Wanita, Bersediakah Anda Menjadi Penyejuk Mata?
” Wahai Tuhan kami, kurniakanlah kepada kami dari isteri-isteri kami dan anak pinak kami, penyejuk mata kami. Dan jadikanlah kami penghulu bagi orang-orang bertaqwa.”
Ya. Penyejuk mata. Suatu perkara yang
tidak pernah kita lupa untuk pohon setiap kali kita menadah tangan berdoa.
Kenapa Allah ta’ala suruh kita minta penyejuk mata? Sebabnya, itulah yang bakal
menjamin ketenangan dan kebahagiaan kita dalam kehidupan nanti.
Bagaimana kalau nantinya ada isteri,
tetapi seringkali menyakitkan hati kita, raut wajahnya langsung tidak
mendamaikan kita, tingkah lakunya ada sahaja yang tidak kena di mata kita.
Adakah kita akan bahagia? Bagaimana pula kalau nantinya ada anak. Comel-comel
belaka. Tetapi wujudnya mereka begitu menyusahkan kita, sikap mereka kerapkali
melukakan hati kita, kedegilan mereka selalu sahaja membuatkan kita hilang sabar
dan sakit hati sentiasa. Adakah kita beroleh ketenangan?
Tentu sekali tidak.
Lantas, kita dianjurkan supaya berdoa.
Minta supaya Allah beri pasangan yang mendamaikan hati dan perasaan kita, serta
zuriat yang boleh menjadi penyejuk mata kita. Mudah-mudahan, Allah makbulkan doa
dan permintaan kita.
Suatu lontaran untuk para wanita hari
ini, khususnya yang belum berumahtangga.
Sedarkah anda , bahawa bakal teman hidup
anda setiap hari berdoa supaya anda menjadi penyejuk mata mereka? Sedarkah anda,
bahawa mereka tidak pernah melupakan anda dalam setiap doa mereka?
Tidak. Saya tidak maksudkan anda
mengenali mereka atau mereka mengenali anda.
Tetapi hakikatnya, mereka mendoakan anda
yang bakal hadir dalam hidup mereka suatu ketika nanti. Sayangnya, anda mungkin
terlupa lantaran anda tidak kenal siapa mereka. Kerana itu juga, anda kurang
mengambil berat tentang persediaan anda untuk menjadi penyejuk mata
mereka.
Penyejuk
mata?
Sungguh, ia bukan tugas yang mudah. Kalau
anda fikir ia akan berhasil dengan anda berhias diri, memakai wangian dan
berbaju cantik di hadapan mereka setiap hari, sesungguhnya anda silap sama
sekali. Anda harus sedar, ramai sekali golongan cantik dan menawan di luar sana
yang gagal untuk menjadi penyejuk mata kepada suami mereka. Bahkan sebahagian
besar dari mereka berakhir dengan perceraian. Semoga dijauhkan
Allah.
Menjadi penyejuk mata suami,
prosesnya bermula hari ini.
Tilik kembali diri anda. Zahiriah dan
batiniah. Kedua-duanya.
Pertama sekali, bagaimana hubungan anda
dengan Allah? Solat wajib dan sunat. Bacaan Al-Quran. Zikir munajat. Selawat
serta amalan-amalan yang lain. Berapa peratus yang telah anda capai dan lakukan
secara istiqamah? Tahukah anda, faktor paling besar yang menentukan samada anda
berjaya atau tidak menjadi penyejuk mata suami adalah ; cemerlang atau tidak
hubungan anda dengan Allah? Justeru, perbaiki dari sekarang.
Kedua, sikap dan perangai. Carilah
seorang kawan yang jujur dan yang anda kira agak rapat serta kenal dengan anda.
Sekiranya anda yakin akan kejujurannya, minta pandangannya tentang diri anda,
terutama tentang sikap dan perangai. Jika anda dapati diri anda masih dibelenggu
sikap meninggi diri, degil, ego yang tinggi, kurang rasa hormat pada orang, suka
mengumpat, pemalas dan seribu satu sikap negatif yang lain, maka perkara pertama
yang wajib anda buat adalah ; kikis sedaya upaya semua sikap tersebut dari terus
melekat dalam diri anda. Percayalah, ia antara faktor yang bakal menggagalkan
anda dari menjadi penyejuk mata suami.
Ketiga, lihat balik luaran diri anda.
Khususnya pemakaian. Sempurnakah anda dalam menutup aurat? Jika masih selesa
bertudung ringkas, berbaju t-shirt lengan sekerat dan berseluar jeans separa
ketat, maka percayalah anda bakal bertemu kegagalan. Itupun sekiranya anda
mempunyai hasrat untuk bergelar penyejuk mata suami.
Tidak, ini bukan soal suami anda islamik
atau tidak, mengambil berat semua perkara itu atau tidak. Ia adalah soal
Si Pemberi Ketenangan, iaitu Allah. Kalau Dia tak bagi, siapa
lagi yang boleh bagi?
Mudahnya begini. Doa itu kan permintaan
kita dengan Allah. Contohnya, kita minta supaya Allah terangkan hati kita supaya
mudah belajar. Tetapi kita tidak berhenti dari tabiat suka minum arak. Mana
mungkin Allah akan berikan ketenangan itu pada hati kita yang
gelap?
Sama juga. Suami minta pada Allah,
berikan dia penyejuk mata supaya dia beroleh tenang dalam hidup. Tetapi kita
pula melazimi maksiat dan penderhakaan kepada Allah. Aurat kita terdedah setiap
hari. Akhlak kita langsung tiada ciri isteri mithali. Hubungan kita dengan Allah
lompong di sana sini. Lantas, adakah kita layak untuk menduduki tempat ‘penyejuk
mata’ tersebut? Bagaimana pula kita yang jauh dari Tuhan, boleh menjadi penyejuk
mata manusia?
Sekadar lontaran buat kaum hawa. Ramai di
antara anda mahu menjadi isteri solehah suatu ketika nanti. Tetapi usaha ke arah
itu masih lemah. Perbaikilah dari sekarang. Bisikkan ke dalam hati anda setiap
hari, bahawa anda bakal menjadi penyejuk mata kepada seorang lelaki yang baik
suatu ketika nanti. Lelaki itu pula setiap masa mendoakan anda supaya berjaya
menjadi penyejuk mata mereka suatu masa nanti. Besar harapan mereka, sanggupkah
anda hancurkan begitu sahaja?
Jadi mulai hari ini, berusahalah untuk
menjadi penyejuk mata suami. Sebenarnya, andai anda mampu melaksanakan langkah
pertama yang saya sebut di atas ; iaitu memperbaiki hubungan anda dengan
Allah, maka anda sebenarnya telah berjaya melepasi separuh masa pertama
piala kemenangan untuk bergelar isteri solehah – penyejuk mata
suami.
Justeru, selamat berjaya, wahai para
penyejuk mata!
Sekian.
This comment has been removed by the author.
ReplyDelete