Tuesday, October 23, 2012

auratmu wahai muslimah bukan untuk tontonan


seorang muslimah disoal oleh juniornya

Junior: akak,boleh saya tanya bagaimana akak tergerak hati untuk memakai tudung labuh?

Senior: (sambil tersenyum).ada satu kisah yang akak sembunyikan dari semua orang tentang permulaan kesedaran akak mengenai aurat ni.Memandangkan adik ingin mengetahuinya maka akak akan berkongsi kisah ini dengan adik.

Junior: terima kasih kak.(memandang penuh minat untuk mendengar kisah tersebut)

Senior: ceritanya bermula ketika itu akak menghadiri mesyuarat bagi kelab yang akak sertai.seperti yang adik sedia maklum akak dahulu tidak bertudung labuh.pada malam itu akak memakai selendang dengan menggayakan seperti selendang cara Heliza Helmi.saja mengada-ngada kan.ketika naib presiden kelab seorang ikhwan sedang membuat ucapan dihadapan,tiba-tiba akak melihat pandangan dan riak wajahnya agak berbeza.akak mula merasa tidak sedap hati dan benar menurut sangkaan akak.rupa-rupanya selendang akak yang menutupi bahagian leher dan dada telah terjatuh dan menampakkan aurat akak kerana pin yang akak pin kan tidak kena pada bahagian selendang tersebut dan kebetulan ikhwan tersebut sedang menghadap akak.ketika itu baru akak meengerti makna pandangannya dan akak merasa sangat terkejut dan malu yang amat sangat.dengan segera akak memegang dan menutup semula bahagian yang terbuka tadi dan meluru keluar ke tandas.akak menangis sepuas hati di dalam tandas menyesali dan meratapi akan kejadian tersebut.akak merasa seperti maruah akak telah tercalar dan ternoda.akak mesej pada sahabat akak mengatakan bahawa akak akan balik dahulu.tidak sanggup rasanya menanggung rasa malu untuk menghadap muka ikhwan tersebut.hemm.itulah kisahnya dik.pada saat itu akak mula sedar akan kepentingan dan kemuliaan dalam menjaga dan menutupi aurat dengan sempurna.tidak rela rasanya membiarkan seorang ajnabi melihat aurat akak walaupun tidak disengajakan.ketika itu akak berfikir,kalaulah akak memakai tudung labuh,tidak mungkin perkara seperti itu akan berlaku.lama akak memikirkan dan akak mula melihat keindahan dan hikmah dalam pensyariatan menjaga aurat iu di dalam Islam.akak nekad mengambil keputusan untuk mula memakai tudung labuh dan menutupi semua aurat akak dengan sempurna.

Junior: SUBHANALLAH kak!saya tidak sangka kisah akak begini.sungguh memberi pengajaran kepada saya kak.sungguh Allah tidak menyuruh berbuat sesuatu itu dengan sia-sia.pasti ada keindahan dan kebaikan disebalik setiap suruhan Nya itu.Terima kasih banyak-banyak akak sebab sudi berkongsi dengan saya kisah tersebut.sangat memotivasikan saya untuk lebih menjaga aurat saya.

Senior: Sama-sama dik.akak hanya berkongsi sedikit pengajaran yang telah akak dapati dalam hidup akak.itu sahaja. “Katakanlah kepada wanita yang beriman: "Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan kemaluannya, dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang (biasa) nampak dari padanya. Dan hendaklah mereka menutupkan kain tudung ke paras dadanya, dan janganlah menampakkan perhiasannya kecuali kepada suami mereka, atau ayah mereka, atau ayah suami mereka, atau putera-putera mereka, atau putera-putera suami mereka, atau saudara-saudara laki-laki mereka, atau putera-putera saudara lelaki mereka, atau putera-putera saudara perempuan mereka, atau wanita-wanita islam, atau budak-budak yang mereka miliki, atau pelayan-pelayan laki-laki yang tidak mempunyai keinginan (terhadap wanita) atau anak-anak yang belum mengerti tentang aurat wanita. Dan janganlah mereka memukulkan kakinya agar diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan. Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, hai orang-orang yang beriman supaya kamu beruntung.”..=)

p/s:based on true story


Friday, October 19, 2012

insyaAllah

biarpun ramai yang meragui dan mempersoalkan mengenai tidak perlu berkenalan sebelum mendirikan rumah tangga tetapi aku mempercayainya kerana aku yakin dengan jodoh dari Allah.aku tidak mahu berkenalan dengan dia kerana aku yakin Dia akan memberikan seseorang yang terbaik buat diriku.biarlah istikharah serta takdir yang akan menyatu dan mempertemukan kita.amin.=)



Saturday, October 13, 2012

seraut wajah tua itu




Mungkin seorang ibu itu tidak mampu menyediakan kemewahan serta kesenangan hidup kepada anaknya.

Mungkin seorang ibu itu tidak mampu meluangkan masa bertanyakan masalah anaknya lantaran kesibukan dalam urusan seharian yang sukar.

Mungkin seorang ibu itu tidak sempat menyatakan sayangnya kepada anaknya lantaran derita yang dialaminya.

Mungkin seorang ibu itu tidak sama jika engkau bandingkan dengan ibu rakan-rakanmu yang lain

Mungkin seorang ibu itu tidak mampu memenuhi segala kehendakmu lantaran kekurangannya.

Tetapi itu bukanlah pengukur bagi kasih sayangnya.

Itu bukan pengukur nilai kepentinganmu di dalam hatinya.

Itu bukan pengukur usahanya dalam membahagiakanmu.

Kerana ibu itu sangat menyayangimu.

Kerana ibu itu sangat mengasihimu.

Kerana ibu itu sangat kesal kerana kekurangan yang kamu alami.

Kerana ibu itu sangat terluka hatinya tiap kali tidak mampu menunaikan 
permintaanmu.

Kerana ibu itu menangis tatkala bersendirian merinduimu.

Kerana ibu itu menangis sendirian risaukan dirimu yang jauh dari pandangan matanya.

Kerana ibu itu menangis di dalam hatinya kerana tidak mampu menjadi ibu yang terbaik dipandangan matamu.

Tegarkah kamu membiarkan air mata itu terus mengalir di raut wajahnya yang semakin bertambah kedutan yang mempamerkan garis usianya??

Tegarkah kamu membiarkan air mata it uterus menitis sehingga akhir hayatnya??

Tegarkah kamu membiarkan sekeping hati tua itu remuk redam merindukan kasih sayang dan perhatian darimu??

Tegarkah kamu terus melukakan hatinya yang semakin dekat menghampiri detik pertemuannya dengan Penciptanya??

Ibu itu,ibu kamu!

Saban hari menanti kepulangan serta panggilan darimu!

Saban hari memanjatkan doa untuk kesejahteraanmu tanpa jemu!

Saban hari mengingat kembali semua memori berkaitan dirimu sejak kamu di dalam kandungan sehingga kamu di usia sekarang

Saban hari menelan pahit hempedu dengan sikapmu

Seraut wajah itu yang mungkin kau lihat tenang tapi luka yang sedang bertapa di dalam hatinya

Seraut wajah itu mungkin tersenyum bahagia dihadapan mu tetapi sinar nya memancarkan kedukaan serta jerih pedih liku-liku kehidupannya

Seraut wajah itu bersinar bahagia menyambut kelahiranmu dahulu

Seraut wajah itu lah yang kepenatan melayan kerenah nakalmu

Seraut wajah itulah yang menahan mata menjagamu setiap waktu

Seraut wajah itulah yang terlukis garis-garis kerisauan akan kehidupanmu

Seraut wajah itulah yang menanti mu setiap kali kepulangan dirimu

Seraut wajah itu masih mampu bertahan dengan dugaan dan ujian yang berat membebaninya

Seraut wajah itu hari ini masih kita dapat melihatnya memandang sayu ke wajahmu

Seraut wajah itu jugalah yang akan hilang dari pandangan matamu tidak lama lagi

Seraut wajah itulah yang akan kau rindui tatkala matanya tertutup rapi menghadap Ilahi

Seraut wajah itulah yang akan engkau tangisi kepergiannya nanti

Seraut wajah itu jugalah penentu kebahagiaan mu di dunia dan akhirat nanti dengan redha hatinya

Seraut wajah itulah yang mungkin setia menantimu di pintu syurga

PENGGODA CINTA YANG MALU


Ada yang bertanya mengapa diri tertanya-tanya juga, kenapa cinta selepas kahwin (yang usianya telah bertahun-tahun) tidak sehangat dulu. Dulu, berpisah terasa rindu… tetapi kini lain sekali. Walaupun masih ada rasa rindu, tetapi tidak lagi sehangat dulu. Rinxdu itukan buah cinta, jika tidak ada rindu ertinya tidak ada buah cinta. Cinta yang tidak berbuah, tentulah cinta yang layu!
Bila berjauhan, ada juga berkirim sms, tetapi tidaklah sekerap dulu. Sekadar bertanya, apa khabar di sana? Macam mana anak-anak? Atau sekadar minta doanya. Tidak ada lagi kalimah cinta berbunga-bunga. Atau pujuk rayu yang sayu-sayu. Ah, biasa-biasa sahaja.
Betulkah selagi cinta itu diburu, ia akan indah. Tetapi bila ia telah dimiliki, keindahannya akan pudar sedikit demi sedikit. Kata orang tua dahulu, bila jauh (masih belum dimiliki) berbau bunga, bila dekat (sudah hari-hari di sisi) keharumannya tiada lagi. Ah, begitukah adat dunia?
Kata sesetengah lelaki (entah species mana), wanita kelihatan cantik selagi tidak menjadi isteri kita. Setelah menjadi isteri, kecantikannya akan hilang. Jika semua lelaki berpandangan begitu, rosaklah dunia. Ini semua gara-gara nafsu yang tidak pernah puas dengan apa yang ada. Kehendaknya tidak terbatas. Kerenahnya tidak kenal puas. Melayani nafsu bagai meminum air laut, semakin diminum semakin haus. 
Kata orang itulah sebabnya lelaki berpoligami. Dia tidak cukup dengan satu. Hujjah itu salah sama sekali. Jika lelaki itu rakus nafsu, bukan setakat dua, tiga dan empat, bahkan lima, enam, tujuh wanita sekalipun dia tidak akan pernah puas. Lihat sahaja Tiger Woods yang mengaku berselingkuh dengan 120 wanita! Poligami bukan untuk maladeni (melayan) nafsu lelaki ini , tetapi kerana ada hikmah lain yang lebih murni.
Kita tinggalkan lelaki yang bersifat ‘jantan’ itu. Mari kita bicarakan soal wanita pula. Wanita yang telah menjadi isteripun ada salahnya. Selepas sahaja dia bergelar isteri, semuanya menjadi terlalu ‘murah’. Tidak semahal seperti sebelum kahwin dahulu. Malunya sudah kurang. Tidak pandai ‘jual mahal’ untuk mendapat perhatian suami.
Jika dulu puas berlangir, berbedak, berhias sebelum bertemu suami, setelah berkahwin lain pula ceritanya. Bau badan tidak dijaga, asyik ‘mendedah aurat’ (maksudnya berpakaian tidak sempurna) tanpa mengira masa dan tempat. Bila setiap masa terdedah, di mana indahnya? Ingat selalu, seni memikat hati suami. Apa salahnya menggoda suami sendiri?
Kalau dahulu suapan makanan pun dijaga, dibuat penuh tertib dan kecil-kecil. Menguyah makanan pun tidak kedengaran bunyinya. Sunggup sopan, persis gadis pingitan. Maaf, lepas beberapa bulan berkahwin, kesopanan dan ketertiban itu semakin mengurang. Cara duduk, tidak dijaga lagi. Menguap tanpa menutup mulut. Suaranya… tidak semerdu, ketawa, ha.. ha.. ha.. berdekah-dekah. Mana hilang malunya?
Jangan terkejut jika kita ‘menjual’ terlalu murah, orang akan meragui kualitinya. Suami akan berhenti ‘memburu’ anda jika anda terlalu jinak dan murah. Ini bukan bermaksud untuk mendorong anda menjadi terlalu liar atau terlalu mahal… tetapi belajarlah malu-malu seperti mula-mula kahwin dahulu. Insya-Allah, suami anda akan menjadi pemburu yang merancang seribu satu taktik dan strategi untuk memikat dan mendapatkan kasih-sayang anda. Biar dia menjadi pemburu cinta mu!
Jika isteri berjaya mengekalkan rasa malu, dia akan dapat mengekalkan sifat, kelakuan dan personaliti yang menarik perhatian suami. Dia akan dirindui bila jauh, akan disayangi bila dekat. Dia dilihat cantik sebelum bergelar isteri dan akan menjadi lebih cantik selepas itu. Sesungguhnya, malu itu satu perhiasan dalaman sama seperti permata yang menjadi hiasan luaran.
Ya, seperti permata. Ia selalu disimpan dalam bekas yang cantik. Diletakkan dalam almari dan dikunci. Hanya sekali-sekali dibuka dan untuk orang yang tertentu sahaja. Permata tidak dipamerkan merata-rata atau dibiarkan terdedah sentiasa. Jika terdedah sentiasa, itu bukan permata, itu hanya kaca. Maka begitulah dengan malu. Ia akan mendorong siisteri mengekalkan keanggunan, perhiasan diri dan kejelitaannya.
Belajarlah dari bulan mengambang. Bulan hanya mengambang sekali-sekala… Bulan tidak mengambang setiap malam… kerana dengan mengambang sekali-sekala itulah pungguk jadi perindu, manusia tertunggu-tunggu. Begitulah isteri yang masih malu, suami akan menjadi perindu.
Bagaimana pula gaya seorang perindu? Ah, memburu cinta perlu bergaya. Jika yang diburu itu indah, yang memburu juga akan memperindahkan dirinya. Kita tidak akan menyentuh permata dengan tangan yang kotor. Kita tidak akan tega mengusapnya dengan tangan yang berbau. Yang indah perlu disentuh dengan yang indah jua. Yang harum perlu ditantang dengan yang harum juga.
Jadi bagaimana? Ya, bukan untuk para isteri sahaja, untuk suami juga perlu ada malunya. Jika anda inginkan isteri anda berhias, anda bagaimana? Tegakah kita asyik berkain pelikat, berbaju T dengan perut ‘boroi’, rambut kusut tak bersikat tetapi mengharap isteri tampil sebagai ratu untuk melayan kita? Maaf, kalau itulah ‘umpannya’ anda akan dapat ‘ikan’ yang begitu juga.
Ingat selalu hukum pantulan, apa yang kita berikan akan kita terima semula sebagai balasan. Jika buruk yang kita tampilkan, maka yang buruk juga akan datang sebagai balasan. Begitulah juga dengan hukum tarikan, yang baik akan menarik yang baik, yang cantik akan menarik yang cantik.
Suami inginkan isteri berubah, tetapi kenapa anda berada ditakuk lama juga? Ingat, perubahan andalah yang akan merubah orang lain. Ubahlah penampilan diri. Kalau isteri jadi penggoda, anda harus jadi pemikat. Bagaimana ya? Jangan tanya bagaimana, jika kita sudah ada kemahuan. Kemahuan akan menyebabkan anda memperoleh pelbagai cara. Kata orang, dunia akan menyediakan jalan kepada orang yang mempunyai tujuan.
Jadi, bertanyalah dengan diri, mana minyak wangi yang menjadi daya pemikat isteri waktu mula bertemu dahulu? Mana kata-kata manis yang menjadi madah cinta waktu bercanda dulu? Mana wajah prihatin, muka simpati dan empati serta senyuman yang ikhlas ketika mula-mula bersama dulu? Carilah, kita tidak terlalu tua untuk itu. Apakah ada had usia untuk melakukan suatu kebaikan?
Usahakan semula segalanya dengan membina semula rasa malu. Dan ingat bahawa rasa malu itu ada kaitan dengan iman. Iman dan malu lazim berlaziman. Jika terangkat iman, terangkatlah juga rasa malu. Sebab itu kata hukama, “bila kau hilang malu lakukanlah segalanya.” Maksudnya, bila rasa malu hilang, kita tidak akan fikir haram dan halal lagi… semuanya dilanggar tanpa segan-silu lagi. Antara ciri isteri yang solehah ialah isteri yang mengekal rasa malunya terhadap suami sehingga hidung suami tidak mencium sesuatu yang busuk dan mata suami tidak akan terpandang sesuatu yang buruk padanya.
Ya, diantara perbezaan insan dengan haiwan, selain insan punya fikiran ialah rasa malu. Malu itu sesuatu yang sangat berharga, ia adalah perhiasan di depan orang yang kita sayangi. Bahkan dalam Islam, malu dan iman sering disinonimkan. Ertinya, untuk mencari semula rasa yang malu yang dulu, samalah seperti menyusur semula jalan iman. Jika kita temui iman, maka secara automatik akan ada rasa malu.
Rasulullah SAW sendiri sangat menghargai sifat malu. Sehinggakan baginda akan berhias dan bersedia lebih daripada kebiasaannya apabila Sayidina Usman datang menemuyinya. Kenapa? Ini kerana sayidina Usman adalah seorang sahabat yang begitu terkenal dengan sopan santun dan malunya.
Inilah malu yang bertempat dan tepat pula masanya. Justeu, suburlah rasa cinta dalam rumah-tangga dengan menyuburkan semula rasa malu.
TELADAN CINTA KITA
Dia pahlawan yang dimuliakan wajahnya
Dia puteri dari zuriat yang mulia
Ali pewaris keberanian dan kebenaran
Fatimah titipan kesabaran dan kesucian
Persandingan itu…
di pelamin kemiskinan
Fatimah…
Puteri terpuji, isteri teruji,
Suami di medan jihad
Kau bermandi keringat
Jauh-jauh mencari air…di padang pasir
Di sengat sinar mentari
Sedikitpun tidak kau kesali
Untuk suami, kerana Ilahi
Ali…
Pahlawan unggul, ilmuan tersohor,
Syair setajam senjata
Gagah sekukuh kota
Kau kunci gedung nubuwwah
Kau fakir yang pemurah
Kau wira di sebalik selimut hijrah
Berkorban nyawa untuk Rasulullah
Ali & Fatimah…
Subuh itu mereka berdua bertemu Nabi
Lalu diluahkan ketandusan upaya
Betapa tenaga seakan tak mampu lagi
Untuk menanggung beban keluarga
Sudilah kiranya dihadiahkan seorang sahaya
Tersenyum Rasulullah mendengar rintihan
Lalu diberikan zikir sebagai gantian
Tiga kalimat sarat keberkatan
Subhannallah, Alhamdulillah, Alllah hu Akbar
Lalu esoknya mereka datang lagi…
Bersama satu kelapangan dan kekayaan hati
Cukuplah kami tak perlu apa-apa lagi!
Mereka miskin harta tapi kaya jiwa
Sering berpisah tapi tak gundah
Mereka bercinta kerana Allah
Indahnya mempelai di pelamin kemiskinan
Bila bersanding dua kemuliaan..
Seorang lelaki bergelar karamallahuwajjah,
seorang wanita yang az zahrah!
(…Sajak nukilan lama yang telah diangkat menjadi Nasyid)

MUHASABAH RAMADAN…


Ramadhan datang dan pergi. Apakah kembara hidup kita terus dinaungi oleh teduh keberkatannya? Tahun demi tahun, apakah kita semakin menghampiri takwa yang menjadi tujuannya? Atau ia terus memecut, berlalu… meninggalkan kita yang masih bertatih mengejar kemuliaannya. Manalah tahu nyawa terhenti dan Ramadhan terus tidak sempat kita cecah walau secebis rahmat, keberkatan, maghfirah, apatah lagi Jannah yang menjadi tagihannya.
“Apa perubahan yang kita nak buat tahun ni?” tanya isteri.
Saya termenung, banyak… tapi mampu kah.
“Kita teruskan berbuka bersama di masjid. Kemudian menunggu Isyak, baca Quran dan solat Terawih.”
“Perubahan yang sama sahaja,” kata isteri seakan merungut.
“Itu pun payah kita buat kan?” tingkah saya.
Teringat betapa ada ‘protes-protes’ yang terpaksa saya hadapi sewaktu melaksanakan program perubahan itu dua tahun lalu. Semua pihak terasa kehilangan rutin atau kebiasaan masing-masing dengan pelaksanaan program itu. Along, tak mahu berterusan di mesjid (dari sebelum maghrib hingga selepas terawih) kerana kehilangan rutinnya, nak ‘relaks-relaks’ selepas solat maghrib. Angah pula akan terlepas berbuka dengan makanan kegemarannya – mee goreng mamak, tahu sumbat dan makanan yang pedas-pedas kegemarannya. Makan di masjid, menurut sahaja resipi yang disediakan. Begitu juga anak-anak yang lain, ada sahaja yang terpaksa ‘dikorbankan’ dengan pelaksanaan program sebelum maghrib hingga selesai solat terawih di rumah Allah.
“Awak masih ingat waktu kita mula berubah… daripada berbuka dengan makan nasi kepada berbuka hanya dengan air dan kurma?”
Isteri tersenyum. Sudah lapan tahun tradisi berbuka dengan kurma dan air kami pertahankan. Mulanya susah juga, tapi lama kelamaan dah jadi kebiasaan. Perlahan-perlahan semuanya sudah terbiasa.
“Saya penat hanya mengubah rutin-rutin lahiriah…” keluh isteri.
“Awak rasa macam mana?”
“Saya nak sesuatu yang lebih berkesan… perubahan dalaman. Usia kita semakin senja, takut kita pergi tanpa mencapai tujuan.”
Saya akur. Kebimbangannya kebimbangan saya juga. Apakah puasa kita mencapai tujuan – bertakwa?
“Amal biar sedikit tapi berkekalan. Perubahan biar sederhana, tapi berkesan.”
“Apakah puasa kita telah mencapai takwa?”
“Lihat sahaja tanda-tanda orang bertakwa, apakah sudah ada pada diri kita?”
Sampai di situ, isteri saya terdiam. Bukan mudah mengubah hal-hal dalaman. Kalau hal-hal luaran pun payah untuk diubah.
“Orang bertakwa… mengawal marah.”
“Orang bertakwa… memberi dalam susah dan senang.”
“Orang bertakwa … jika terlanjur melakukan dosa, segera mengingati Allah dan bertaubat kepada-Nya.”
“Orang bertakwa… seorang yang pemaaf.”
Pengertian itu saya sebut berulang-ulang. Mengulang-ulang apa yang telah Allah tegaskan di dalam Al Quran.
Ah, jauhnya Ramadhan daripada kita bila diukur pada hasilnya. Saya masih gagal mengawal marah pada saat-saat yang kritikal. Padahnya, sewaktu itu terasa kita patut ‘melepaskan’ marah, sedangkan orang bertaqwa sentiasa mengawalnya. Pemaaf? Ya Allah! belum lagi. Kadang-kadang hanya kata-kata memberi maaf, tetapi rasa di dalam dada masih menyimpannya.
“Perubahan dalaman ni kita mulakan dalam diri masing-masing. Kita hanya boleh pesan memesan sahaja.”
Dulu di kampung, Ramadhan disambut penuh meriah. Ketika zaman kanak-kanak. Berbuka di surau bersama teman dan kemudian menunggu moreh sambil bermain kejar-kejar. Ketika itu fikiran kanak-kanak kita hanya dapat menjangkau – puasa tak boleh makan-minum, buka, bersahur, ada solat terawih, baca Quran dan kemudian hari raya! Alangkah indahnya. Tapi tahun demi tahun berlalu, kita digamit usia, pengertian makin mendalam… Ramadan bukan lagi tradisi yang datang pergi tanpa isi. Kita diterjah pertanyaan, sampai bila rutin itu perlu berlalu tanpa berkesan pada jiwa?
Dulu, ketika Ramadhan datang, badan masih bertenaga, namun ilmu hanya setakat di permukaan… puasa hanya pada sah dan batal. Kini Ramadan datang, ilmu mula menyelam, namun tenaga semakin kurang. Kesihatan mula terjejas. Ingin bertindak, tapi terbatas. Ya, Allah… bagaimana Ramadhan ku kali ini?
“Buat apa tu bang?” tegur isteri, memintas lamunan saya.
“Tak, bila awak sebut-sebut tentang hal-hal dalaman tu, memaksa saya merenung dalam-dalam.”
Di luar bilik, anak-anak ketawa dengan gurau sendanya. Mereka belum mengerti perlumbaan usia dan amal. Di dalam kami berdua seakan-akan menangisi Ramadhan kami yang hilang… Sambil menunggu Ramadhan yang akan datang. Sempatkah?
PADA RAMADAN INI…
Ramadan ini akan pergi
Namun yang pergi hanya giliran purnama
Bukan rasa dan maknanya
Semuga semuanya masih… di jiwa
yang sentiasa merindui
barakah dan maghfirahnya
(Apakah roh Ramadan ini
akan terus menerangi
… bulan-bulan seterusnya?)
Nanti Syawal bertamu jua
Bersama wajah seindah fitrah
Tasbih, tahmid dan takbir pun diucapkan
Meraikan satu kemenangan
di satu peperangan…
di dalam diri
(Apakah kita berjaya?
atau sekadar menumpang gembira…
di pinggiran kebesaran-Nya?)
Ramadan dan Syawal akan pergi
silih berganti masa
Dan kita bagaimana?
Masih di pelabuhan alpa?
Masih di dermaga dosa?
Dan bahtera kita terus kelelahan
..dihempas ombak keresahan
(Akan tiba saatnya
Ketika Ramadan dan Syawal datang jua
Tapi kita telah tiada…
untuk menyambutnya!)

Musyawarah Wadah Penyatuan Umat


Syukur Alhamdulillah ke hadrat Allah SWT atas pertemuan kita pada kalam kali ini dengan tajuk yang akan dikupaskan iaitu, “Musyawarah Wadah Penyatuan Umat”
Musyawarah merupakan suatu elemen penting yang perlu diterapkan di dalam sesebuah organisasi, struktur pentadbiran mahupun dalam sesebuah keluarga itu sendiri kerana selaras dengan firman Allah SWT dalam surah Ali’ Imran ayat 159 yang bermaksud, “… dan bermusyawarahlah dengan mereka dalam urusan itu …”dan dalam firmanNya yang lain seperti dalam surah al-Syura ayat 38 yang bermaksud, “… sedang urusan mereka (diputuskan) dengan musyawarah antara sesama mereka …”
Lembaran sirah telah membuktikan bahawa keberhasilan pelaksanaan musyawarah ini  secara terang lagi bersuluh. Rasulullah SAW seorang yang terkenal dengan kebijaksanaannya menguruskan pelbagai perkara, daripada sekecil-kecil urusan rumah tangga hinggalah sebesar-besar perkara seperti urusan pemerintahan. Uniknya, Rasulullah SAW tidak pernah menganggap kejayaan yang dikecap adalah hasil daripada usaha Baginda semata-mata tetapi sesuatu kejayaan yang terhasil itu daripada musyawarah (perbincangan) bersama. Elemen inilah merupakan salah satu ciri-ciri asas kepimpinan yang telah dipraktikkan oleh Baginda dalam keluarga dan organisasi yang dipimpin.
Sekiranya kita melihat daripada perspektif penerapan elemen musyawarah ini dalam kepimpinan Rasulullah SAW sendiri, banyak teknik yang berkesan yang dapat kita manfaatkan dan praktikkan dalam kita berurusan. Antaranya seperti:
a)      Tidak membuat keputusan terburu-buru
Rasulullah SAW amat percaya bahawa suatu keputusan yang hebat dan tepat hanya mampu diperoleh dengan melakukan musyawarah secara bersama dan bukannya dalam keadaan yang terburu-buru.
b)      Menerima pandangan orang lain dan tidak bermati-matian mempertahankan idea sendiri
Rasulullah SAW selalunya akan membentangkan sesuatu cadangannya terlebih dahulu kepada para sahabatnya sebelum membuat sesuatu keputusan. Ini mempamerkan bahawa idea mahupun pandangan Rasulullah SAW itu bukan suatu yang muktamad, sebaliknya merupakan suatu rancangan yang bersifat tentatif sahaja. Cadangan tersebut masih boleh dipinda dan dibuka untuk diperbincangkan secara bersama. Sifat inilah yang perlu kita terapkan dalam organisasi yang kita pimpin. Jangan jadi seorang pemimpin yang autokratik yang membuat keputusan sendiri tanpa melibatkan para sahabat dan orang di bawah pimpinannya secara bersama.
Jika kita lihat dalam peperangan Uhud, Rasulullah SAW telah mengadakan suatu perbincangan ketenteraan bagi membicangkan perancangan dan strategi terbaik yang bakal diambil bagi menghadapi musuh yang semakin mara untuk menghancurkan Islam ketika itu. Dalam perbincangan tersebut, Rasulullah SAW telah memberikan cadangan berikut iaitu, Tidak keluar daripada kota dan bertahan sahaja di Madinah kerana apabila orang Musyrikin masuk ke kota Madinah, mereka akan diperangi oleh tentera Islam di segenap lorong yang sempit. Manakala golongan wanita pula akan menentang dari atas bumbung rumah.
Apa yang berlaku dengan cadangan yang dilontarkan oleh Rasulullah SAW? Rasulullah SAW tidak bertegas dengan cadangan yang dilontarkan itu tetapi sebaliknya membuka peluang kepada para sahabatnya dalam memberikan pendapat dan pandangan yang lain.
Ketika perbincangan berlangsung, sekumpulan sahabat yang diketuai oleh Hamzah bin Abdul Mutalib telah memberikan cadangan yang lain iaitu, Keluar daripada kota Madinah kerana untuk memperlihatkan kepada tentera musuh bahawa tentera Islam bukannya pengecut.
Ketika membahaskan cadangan ini, Saidina Hamzah berkata, “Demi yang menurunkan al-Kitab kepadamu, aku tidak akan menjamah makanan melainkan setelah aku libas mereka dengan pedangku ini di luar Madinah.” (Ibn Burhan al-Din, al-Sirah al-Halabiyyah, jil 2, hlmn. 14)
Setelah kedua-dua cadangan ini dibentangkan dan dibahaskan, persetujuan bersama telah dicapai. Rasulullah SAW menerima cadangan majoriti iaitu bertemu musuh di luar kawasan Madinah.
c)       Tidak menolak secara mutlak sesuatu idea
Rasulullah SAW tidak menolak secara mutlak idea-idea yang disampaikan oleh para sahabat walaupun pada mulanya kelihatan seperti tidak sesuai ataupun praktikal. Baginda percaya, penolakan idea tanpa dibincangkan terlebih dahulu akan mematikan semangat orang yang memberikan idea tersebut. Oleh kerana itu, Baginda sering menggalakkan para sahabat dan rakyatnya untuk memberikan sebarang pendapat mahupun idea terlebih dahulu dalam sesuatu perkara yang berlaku.
Sebagai contoh, dalam peristiwa peperangan Khandaq, Baginda bersama-sama para sahabat telah berbincang tentang strategi pertahanan untuk mempertahankan kota Madinah daripada serangan oleh pihak tentera Quraisy di bawah pimpinan Abu Sufian. Baginda membuka peluang kepada para sahabatnya untuk mengemukakan idea dan pendapat. Lalu bangkitlah seorang sahabat yang berbangsa Farsi iaitu Salman al-Farisi r.a. dalam memberikan ideanya iaitu mempertahankan kota Madinah dengan menggali parit.
Setelah mengadakan sidang rundingan dan perbincangan secara bersama, Rasulullah SAW dan para sahabat telah bersetuju untuk menerima idea, pengalaman dan kepakaran Salman. Selepas itu, Rasulullah SAW telah mengarahkan kepada setiap 10 orang lelaki supaya menggali parit seluas 40 hasta.
d)      Menghargai sumbangan
Rasulullah SAW sering menghargai sumbangan para sahabat dan tentera-tenteranya melalui pujian dan doa. Sebelum bermulanya peperangan Badar, Rasulullah SAW telah mengadakan sidang perbincangan ketenteraan peringkat tertinggi. Di sini, Rasulullah SAW bertukar-tukar pendapat dengan semua anggota tentera serta para pimpinannya. Ketika itu, Abu Bakar al-Siddiq, Umar al-Khattab, al-Miqdad bin ‘Amru dan Sa’ad bin Mu’adh memberikan pandangan masing-masing. Rasulullah SAW amat gembira dengan pandangan tersebut, lalu memuji dan mendoakan kebaikan untuk mereka.
Inilah antara teknik yang dipraktikkan oleh Rasulullah SAW dalam kepimpinannya. Musyawarah merupakan elemen penting yang perlu dilaksanakan dalam menjana suatu organisasi yang mantap dan teratur. Tanpa musyawarah maka berpecahlah kita dengan masing-masing mempertahankan idea dan pendapat masing-masing tanpa mencari solusi kepada permasalahan yang berlaku. Sekiranya keputusan telah diperoleh maka tolaklah idea-idea yang dikemukakan dengan penuh berhikmah. Musyawarah adalah wadah dalam membina penyatuan umat bukannya kepada perpecahan umat. Jadilah seorang penganalisis yang baik iatu dengan mengkaji dan meneliti sesuatu itu secara terperinci dan bukannya menjadi seorang penghukum yang mementingkan diri tanpa memikirkan pihak yang lain agar hubungan sesama manusia dapat kita jaga.
“Terlaksana Musyawarah, Terbina Perpaduan Ummah.”

http://www.ilmi-islam.com/

Menggapai Mahabbah



Subuh memecah sepi buat seketika, suara azan berkumandang menandakan solat fardu subuh telah tiba. Angin sejuk menghembus hening perlahan-lahan membuatkan hati tenang menikmati nikmat Allah yang tidak terhingga. Arishz sudah bersiap sedia untuk menunaikan solat fardu subuh bersama dengan ayahnya. Iqamat dilaungkan oleh Arishz, diikuti solat berjemaah didirikan sebagai tanda kasih kepada Ilahi. Itulah rutin harian seorang anak muda belasan tahun yang hidup dalam era modenisasi ini tapi tidak alpa dengan tanggungjawab kepada Ilahi walaupun saban tahun pelbagai pembaharuan yang dilakukan oleh dunia.
Selesai solat didirikan, doa pula dibaca memohon kepada Ilahi agar hidup sentiasa diberkati. Arishz bersalam dengan ayahnya seusai doa dibaca dan duduk dihadapan ayahnya mendengarkan tazkirah sebagai santapan rohani pada pagi itu. Ayahnya memulakan bicara dengan nada yang perlahan sambil menyelak helaian buku usangnya yang terkandung seribu nota yang berguna. “Hari ini ayah ingin berkongsi cerita mengenai doa”,kata ayahnya kepada Arishz. Arishz hanya tersenyum sebagai tanda membalas cakap ayahnya.
Ayahnya meneruskan bicara, “Cuba Arishz fikirkan pada era modenisasi kini ramai remaja seperti Arishz yang tenggelam dengan budaya hedonisme yang dibawa oleh barat sebagai virus untuk menghancurkan kita. Apakah yang menyebabkan perkara ini berlaku? Semuanya adalah kembali kepada solat yang dilakukan oleh seorang hamba itu kerana Allah telah nyatakan  dalam al-Quran bahawa solat itu adalah pencegah daripada kemungkaran. Remaja yang runtuh akhlaknya disebabkan solat ini tidak dilaksanakan, kadang-kadang mereka solat tapi kesempurnaan solat seperti khusyuk itu tidak diperolehnya. Ayah bukan ingin tujukan kepada remaja sahaja tapi kadang-kadang itu orang yang berumur macam ayah ini pun entah khusyuk ke tidak. Sedangkan solat itu tiang agama jika tidak ditunaikannya maka runtuhlah agama. Ada juga masyarakat kita yang solat kerana suruhan agama tapi mereka tidak memahami falsafah solat itu sendiri. Solat yang diperintahkan Allah kepada kita bertujuan untuk kita mengabdikan diri kepadaNya malah untuk mempamerkan rasa cinta kita kepadaNya yang telah mencipta kita. Kita renungkan sama-sama selalunya selepas solat kita akan berdoa memohon macam-macam tapi kita tidak pernah terfikir bahawa kita ini asyik meminta tapi tidak pernah memberi. Ayah tinggalkan Arishz dengan persoalan ini dahulu. Apakah yang dimaksudkan dengan memberi dalam konteks tadi? Arishz fikirkan dahulu. Dah jom bersiap ayah nak pergi kerja, kejap lagi tak sempat pula nak hantar kamu ke sekolah.”bicara ayahnya.
“Baiklah ayah, Arishz cuba mencari jawapan tentang persoalan itu tadi.”, jawab Arishz dengan perlahan. Arishz pun melangkahkan kaki keluar daripada ruang solat di rumahnya dan menuju ke biliknya untuk bersiap ke sekolah. Acapkali selesai sahaja solat subuh mereka akan duduk bersama untuk berdiskusi sesuatu tajuk sebagai pedoman dalam kehidupan dan ayahnya sering meninggalkan persoalan untuk Arishz berfikir dan mencari jawapan. Arishz segera bersiap dan dengan kemas keluar dari bilik dan menuju ke ruang tamu. Matanya tertumpu kepada suatu sudut iaitu dia terkejut melihat ayahnya sudah siap memegang beg kerjanya dan tercegat di hadapan pintu. Terdetik dalam hatinya, “Pantas betul ayah ku ini bersiap, sedangkan aku telah cuba untuk memintasnya.”
Ayahnya memanggil Arishz. Arishz tersentak dengan lamunannya seketika tadi. Doa dibaca olehnya ketika kaki melangkah keluar daripada rumah. Masuk sahaja ke dalam kereta, doa menaiki kenderaan pula dibaca olehnya. Tanpa sempat ayahnya berkata sesuatu, Arishz terus bertanya kepada ayahnya, “Kenapa setiap kali Arishz cuba memintas ayah untuk bersiap ke sekolah, ayah masih tetap mendahului Arishz?. “Oh, itu rupanya yang membelenggu fikiran anak ayah ini dari tadi. Buat apa ayah nak bersiap lama-lama, cukuplah sekadar ayah berpakaian kemas je. Itu pun dah cukup untuk menzahirkan keindahan ciptaan Allah inikan? Lagipun sejak ibu kamu meninggal dunia ayah terpaksa menjaga kamu dan menguruskan syarikat. Tak ada masa ayah nak tatap lama-lama di hadapan cermin itu, lainlah macam kamu”, usik ayahnya.
Arishz hanya tersenyum dan terpamer diwajahnya sedih apabila mendengar kata ayahnya tentang ibunya. Ibunya telah lama meninggal dunia disebabkan menghadapi sakit paru-paru berair. Arishz hanya mampu menahan sebak di dalam hatinya. Ayahnya melihat anaknya diam sahaja. Ayahnya memulakan bicara, “Ayah tahu Arishz sedih, tapi setiap yang datang itu pasti akan pergikan? Sabarlah ye, ayah tahu kamu kehilangan kasih sayang seorang ibu.  Ibu kamu pergi masa kamu berumur 10 tahun dan kini kamu dah berumur 17 tahun. Tahun ini kamu akan menghadapi peperiksaan SPM yang bakal tiba tak lama lagi. Fokus pada ‘exam’ kamu.”, jelas ayahnya.
Arishz mula bersemangat semula dan seperti ada suatu semangat yang meresap dalam dirinya. Setiba sahaja di hadapan pintu pagar sekolah, Arishz bersalam dengan ayahnya lalu turun dari kereta dengan menggenggam satu harapan dan semangat yang berkobar-kobar untu menjadi seorang berjaya di duniawi dan ukhrawi. Arishz terkenal di sekolah sebagai seorang dai’e muda yang dilantik oleh pihak sekolah untuk menyampaikan dan mengendalikan program-program yang berunsurkan kerohanian malah Arishz juga menyandang jawatan sebagai Pengerusi Biro Dakwah dan Tarbiah dan Penolong Ketua Pemimpin Pelajar di sekolahnya.
Sifat kepimpinan dan ketegasannya memang terserlah sejak Arishz berkecimpung dalam dunia dakwah ini. Pelbagai kursus dan program yang telah Arishz ikuti demi memantapkan ilmu dalam dirinya. Baginya, dakwah itu sudah sebati dalam dirinya walaupun dia baru sahaja berumur 17 tahun dan masih mentah untuk menyampaikan ceramah mahupun mengendalikan program kerohanian tapi dalam dirinya, dia memegang teguh pada prinsip sesiapa sahaja berhak untuk melaksanakan amar makruf dan nahi mungkar seperti mana firman Allah SWT dalam al-Quran surah Ali Imran ayat 104 yang bermaksud, “Dan hendaklah di antara kamu ada segolongan orang yang menyeru kepada kabajikan, menyuruh berbuat (makruf), dan mencegah dari yang mungkar. Dan mereka itulah orang-orang yang beruntung.” Malah dorongan daripada ayahnya juga membuatkan Arishz semakin bersemangat untuk melaksanakan tugas dakwah ini.
Sejak ibunya telah lama meninggal dunia, Arishz hanya menagihkan kasih daripada ayahnya dan seorang sahabatnya iaitu Nazreen. Nazreen telah menganggap Arishz sebagai adiknya sendiri. Ukhwah yang dibina oleh mereka berdua amat akrab dan Arishz memang mengasihi Nazreen seperti abangnya lebih daripada dirinya sendiri selaras dengan hadis Rasulullah SAW yang bermaksud, “Tidak beriman seseorang daripada kamu dengan Allah sehingga ia mengasihi saudaranya sebagaimana dia mengasihi dirinya sendiri.” (Riwayat al-Bukhari no.13 dan Muslim no.45). Itulah yang dijadikan panduan dalam hidupnya.
Melangkah sahaja kaki masuk ke pintu pagar sekolah, senyuman terukir pada wajah Arishz bagi memulakan paginya di sekolah dengan satu semangat yang baru. Arishz berhenti di hadapan pagar asrama untuk melihat abangnya, di samping ditemani oleh pemimpin pelajar yang bertugas di situ. Melihat sahaja adiknya ada dihadapan pagar menantikan dirinya, Nazreen terus menghulurkan tangannya untuk bersalam dengan Arishz. Arishz bertanyakan kepada Nazreen, “Anta sihat tak hari ini?”. Nazreen dengan nada perlahan menjawab soalan yang diajukan oleh Arishz , “Syukur Alhamdulillah, ana sihat je hari ini. Adik tak payahlah risau.”, usik Nazreen.  Arishz membalas, “Kalau macam tu baguslah, semoga Allah sentiasa memberkati abang.”  ‘Study elok-elok tau. Minggu depan nak ‘exam’”. “Baiklah, ana sentiasa ingat pesanan anta. Ana pun sentiasa doakan yang terbaik untuk anta.”, balas Nazreen. “Terima kasih abang.”, sambung Arishz sambil mereka berdua berjalan bersama menuju ke tapak perhimpunan untuk menghadiri perhimpunan rasmi.
Arishz meletakkan begnya di kantin dan terus bergegas menuju ke tapak perhimpunan sambil mengarahkan pemimpin pelajar yang lain untuk mengarahkan pelajar bergerak segera ke tapak perhimpunan. Itulah tugas yang Arishz perlu laksanakan sebagai seorang pemimpin pelajar. Arishz segak bergaya dengan ‘blaser’ dan berdiri di hadapan pelajar lain untuk mengetuai perhimpunan rasmi. Arishz memulakan perhimpunan seperti kebiasaannya. Suasana agak dingin pada pagi itu kerana baru selepas hujan. Perhimpunan berjalan dengan lancar. Selesai sahaja perhimpunan, semua pemimpin pelajar diminta tunggu sebentar di situ untuk taklimat mingguan.
Selesai sahaja perjumpaan dilakukan, Arishz bergegas menuju ke makmal kimia. Arishz agak lewat masuk ke kelas kimia kerana taklimat yang diberikan tadi agak panjang. Salam diberikan kepada guru kimianya walaupun gurunya bukan beragama Islam tapi Arishz tetap menghormati gurunya. Itulah peribadi yang baik yang ditonjolkan oleh Arishz. Kelas kimia berjalan dengan baik dan teratur  walaupun ada beberapa orang pelajar melakukan agenda mereka yang tersendiri. Tepat jam 9.30 pagi loceng berdering menandakan waktu kelas kimia telah tamat dan waktu pelajar menengah atas rehat. Ucapan terima kasih dilontarkan oleh semua pelajar kepada gurunya. Arishz mengatur langkah untuk menuju ke bilik sahsiah bagi menyelesaikan tugasan yang telah ditetapkan.
Selesai sahaja tugasan yang telah ditetapkan. Perasaan Arishz tiba-tiba gelisah dan seperti memikirkan sesuatu. Arishz menuju ke mussola, lantas berwuduk dan solat sunat dhuha dua rakaat didirikan sebagai tanda mengingati dan mengasihi Ilahi. Seusai selesai solat sunat didirikan Arishz seperti ingin meluahkan sesuatu dan kelihatan dirinya seperti dibelenggu pelbagai persoalan yang tersirat dalam pemikirannya. Air muka Arishz tiba-tiba berubah ketika masuk ke kelas. Rakan-rakannya tidak mengendahkan dirinya. Arishz hanya mampu mendiamkan diri dan kepalanya terletak pada meja dihadapannya. Rakan sekelasnya menganggap Arishz seperti tidak wujud. Perasaan yang sedih tidak mampu ditahan olehnya lagi. Air matanya mula menitik membasahi pipinya perlahan-perlahan mengalir. Arishz segera keluar dari kelas dan menuju ke tandas untuk membasuh mukanya yang penuh dengan kesan air mata.
Rasa sejuknya air ciptaan Allah dapat menenangkan hati Arishz yang gundah-gulana seperti ada sesuatu yang disembunyikan olehnya daripada orang lain. Guru-guru yang masuk ke kelas tidak perasan akan perubahan yang berlaku kepada diri Arishz. Sesi persekolahan tamat pada jam 2.00 petang, Arishz bergerak ke tempat bertugas seperti biasa. Arishz hanya mampu untuk membisukan diri dan matanya memandang ke bawah sambil tangannya memeluk buku.
Mata Arishz tertumpu pada sepasang kasut yang seperti dikenalinya. Arishz tahu gaya jalan dan kasut yang dipakai, merupakan abangnya. Mata Arishz terus berubah arah dan memandang ke atas dan Arishz melihat abangnya berlalu pergi tanpa menghiraukannya. Air mata Arishz mula mengalir, dia mengharapkan abangnya mampu untuk mengubat hatinya yang berada dalam kedukaan dan Arishz mengharapkan Nazreen dapat menjadi pendengar untuk Arishz meluahkan perasaan dan masalah yang membelenggu dirinya.
Kesedihan yang di alami oleh Arishz tiada siapa yang mengetahui dan apa yang sebenarnya yang dipendam oleh Arishz masih menjadi suatu rahsia. Arishz berjalan perlahan sambil memimpin penghadang jalan gajah menyusur yang disediakan dan setiba sahaja Arishz di hadapan pintu sekolah. Arishz segera menaiki kereta. Ayahnya dalam keadaan risau dan pelik kenapa anaknya tidak gembira seperti selalu tapi ayahnya tidak mahu untuk menambahkan beban Arishz lagi kerana ayahnya tahu Arish memang sukar untuk menceritakan sesuatu yang di alaminya kepada sesiapa melainkan seseorang itu yang dia sayang dan kalau dia ingin berkongsi cerita. Sejak kematian ibunya, ayahnya sedar memang sukar seorang anak muda yang masih meniti alam remaja sudah terpaksa menghadapi pelbagai dugaan dalam kehidupan.
Setiba sahaja di rumah Arishz mempersiapkan diri untuk solat zuhur, selesai sahaja kewajipan yang dilaksanakan. Arishz bersiap untuk keluar makan dengan ayahnya. Ketika dalam perjalanan ayahnya cuba mencari peluang untuk bertanyakan masalah yang dihadapi oleh Arishz tapi tidak berjaya kerana Arishz hanya diam membisu tanpa bercakap apa-apa dengan ayahnya. Apabila sampai di kedai makan, selepas menu telah di tempah ayahnya dengan nada yang perlahan bertanyakan kepada Arishz, “Arishz ada masalah ke? Kenapa macam muram je ni?”, Arishz membalas, “Tak ada apalah ayah, cuma badan ni letih sikit”. Ayahnya diam tanda mengerti. Selesai sahaja makan, Arishz meminta ayahnya untuk menghantarkan dirinya ke pantai untuk dia mencari ketenangan buat seketika. Ayahnya akur dengan permintaan anaknya. Rumah mereka memang tidak jauh dengan pantai.
Arishz berjalan-jalan seorang diri di persisiran pantai sambil menghirup udara yang segar dan alunan ombak laut yang bergelora, Arishz tiba-tiba berhenti di suatu sudut dan Arishz bermonolong dalam hatinya, “Ombak ni juga terpaksa menghadapi pelbagai rintangan sebelum sampai ke persisiran pantai ini dan kadang kala terpaksa melalui batu-batu besar sebelum sampai ke persisiran pantai. Begitulah kehidupan yang terpaksa dihadapi oleh manusia dalam hidup ini yang penuh dengan dugaan dan cabaran. Kadangkala ombak itu juga ada kalanya berhenti sayup tanpa mengalir tanda ketenangan,”getus Arishz.
Hampir selama 10 minit, Arishz berlegar-legar di sekitar kawasan pantai, Arishz seperti sudah menjumpai ketenangan yang di carinya. Wajah Arishz berubah dengan senyuman yang terukir dan mukanya yang bersinar bagaikan satu cahaya yang menyinari dalam dirinya. Ayahnya amat lega dan bersyukur akan perubahan pada diri Arishz yang sebelum ini kelihatan muram. Ayahnya hanya senyum apabila melihat anaknya kembali dengan membawa satu semangat yang baru.
Tepat jam 5 petang selepas sahaja solat fardu asar didirikan, Arishz bersiap untuk ke kelas tambahan Matematik. Ayahnya menghantarnya ke rumah gurunya. Arishz benar-benar memberikan tumpuan ketika pengajaran gurunya. Arishz berazam untuk mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan SPM nanti demi memenuhi harapan dan impiannya untuk bergelar seorang pensyarah dan pendakwah. Selesai sahaja kelas tambahan, ayahnya menjemput Arishz dan mereka pergi ke pusat membeli belah untuk membeli barang dapur.
Ketika dalam perjalanan Arishz menceritakan tentang kelas tambahan tadi. Ayahnya bangga dengan Arishz kerana sikapnya yang berbeza dengan remaja yang lain yang mana gemar dengan hiburan dunia semata-mata. Arishz seorang anak yang taat pada perintah Allah dan kedua ibu bapanya. Arishz telah diasuh dengan baik dan dicurahkan sepenuhnya kasih sayang. Arishz mendapat didikan agama yang cukup daripada ayahnya.
Setiba sahaja mereka di rumah, ayahnya menyuruh Arishz bersiap untuk solat maghrib. Arishz segera mempersiapkan dirinya. Itulah rutin harian mereka sekeluarga. Laungan azan yang berkumandang di masjid yang berhampiran menandakan telah masuk waktu solat maghrib. Arishz dan ayahnya segera mengatur langkah menuju ke masjid untuk bersama menunaikan solat fardhu maghrib secara berjemaah sepertimana yang diriwayatkan oleh Ibn Umar r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Solat berjemaah lebih utama daripada solat secara bersendirian dengan perbezaan pahala sebanyak 27 darjat.” (Riwayat al-Bukhari no.619 dan Muslim no.650). Seusai solat maghrib sudah di laksanakan diikuti oleh bacaan doa dipanjatkan kepada Ilahi.
Seperti kebiasaan selesai sahaja solat maghrib mereka akan duduk bersama untuk berdiskusi seperti mana solat subuh sebagai mencerna pemikiran yang matang dan kreatif serta menjadi panduan dalam kehidupan. Ayahnya mencari satu ruang di dalam masjid untuk berdiskusi dengan anaknya sementara menantikan solat fardhu Isyak. Ayahnya terus bertanyakan kepada Arishz tentang soalannya pada waktu subuh tadi. Arishz dengan nada yang teragak-agak cuba menjawab, “Pada pendapat Arishz, memberi dalam konteks yang dimaksudkan ayah ialah memberi dengan ikhlas melalui mengingati Allah, berzikir, membaca al-Quran, melaksanakan amar makruf dan nahi mungkar, bersedekah dan amalan mahmudah yang lain,”jelas Arishz.
“Baiklah, ayah cuba jelaskan konflik yang berlaku ini. Memberi dalam konteks tadi membawa erti kita sebagai manusia ini hanya tahu meminta kepada Pencipta tapi tidak tahu memberi dengan hati yang ikhlas. Memberi yang dimaksudkan ialah rasa cinta yang ikhlas dengan penuh rasa rendah diri dan tawaduk kepada Allah kerana kita selalu menzahirkan cinta kita kepada manusia yang kadang kala tidak pernah memahami perasaan kita yang sebenarnya. Sedangkan Allah itu adalah pemberi cinta yang agung lagi unggul. Oleh itu, untuk menzahirkan cinta kita kepada Allah kita hendaklah melakukan seperti mana yang Arishz cakapkan tadi iaitu bersedekah, berzikir dan amalan mahmudah yang lain. Tapi kalau kita tengok hari ini ramai masyarakat kita yang hanya mengharapkan cinta daripada manusia semata-mata. Cuba kita fikirkan kalau manusia itu rapat dengan seseorang dia akan sentiasa bersama dan dia akan jadikan temannya tempat dia meluahkan perasaan dan menceritakan segala-galanya. Macam itulah perumpaan antara kita dengan Allah jika kita benar-benar rapat denganNya maka Allah akan sentiasa bersama dengan kita tapi jika kita jauh dengan Allah maka jauhlah jarak kita dengan Allah. Malah, jika kita rapat dengan Allah segala yang kita pinta mudah kita peroleh kerana Allah itu Maha Pemurah terhadap hambanya tapi kita je yang bakhil untuk memberikan kepadaNya,”ayah menjelaskan dengan panjang lebar kepada Arishz.
Penjelasan yang diterangkan oleh ayahnya itu membuatkan Arishz tersentak daripada lamunan buat seketika. Arishz faham akan penerangan yang diberikan. Arishz menambah, “Ayah, cintakan bunga, bunga akan layu, cintakan manusia, manusia akan mati, dan cintakan Allah kekal abadi.” Ayahnya tersenyum dengan kata-kata Arishz lalu menyambung bicara lagi, dalam satu hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a, beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Tujuh golongan yang akan Allah SWT menaungi mereka di bawah naungan-Nya yang pada hari itu tidak ada naungan selain naungan-Nya, iaitu: Imam yang adil, pemuda yang taat beribadah kepada Allah SWT, orang yang hatinya terikat dengan masjid, dua orang yang saling menyayangi kerana Allah, sehingga bertemu dan berpisah juga kerana-Nya, lelaki yang diajak seorang wanita cantik untuk melakukan maksiat, namun berkata, ‘Sesungguhnya aku takut kepada Allah.’, orang yang bersedekah dengan bersembunyi-sembunyi, sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang disedekahkan oleh tangan kanannya, dan orang yang berzikir kepada Allah di tempat yang sepi sehingga berlinang air matanya.” (Riwayat al-Bukhari no.1423 dan Muslim no.1031).
“Kalau kita teliti satu persatu isi kandungan hadis ini banyak pengajaran yang boleh diambil sebagai pedoman dalam kehidupan kita. Pertamanya, seorang imam yang adil atau kata lainnya seorang pemimpin atau ketua yang adil yang mana mereka perlu melaksanakan dan menegakkan hukum Allah dengan adil tanpa ada sebarang konspirasi dan dalih walaupun terpaksa mengorbankan harta, pangkat dan nyawa.”, jelas ayahnya mendalam.
“Keduanya, seorang pemuda yang taat beribadah kepada Allah SWT, tapi malangnya pada hari ini rata-rata pemuda kita hanyut dan lalai dibuai arus duniawi semata-mata tanpa memikirkan alam akhirat yang kekal abadi seperti yang disebutkan dalam suatu hadis, “Dunia adalah (ibarat) penjara bagi mukmin dan syurga bagi orang kafir.” (Riwayat Muslim) dan kata-kata daripada Saidina Umar al-Khattab ada menyebut, “Kalau kamu ingin melihat suatu bangsa itu mencapai tahap ketamadunan, lihatlah generasi remajanya.” Malah pepatah kita juga ada menyebut, “Pemuda Harapan Bangsa, Pemudi Tiang Negara.” Nah jelas menunjukkan bahawa pentingnya ada pemuda yang benar-benar memahami dan mengaplikasikan Islam dalam kehidupannya dan kesannya Allah akan menanungi mereka di hari akhirat kelak yang mana tiada naungan selain daripada naungan Allah semata-mata.”, tegas ayahnya.
Tanpa berhenti ayahnya terus menyambung bicara di samping Arishz setia mendengar. “Ketiganya, orang yang hatinya selalu terikat dengan masjid. Ramai yang tidak sedar akan besarnya fadhilat mendirikan solat secara berjemaah di masjid. Antara hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a, beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Solat seseorang yang dikerjakan secara berjemaah, pahalanya melebihi solat yang dikerjakan secara sendirian di rumah atau di pasar dengan perbezaan pahala sebanyak 25 darjat. Yang demikian itu boleh diraih jika dia berwuduk dengan sempurna, lalu keluar menuju masjid dengan tujuannya hanya untuk mengerjakan solat. Tidaklah dia melangkahkan kakinya (ketika menuju ke masjid), melainkan darjatnya akan ditingkatkan dan dosanya akan diampunkan. Jika dia telah mengerjakan solat, para malaikat akan tetap berselawat kepadanya selama mana dia masih berada di tempat solatnya dan belum berhadas. Para Malaikat berucap; ‘Ya Allah limpahkanlah rahmat dan keampunanmu kepadanya. Ya Allah, kasihanilah dia.’ Dan dia dianggap mengerjakan solat selama kamu menunggu untuk mengerjakan solat.” (Riwayat al-Bukhari no.620), panjang lebar ayahnya berhujah yang bersertakan dalil daripada hadis-hadis yang sahih.
Diskusi diteruskan lagi tanpa henti dan ayahnya menyambung huraian daripada isi kandungan hadis tadi. “Keempat, dua orang yang saling menyayangi kerana Allah, sehingga bertemu dan berpisah juga keranaNya. Ayah nak Arishz lihat konteks hadis ini bukan kepada istilah cinta antara teruna dan dara pada hari ini tetapi cuba kita lihat pada perspektif yang berbeza sedikit, jelas ayahnya. Cuba Arishz lihat hubungan persahabatan antara Arishz dan kawan-kawan Arishz hari ini. Adakah nilai persahabatan antara Arishz dan rakan semata-mata kerana Allah atau mempunyai sebab yang lain. Ketahuilah dalam satu hadis yang diriwayatkan daripada Nu’man bin Basyir r.a, beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Perumpamaan orang Mukmin dalam hal saling mencintai, mengasihi dan menyayangi, adalah bagaikan satu tubuh. Jika salah satu bahagian tubuh merasakan sakit, maka seluruh bahagian tubuh yang lain juga ikut merasakan sakit dengan tidak dapat tidur dan mengalami demam.” (Riwayat al-Bukhari no.6011 dan Muslim no.2586) dan dalam satu hadis yang lain yang diriwayatkan daripada Ibn Umar r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Seorang Muslim adalah saudara Muslimnya yang lain. Dia tidak boleh menzaliminya dan merendahkannya. Sesiapa yang memenuhi keperluan saudaranya, maka Allah akan memenuhi keperluannya. Sesiapa yang menghilangkan kesulitan seorang Muslim, maka Allah akan melepaskan kesulitannya kelak pada hari kiamat. Sesiapa yang menutupi aib seorang Muslim, maka Allah akan menutup aibnya kelak pada hari kiamat.” (Riwayat al-Bukhari no.2442 dan Muslim no.58). Kedua-dua hadis ini sudah cukup menerangkan betapa pentingnya nilai ukhwahfillah yang perlu dihayati dan diaplikasikan oleh semua umat Islam pada hari ini. Justeru, binalah ukhwah yang bertemu dan berpisah yang semata-mata diniatkan kerana Allah dan terapkanlah dalam kehidupan seharian kita untuk berkasih-sayang sesama Islam yang ikhlas kerana Allah.”
“Kelima, lelaki yang diajak seorang wanita cantik untuk melakukan maksiat, namun berkata, ‘Sesungguhnya aku takut kepada Allah.’ Kalau Arishz lihat pada hari ini, betapa ramai remaja yang berani mengatakan tidak kepada maksiat. Ayah tidak menafikannya mungkin ada juga yang mengatakan tidak kepada maksiat tetapi bilangan yang mengatakan ya kepada maksiat pula begitu ramai. Amat minoriti bilangan yang tegas dalam mempertahankan akidah dan nilai iman dalam diri berbanding sebaliknya. Inilah realiti yang berlaku dalam kalangan masyarakat kita pada hari ini yang tenggelam dek asakan duniawi kerana tiada penghayatan nilai Iman, Islam dan Ihsan dalam kehidupan mereka. Ayah harap anak ayah ni tidak begitu ye?,” ayahnya memandang wajah Arishz dengan penuh harapan agar anaknya memahami setiap tutur bicara yang diterangkan tadi.
Perbincangan mereka terhenti apabila kedengaran azan Isyak yang berkumandang. Mereka berdua melangkah masuk merapati saf untuk menunaikan solat berjemaah. Seusai solat, tiba-tiba datang seorang lelaki yang berserban menghampiri mereka berdua. “Assalammualaikum, ustaz?”, lelaki itu memulakan bicara. “Waalaikummussalam, tapi sebelum itu saya ni bukan seorang ustaz”, jelas ayahnya kepada lelaki yang berpakaian serba putih itu. “Jangan terlalu merendah diri sangat ustaz.”, lelaki itu membalas sambil mengukirkan senyuman. “Ya Allah, benar pak cik, saya bukan seorang ustaz.”, ayah Arishz cuba bertegas. “Maaf ye nak, tadi pak cik curi-curi dengar perbincangan kamu dan anak muda ini. Cara kamu berhujah membuatkan pak cik tertarik untuk mendengar.”, jelas pak cik itu seperti serba salah. “Tentang itu ke, saya ni bukanlah seorang ustaz pun. Saya merupakan CEO di sebuah syarikat guaman di ibu kota dan anak muda yang dimaksudkan oleh pak cik tadi adalah anak saya. Arishz namanya. Kami selalu manfaatkan masa senggang ini dengan berbincang bersama.”, jawab ayahnya panjang lebar. “Begitu ke, pak cik ni setiausaha di masjid ni. Pak cik amat tertarik dengan cara penerangan dan penyampaian kamu tadi. Di masjid ni sudah lama tiada kuliah ilmiah yang dijalankan. Kalau boleh pak cik nak meminta jasa baik kamu untuk memberikan kuliah agama di sini setiap hari selasa malam selepas solat maghrib seperti tadi.”, tambah pak cik itu menerangkan hajat sebenarnya. Wajah ayah Arishz seperti serba salah sambil berkata, “Amat berat untuk saya katakan, saya ni bukannya seorang ustaz dan pengetahuan agama saya pun bukannya luas sangat pun. Untuk menerima jemputan pak cik tadi amat berat bagi saya.”, perlahan ayah Arishz cuba menolak pelawaan itu dengan baik. “Tidak mengapalah kalau begitu, pak cik pun tak nak paksa kamu. Tapi permintaan kali terakhir ini pak cik harap kamu dapat penuhinya.”, sayup suara pak cik itu seperti rasa sedih yang bersarang dalam dirinya. “Apa dia tu?”, soal ayah Arishz kepada pak cik itu. “Pak cik harap kamu boleh mengajar anak pak cik tentang ilmu agama ini. Dia seusia dengan anak kamu ni.”, terang pak cik itu. “InsyaAllah, saya fikirkan dahulu. Kalau saya sudah bersedia nanti saya maklumkan pada pak cik.”, jawab ayah Arishz tenang. “Kalau begitu baguslah. Pak cik harap kamu tidak menghampakan permintaan pak cik ini.”,tambah pak cik itu. “InsyaAllah.”, balas ayah Arishz ringkas. “Pak cik minta diri dulu ye nak. Assalammualaikum!”, balas pak cik lalu pergi meninggalkan mereka berdua.
Dalam perjalanan pulang ke rumah Arishz memulakan bicara dengan mengucapkan terima kasih kepada ayahnya atas penerangan yang amat berguna untuk dirinya. Setiba di rumah, Arishz terus menyediakan makanan untuk makan malam. Arishz memanggil ayahnya untuk makan malam. Mereka hanya makan makanan yang dibeli di kedai makan yang berhampiran sahaja pada sebelah petang tadi selepas kelas tambahan Arishz tadi. Itulah kebiasaan hari-hari mereka yang terpaksa mereka lalui walaupun perit tapi kehidupan terpaksa diteruskan.
Selesai sahaja makan malam, Arishz kemaskan meja makan dan ayahnya mula menyemak fail-fail kerja syarikatnya. Selepas itu, Arishz terus mula belajar dan menyiapkan kerja rumah yang diberikan oleh gurunya. Tika jam di dinding menunjukkan pukul 11 malam, Arishz segera mengemaskan segala kerja-kerjanya dan membuat persiapan untuk ke sekolah esok. Ayahnya telah masuk tidur awal kerana faktor usia yang menyebabkan ayahnya terpaksa mendapatkan tidur yang cukup untuk memperoleh kecergasan pada badan demi meneruskan kerja pada keesokan hari. Di suatu sudut Arishz duduk termenung sambil matanya meninjau ke luar tingkap melihat ruang angkasa yang bergemerlapan dan terang sinarnya di malam hari. Sedang Arishz leka dengan melihat ciptaan Ilahi, terlintas di fikirannya tentang sahabatnya yang telah dianggap seperti abangnya sendiri. Apabila terkenangkan Nazreen, air matanya mula mengalir membasahi pipi dengan suara tangisan yang seperti ada sesuatu yang di pendam olehnya.
Arishz segera bangun dan terus mengambil wuduk dan lantas  menunaikan solat sunat dua rakaat. Tika selesai solat sunat didirikan Arishz menadah tangan memohon kepada Ilahi. Arishz berdoa, “Ya Allah, Ya Hayyum, Ya Qayyum aku merafakkan tangan kepadaMu memohon keutuhan iman dalam diriku dan berikanlah aku kekuatan dalam menghadapi cabaran dan dugaan dunia yang fana ini. Ya Allah, Ya Rahman, Ya Rahim, aku amat mengasihi sahabatku Nazreen seperti aku sayang diriku. Pertemuan kami kerana Mu Ya Allah dan aku berharap ukhwahfillah yang dibina ini akan membawa ke jannahMu Ya Allah. Sesungguhnya Engkaulah yang Maha Mengasihani lagi Maha Penyayang, cinta yang kau lahirkan ini adalah wadah untuk diriku terus berjuang dalam bidang dakwah ini. Dialah semangat dan cahaya yang menyinari dalam hidupku. Engkau lindungilah dia daripada sebarang marabahaya dan malapetaka jika Engkau ingin turunkan musibah dan ujian kepadanya, Engkau berikanlah kepada diriku. Ya Allah, Engkau jaga dan peliharalah ayahku daripada sebarang bahaya dan Engkau tetapkan dalam diriku untuk sentiasa menyintai dan mengingati Mu agar aku tidak alpa dengan keindahan dunia. Amin Ya Rabbal Alamin.” Seusai doa dipanjatkan kepada Ilahi sambil air mata Arishz terus mengalir dan dia perlahan-lahan menyapu tangannya ke muka untuk menghilangkan air matanya tadi.
Arishz segera mencapai baju sejuknya dalam almari dan di sarungnya sambil dia memeluk sebuah buku yang terkandung segala coretan dirinya dan akhirnya Arishz terlelap di samping buku itu erat dalam pelukannya. Akhirnya, Arishz tersentak daripada tidur apabila mendengar ketukan pintu dan suara ayahnya yang memanggil dirinya. Arishz menyahut dengan suara yang perlahan dan badannya masih mengeliat lagi. Dia segera mencapai tuala mandi dan bergegas menuju ke bilik mandi. Setelah diri telah siap untuk ke sekolah, kewajipan sebagai seorang umat Islam tidak dilupakan. Solat subuh berjemaah lantas dilaksanakan, selesai sahaja Arishz sentiasa menunggu ayahnya untuk mendengar tazkirah pagi tapi pada pagi ini ayahnya seperti bergegas untuk ke tempat kerja jadi ayahnya dengan nada yang lemah-lembut mengatakan, “Arishz, hari ini ayah tak dapat nak bagi kamu santapan rohani kerana hari ini ayah ada mesyuarat penting di pejabat tapi ayah tinggalkan kamu satu persoalan untuk kamu fikirkan. Apakah yang kamu faham dengan mahabbah?”
“Baiklah, Arishz faham situasi ayah tapi malam nanti kita bersama-sama kena berikan rohani ini makan, takut dia kering pula.” Arishz mengusik ayahnya. Mereka berdua ketawa bersama lalu keluar dari kamar solat. Arishz segera bersiap untuk ke sekolah seperti biasa. Seperti kebiasaan ayahnya tetap mendahului Arishz terlebih dahulu. Tapi kelihatan ayahnya nampak lebih bergaya daripada biasa pada hari ini. Ayahnya seorang CEO dalam Firma Guaman yang ditubuhkan sejak Arishz masih kecil lagi. Itulah yang ayahnya mengharapkan Arishz dapat menyambung delegasi keluarganya apabila ayahnya tiada nanti.
Setiba sahaja di sekolah, Arishz melakukan tugasan hariannya seperti kebiasaan. Tapi pada hari ini Arishz banyak mendiamkan diri daripada berbicara dengan sesiapa. Arishz mencari-cari abangnya di hadapan pagar asrama. Akhirnya, Nazreen muncul di hadapannya sambil tangan dihulur untuk bersalam dengannya, Nazreen hanya tersenyum dan berlalu daripada situ. Wajah Arishz tiba-tiba berubah, dia seperti menahan kesedihan dalam hatinya tapi dia masih mampu untuk mengukirkan senyuman kepada semua walaupun pada hakikatnya hatinya merintih kesedihan. Itulah sikap Arishz yang pandai menyembunyikan sesuatu daripada di ketahui daripada orang lain. Subjek pertama untuk hari itu dimulakan dengan subjek Matematik.
Tika kaki Arishz melangkah masuk kelas, Puan Rizatulakhma guru Matematiknya memanggil Arishz. “Arishz, kamu ni kenapa? Pagi-pagi dah tak ceria. Tak bestlah macam ni. Kamu perlu bersemangat untuk mulakan lembaran hari ini,” usik cikgunya sambil tersenyum. Arishz hanya mampu tersenyum dan berlalu dari situ. Itulah watak cikgu Rizatul walaupun telah berumur tapi masih memahami hati dan perasaan remaja seperti Arishz. Cikgu Rizatul memang seorang guru yang banyak mengambil berat tentang dirinya terutama dengan kesihatan Arishz. Kelas berjalan dengan baik, cikgu Rizatul kerap menyoal Arishz dan selalu memantau kerja-kerja Arishz. Bagi Arishz, dia amat berbangga kerana dapat seorang guru yang benar-benar ambil berat tentang dirinya walaupun dirinya selalu menjadi sasaran dalam kelas.
Kelas berakhir pada jam 9 pagi. Cikgu Rizatul meminta Arishz menunggu sebentar selepas kelas. “Kamu ni tak sihat ke hari ni? Kenapa macam muram je cikgu tengok kamu hari ini? Cubalah cerita dengan cikgu?”, cikgu Rizatul mulakan perbualan. “Saya tak ada apa-apalah cikgu cuma tertekan sikit je,” balas Arishz. “Kamu tertekan dengan cikgu ke?” cikgu Rizatul terus bertanya mohon kepastian. “Tak adalah cikgu, bukan cikgu yang buat saya tertekan. Cuma kadang-kadang tu saya je mengambil sesuatu perkara itu sebagai serius sangat,” Arishz menjawab sambil tersenyum. “Oh, kalau begitu tak apalah cikgu faham situasi kamu. Kamu tu tahun ni nak SPM jadi fokus kat exam kamu dulu. Kerja-kerja luar tu dah kena perlahankan dulu.” ujar cikgu Rizatul sebagai nasihat. “Baiklah cikgu, saya faham tu. Saya minta diri dulu ye. Saya ada hal nak jumpa cikgu displin kejap.”balas Arishz. Cikgu Rizatul hanya tersenyum sambil melambai-lambaikan tangannya kepada Arishz. Cikgu Rizatul memang ambil berat tentang dirinya. Bagi Arishz cikgu Rizatul adalah ibu angkatnya sejak dia kehilangan ibunya.
Dalam perjalanan Arishz menuju ke bilik sahsiah. Arishz terserampak dengan Ustazah Hajah Siti Zabedah. Seorang guru cemerlang dalam subjek Pendidikan Islam dan yang senior dalam kalangan guru. Arishz memberikan salam kepadanya, lalu ustazah terus bertanya, “Macam mana dengan study kamu? Ok tak? Agama jangan gagal tapi mesti ‘A’ jangan setakat lulus je. Kamu tu Penolong Ketua Pemimpin Pelajar jadi kamu kena tunjukkan kepimpinan kamu dan kejayaan kamu dalam SPM nanti. Ingat tu!” pesan ustazah kepada Arishz. Arishz membalas dengan nada yang perlahan seperti tidak sihat, “Baiklah ustazah, saya sentiasa ingat pesanan ustazah. InsyaAllah saya akan pastikan saya boleh mendapat keputusan yang cemerlang dalam SPM kelak. Ustazah doakanlah kejayaan saya.” “Kalau begitu baguslah. Ustazah minta diri dulu.” balas ustazah.
Arishz segera berlalu dari situ dan menuju ke bilik sahsiah untuk berjumpa dengan guru disiplin. Pintu diketuk sebelum Arishz melangkah masuk ke dalam bilik tersebut dan salam dihulurkan sebagai tanda hormat kepada gurunya. Arishz menyerahkan sepucuk surat kepada gurunya. Selepas gurunya meneliti dan membaca surat tersebut, wajah gurunya berubah dan seperti terkejut apabila membaca isi kandungan surat tersebut.
Gurunya memulakan perbualan, “Kenapa kamu tidak maklumkan kepada pihak sekolah tentang masalah ini lebih awal. Keluarga kamu dah tahu ke belum?.” “Bukannya saya tak nak maklumkan kepada pihak sekolah lebih awal tapi saya pun baru mengetahui tentang perkara tersebut. Maafkan saya cikgu. Keluarga saya sudah sedia maklum tentang perkara ini.” “Baiklah, kalau begitu baguslah. Cikgu doakan kamu akan dapat menangani masalah ini dengan tabah.”ujar cikgunya. “Terima kasih cikgu, saya mohon diri dulu. Assalammualaikum..”balas Arishz. Tapi pada hakikatnya ayahnya tidak mengetahui akan masalah yang dihadapi Arishz. Arishz terpaksa menipu kerana dia khuatir akan menggangu kerja ayahnya dan kesihatan ayahnya.
Selepas keluar daripada bilik sahsiah, Arishz mencari-cari Nazreen di kantin. Niat pada hatinya untuk melihat abangnya, kerinduannya terhadap Nazreen membuatkan dia berasa gelisah. Memanglah Nazreen ada dihadapan matanya, tapi jarang mereka duduk bersama berkongsi cerita atau berbual dek kerana tidak sama kelas dan Arishz duduk di luar manakala Nazreen tinggal di asrama. Arishz sentiasa berharap untuk berbual bersama dengan Nazreen dan menceritakan masalah yang dihadapinya tetapi masa tidak mengizinkannya. Arishz dalam dilema kerana Arishz sentiasa berusaha untuk bertemu dengan Nazreen walaupun dia sibuk dengan peperiksaan SPM dan tugasan sebagai pemimpin pelajar tapi Nazreen seperti menjauhkan diri daripada Arishz. Arishz juga faham yang Nazreen juga akan mengambil peperiksaan SPM pada tahun ini tapi entah mengapa Nazreen seperti semakin jauh. Ukhwah yang terbina sebelum ini sudah mula renggang.
Tika loceng berdering pada jam 2 petang menandakan sesi persekolahan telah tamat. Arishz seperti biasa melaksanakan tugasnya dan dalam masa yang sama Arishz mencari-cari Nazreen ketika barisan pelajar melulu keluar menuju ke pintu pagar sekolah. Akhirnya, Arishz nampak kelibat Nazreen lalu dihadapannya dan seperti biasa Nazreen hanya sekadar berjabat tangan serta senyum tanpa bertanyakan mahupun berkata apa-apa kepada Arishz. Hati Arishz sekali lagi hiba dan sedih kerana hajat dihatinya, mahu meluangkan masa bersama Nazreen tetapi Nazreen hanya berlalu begitu sahaja dihadapannya. Arishz pun berlalu keluar daripada sekolah.
Ayahnya sedia menanti dihadapan pagar sekolah. “Hari ini ayah nak bawa kamu ke pusat membeli belah untuk beli buku dan pakaian sikit untuk Arishz”, ayahnya mulakan perbualan.  Arishz seperti terkejut dengan apa yang dikatakan oleh ayahnya. Arishz hanya tersenyum dan hatinya gembira apabila mendengarnya kerana jarang ayahnya untuk meluangkan masa untuknya keluar ke pusat beli belah melainkan terdesak untuk mencari sesuatu.
Apabila sampai sahaja di pusat membeli belah Arishz mengatur langkah menuju ke kedai buku dan Arishz tertarik dengan satu buku. Arishz membelinya dan Arishz berniat untuk menghadiahkan  kepada Nazreen. Selepas itu Arishz ikut ayahnya untuk membeli pakaian. Banyak juga ayahnya membelikan Arishz pakaian hinggakan tak cukup tangan Arishz untuk pegangnya. Ayahnya memulakan perbualan, “Sebenarnya hari ini ayah telah berjaya menyelesaikan satu kes dan ayah amat bersyukur kerana dengan izin Allah ayah berjaya juga akhirnya dalam kes ini kerana sekian lama ayah cuba menyelesaikan kes itu tapi syukur sangat akhirnya berjaya”, jelas ayahnya.
“Oh, begitu rupanya barulah Arishz faham kenapa ayah bersungguh-sungguh temankan Arishz beli baju hari ini dan banyak pula tu. Arishz takut tak terpakai je nanti.”balas Arishz sambil dia ketawa perlahan. Ayahnya turut ketawa sambil berkata, “Bukan macam tu ayah cuma nak tebuskan masa ayah dengan Arishz je. Ayah tahu ayah tak luangkan masa dengan Arishz. Maafkan ayah ye Arishz. Dah jom kita balik dah nak masuk asar dah ni.”tambah ayahnya.
Apabila sampai dirumah ayahnya terus ke dapur dan masak untuk makan malam nanti. Arishz mengajak ayahnya untuk bersolat asar berjemaah tapi ayahnya dengan nada perlahan menolaknya kerana ayahnya ingin menyediakan makan malam. “Ayah, Arishz bawa motor untuk ke masjid dulu ye. Nanti kalau dah sudah nanti. Arishz tolong ayah masak ye.”jerit Arishz. “Baiklah, tapi Arishz bawa motor tu elok-elok tau. Dah habis nanti terus balik ye.”jawab ayahnya. “Baiklah ayah, Arishz tahu jaga diri Arishz. Arishz pergi dulu ye ayah”,Arishz menambah sambil bersalam dengan ayahnya.
Selepas sahaja solat asar selesai, imam masjid menanyakan kepada Arishz tentang ayahnya dan Arishz menjawab dengan sopan dan lembut, “Ayah saya ada dirumah dia tidak dapat datang kerana ada kerja yang dia kena selesaikan di rumah. Ayah kirim salam dekat imam.” “Imam ingatkan ayah kamu sakit kerana dah lama juga ayah kamu tak datang ke masjid tapi ada sekali tu imam jumpa ayah kamu dan dia kata dia ada satu kes yang besar kena selesaikan. Tapi ayah kamu bagus kerana ayah kamu masih tidak lupa dengan kami semua kerana setiap kali solat zuhur sebelum ayah kamu ambil kamu dekat sekolah, dia singgah solat di sini dulu. Malah, selalu juga dia datang masjid ini untuk solat sunat dhuha. Nanti sampaikan salam pada ayah kamu.” jelas imam. “Terima kasih imam kerana sudi cerita pada saya. InsyaAllah saya sampaikan. Saya minta diri dulu ye imam. Assalamualaikum.” balas Arishz. “Waalaikummussalam. Bagus kamu ini Arishz seorang anak yang baik untung ayah kamu dapat kamu.” tambah imam.
“Assalammualaikum!”, suara Arishz kuat kedengaran. “Waalaikummussalam!”, jawab ayah. “Tadi Arishz jumpa imam dekat masjid, dia kirim salam dekat ayah.”Arishz menyambung. “Waalaikummussalam.”,ayah membalas sambil menyapu tangannya pada kain kerana baru selesai memasak. “Dah pergi siap cepat, boleh kita makan nanti sejuk pula lauk tu. Hari ini kita solat maghrib dengan isyak dekat masjid.”, ayah menambah. “Baiklah ayah, Arishz ikut je.”Arishz membalas.
Apabila selesai sahaja makan bersama, Arishz bersiap segera untuk ke masjid. Setiba sahaja di ruangan masjid, tergambar kegembiraan pada wajah ayahnya kerana masih diizinkan Allah untuk beribadah kepadaNya demi menghadapi hari yang akan datang. Tika kaki melangkah ke dalam ruangan solat air mata berlinangan di pipi ayahnya terkenangkan cintanya kepada Rabbul Izzati yang masih sanggup menerima kehadirannya di masjid untuk meneruskan ibadah yang telah ditetapkan. Apabila terdengar laungan iqamat, solat berjemaah dilaksanakan bersama. Selesai sahaja solat maghrib, menjadi rutin harian aktiviti masjid iaitu kuliah maghrib yang disampaikan oleh seorang ustaz muda yang baru menamatkan pengajiannya di Mesir. Kuliah ini baru sahaja dilaksanakan oleh pihak masjid dek kerana terlalu lama masjid ini tiada melakukan sebarang kuliah.
Arishz dan ayahnya dengan penuh fokus memberikan sepenuh perhatian terhadap ceramah yang disampaikan oleh ustaz muda itu. Sehinggakan mereka tidak menyedari ada seseorang yang sedang memerhatikan mereka berdua. “Assalammualaikum!”, sergah seorang pak cik. “Waalaikummussalam!”, ayahnya menjawab sambil menoleh ke belakang. “Eh, pak cik rupanya! Lama kita tak berjumpa. Pak cik sihat?”, ayahnya seolah-olah terkejut melihat pak cik yang pernah di temui suatu ketika dulu. “Alhamdulillah nak, pak cik sihat je.”, balas pak cik itu dengan suara yang yang agak perlahan dan kelihatan di wajahnya kedutan yang menunjukkan pengalaman yang banyak terungkap di dalam lembaran kehidupannya. “Macam mana dengan permintaan pak cik tempoh hari?”, pak cik itu terus menyoal. “Oh, berkenaan tawaran pak cik itu. Saya bersetuju untuk mengajar anak pak cik.”, balas ayah Arishz dengan senyuman yang terukir di wajahnya. “Alhamdulillah, terima kasih sangat ye nak. Tak tahu pak cik macam mana nak balas jasa baik kamu.”, pak cik itu membalas dengan wajah yang ceria.
“Boleh pak cik tahu, bila kamu boleh mulakan kelas dengan anak pak cik tu?”, soal pak cik dengan nada yang bersungguh-sungguh. “InsyaAllah, esok malam pukul 9 di rumah saya ye?”, balas ayah Arishz sambil menghulurkan alamat rumahnya kepada pak cik itu. “Baguslah kalau begitu, nanti esok malam pak cik hantar anak pak cik ke rumah kamu ye?”,tambah pak cik itu sambil tersenyum. “Baiklah pak cik, tapi sebelum tu, boleh saya tahu nama pak cik?”, soal ayah Arishz tiba-tiba. “Oh, kamu boleh panggil pak cik Tok Mat je. Pak cik tak kisah sangat pun. Nama kamu pula anak muda?”, soal pak cik itu kembali kepada ayah Arishz. “Nama saya Hayrel.”, jawab ayah Arishz ringkas.
“Waktu Isyak dah masuk tu, jomlah kita solat dulu. Malam esok, pak cik bawa anak pak cik ke rumah kamu.”, balas Tok Mat menamatkan perbualan. “Baiklah kalau begitu, jomlah kita solat.”, tambah En. Hayrel.  Mereka bertiga bergerak bersama ke ruangan dalam masjid untuk menunaikan solat isyak.
_______________________________________
Kedengaran sayup suara memberi salam daripada luar pintu pagar rumah En. Hayrel. Arishz berlari turun dari tingkat atas ke bawah lalu perlahan-lahan meninjau dari sebalik tirai langsir. Ayahnya yang terkejut akan gelagat anaknya segera turun mendapatkan Arishz. “Kenapa Arishz?”, soal ayahnya ringkas sambil memandang aneh kepada anaknya. “Tok Mat dan anaknya datanglah ayah. Ada di luar.”, balas Arishz ringkas sambil matanya masih melihat dari sebalik langsir meninjau ke luar. “Dah tu, bukalah pintu yang kamu masih sembunyi di langsir tu untuk apa?”, tegas ayahnya sambil tersenyum melihat gelagat anak lelakinya. “Maaf ye ayah, terlupa pula.”, jawab Arishz sambil tunduk malu lalu berlalu dari situ.
Arishz segera mendapat alat kawalan jauh untuk membuka pintu pagar dan terus ke luar untuk menyambut Tok Mat dan anaknya. “Assalammualaikum, nak!”, Tok Mat memberi salam kepada Arishz. “Waalaikummussalam, tok! Jemputlah masuk ke dalam. Ayah ada di dalam.”, Arishz membalas perlahan sambil kepalanya ditundukkan. “Baiklah nak, ni anak pak cik. Nama dia Nazreen.”, tambah Tok Mat. Arishz dengan rasa terkejut apabila mendengar nama itu terus mengangkat kepalanya dan matanya mengecil menumpukan sepenuhnya untuk melihat raut wajah anak Tok Mat itu dek kerana suasana di luar rumahnya yang gelap.
Tiba-tiba langkah Arishz laju lalu segera mendekati Nazreen sambil memeluknya diiringi dengan mutiara suci yang perlahan-lahan membasahi pipinya. “Abang! Abang sihat?”, Arishz bertanyakan kepada Nazreen dalam keadaan suaranya tersekat-sekat. “Sudahlah tu, tak comel adik abang menangis macam ni.”, balas Nazreen sambil tangannya menyeluk saku seluarnya lalu mengeluarkan sehelai tisu. Tangan kanan Nazreen perlahan mengusap rambut Arishz sambil tangan kirinya menyapu air mata yang mengalir deras di pipi Arishz. “Adik, dahlah tu.”, Nazreen perlahan bersuara.
Tok Mat dan En. Hayrel seperti kehairanan apabila melihat reaksi anak-anak mereka. Pelbagai persoalan yang berlegar di dalam minda En. Hayrel.  “Kamu berdua ini kenal satu sama lain ke?”, soal ayah Arishz kehairanan. “Kami memang berkawan rapat pak cik. Saya kenal Arishz pada penghujung tahun yang lalu dalam satu program kepimpinan yang diadakan oleh pihak sekolah. Saya dah anggap Arishz macam adik saya sendiri walaupun kami sebenarnya sebaya.”, jelas Nazreen panjang lebar. “Maknanya kamu berdua ni saling kenal antara satu sama lain ye?”, sampuk Tok Mat sambil menggaru kepalanya tanda hairan.
“Ye pak cik, saya memang rapat dengan Nazreen.”, balas Arishz ringkas sambil menahan tangisan. “MasyaAllah, hebat sungguh kuasa Allah dalam mempertemukan kita di sini.”, tambah Tok Mat sambil menadah tangan ke hadrat Ilahi atas satu keajaiban pertemuan ini. “Dah-dah, jom masuk ke dalam. Kamu tu tak boleh terlalu sejuk.”, sampuk En. Hayrel sambil tangannya mengusap kepala anaknya.
“Arishz, kamu tolong ayah buat air dulu untuk tetamu kita ni.”, arah ayahnya. Arishz hanya diam dan segera ke dapur lalu menyediakan air seperti mana arah ayahnya tadi. “Pak cik, Nazreen, duduklah.”, pelawa En. Hayrel. “Besar ye rumah kamu nak. Maaf pak cik bertanya. Berapa orang tinggal di rumah ni.”, soal Tok Mat sambil matanya masih melilau melihat persekitaran ruang tamu. “Saya tinggal berdua je pak cik dengan anak lelaki saya tu, Arishz. Isteri saya sudah lama meninggal dunia.”, balas En. Hayrel sambil matanya memandang ke bawah. “Maafkan pak cik ye nak. Pak cik tak patut tanya kamu begitu. Latar belakang kamu dan pak cik tidak jauh bezanya nak. Pak cik ada 3 orang anak. 2 perempuan dan seorang lelaki. Isteri pak cik juga sudah lama meninggal dunia.”, jelas Tok Mat perlahan.
“Ayah, ni airnya dan ada sikit mee goreng yang ayah masak petang tadi.”, sampuk Arishz tiba-tiba lalu meletakkan air dan mee goreng di atas meja. “Terima kasih Arishz. Tuangkan air tu untuk Tok Mat dan Nazreen.”, balas ayahnya. Arishz hanya diam dan ikut sahaja arahan ayahnya. “Arishz naik atas dulu ye ayah, ada kerja sikit yang Arishz kene siapkan. Arishz mohon diri dulu ye Tok Mat, abang.”, tambah Arishz lalu meninggalkan ayahnya, Tok Mat dan Nazreen di ruang tamu.
“Bagus kamu mendidik anak kamu.”, puji Tok Mat kepada En. Hayrel. “Jangan puji sangat pak cik. Saya hanya menjalankan tanggungjawab saya sebagai ayah.”, balas En. Hayrel merendahkan diri. “Jemput minum pak cik. Maaflah tak ada yang istimewa pun. Maklumlah rumah orang bujang je.”, tambah En. Hayrel sambil tersenyum. “Nak, pak cik harap kamu dapat membimbing anak pak cik ni dari segi agama dan tolonglah pantau pelajaran dia ye? Pak cik bukannya nak lepaskan tanggungjawab kepada kamu tetapi pak cik nak yang terbaik untuk dia. Sebab dia seorang je anak teruna pak cik.  Dulu pak cik masukkan dia ke asrama tapi sejak kebelakangan ni prestasi dia macam merosot. Pak cik pun tahu kenapa. Kakak dia suruh pak cik bawa dia pulang. Itu yang pak cik jumpa kamu hari itu.”, jelas Tok Mat panjang lebar. “InsyaAllah pak cik, saya cuba yang terbaik.”, balas En. Hayrel ringkas.
“Macam mana kamu rapat dengan Arishz ye? Boleh pak cik tahu tak?”, soal En. Hayrel tiba-tiba.  “Saya mula kenal Arishz di satu program kepimpinan yang diadakan oleh pihak sekolah pada penghujung tahun lepas. Kami dalam satu pasukan. Cikgu lantik Arishz jadi ketua untuk kumpulan kami. Dia memang seorang yang berbakat dalam kepimpinan sehinggakan kumpulan kami mendapat anugerah kumpulan terbaik. Kemudian, kami saling berhubung. Dan kalau di sekolah kami belajar sama-sama walaupun kami berlainan kelas. Dia baik sangat dengan saya. Dia banyak bantu saya dalam pelajaran dan bimbingan agama tapi sejak akhir-akhir ni saya kehilangan fokus apabila ada kawan-kawan saya di asrama yang ajak saya buat masalah disiplin. Lagipun Arishz sekarang sibuk dengan tanggungjawab yang dia pikul. Saya nak bertegur dengan dia pun takut.”, jelas Nazreen panjang lebar kepada En. Hayrel.
Mata En. Hayrel tertumpu pada wajah Nazreen. En. Hayrel mendiamkan diri seketika seperti memikirkan sesuatu. “Sebenarnya pak cik pelik, kalau kamu nak tahu Arishz ni seorang yang susah nak rapat dengan orang lain sejak ibunya meninggal dunia dan dia seorang yang amat sensitif. Dia banyak pendam perasaan dia. Pak cik banyak kali cuba bertanyakan masalah dia tetapi dia tidak pernah cerita pada pak cik. Lagipun dia ni seorang yang susah nak berkawan melainkan kalau orang lain yang mulakan dulu.”, luah En. Hayrel. “Saya tak nafikan pak cik, masa mula kami kenal, saya sendiri pun tidak selesa dengan dia kerana sikap dia yang terlalu tegas.”, tambah Nazreen. “Dia memang begitu, kalau dalam soal kepimpinan dia memang ambil berat tapi kalau kamu kenal dia. Dia seorang yang suka berkawan tapi itulah dia tidak pandai untuk mulakan.”, balas En. Hayrel.
“Pak cik! Boleh saya bertanya sesuatu tentang Arishz?”, soal Nazreen tiba-tiba. “Ye, silakan.”, balas En. Hayrel. Ayah! Ayah! Ayah! Kedengaran suara orang menjerit seperti mengerang kesakitan dari tingkat atas. Nazreen segera berlari ke atas. Diikuti oleh En. Hayrel. Tok Mat hanya berdiri tanda kerisauan tapi tidak dapat berbuat apa-apa dek kerana keuzuran. En. Hayrel segera menolak pintu bilik Arishz dan dia melihat Arishz berada di lantai dengan tangannya memegang perutnya di sebelah kanan. En. Hayrel segera mendapatkan anaknya lalu mengangkat kepala Arishz dan letak ke atas ribanya. “Ayah, maafkan Arishz ye? Ampunkan dosa-dosa Arishz selama ni ye?”, perlahan suara Arishz menuturkan bicara. “Abang! Adik minta maaf sangat pada abang. Adik mungkin bukan seorang adik yang baik bagi abang. Ampunkan segala dosa-dosa adik ye?” , tambah Arishz sambil matanya memandang ayahnya dan tangannya mengenggam tangan Nazreen. “Arishz sabar ye nak. Kamu kenapa ni?”, En. Hayrel menyoal dengan nada yang risau dan sedih. “Kejap ayah telefon ambulans. Sabar ye nak.”, tambah En. Hayrel lalu keluarkan telefon bimbitnya dari saku seluarnya.
Di sisi Arishz di temani Nazreen. Nazreen menggengam erat tangan Arishz dan tanpa di sedari perlahan-lahan air mata Nazreen menitik dan mengenai wajah Arishz. “Abang! Tak comel tau kalau abang menangis.”, sampuk Arishz walaupun dia sedang bertarung nyawa. “Arishz! Mengucap ye nak. Kejap lagi ambulans sampai.”, sampuk ayahnya. Perlahan-lahan Arishz melafazkan kalimah syahadah dengan suara yang tersekat-sekat. Nazreen hanya mendiamkan diri dan air matanya deras mengalir. Matanya tidak berkelip melihat Arishz. Akhirnya, Arishz menghembuskan nafas terakhirnya di pangkuan ayahnya dan di sisinya di temani abang kesayangannya Nazreen. En. Hayrel menangis sebak dan memeluk anaknya.
Tidak lama kemudian, kedengaran siren ambulans masuk ke halaman rumah En. Hayrel. Segera En. Hayrel mendukung Arishz membawa anaknya turun ke bawah. “Ya Allah tolong selamatkan anakku!”, En. Hayrel seperti tidak berputus asa lalu menyerahkan anaknya untuk di naikkan ke dalam ambulans. En. Hayrel dan Nazreen segera naik bersama ke dalam ambulans. Manakala Tok Mat hanya membawa keretanya dan mengikut daripada belakang.
En. Hayrel tidak putus-putus berdoa kepada Ilahi agar selamatkan anaknya walaupun pada hakikatnya Arishz telah menghembuskan nafas terakhirnya di hadapannya tetapi baginya selagi mana doktor belum mengesahkan kematian anaknya bermakna Arishz masih ada harapan untuk diselamatkan. Setibanya di hospital, kakitangan hospital segera membawa Arishz turun dari ambulans dan di bawa ke wad kecemasan. En. Hayrel setia berdiri menunggu di hadapan pintu di samping di temani oleh Nazreen di sisinya. Beberapa minit kemudian, doktor keluar dan mengesahkan kematian Arishz disebabkan ‘appendiks’ yang telah pecah dan kuman telah merebak ke seluruh anggota badannya.
“Bila pula anak saya ada penyakit itu? Dia sihat je sebelum ini! Saya selalu dengan dia!”, suara tegas En. Hayrel seolah-olah menafikan apa yang dikatakan oleh doktor. “Sabar ye tuan, ni semua takdir daripada Ilahi. Tuan boleh jumpa saya di bilik untuk saya serahkan keputusan x-ray tadi.”, perlahan suara doktor untuk menenangkan En. Hayrel.
Doktor berlalu pergi meninggalkan En. Hayrel dan Nazreen yang masih kekal berada di situ. Nazreen cuba menenangkan En. Hayrel. “Pak cik sabar ye? Ini semua qada’ dan qadar Allah. Kita sebagai manusia perlu redha dengan apa yang telah Allah takdirkan. Mungkin Allah ingin tunjukkan sesuatu kepada kita sebagai hambanya.”, Nazreen mengatur bicara sambil tangannya menepuk perlahan-lahan bahu En. Hayrel.  En. Hayrel hanya mendiamkan diri dan tunduk memandang ke bawah. Tiba-tiba pintu wad kecemasan terbuka dan dilihatnya jenazah Arishz di bawa keluar. En. Hayrel menatap wajahnya sayup, manakala Nazreen mengucup dahi Arishz buat kali terakhir.
“Allah itu Maha Berkuasa atas sesuatu. Mungkin ini tanda kasihnya kepada anak kamu. Dia lebih sayangkan anak kamu. Sabar dan redha ye.”, sampuk Tok Mat tiba-tiba. “Bila abi datang?”, soal Nazreen kepada ayahnya. “Abi ikut kamu dari belakang tadi. Maaf lambat. Pak cik singgah ke mussola tadi untuk tunaikan solat sunat.”, balas ToK Mat perlahan. En. Hayrel tersentak tiba-tiba lalu perlahan dia berlalu pergi meninggalkan Tok Mat dan Nazreen.
Kakinya perlahan melangkah dan terus menuju ke mussola. Wuduk di ambil perlahan dan wajahnya sayup dan muram. Solat sunat dua rakaat didirikan. Terasa ketenangan dalam diri. En. Hayrel sekarang berasa lebih tenang dan seperti boleh menerima keadaan yang berlaku secara mengejut dalam kehidupannya apabila kehilangan anak tunggalnya. Setelah selesai menghadap Ilahi. En. Hayrel perlahan menuju ke bilik doktor.
“Assalammualaikum, doktor!”, En. Hayrel memberi salam. “Waalaikummussalam, tuan!”, silakan duduk. Tanpa berlengah, doktor mengeluarkan keputusan x-ray yang dilakukannya. “Tuan! Ini keputusan x-ray yang dilakukan.”, tambah doktor sambil tangannya menunjukkan bahagian perut Arishz yang pecah. En. Hayrel hanya diam seribu bahasa di samping air matanya perlahan membasahi pipinya. “Tuan! Sabar ye. Ini semua di bawah perancangan Allah. Mungikn ada sesuatu yang ingin disampaikan.”, doktor cuba menenangkan keadaan. “Terima kasih doktor.”, balas En. Hayrel ringkas dan berlalu pergi dengan membawa keputusan x-ray di tangannya.
En. Hayrel pulang ke rumah dan segera menghubungi saudara-mara terdekat untuk maklumkan pemergian anaknya. En. Hayrel dengan di bantu oleh Tok Mat dan Nazreen menguruskan jenazah Arishz. Ahli jawatankuasa masjid segera datang untuk membantu apabila dimaklumkan oleh Tok Mat tentang pemergian anak En. Hayrel. Mereka bersama-sama menguruskan jenazah Arishz sehingga selamat dikebumikan di tanah perkuburan.
Pada keesokan malamnya, Tok Mat membantu En. Hayrel mengadakan kenduri kecil-kecilan di atas pemergian Arishz. Jiran tetangga dan saudara mara turut merasa hiba atas pemergian Arishz yang mengejut. “Assalammualaikum!”, sergah seorang lelaki yang berjubah putih. “Waalaikummussalam! Tuan siapa?”, balas En. Hayrel kehairanan. “Maaf tuan, nama saya Ustaz Haiqal dan saya merupakan guru disiplin di sekolah Arishz.”, balas Ustaz Haiqal ringkas. “Saya bersimpati  atas pemergian Arishz kerana dia seorang pelajar yang banyak membantu pihak sekolah dalam peningkatan kualiti disiplin di sekolah kerana dia merupakan Penolong Ketua Pemimpin Pelajar. Sebelum ini dia ada datang berjumpa dengan saya dan menceritakan tentang masalah kesihatan yang dihadapinya. Mengapa tuan tidak membawanya untuk lakukan pembedahan dengan segera?”, soal Ustaz Haiqal tiba-tiba. “Maknanya ustaz tahu yang anak saya sakit?”, soal En. Hayrel kembali. “Ye, dia ada berjumpa saya sebelum ini dan menunjukkan surat pengesahan daripada pihak hospital yang dia menghadapi penyakit ni. Tak akan tuan tidak tahu kerana dia mengatakan ni arahan daripada tuan untuk maklumkan kepada pihak sekolah.”, balas Ustaz Haiqal seperti kehairanan.
“Sebenarnya ustaz, saya langsung tidak mengetahui yang anak saya sakit.”, balas En. Hayrel kembali tanda sedih. Tiba-tiba Nazreen berlalu di hadapan En. Hayrel dan Ustaz Haiqal. “Itu abang angkat Arishz kan?”, soal Ustaz Haiqal. “Ye.”, En. Hayrel menjawab ringkas. “Naxz! Mari sini kejap!”, panggil En. Hayrel. “Kamu tahu tak yang anak pak cik sakit?”, soal En. Hayrel kepada Nazreen. Nazreen hanya tunduk ke bawah lalu menjawab, “Ye, pak cik. Saya tahu yang Arishz sakit. Saya ingatkan ingin maklumkan pada pak cik malam semalam tapi tiba-tiba Arishz teriak dari atas.”, jelas Nazreen seperti serba salah.
“Maknanya tuan tak tahu akan sakit yang dihadapi oleh Arishz?”, celah Ustaz Haiqal. “Saya sebenarnya masih dalam keadaan terkejut kerana saya tidak mengetahui akan sakit yang anak saya hidap.”,balas En. Hayrel tanda kesal. “Maafkan saya pak cik. Dia sebenarnya tak nak pak cik tahu disebabkan dia takut konsentrasi pak cik pada kerja akan hilang dan dia tak nak pak cik risaukan dia. Tapi saya tidak sampai hati melihatnya dan saya berniat untuk maklumkan pada pak cik di malam kita berjumpa semalam tapi Allah lebih sayangkan dia.”, terang Nazreen perlahan. “Tak mengapa Naxz, pak cik faham.”, balas En. Hayrel ringkas. “Pak cik, boleh tak saya masuk ke bilik Arishz sebentar?”, soal Nazreen kepada En. Hayrel. “Pergilah nak.”, jawab En. Hayrel ringkas dan meneruskan perbualan dengan Ustaz Haiqal seperti meluahkan sesuatu.
Nazreen melangkah perlahan melalui ramainya saudara-mara dan jiran tetangga yang hadir di rumah En. Hayrel tanda penghormatan terakhir untuk pemergian Arishz. Nazreen menolak perlahan pintu bilik Arishz. Air matanya tiba-tiba mengalir membasahi pipinya apabila terkenangkan wajah Arishz dan ayat terakhir yang keluar daripada mulut Arishz sebelum dia menghembuskan nafas yang terakhir, “Abang! Tak comel tau kalau abang menangis.” Masih terngiang-ngiang di telinganya. Nazreen duduk di sisi meja belajar Arishz. Tiba-tiba matanya tertumpu kepada sebuah buku. Nazreen menarik keluar buku itu daripada susunan buku yang tersusun rapi di atas meja belajar Arishz. Di muka hadapan buku itu tertulis “Kronologi Kehidupan-ku” dan dibawahnya ada tertulis satu baris nombor dengan tulisan yang kecil (17527993 – mahabbah demi ukhwah). Nazreen menyelak helaian buku itu satu persatu dan ditelitinya perlahan-lahan. Matanya tiba-tiba tertangkap pada satu bahagian dalam ruangan buku itu,
Tinta 1 (khas buat abang)
Abang? Adik rasa beruntung sangat dapat seorang abang yang amat kasihkan adik walaupun abang jarang berada di sisi adik tapi adik faham akan masalah dan tugasan yang abang hadapi. Abang banyak membantu adik dalam memberikan adik semangat dan abang sanggup menemani adik sehingga petang masa adik menghadiri mesyuarat sebuah persatuan dulu. Abang ingat lagi tak? Maafkan adik kalau adik menyusahkan abang masa tu.
Tinta 2 (mahabbah)
Ayah ada tanya dekat adik hari tu tentang mahabbah. Adik cuba mencari jawapan kepada persoalan tu. Mahabbah adalah cinta dan kasih sayang. Mahabbah ini boleh dibahagikan kepada beberapa kategori Mahabbah kepada Ilahi, Mahabbah kepada makhluk, dan Mahabbah kepada alam. Apa yang adik faham. Kita perlu menerapkan nilai Mahabbah kepada Ilahi kerana Dia-lah yang memberikan nilai mahabbah kepada kita dengan cara kita melakukan segala perintahNya dan meninggalkan segala laranganNya. Mahabbah kepada makhluk pula skopnya begitu luas seperti sesama manusia, dan haiwan. Manakala Mahabbah kepada alam pula membawa erti kecintaan kita dalam menjaga alam kurniaan Allah ni. Tapikan, adik harap nilai mahabbah antara kita pula tak akan pudar agar ianya seperti benih yang subur yang sentiasa dibajai dengan kasih sayang dan disiram dengan kejujuran. Semoga nilai Mahabbah antara kita menjadi titian kita ke syurga. Adik teringat pesanan ayah hari tu dalam satu hadis ada menyebut: Diriwayatkan daripada Nu’man bin Basyir r.a, beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Perumpamaan orang Mukmin dalam hal saling mencintai, mengasihi dan menyayangi, adalah bagaikan satu tubuh. Jika salah satu bahagian tubuh merasakan sakit, maka seluruh bahagian tubuh yang lain juga ikut merasakan sakit dengan tidak dapat tidur dan mengalami demam.” (Riwayat al-Bukhari no.6011 dan Muslim no.2586), Adik teringat pula kisah yang diceritakan oleh Ustaz Haiqal tentang Mahabbah dalam kalangan sahabat Nabi yang mana ketika dalam satu perang yang diketuai oleh Khalid al-Walid ada 3 sahabat yang cedera parah, Khalid masuk  ke dalam khemah rawatan tu untuk melawat mereka dan ketika itu ada sahabat yang meminta air kepada Khalid lalu Khalid ambil air untuk diberikan kepadanya tetapi tiba-tiba ada sahabat yang lain juga minta air daripada Khalid lalu sahabatnya meminta untuk menyerahkan kepada sahabat yang meminta tadi walaupun dirinya dalam keadaan yang amat memerlukan air. Sehinggalah kesemua sahabat tadi menghembuskan nafas yang terakhir tanpa sempat meminum air itu. Inilah nilai Mahabbah dalam kalangan sahabat Nabi yang mana sanggup berkorban nyawa demi sahabat yang lain. Inilah dia berkat tarbiah Rasulullah. Jom kita bina terap nilai Mahabbah antara kita sepertimana para sahabat Nabi terapkan. Kata kita cintakan Rasulullah. Ada macam ustaz tak? Hehehe.
Tinta 3 (ukhwah)
Abang? Kenapa sejak kebelakangan ini ukhwah kita macam hambar? Adik ada buat salah ke pada abang? Kalau ada adik minta maaf ye? Maafkan adik tau. Hehehehe. Adik harap kita boleh pulihkan kembali ukhwah kita ni.
Tak disangka, kita boleh bertemu kembali pada malam ni di rumah adik pula tu. Benarlah kata orang dunia ini hanya kecik je kan? Syukur tak terhingga bila dapat jumpa abang balik. Yelah, kalau di sekolah adik sibuk dengan tugasan adik dan abang pula dengan hal abang kan? Maafkan adik sebab terlebih pula tadi. Air mata ni sudah lama tertahan agaknya. Tadi baru dia turun, hehehehe. Maaf juga sebab adik tiba-tiba peluk abang tadi. Rindu sangatlah dekat abang. Apa pun, maakan adik ye?
Tinta 4 (khas buat ayah)
Ayah? Arishz minta maaf sangat kalau Arishz selalu sakitkan hati ayah atau menyusahkan ayah. Arishz tak berniat pun macam tu. Arishz minta maaf sangat sebab tak bagi tahu ayah yang Arishz sakit. Bukan apa, Arishz tak nak ayah risaukan Arishz. Arishz kesian dekat ayah sebab balik rumah je mesti ayah letih dek bebanan kerja dari pejabat. Arishz tak nak kusutkan ayah lagi dengan masalah kesihatan Arishz pula. Maafkan Arishz ye ayah?
Tinta 5 (menggapai mahabbah)
Malam ini Arishz gembira sangat sebab Arishz dapat jumpa semula abang Arishz yang sekian lama mendiamkan diri. Semoga pertemuan kita malam ni bukannya yang terakhir tetapi adalah permulaan untuk kita dan tiada titik nota dalam ukhwah yang kita bina ni ye? Tapi andai kata adik diundang oleh Ilahi, kita masih boleh berjumpa lagi, insyaAllah di JannahNya kelak. Tiada apa yang adik ingin ungkapkan dalam coretan kali ni kerana entahlah adik rasa gembira sangat bila dapat jumpa abang semula. Adik semakin faham akan erti Mahabbah itu. Tapikan, kalau malam ni Malaikat Izrail datang bertandang untuk menjemput adik, maknanya itu tanda Mahabbah Allah kepada hambaNya kan? Bak kata ustaz, di akhir zaman ni orang yang beriman akan dicabutnya dahulu. Tapi betul ke adik ni beriman kan? Hanya di sana kelak akan tersingkap segala-galanya.
Abang? Ayah? Jangan sesekali menitiskan air mata yang berharga tu tau. Simpan elok-elok. “Tak comel tau kalau nangis-nangis ni.” Pemergian Arishz ni tak diperlu ditangisi pun. Semoga bebanan yang ayah dan abang pikul dapat diringankan apabila tiadanya Arishz. Senyum dan gembiralah tau kerana Arishz tak nak orang yang Arishz sedih-sedih. Arishz bukannya pergi mana pun. Lambat-laun kita tetap berjumpa di sana juga. Cuma satu je Arishz sayangkan ayah.
Abang? Arishz sayangkan ukhwah ini teramat sangat dan yang penting yang Arishz nak abang tahu Arishz sayangkan abang lebih dari diri Arishz sendiri.
Hayatilah kata-kata ini,
“Sahabat yang setia bagai pewangi yang mengharumkan. Sahabat sejati yang menjadi  pendorong impian. Sahabat yang berhati mulia membawa kita ke jalan Allah. Semulia-mulia manusia ialah yang mempunyai adab, merendah diri ketika berkedudukan tinggi, memaafkan ketika berdaya membalas dan bersikap ketika kuat.” (Khalifah Abdul Malik Marwan)
Kenangku dalam Doamu,
Muhammad Arishz Zafuan bin Mohd Hayrel
  Selesai Nazreen menatap coretan yang ditulis oleh Arishz sebelum dia menghembuskan nafas yang terakhir. Butir-butir mutiara mengalir perlahan membasahi pipinya lalu di peluk buku itu. Sebak hatinya tidak terhingga apabila sahabat yang amat dikasihi yang telah dianggap sebagai adiknya sendiri telah meninggalkannya. Mungkin sebelum ini Nazreen tidak merasai nilai mahabbah yang sebenar tetapi kini dia telah merasai bagaimana nilai Mahabbah yang suci itu mengalir dalam diri adiknya. Sekarang ini Arishz telah hilang daripada tatapan matanya buat selama-lamanya.
TAMAT