hakikat solat jamak dan qasar ketika musafir
Islam adalah agama yang sangat bertoleransi kepada umatnya, banyak kemudahan yang diberikan oleh Allah ketika seseorang itu termasuk di dalam kesukaran atau kesusahan. Antara keringanan yang telah diberikan oleh Allah swt salah satunya ialah solat jamak (himpun antara dua solat) dan qosar (pendekkan rakaat daripada empat kepada dua rakaat). Solat ini adalah keringanan yang telah diberikan oleh Allah swt kepada hambanya, demi untuk memudahkan mereka dalam menunaikan perintah Allah yang wajib dalam keadaan dan suasana yang tertentu. Tetapi dalam kita hendak melakukan ibadah tersebut, sudah pasti kita perlu mengetahuinya dengan tatacara yang sahih, agar kita dapat menunaikannya dalam keadaan yang betul-betul mengikut suruhan yang telah ditetapkan oleh Allah swt berdasarkan wahyunya yang sahih serta tunjuk ajar daripada Nabi saw.
Kita akan membincangkan keadaan-keadaan yang membolehkan kita untuk melakukan jamak dan qosar. Ada hal keadaan yang membolehkan kita melakukan jamak dan qosar secara serentak seperti keadaan muasafir, dan ada juga hal keadaan yang kita perlu jamak sahaja tanpa perlu kita menqosarkannya seperti solat ketika hujan, sakit, sibuk dan sebagainya. Jadi, perkara ini perlu kita fahaminya bersama supaya ibadah tersebut kita dapat lakukannya dengan yakin dan sempurna mengikut kehendak Allah swt.
Pertamanya, saya akan pecahkan perbahasan ini kepada tajuk-tajuk kecil yang saya kira sangat penting untuk kita fokus pada satu-satu tajuk kecil yang akan dibentangkan. Contohnya, solat jamak dan qosar ketika musafir kita akan bincang pada satu tajuk kecil secara khusus, manakala solat jamak tanpa qosar pula kita akan bincang pada satu tajuk kecil yang khusus. Kita akan masuk dahulu pada tajuk yang pertama iaitu:-
Solat Dalam Keadaan Musafir
Sebagaimana yang kita tahu bahawa apabila kita bermusafir (berjalan jauh) maka kita boleh melakukan jamak dan qosar ketika melakukan solat-solat fardhu, tetapi malangnya ramai orang tidak mengetahui cara yang betul dalam menunaikannya. Jadi kita akan bincangkan masalah ini daripada sudut dalil dan cara bagaimana untuk melaksanakannya dengan sempurna.
Sebenarnya, solat dalam keadaan musafir secara ijmak para sarjana fiqah, kita boleh melaksanakannya dalam keadaan jamak dan qosar, jamak ialah menghimpunkan antara dua solat dalam satu waktu, hal ini supaya dapat memberikan ruang waktu yang seluas-luasnya kepada orang yang bermusafir untuk menunaikan hasrat mereka. Manakala qosar pula ialah memendekkan bilangan rakaat, contohnya daripada empat rakaat kepada dua rakaat. Solat jamak ini boleh dilakukan pada semua waktu solat fardhu kecuali solat fardhu subuh, solat subuh mesti ditunaikan di dalam waktunya. Begitu juga solat qosar, qosar tidak boleh dilakukan ketika menunaikan solat maghrib dan subuh, hanya pada solat yang empat rakaat sahaja.
Bahagian Pertama : Solat Qasar
Solat secara qosar ini dilakukan pada solat-solat fardhu yang empat rakaat dipendekkan kepada dua rakaat. Ia dilakukan pada solat Zuhur, Asar, dan Isyak. Antara dalil yang mengharuskan solat qosar ini adalah berdasarkan daripada surah an-Nisa’ ayat 101 yang bermaksud: “Dan apabila kamu bermusafir di muka bumi, maka tidak mengapa kamu mengqasarkan dari solat kamu.”
Juga daripada hadis Nabi saw yang bermaksud: “Aku berkata kepada Umar al-Khattab; Allah berfirman; Dan apabila kamu musafir di muka bumi, maka kamu tidaklah berdosa “mengqasarkan” (memendekkan) sembahyang jika kamu takut diserang oleh orang-orang kafir. (an-Nisa’: 101), sedang manusia telah berada dalam keadaan aman? Jawab Umar: Aku juga merasa hairan sebagaimana yang telah engkau rasai, lalu aku bertanya kepada Rasulullah saw berkenaan dengannya. Rasulullah saw menjawab: Ia merupakan satu sedekah yang dikurniakan oleh Allah kepada kamu, maka terimalah sedekahnya itu.” (Riwayat Muslim 686)
Hadis ini menunjukkan bahawa solat qosar boleh dilakukan dalam keadaan yang aman, bukan khusus pada keadaan yang tidak aman sahaja.
Syarat-Syarat Sah Solat Qosar
1. Solat qosar yang hendak dilakukan mestilah di dalam keadaan musafir, jika bukan musafir, maka qosar tidak sah.
Orang yang ingin memulakan perjalanan, tetapi waktu solat sudah masuk, maka solat itu tidak boleh diqosarkan, kerana sebelum dia bermusafir, solat itu sudah menjadi kewajipan ke atasnya. Hal ini juga sama kepada orang yang sudah sampai ke tempat kediamannya sedangkan waktu solat sudah masuk semasa dia musafir, tetapi dia tidak tunaikan semasa keadaan musafir, maka dia tidak boleh lagi melakukan solat qasar, kerana dia sudah tidak lagi bermusafir. Solat qosar hanya dilakukan dalam keadaan musafir sahaja. Selain daripada itu tidak boleh.
2. Orang yang bermusafir hendaklah melepasi kawasan rumahnya, baru boleh dia melakukan solat qosar. Dia tidak boleh melakukan solat qosar di rumahnya walaupun dia sudah berniat hendak musafir. Tetapi boleh melakukan qosar apabila sudah memulakan perjalanan musafir.
Sebagai contoh apabila seseorang itu ingin menaiki bas untuk pergi ke satu destinasi yang jauh, maka dia keluar dari rumahnya sebelum waktu zuhur, apabila dia sampai ke station bas, waktu zuhur sudah masuk, maka dia boleh mengqosarkan solatnya di station bas kerana dia sudah memulakan perjalanan musafirnya. Hal ini selari dengan hadis yang diriwayatkan oleh Anas radiallahu anhu: “Aku solat zuhur empat rakaat bersama-sama nabi saw di Madinah dan solat asar dua rakaat di Zul Hulaifah.” (Riwayat Bukhari 1039 dan Muslim 690)
Kedudukan Zul Hulaifah adalah berhampiran dengan Madinah.
3. Orang yang melakukan musafir tidak berniat untuk tinggal di tempat tujunya selama empat hari atau lebih, tidak termasuk hari sampai dan pulang.
Jika dia berniat atau sudah tahu yang dia tinggal di tempat yang dia tuju selama empat hari atau lebih, maka tempat yang ditujunya itu sudah jadi tempat dia bermukim, maka dia tidak boleh lagi melakukan qosar. Dia hanya boleh lakukan qosar semasa waktu perjalanan sahaja.
Sekiranya dia tinggal di tempat sementara itu kurang daripada empat hari atau pun dia tidak tahu sampai bila dia akan duduk di situ kerana ingin menyelesaikan kerja sebagai contoh maka dia boleh melakukan qosar pada tempoh waktu tersebut. Tetapi mesti di dalam tempoh masa yang tidak pasti tadi selama 18 hari sahaja, tidak termasuk hari sampai dan hari pulang.
Hal ini telah dibuktikan di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imran bin Husain katanya: “Aku telah berperang bersama-sama nabi saw, aku juga telah berperang bersamanya pada hari pembukaan Makkah. Baginda telah tinggal di sana selama 18 hari dalam keadaan tidak menunaikan solat kecuali dengan dua rakaat (qosar).” (Riwayat Abu Daud 1229)
Rasulullah saw telah mengqasarkan semua solat fardhu ketika berada di Makkah selama 18 hari kerana ingin memerangi Kabilah Hawazin dan baginda tidak mengetahui sampai bila baginda akan berada di Makkah. Maka di atas sebab itu baginda menunaikan solat fardu secara qasar.
4. Orang yang musafir tidak menjadi makmum kepada orang yang bermukim (orang yang tidak musafir). Apabila orang yang musafir menjadi makmum kepada orang yang mukim, maka dia harus menunaikan solatnya sehingga ke akhirnya (tamam yakni penuh) bersama imam yang mukim tadi.
Tetapi sekiranya orang yang musafir tadi menjadi imam, manakala makmumnya adalah orang yang mukim, maka dia boleh laksanakan qosar, dan makmumnya perlu sempurnakan solatnya sehingga habis iaitu empat rakaat. Dalilnya ialah apa yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad dengan sanad yang sahih daripada Ibnu Abbas radhiallahu anhu: “Ibnu Abbas telah ditanya: kenapa orang bermusafir apabila (solat) berseorangan, dia menunaikan solat dengan dua rakaat dan ketika menjadi makmum kepada orang yang bermukim dia menunaikannya dengan empat rakaat. Jawab Ibnu Abbas: Itulah yang ditunjukkan oleh as-Sunah.”
Bahagian Kedua : Solat Jamak
Solat jamak (himpun antara dua solat) juga merupakan bahagian daripada solat dalam keadaan musafir. Jika tadi kita sudah membincangkan mengenai masalah solat qosar bersama syarat-syaratnya, maka begitu juga dalam keadaan jamak, ada panduan-panduan yang telah ditetapkan oleh ahli-ahli sarjana. Waktu yang boleh kita lakukan jamak, adakah semua jenis solat kita boleh buat jamak dan sebagainya.
Dalil yang membolehkan melakukan jamak adalah berdasarkan hadis nabi saw yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas radhiallahu anhu: “Rasulullah saw menghimpunkan antara solat zuhur dan asar, dan juga antara maghrib dan Isyak ketika musafir.” (Riwayat Bukhari 1056)
Juga hadis daripada Ibnu Abbas katanya: “Nabi saw telah menghimpunkan antara solat ketika kami bermusafir dalam peperangan Tabuk. Baginda telah menghimpunkan antara zuhur dan asar, serta antara maghrib dan isyak. Said bin Jubair radhiallahu anhu berkata, aku bertanya kepada Ibnu Abbas: Apakah yang menyebabkan Baginda saw berbuat begitu, maka Ibnu Abbas menjawab: Baginda tidak mahu menyusahkan umatnya.” (Riwayat Muslim 705)
Solat Yang Boleh Dijamakkan
Sebagaimana yang kita sedia maklum bahawa ijmak para sarjana telah menetapkan solat yang boleh dijamakkan adalah antara solat zuhur dan asar, serta solat maghrib dan isyak. Tidak boleh menjamakkan solat subuh bersama solat sebelum atau selepasnya, begitu juga antara asar dan maghrib. Masalah jamak ini juga ada dipecahkan pada dua bahagian, iaitu jamak taqdim dan jamak ta’khir.
Syarat Solat Jamak Taqdim
1. Solat jamak taqdim ditunaikan secara tertib. Iaitu dengan menunaikan solat yang pertama (solat yang ditunaikan dalam waktu) terlebih dahulu kemudian diikuti dengan solat yang kedua, contohnya seperti mentaqdimkan solat asar ke dalam waktu zuhur, maka hendaklah ditunaikan solat zuhur terlebih dahulu, kemudian tunaikan solat asar. Begitu juga pada solat maghrib dan isyak, utamakan solat maghrib, seterusnya solat isyak.
Ini selari dengan hadis yang diriwayatkan oleh Anas radhiallahu anhu katanya: “Rasulullah saw apabla dalam perjalanan lalu tergelincir matahari (masuk waktu zuhur) baginda solat zuhur dan asar secara jamak kemudian berangkat.” (al-Baihaqi 3/162) dan lihat al-Majmu’ 4/251)
2. Hendaklah berniat jamak untuk menunaikan solat yang kedua ke dalam waktu solat yang pertama sebelum selesai solat yang pertama. Disunatkan berniat demikian ketika takiratul ihram pada solat yang pertama. (lihat: Fiqh Manhajji 1/245, al-Mu’tamad 1/451)
Manakala, pendapat yang dipilih oleh Syeikh Said Sabiq adalah tidak mensyaratkan niat dalam melaksanakan jamak, ini selari dengan pandangan Syekhul Islam Ibnu Taimiyyah, katanya: “Ini adalah pendapat jumhur ahli sarjana, sambungnya lagi: “Nabi saw ketika tunaikan solat jamak dan qasar, baginda tidak menyuruh sahabat-sahabatnya supaya berniat jamak atau qasar. Tetapi yang jelas bahawa ketika baginda berangkat dari Madinah ke Makkah dengan mengerjakan solat dua rakaat tanpa melakukan jamak, kemudian baginda menunaikan solat zuhur di Arafah, tiba-tiba usai daripada solat zuhur nabi bangun lagi untuk tunaikan solat qasar asar bersama para sahabat, sedangkan sahabat tidak mengetahui pun yang Nabi saw hendak melakukan solat jamak taqdim (menunaikan solat asar di dalam waktu zuhur), maka ketika melakukan solat jamak tadi sahabat tidak pun meniatkan untuk jamak. Begitu juga ketika nabi saw dan para sahabat bermusafir ke Zulhulaifah, nabi saw tidak menyuruh sahabatnya untuk meniatkan solat qosar.” (lihat: Fiqh Sunah Said Sabiq 1/177)
3. Ditunaikan secara Muwalat (berturut-turut), iaitu solat yang kedua ditunaikan sebaik sahaja usai daripada salam solat yang pertama. Tidak diselangi dengan zikir, doa, solat sunat dan sebagainya. Jika dia menyibukkan diri dengan sesuatu apabila selesai daripada solat pertama, sehingga pada uruf tempoh itu panjang di antara solat yang kedua, maka batal jamaknya dan dia harus tunaikan solat yang kedua itu pada waktunya.
Ini adalah bertepatan dengan kelakuan nabi saw yang diriwayatkan daripada Ibnu Umar radhiallahu anhuma katanya: “Aku telah melihat nabi saw apabila baginda hendak bermusafir dengan segera, baginda melewatkan solat maghrib lalu baginda menunaikannya dengan tiga rakaat, hingga baginda memberi salam, kemudian baginda duduk sebentar lalu bangun mendirikan solat isyak dua rakaat, kemudian baginda memberi salam.” (Riwayat Bukhari 1041)
Tempoh pemisah yang ringan tidak memudaratkan seperti melafazkan iqamah untuk solat yang kedua, wuduk atau tayamum bersama pencarian air secara ringan, hal ini sebagaimana yang diriwayatkan oleh Usamah radhiallahu anhu katanya: “Bahawa Rasulullah saw menjamakkan solat di Namirah, solat diiqamahkan di antara kedua-duanya.” (Riwayat Bukhari dengan maknanya di Muzdalifah 2/601 No 1588, Muslim 9/31 No1280)
Manakala pendapat yang diberikan oleh Syekh Said Sabiq adalah mengikut pandangan Syekhul Islam Ibnu Taimiyyah, katanya: “Yang benar, tidak lah menjadi syarat untuk berturut (muwalat) dalam melaksanakan jamak, sama ada taqdim atau ta’khir. Kerana hal ini tiada ketentuannya dari segi syarak. Malah menjaga dalam hal berturut-turut (muwalat) dalam melaksanakan jamak menghalang untuk tercapainya tujuan rukhsah atau keringanan yang dimaksudkan oleh agama.” Dan telah berkata Imam Syafi’e: “Jika seseorang solat maghrib di rumahnya dengan niat jamak, kemudian menunaikan solat isyak di masjid, maka ia adalah diharuskan. Dikhabarkan bahawa ini juga adalah pandangan Imam Ahmad.” (lihat: Fiqh Sunah Said Sabiq 1/177)
Syarat-Syarat Jamak Ta’khir
Sekiranya tidak ada kesempatan untuk solat dalam waktu yang awal tadi, maka kita boleh tunaikan solat yang awal tadi pada waktu yang kedua. Contohnya orang yang musafir tidak sempat solat zuhur, maka dia boleh lambatkan solat zuhur pada waktu solat asar nanti tetapi dengan syarat iaitu:
1. Dia berniat hendak melewatkan solat zuhur ketika pada waktu zuhur tadi, ia memadai dengan lintasan di dalam hati: “Aku ingin jamakkan solat zuhur ini pada waktu asar nanti.” Begitu juga solat antara maghrib dan isyak.
2. Orang yang bermusafir itu hendaklah terus dalam keadaan musafir sehingga kedua-dua solat selesai didirikan. Maknanya, dia tidak boleh menunaikan solat jamak itu di rumahnya (tempat dia bermukim) mesti di dalam perjalanan sebelum hendak sampai ke rumahnya.
Jika kita menunaikan jamak ta’khir, tidaklah disyaratkan kita untuk mengikut turutan, maknanya kita boleh memulakan dengan mana-mana solat dahulu, sama ada solat zuhur atau asar, sama ada solat maghrib atau isyak. Juga tidak disyaratkan untuk muwalat (berturut-turut) tetapi ia hanya disunatkan. Maknanya boleh berehat dahulu sebelum tunaikan solat jamak yang lagi satu.
Syarat-Syarat Perjalanan Yang Membolehkan Solat Jamak Dan Qosar
1. Jarak jauh perjalanan tersebut hendaklah sampai 81 kilometer atau lebih daripadanya. Jika kurang, ia tidak dinamakan sebagai musafir.
Imam Bukhari semasa memberi ulasan mengenai kitab ‘Mengqasarkan Solat’ pada bab ‘Berapakah Jarak yang dibolehkan solat qasar’ katanya: “Ibnu Umar dan Ibnu Abbas radhiallahu anhum mengqasarkan solat dan berbuka puasa pada jarak empat burud iaitu 16 fasakh yang menyamai 81 kilometer lebih kurang. Kedua-duanya (iaitu Ibnu Umar dan Ibnu Abbas) melakukannya secara Tauqifi iaitu berdasarkan ilmu yang diperolehi daripada Nabi saw.
2. Perjalanan musafir hendaklah ke arah yang diketahui tujuannya. Seseorang itu tidak dianggap musafir jika dia tidak tahu ke arah mana dia pergi. Tetapi sekiranya dia tahu ke arah mana tujuan musafirnya dengan yakin, dan dia tahu jarak perjalanannya yang membolehkan buat qosar dan jamak, maka dia boleh melakukan qosar dan jamak semasa hendak memulakan perjalanan walaupun belum sampai 81 kilometer lagi seperti yang kita sudah bincangkan di atas.
3. Perjalanan yang dilakukan bukanlah tujuan untuk maksiat. Sekiranya musafirnya adalah untuk tujuan maksiat, maka dia tidak dibenarkan untuk jamak dan qasarkan solat. Hal ini kerana qasar adalah rukhsah/keringanan dan ia disyariatkan kerana amanah. Oleh itu, ia tidak boleh dikaitkan dengan segala bentuk maksiat.
Bolehkah Melakukan Solat-Solat Sunat Semasa Dalam Perjalanan
Mejoriti ahli sarjana membolehkan siapa-siapa yang bermusafir untuk melakukan apa-apa sahaja jenis solat sunat sama ada solat sunat rawatib, dhuha, dan selain daripadanya.
Hal ini berdasarkan perbuatan Nabi saw semasa dalam keadaan musafir. “Bahawa nabi saw mengerjakan solat sunat atas kenderaannya dalam perjalanan dengan menghadap ke mana arah tuju kenderaannya.” (lihat: al-Majmuk 4/256, dan al-Muhazzab 1/344). Dari Abu Qatadah radhiallahu anhu katanya: “Mereka bersama Rasulullah saw dalam perjalanan lalu mereka tertidur dari solat subuh hingga terbit matahari, lalu mereka meneruskan perjalanan hingga naik matahari, kemudian Rasulullah saw turun lalu berwuduk kemudian Bilal mengumandangkan azan untuk solat, maka Rasulullah saw solat dua rakaat, kemudian solat subuh sebagaimana yang baginda lakukan sehari-hari.” (Riwayat Muslim 680), maka dua rakaat ini sunat subuh, dan kedua-duanya yang dimaksudkan Bukhari dengan perkataannya: “Nabi saw mengerjakan dua rakaat fajar dalam perjalanan.” (Bukahri dengan ta’liq sebelum no 1052)
Juga dari Ummu Hani’ radhiallahu anha: “Bahawa Rasulullah saw pada hati Fathu Makkah solat 8 rakaat di rumahnya, dan itu adalah solat sunat Dhuha.” (Riwayat Bukhari 1052, Muslim 336)
Juga dari al-Barra’ bin ‘Azib radhiallahu anhu katanya: “Aku menemani Nabi saw selama lapan belas perjalanan, maka aku tidak pernah melihat baginda meninggalkan dua rakaat sebelum zuhur apabila tergelincir matahari.” (at-Tirmizi berkata: Bukhari memandang hadis ini sebagai hasan 3/117, dan lihat al-Majmu’ 4/257)
Mana Yang Lebih Afdhal, Solat Secara Qosar Atau Secara Tamam Ketika Musafir
Solat secara qosar adalah lebih afdhal daripada solat secara tamam semasa dalam keadaan musafir. Ini adalah pendapat mejoriti ahli sarjana daripada sahabat dan para Imam. Ini adalah kata-kata daripada: Uthman bin Affan, Saad bin Abi Waqqas, Aisyah, dan sahabat-sahabat yang lain. Telah diberitahu oleh al-‘Abdari daripada mereka iaitu Ibnu Mas’ud, Ibnu Abbas, Hasan al-Basri, Malik, Ahmad, Abi Thauri, Daud dan ini adalah pandangan kebanyakan daripada sarjana Mazhab. (Lihat: Hadis Aisyah yang dikeluarkan oleh al-Muwatto’ 1/146, juga daripada jalan Bukhari 350, dan Muslim 1090)
Adakah Salah Untuk Bermusafir Pada Hari Jumaat
Tidak mengapa untuk bermusafir pada hari Jumaat tanpa menghadirkan diri untuk solat Jumaat. Ketika Umar mendengar seorang lelaki mengatakan: Jika hari ini bukan hari Jumaat, nescaya aku akan keluar (musafir), maka jawab Umar: Keluarlah, sesungguhnya Jumaat tidaklah menghalang kamu untuk bermusafir. Abu Ubaidah juga bermusafir pada hari Jumaat tanpa menunggu solat Jumaat, dan begitu juga az-Zuhri ingin bermusafir pada waktu Dhuha hari Jumaat, maka dia berkata: Sesungguhnya Nabi saw juga pernah bermusafir pada hari Jumaat. (lihat: Fiqh Sunnah Said Sabiq 1/176)
Perhatian, perbahasan mengenai tajuk khusus ‘Solat jamak tanpa mengqasarkan solat’ akan ditulis pada artikel yang akan datang. Antara solat yang boleh dilakukan ketika jamak tanpa qasar adalah seperti solak jamak ketika hujan, ketika sakit, ketika terlalu sibuk dan sebagainya. Tajuk-tajuk ini akan diulas secara mendalam mengikut panduan yang ditunjukkan oleh para ahli sarjana Islam.
Sesiapa yang masih keliru atau tidak faham, boleh terus bertanya kepada saya sama ada terus komen di bawah atau pun di bahagian Hubungi Penulis yang telah saya sediakan di tag di atas. Semoga dengan penyampaian semi ilmiyah ini dapat membantu kita semua dalam melaksanakan ibadah berdasarkan konsepnya yang betul serta mudah dalam pelaksanaannya.
Comments
Post a Comment