengan pedang dan panahmu yang tidak akan sanggup menyelamatkan nyawamu dan tanganku yang masih halus dan bersih ini. Aku datang ke sini dengan nama
Allah s.w.t. Tuhan Bani Isra'il yang telah lama engkau hina, engkau jajah dan engkau tundukkan. Engkau sebentar lagi akan mengetahui pedang dan panahkah yang akan mengakhiri hayatku atau kehendak Allah s.w.t. dan kekuasaan-Nya yang akan meranggut nyawamu dan mengirimkan engkau ke neraka Jahannam?"

Melihat
Jalout melangkah maju, maka sebelum ia sempat mendekatinya, sang pemuda segera mengeluarkan batu dari sakunya, melemparkannya dengan bandul tepat ke arah kepala Jalout yang seketika itu juga mengalirkan darah dengan derasnya hingga menutupi kedua matanya, lalu diikuti dengan lemparan batu kedua dan ketiga oleh sang pemuda hingga terjatuhlah Jalout tertiarap di atas lantai menghembuskan nafas terakhirnya. Bergemuruhlah suara teriakan gembira dan sorak-sorai dari pihak pasukan Bani Isra'il menyambut kemenangan pemuda gagah perkasa itu keatas Jalout jaguh dan kebanggaan bangsa Palestin. Dan dengan matinya Jalout hilanglah semangat tempur pasukan Palestin dan mundurlah mereka melarikan diri tunggang-langgang seraya dikejar dan diajar tanpa ampun oleh pasukan Thalout yang telah memperoleh kembali semangat juangnya dan harga diri serta kebanggaan nasionalnya.

Isi cerita di atas dikisahkan oleh Al-Quran dalam surah "Al-Baqarah" ayat 246 sehingga 251 yang bermaksud :~
 
246.    Apakah kamu tidak memperhatikan pemuka-pemuka Bani Isra'il sesudah Nabi Musa, iaitu ketika mereka berkata kepada seorang Nabi mereka: "Angkatlah untuk kami seorang raja supaya kami dapat berperang {di bawah pimpinannya} di jalan Allah." Nabi mereka berkata: "Mungkin sekali jika kamu nanti diwajibkan berperang, kamu tidak akan berperang`." Mereka menjawab : "Mengapa kami tidak mahu berperang di jalan Allah, padahal sesungguhnya kami telah diusir dari kampung halaman kami dan dari anak-anak kami?" Maka tatkala perang itu diwajibkan atas mereka, mereka pun berpaling, kecuali beberapa orang saja di antara mereka. Dan Allah Maha Mengetahui akan orang-orang yang zalim. 

247.    Nabi mereka mengatakan kepada mereka: "Sesungguhnya Allah mengangkat Thalout menjadi rajamu." Mereka menjawab: "Bagaimana Thalout memerintah kami padahal kami lebih berhak mengendalikan pemerintahan daripadanya, sedang dia pun tidak diberi kekayaan yang cukup banyak?" Nabi mereka berkata: "Sesungguhnya Allah telah memilihnya menjadi rajamu dan menganugerahinya ilmu yang luas dan tubuh yang perkasa." Allah memberi pemerintahan kepada siapa yang dikehendaki-Nya. Dan Allah Maha Luas pemberian-Nya lagi Maha Mengetahui. 

248.    Dan Nabi mereka mengatakan kepada mereka: "Sesungguhnya tanda ia akan menjadi raja ialah kembalinya tabout kepadamu di dalamnya terdapat ketenangan dari Tuhanmu dan sisa dari peninggalan keluarga Musa dan keluarga Harun tabout itu dibawa oleh malaikat. Sesungguhnya pada yang demikian itu terdapat tanda bagimu jika kamu orang yang beriman. 

249.    Maka tatkala Thalout ke luar membawa tenteranya ia berkata: "Sesungguhnya Allah akan menguji kamu dengan satu sungai. Maka siapa di antara kamu meminum airnya, bukanlah ia pengikutku. Dan barangsiapa tidak merasakan airnya kecuali orang yang hanya menciduk seciduk tangan, maka ia adalah pengikutku." Kemudian mereka meminumnnya terkecuali beberapa orang di antara mereka. Maka tatkala Thalout dan orang-orang yang beriman bersama dia telah menyeberangi sungai itu, orang-orang yang telah minum berkata: "Tak ada kesanggupan kami pada hari ini untuk melawan Jalout dan tenteranya." Orang-orang yang menyakini bahawa mereka akan menemui jalan Allah berkata: "Berapa banyak terjadi golongan yang sedikit dapat mengalahkan golongan yang banyak dengan izin Allah dan Allah berserta orang-orang yang sabar. 

250.    tatkala Jalout dan tenteranya telah nampak oleh mereka, mereka pun berdoa: "Ya Tuhan kami, tuangkanlah kesabaran atas diri kami dan kukuhkanlah pendirian kami dan tolonglah kami terhadap orang-orang kafir." 

251.    Mereka {tentera Thalout} mengalahkan tentera Jalout dengan izin Allah dan {dalam peperangan itu} Daud membunuh Jalout, kemudian Allah memberikan kepadanya {Daud} pemerintahan dan hikmah {sesudah meninggalkan Thalout} serta Allah mengajarkan kepadanya apa yang dikehendaki-Nya."     
                                    { Al-Baqarah : 246 ~ 251 }


Catatan Tambahan

*** Pemuda yang menurut cerita yang telah bertanding melawan dan mengalahkan Jalout dan berhasil membunuhnya adalah Nabi Daud, sebagaimana ditegaskan dalam ayat 251 surah "Al-baqarah".

*** Nabi Musa wafat pada usia 150 tahun di atas sebuah bukit bernama "Nabu", di mana ia diperintahkan oleh Allah s.w.t. untuk melihat tanah suci yang dijanjikan {Palestin} namun tidak sampai memasukinya.

*** Nabi Harun wafat sebelum Nabi Musa sehingga ia masih sempat dimakamkan oleh Nabi Musa di atas bukit "Hur" yang terletak di gurun Sinai.

jangan menyalahkan takdir

Terkadang,
Angin yang lembut itu bisa berubah kencang,
Dan manusia yang sedang ketawa itu,
Terus menangis gundah..
"hahahaha" Satu hari, Adam seronok bergelak ketawa, sambil kaki berjalan mengundur.
Gedebuk!
Seperti nangka sahaja jatuhnya, semua yang ada terkejut.
Adam kembali bangun, menggosok-gosok punggungnya, "HAHA. tak sakit tak sakit." Katanya selamba.
Ah anak kecil ini.
Dahulu Kita Juga Sepertinya

Sahabat,
Dahulu, Sewaktu kita kecil kita juga kuat. Banyak kali kita terjatuh ketika cuba hendak berjalan, tapi akhirnya kita bangkit kembali. Banyak kali kita 'dikecewakan' kerana tidak dapat menjamah semua makanan, tapi selepas itu kita ketawa kembali. Banyak kali kita bergaduh dengan teman sebaya, tapi selepas itu kita kembali bersapa dan berbual mesra.
Tapi,Semakin kita menginjak dewasa, kekuatan itu semakin hilang.
Waktu ditimpa dugaan, kita asyik bersedih.
Waktu disapa ujian, kita asyik merungut.

Kita asyik menuding jari kepada Allah, sedang Allah telah pun memujuk kita dengan ayat-ayat cintaNya :
Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan,
(Sekali lagi ditegaskan): bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan.(Al-Insyirah : 5-6)
Terkadang ada manusia yang jadi malas beribadat, tidak lagi percaya kepada Allah. Sedang Allah setia menunggu, rintihan dan doa dari hamba yang amat dirinduiNya..

Sahabat,
Dahulu, seorang sahabat Nabi, ketika ujian tidak ditimpakan kepadanya, dia berasa gundah dan sedih, soalan yang sama diulang-ulang : Apakah Allah telah lupa kepadaku?
Sekarang sahabat,
Allah menguji tidaklah sehebat ujian yang ditimpakan kepada ummat terdahulu.
Kita tidak ditimpakan ujian sehebat Zainab puteri Rasulullah yang terpaksa memilih antara suami yang masih jahiliyyah atau ayah tercinta.
Kita tidak ditimpakan ujian sehebat Sumayyah yang seisi keluarganya dibunuh di hadapan mata.
Kita tidak ditimpakan ujian sehebat Bilal bin Rabah, dijemur, diseksa, dihempap batu.

Sahabat,
Allah sungguh kasih kepada kita. Tapi berbalaskah kasih itu?
Jangan Menyalahkan Takdir
Ada orang, yang usahanya sedikit, dan bila datang sesuatu yang tidak memuaskan, dia berkata : Ini adalah takdir.

Sahabat,
Kata-kata begitu hakikatnya seolah-olah kita menyalahkan takdir. Sesuatu yang belum berlaku tidak dinamakan takdir, bahkan kita masih ada peluang untuk mengubahnya.
Jika semuanya mahu bergantung kepada takdir, maka orang jahat tidak akan berubah menjadi baik kerana takdirnya sudah jahat.
orang miskin tidak perlu berusaha mencari duit, kerana takdirnya sudah miskin.
Pelajar corot tidak perlu belajar kerana takdirnya sudah corot.
Begitukah?

Mari kita baca satu cerita :
Ketika wabak penyakit berlaku di Syam, Umar Al-Khattab telah bermesyuarat dan mengambil keputusan untuk tidak memasuki Syam.
Ada yang bertanya : Adakah engkau melarikan diri daripada Qadar Allah wahai Amirul Mukminin?
Beliau menjawab : ya, kita lari daripada Qadar Allah kepada Qadar Allah. Apa pendapat kamu jika kamu berada di atas dua jenis tanah iaitu yang subur dan kering. Bukankah jika kamu usahakan yang subur, kamu mengusahakannya dengan Qadar Allah dan jika kamu ushakan yang kering, kamu mengusahakannya dengan Qadar Allah juga?

Nak dengar cerita lagi?
Suatu ketika, seorang lelaki telah kalah dalam satu perbahasan dan berkata "Allah telah menentukan bahagianku."
Nabi SAW memarahinya kerana berkata demikian.Lahiriahnya kata-kata itu menggambarkan iman tetapi hakikatnya menampakkan kelemahan.
Sabda baginda:

"Allah membenci orang yang lemah, tetapi apabila tewas dalam suatu urusan kamu berkata: Bahagianku telah ditentukan oleh Allah."
Berusaha dan berusahalah dengan bersungguh, pilihlah takdir yang kita mahu... sehingga di pengakhiran usaha, ada sesuatu yang kita dapat setelah berusaha, barulah berkata : inilah yang telah ditentukan Allah buatku.
Tanya pada diri, apa usaha kita, dan jangan asyik berkata "Ala,dah takdir.."
Jadilah kuat. Islam itu hebat, maka mari jadi hebat untuk Islam.
Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri.
(Ar-Ra'd :11)

Berimanlah kepada Qada' dan Qadar Allah ; berusaha dengan apa yang kamu termampu dan berserah dengan kekuasaan Allah. Bekerjalah tanpa putus asa.
Jernihkan fikrah kita. Islam itu amaaaatttt Indah.

 Berusaha!
 Fighting!
Tatkala hujan yang lebat itu telah pergi,
Pelangi memuncul diri,
Dan manusia,
Terus merungut mengenangkan hujan yang telah pun berlalu..

- Artikel iluvislam.com