Aku ibarat musafir




Aku ibarat musafir yang tersesat di sebuah padang pasir yang tandus,
Tiada perlindungan,
Tiada bekalan yang mencukupi buatku bertahan,
Namun ku teruskan jua perjalanan yang getir ini,
Demi mencari jalan keluar yang pasti.
Ku berjalan tanpa henti,
Beralaskan bumi yang dipijaki,
Berbumbungkan langit yang luas memerhati,
Kadangkala langkah kaki ku terhenti,
Akibat perit nya dan panasnya permukaan padang pasir ini,
Saat itu ku rasa seakan semangatku gugur satu persatu,
Gugur bersama derasnya titik peluhku mengalir,
Lemah tiada berdaya,
Badanku seakan tidak tertahan lagi dengan keperitan dan kesusahan ini,

Aku melemparkan pandangan ke sekitar ku,
Kosong,
Hanya permandangan padang pasir yang tandus menghiasi ruangan mataku,
Lalu hatiku berdetik lemah,
“Ke manakah arah yang harus ku tuju?”
“Ke manakah langkah kaki ini akan pergi?”
“Apakah yang sedang menanti?”
Aku semakin hanyut dalam kelemahan,
Semangatku terbang ditiup angin panas yang menyapa tubuhku,
Lalu aku terkenangkan semula kisah lalu ku,
Di mana aku hidup dengan bersenang lenang bersama keseronokan dunia,
Di mana aku tidak tahu apa ertinya kepayahan,
Di mana aku tidak pernah tahu apa ertinya kemanisan iman,
Hatiku berdetik lagi,
“Apakah aku harus berpaling semula ke arah kehidupan ku yang lampau?”
“Apakah aku harus memberhentikan segala penat lelahku kini dan kembali kepada duniaku yang lalu?”
Dari jauh ku lihat lambaian hiburan dan kesenangan seakan-akan memanggilku untuk datang kepada mereka di belakangku,
Dari jauh aku dapat melihat kebebasan dan keseronokan yang sedang dialami oleh sebahagian rakan-rakanku yang lain,
Mereka memanggilku untuk menyertai mereka,
Aku kaku di tempatku,

Di hadapanku adalah padang pasir yang tidak ku tahu di mana penghujungnya,
Di belakangku pula segala keseronokan dan hiburan memanggil-manggilku,
Namun,
Sapaan hidayah lembut menyapa hatiku,
Menberi kekuatan serta keyakinan kepadaku,
Mungkin aku tidak nampak dengan mata kasarku janjian Allah di penghujung perjalanan ini,
Namun janji Allah adalah sesuatu yang pasti,
Aku merintih,
Merintih memohon kekuatan serta keyakinan dari Ilahi,
Rebah tubuhku sujud menyembah Mu,
Dalam kelemahan aku menagih kasih Mu,
Dalam kesukaran aku menagih simpati Mu,
Dalam rintihan suara aku menyeru nama Mu,

Tiba-tiba,awan berarak memayungi tubuhku,
Memberi keteduhan buat diriku yang hina ini,
ALLAH…..
Sungguh Engkau Maha Mengetahui lagi Maha Menyayangi,
Dalam keterlanjuran hamba Mu ini Engkau tetap memberi ku payungan rahmat Mu,
ALLAH…
Ampunilah dosa dan keterlanjuran hamba Mu ini,
Dakaplah aku dalam kasih sayang Mu,
Payungilah aku dengan rahmat Mu,
Tunjukilah aku dengan hidayah Mu,
Pimpinlah hatiku ke arah Mu,
Jauhkanlah aku dari tipu daya syaitan,
Lamaku bertafakur dan berteleku di dalam sujud ku kepada Mu,

Kini aku bangkit semula berdiri,
Mengorak langkah penuh keyakinan,
Bersama tiupan semngat jihad yang jitu di dalam diriku,
Aku datang Ya Allah,
Datang untuk menyahut seruan Mu,
Datang untuk menyahut cinta Mu,
Biar perit,
Biar pedih,
Semua itu tidak ku endahkan lagi,
Kerana aku yakin syurga Mu sedang menanti,
Itulah penghujung perjalananku nanti,
Demi redha Mu yang ingin ku miliki,
Serta cinta Mu yang aku impi,
Selamat tinggal dunia,
Selamat tinggal cinta yang fana,
Engkau ku tinggalkan demi cinta yang lebih suci dan hakiki.


#karya terakhir dari saya sebelum bercuti semester..jumpa lagi next semester..^-^

Comments

Popular Posts