Musyawarah Wadah Penyatuan Umat
Syukur Alhamdulillah ke hadrat Allah SWT atas pertemuan kita pada kalam kali ini dengan tajuk yang akan dikupaskan iaitu, “Musyawarah Wadah Penyatuan Umat”
Musyawarah merupakan suatu elemen penting yang perlu diterapkan di dalam sesebuah organisasi, struktur pentadbiran mahupun dalam sesebuah keluarga itu sendiri kerana selaras dengan firman Allah SWT dalam surah Ali’ Imran ayat 159 yang bermaksud, “… dan bermusyawarahlah dengan mereka dalam urusan itu …”dan dalam firmanNya yang lain seperti dalam surah al-Syura ayat 38 yang bermaksud, “… sedang urusan mereka (diputuskan) dengan musyawarah antara sesama mereka …”
Lembaran sirah telah membuktikan bahawa keberhasilan pelaksanaan musyawarah ini secara terang lagi bersuluh. Rasulullah SAW seorang yang terkenal dengan kebijaksanaannya menguruskan pelbagai perkara, daripada sekecil-kecil urusan rumah tangga hinggalah sebesar-besar perkara seperti urusan pemerintahan. Uniknya, Rasulullah SAW tidak pernah menganggap kejayaan yang dikecap adalah hasil daripada usaha Baginda semata-mata tetapi sesuatu kejayaan yang terhasil itu daripada musyawarah (perbincangan) bersama. Elemen inilah merupakan salah satu ciri-ciri asas kepimpinan yang telah dipraktikkan oleh Baginda dalam keluarga dan organisasi yang dipimpin.
Sekiranya kita melihat daripada perspektif penerapan elemen musyawarah ini dalam kepimpinan Rasulullah SAW sendiri, banyak teknik yang berkesan yang dapat kita manfaatkan dan praktikkan dalam kita berurusan. Antaranya seperti:
a) Tidak membuat keputusan terburu-buru
Rasulullah SAW amat percaya bahawa suatu keputusan yang hebat dan tepat hanya mampu diperoleh dengan melakukan musyawarah secara bersama dan bukannya dalam keadaan yang terburu-buru.
b) Menerima pandangan orang lain dan tidak bermati-matian mempertahankan idea sendiri
Rasulullah SAW selalunya akan membentangkan sesuatu cadangannya terlebih dahulu kepada para sahabatnya sebelum membuat sesuatu keputusan. Ini mempamerkan bahawa idea mahupun pandangan Rasulullah SAW itu bukan suatu yang muktamad, sebaliknya merupakan suatu rancangan yang bersifat tentatif sahaja. Cadangan tersebut masih boleh dipinda dan dibuka untuk diperbincangkan secara bersama. Sifat inilah yang perlu kita terapkan dalam organisasi yang kita pimpin. Jangan jadi seorang pemimpin yang autokratik yang membuat keputusan sendiri tanpa melibatkan para sahabat dan orang di bawah pimpinannya secara bersama.
Jika kita lihat dalam peperangan Uhud, Rasulullah SAW telah mengadakan suatu perbincangan ketenteraan bagi membicangkan perancangan dan strategi terbaik yang bakal diambil bagi menghadapi musuh yang semakin mara untuk menghancurkan Islam ketika itu. Dalam perbincangan tersebut, Rasulullah SAW telah memberikan cadangan berikut iaitu, Tidak keluar daripada kota dan bertahan sahaja di Madinah kerana apabila orang Musyrikin masuk ke kota Madinah, mereka akan diperangi oleh tentera Islam di segenap lorong yang sempit. Manakala golongan wanita pula akan menentang dari atas bumbung rumah.
Apa yang berlaku dengan cadangan yang dilontarkan oleh Rasulullah SAW? Rasulullah SAW tidak bertegas dengan cadangan yang dilontarkan itu tetapi sebaliknya membuka peluang kepada para sahabatnya dalam memberikan pendapat dan pandangan yang lain.
Ketika perbincangan berlangsung, sekumpulan sahabat yang diketuai oleh Hamzah bin Abdul Mutalib telah memberikan cadangan yang lain iaitu, Keluar daripada kota Madinah kerana untuk memperlihatkan kepada tentera musuh bahawa tentera Islam bukannya pengecut.
Ketika membahaskan cadangan ini, Saidina Hamzah berkata, “Demi yang menurunkan al-Kitab kepadamu, aku tidak akan menjamah makanan melainkan setelah aku libas mereka dengan pedangku ini di luar Madinah.” (Ibn Burhan al-Din, al-Sirah al-Halabiyyah, jil 2, hlmn. 14)
Setelah kedua-dua cadangan ini dibentangkan dan dibahaskan, persetujuan bersama telah dicapai. Rasulullah SAW menerima cadangan majoriti iaitu bertemu musuh di luar kawasan Madinah.
c) Tidak menolak secara mutlak sesuatu idea
Rasulullah SAW tidak menolak secara mutlak idea-idea yang disampaikan oleh para sahabat walaupun pada mulanya kelihatan seperti tidak sesuai ataupun praktikal. Baginda percaya, penolakan idea tanpa dibincangkan terlebih dahulu akan mematikan semangat orang yang memberikan idea tersebut. Oleh kerana itu, Baginda sering menggalakkan para sahabat dan rakyatnya untuk memberikan sebarang pendapat mahupun idea terlebih dahulu dalam sesuatu perkara yang berlaku.
Sebagai contoh, dalam peristiwa peperangan Khandaq, Baginda bersama-sama para sahabat telah berbincang tentang strategi pertahanan untuk mempertahankan kota Madinah daripada serangan oleh pihak tentera Quraisy di bawah pimpinan Abu Sufian. Baginda membuka peluang kepada para sahabatnya untuk mengemukakan idea dan pendapat. Lalu bangkitlah seorang sahabat yang berbangsa Farsi iaitu Salman al-Farisi r.a. dalam memberikan ideanya iaitu mempertahankan kota Madinah dengan menggali parit.
Setelah mengadakan sidang rundingan dan perbincangan secara bersama, Rasulullah SAW dan para sahabat telah bersetuju untuk menerima idea, pengalaman dan kepakaran Salman. Selepas itu, Rasulullah SAW telah mengarahkan kepada setiap 10 orang lelaki supaya menggali parit seluas 40 hasta.
d) Menghargai sumbangan
Rasulullah SAW sering menghargai sumbangan para sahabat dan tentera-tenteranya melalui pujian dan doa. Sebelum bermulanya peperangan Badar, Rasulullah SAW telah mengadakan sidang perbincangan ketenteraan peringkat tertinggi. Di sini, Rasulullah SAW bertukar-tukar pendapat dengan semua anggota tentera serta para pimpinannya. Ketika itu, Abu Bakar al-Siddiq, Umar al-Khattab, al-Miqdad bin ‘Amru dan Sa’ad bin Mu’adh memberikan pandangan masing-masing. Rasulullah SAW amat gembira dengan pandangan tersebut, lalu memuji dan mendoakan kebaikan untuk mereka.
Inilah antara teknik yang dipraktikkan oleh Rasulullah SAW dalam kepimpinannya. Musyawarah merupakan elemen penting yang perlu dilaksanakan dalam menjana suatu organisasi yang mantap dan teratur. Tanpa musyawarah maka berpecahlah kita dengan masing-masing mempertahankan idea dan pendapat masing-masing tanpa mencari solusi kepada permasalahan yang berlaku. Sekiranya keputusan telah diperoleh maka tolaklah idea-idea yang dikemukakan dengan penuh berhikmah. Musyawarah adalah wadah dalam membina penyatuan umat bukannya kepada perpecahan umat. Jadilah seorang penganalisis yang baik iatu dengan mengkaji dan meneliti sesuatu itu secara terperinci dan bukannya menjadi seorang penghukum yang mementingkan diri tanpa memikirkan pihak yang lain agar hubungan sesama manusia dapat kita jaga.
“Terlaksana Musyawarah, Terbina Perpaduan Ummah.”
http://www.ilmi-islam.com/
Comments
Post a Comment