BERBAGAI-BAGAI KISAH ANTI YAHUDI
Isu keganasan Israel di Gaza semakin pudar sedikit demi sedikit. Kebencian terhadap Yahudi yang bermusim tidak akan dapat menggerakkan perjuangan menentangnya secara konsisten. Mari kita imbau kisah-kisah boikot Yahudi di bawah ini. Cari yang tersirat di sebalik kisah yang mudah-mudah ini:
BARU NAK BOIKOT
Saya benar-benar tersentuh mendengar perbualan anak jiran baru-baru ini.
“Jom kita makan …..*** (menyebut satu jenama ayam goreng yang terkenal)” kata si adik yang berumur lima tahun.
“Tak bolehlah, emak kata itu Yahudi punya,” jawab si kakak.
Si adik diam.
Saya yang berada di sebelah mereka berkata kepada si adik, “nak makan ***?” Sengaja menguji.
“Tak mahulah Pak Cik itu kan Yahudi,” jawab si adik. Sah, “tarbiah” si kakak berkesan.
Itulah antara perbualan kecil yang disuarakan oleh “orang kecil”. Namun jika difikirkan dalam-dalam, ia memberi impak yang besar dalam agenda perjuangan ummah. Saya percaya ada banyak lagi perbualan yang seumpamanya dalam masyarakat Islam akhir-akhir ini. Suara kebencian. Suara kemarahan terhadap Yahudi laknatullah.
Jika momentum seperti itu terus ditingkatkan dalam masyarakat, insya-Allah akan bangun satu generasi baru di kalangan ummah yang benar-benar bencikan Yahudi. Bayangkan kalau sebelum ini anak-anak yang kecil umat Islam sudah dapat terbiasa menghafal nama-nama produk yang ada kaitannya dengan Yahudi bahkan gemar “menikmatinya”, kini satu pusingan U berlaku, yang mana mereka mula membencinya. Yang penting bukan produk keluarannya sahaja tetapi kebencian terhadap Yahudi itu sendiri yang lebih utama!
TAK MAHU BOIKOT
“Tak praktikal…”
“Mengapa?” tanya saya.
“Kalau kita boikot produk-produk tu, kita juga yang susah. Bukankah anak-anak kita juga yang bekerja dengan syarikat-syarikat berkenaan?” jawab dengan satu soalan.
Saya terdiam. Ada logiknya.
“Kita belum kuat. Jangan cari penyakit…” tambahnya lagi.
“Kalau begitu bagaimana kita hendak melahirkan kebencian terhadap Zionis?” kata saya.
“Perlukah kebencian dilahirkan?”
“Kalau kebencian tidak dilahirkan, apa maknanya?”
Dia pula yang diam.
“Kalau awak tidak setuju kempen boikot produk Yahudi ni… Ada cara lain?”
“Kita tak boleh buat apa-apa,” ujarnya selamba.
Sikap in-aktifnya itu mengingatkan saya pada satu kisah yang saya dengar diceritakan dalam satu rancangan TV oleh seorang Ustaz Zamri “mantop” satu ketika dahulu. Kisah bagaimana ketika Nabi Ibrahim AS dibakar oleh raja Namrud dengan api besar. Melihat api besar itu seekor burung kecil segera mengambil air dengan paruhnya yang kecil lalu dititiskannya ke atas nyalaan api besar itu.
Perbuatan buruk kecil itu ditertawakan oleh burung-burung besar yang lebih besar.
“Apa gunanya air yang setitis itu?” burung besar menyindir.
“Untuk memadamkan api yang membakar kekasih Allah Nabi Ibrahim,” jawab burung kecil.
“Ha, ha… usaha yang sia-sia. Masakan api yang sebesar itu mampu dipadamkan oleh setitis air?” ejek burung besar lagi.
Anda tahu apa jawapan burung kecil?
Jawapannya begini:
“Aku yakin bahawa Allah tidak akan bertanya kepadaku apakah dengan usahaku api itu berjaya dipadamkan, tetapi Allah pasti bertanya apa yang telah aku lakukan untuk memadamkan api itu…”
Mendengar jawapan burung kecil, sekalian burung yang besar terdiam. Ya, kalau kita hanya umpama “si burung kecil” dalam usaha memerangi kekejaman Yahudi… siramlah walau “setitis air” untuk memadamkan keganasannya. Carilah bukti dan saksi keprihatinan kita terhadap nasib umat Islam di hadapan Allah nanti.
TAK MAMPU NAK BOIKOT
“Lebih baik boikot hedonisme,” kata seorang sahabat rapat saya seorang pensyarah di sebuah universiti tempatan.
“Mengapa?”
“Hampir semua budaya hedonisme ditaja dan didalangi oleh Yahudi.”
Saya terdiam. Ada benarnya kata sahabat saya itu. Tentu dia sudah membuat kajian dan penerokaan.
“Kerosakan oleh hedonisme lebih dahsyat daripada sebotol minuman dan sepotong ayam goreng,” katanya bersemangat.
Sekali lagi saya mengangguk-angguk. Filem, lagu, fesyen, muzik yang bertentangan syariat sangat dekat dengan kehidupan umat Islam masa kini. Sedar tidak sedar, kita adalah pengguna terbesar produk hedonisme Yahudi.
“Tapi langkah ini susah sedikit. Hampir setiap masa umat Islam “menikmati” lagu-lagu dan filem sebegitu,” ujar saya perlahan.
“Susah? Kalau nak lawan Yahudi kenalah susah. Mana lebih susah, umat Islam Palestin yang sedang bermandi darah atau kita yang hanya perlu menutup telinga dan mata daripada produk hedonisme Yahudi?”
Saya tersenyum sinis melihat bagaimana ada kalanya agenda hedonisme diuar-uarkan kononnya untuk menentang Zionis. Aktiviti hiburan keterlaluan, pendedahan aurat dan pergaulan bebas dijadikan wadah untuk memerangi Yahudi padahal itu semua adalah cara hidup yang memang “disukai” oleh Yahudi.
Ramai yang tidak sedar bahawa Yahudi adalah penaja kepada budaya pendedahan aurat dan pergaulan bebas dunia masa kini. Mereka bukan sahaja meraih keuntungan komersial bahkan berjaya meruntuhkan semangat jihad remaja Islam menerusi produk-produk hedonisme itu. Saya setuju benar dengan pandangannya. Dan saya lihat dia benar-benar mempraktikkan cakap-cakapnya. Syabas!
DAH LAMA BOIKOT
Saya lihat wajahnya selamba. Seolah-olah begitu naif. Imam masjid itu benar-benar mengejutkan saya. Soalan yang diajukan kepadanya sangat gah. Ingin mendengar soalan itu? Ya, ini soalannya:
“Apakah peranan Imam seperti anda dalam usaha memboikot Yahudi?”
“Saya dah lama boikot,” jawabnya pendek.
“Sejak bila?”
“60 tahun lalu!”
Biar betul imam ni. Zionis baru sahaja mengganas awal Januari 2009. Dia pula mendakwa sudah mula memboikot Yahudi sejak 60 tahun yang lalu. Negara Israel itu pun baru wujud pada tahun 1948.
“Israel pun baru wujud 51 tahun yang lalu,” saya seolah-olah mengingatkan.
Imam itu senyum lalu berkata,” tetapi Al-Quran sudah menjelaskan permusuhan Yahudi terhadap Islam sudah 1400 tahun yang lalu. Sejak Al-Quran diturunkan!”
Saya benar-benar terkejut. Terkesima. Ini bukan sebarang Imam. Saya bertanya lagi, “kalau begitu kenapa tuan katakan sejak 60 tahun?”
Imam itu masih tersenyum. Kali ini dengan lebih serius dia berkata, “saya anak Tok Guru Pondok. Sejak berumur 10 tahun, Almarhum ayah telah mendidik dengan al-Quran. Saya masih ingat, pesan ayah ketika mentafsirkan ayat-ayat Quran berkaitan dengan Yahudi… Yahudi itu musuh Islam. Kena lawan mereka habis-habisan!”
Belum sempat saya bertanya, dia menyambung bicaranya, “saya tanyakan ayah macam mana melawan Yahudi?”
Ya, itulah juga soalan yang ingin saya tanyakan kepadanya.
“Hidup ikut syariat Islam. Jaga akidah. Jaga akhlak. Hidup cara Islam itulah kaedah melawan Yahudi. Jadi, saya dah lama boikot Yahudi ni…”
Ya, saya dapati di pondok pengajian bersebelahan masjid tempat dia menjadi imam, tidak ada ubat gigi, ayam goreng, CD, VCD, kopi dan lain-lain produk yang tersenarai sebagai produk berkaitan Yahudi. Remaja lelaki dan wanitanya tidak mendedahkan aurat. Tidak ada pergaulan bebas. Ayat-ayat Quran dan zikir sentiasa berkumandang melalui corong pembesar suara di masjid dan celah-celah rumah berhampiran. Dia dan “daerah” itu telah lama memboikot cara hidup Yahudi!
Comments
Post a Comment