Pasangan Soleh Part 2

....sambungan

---------------------------------------------
Nizam pulang agak lewat daripada biasa. Selepas Isyak, dia bermesyuarat dengan para ahli jemaah masjid. Pelbagai isu dan hal yang telah dibangkitkan. Tidak kurang juga laporan daripada usaha yang telah dibuat. Mesyuarat diakhiri dengan doa dan sedikit muzakarah dengan sahabatnya.

Nizam membaca sms yang diterimanya,
< Safi >
” Abang, Safi nak pergi hantar ummi sekejap. Ada hal kata ummi. Abang izinkan?”

< Nizam >
”Abang izin. Safi nanti boleh bermalam di rumah ummi,dah lewat. Esok abang singgah ambil Safi.”


Nizam berhenti di persimpangan lampu isyarat. Di sebelahnya dilihat sebuah kereta yang dipenuhi penumpang remaja. Nizam beristighfar apabila melihat pasangan muda lelaki perempuan sedang berpeluk dan bercium. Pastinya belum bernikah kerana umur yang masih bersekolah. Nizam membunyikan hon sebagai isyarat membantah perlakuan itu dan kenderaan itu terus memecut pergi. Matanya basah, hatinya geram. Sungguh para muda mudi yang bergelumang dengan maksiat tidak menyedari betapa pedih dan dahsyatnya azab Allah. Cahaya petunjuk terhijab lantaran hati yang hitam dengan dosa. Sebab itu sering dikatakan mereka kepada orang yang ikhlas menegakkan syariat Allah sebagai penyibuk dan macam-macam lagi. Hakikatnya, para pendakwah ini sama sekali tidak ingin para pemuda ini menyediakan dirinya untuk diazab Allah, menjadi bahan bakar nerakaNya. Kasih sayang manakah yang lebih unggul daripada menyelamatkan seseorang manusia yang jauh dari perintah Allah supaya mendekati, mengenal Allah. Sungguh, hidayah itu hanya milik Allah. Nizam beristighfar dan berdoa.

Nizam menerima panggilan daripada Safi.
”Assalamu’alaikum.. abang dah sampai? Safi dah tiba dekat rumah ummi. Abang, sebelum pergi,Safi dah buat bubur kacang. Abang makanlah ye? ”
”Wa’alaikumussalam Safi..abang dah nak sampai. Insya Allah,nanti abang makan lah bubur kacang Safi yang sangat sedap tu. Amboi...sampai tak sempat abang nak jawab salam..hee” usik Nizam.
” Ye lah, sebab Safi rasa tak sedap ha...”

Panggg!! Cermin depan kereta Nizam tiba-tiba retak. Entah dari mana kereta anak-anak muda tadi memecut datang dan melemparkan benda keras. Nizam bertakbir lantas memperlahankan keretanya untuk berhenti di sisi jalan. Nizam beristighfar panjang.
”Abang...abang...abang?!!! kenapa ni bang?!! Abang?!!..huhuu. kenapa ni bang?”
Nizam tersedar yang isterinya masih di dalam talian.
”Bawa berselawat Safi..bertenang.. Abang ok. Alhamdulillah. Cuma ada benda keras yang kena depan cermin kereta ni tadi. Takde apa-apa yang jadi, cermin je yang retak sikit. Abang pulang dulu ye? Nanti abang telefon lain di rumah.” Nizam menenangkan Safi.
”Ye abang. Bawa elok-elok. Nanti abang telefon Safi ye bila dah pulang?”Kedengaran Safi masih lagi risau. Suaranya masih terisak-isak menangis.
”Insya Allah,jangan menangis,nanti ummi risau. Assalamu’alaikum.” Nizam meletakkan telefon. Dilihatnya kawasan cermin hadapan yang retak seketika dan kembali meneruskan perjalanan.

Setibanya di rumah, Nizam berjalan ke dapur sambil menelefon isterinya. Dilihatnya bubur kacang yang disediakan masih panas. Nizam menggelengkan kepala sambil tersenyum apabila tiga panggilannya tidak dijawab. Mungkin Safi sedang solah untuk menenangkan dirinya. Begitulah kebiasaannya.

------------------------

”Perniagaan abang ditimpa masalah sikit. Ujian dari Allah untuk kita. Mungkin kita terpaksa susah sikit lepas ni. Abang pun mungkin akan sibuk sikit untuk selesaikan masalah ini. Safi ok?” Nizam bertanyakan isterinya.
”Alhamdulillah abang, Safi ok. Jangan lah Abang risaukan tentang Safi. Safi faham masalah abang. Apa yang dapat Safi bantu, Safi bantu. Susah senang, kita sama-sama, abang. Sentiasa harap dan doa pada Allah.” Safi berbicara dengan lembut.
”Masya Allah..terima kasih Safi. Maafkan abang kalau ada kekurangan, ada kelemahan abang selama ini dalam menjadi suami Safi.. abang..”
Safi memintas, ”Jangan cakap begitu,abang. Abang suami Safi, jodoh ketetapan Allah pada Safi. Jangan abang lemah semangat. Susah abang, susah Safi juga. Safi bersyukur sangat kerana dikurniakan abang sebagai suami Safi. Lagipun Safi sayangkan abang kerana Allah. Takkan goyah hati Safi dalam mentaati abang, suami Safi. Abang kena kuat!” kata Safi mendorong Nizam.

“Susah senang kita bersama.”

------------------------

Nizam menghabiskan bubur yang disediakan isterinya. Sedap. Isterinya seringkali tersenyum indah saat dia memuji masakannya. Nizam mencapai telefonnya. Dia bimbang mengganggu isterinya jika dia masih larut dalam bersolah. Dia yakin isterinya akan menelefonnya setelah selesai.

Seketika, hatinya menjadi sebak. Tubuhnya bergementar. Nizam berasa hairan dengan perubahan dirinya seketika tadi namun dia kembali membersihkan mangkuk bubur yang dihabiskannya.

Nizam menghantar pesanan sms kepada isterinya,
< Nizam >
” Sedapnya bubur kacang Safi. Licin abang makan. Agaknya ada tak bubur begini di jannah nanti? Hee..Telefon abang ye nanti.”

Nizam tersenyum membaca sms yang ingin dikirimnya. Nizam juga agak risau bimbangkan isterinya masih resah akan kejadian sebentar tadi. Selesai berwudhu, telefon Nizam berdering.

“Zamm…” kedengaran suara ibunya yang terisak-isak menangis. Rasa cemas segera menyelubunginya tetapi Nizam cepat-cepat beristighfar.
“Ke..kenapa..um..ummi?” Nizam gugup.
“Safi, zam.. Safi terlibat dengan kemalangan. Huu..”
”Innalillah hi wa inna ilai hi rajiun...macam mana keadaannya ummi? Macam mana dengan Safi? Macam mana dengan dia?” tanya Nizam cemas.
“ Pak Arshad bagitahu, Safi dah meninggal dalam perjalanan ke hospital. Sabar ye Zam..anak ummi..huu..”

Nizam merasakan dadanya begitu sesak. Nafasnya tercungap-cungap. Seakan udara di sekelilingnya telah menjauh darinya. Telefon terlepas dari genggamannya. Nizam terduduk. Air mata mula bercucuran mengalir.
”Ya Allah..Safi ku..Ya Allah..”

---------------------

Selesai bersolah dan berdoa. Nizam memulakan perjalanan menuju ke hospital. Sebelumnya, dia singgah mengambil ibunya dan berusaha menenangkan ibunya yang telah kehilangan menantu yang dikasihinya. Ibunya menceritakan kepada Nizam apa yang berlaku dan apa yang diceritakan Pak Arshad yang tinggal di kawasan kejadian di dalam perjalanan mereka.

Ibunya memberitahu bahawa selepas kejadian kereta Nizam dibaling benda keras, Safi menjadi begitu risau dan meminta izin dan bersalaman dengan ummi untuk pulang melihatkan keadaan Nizam. Tetapi dalam perjalanan pulang ke rumah, Safi cuba mengelak kereta yang tiba-tiba membelok masuk ke simpang. Akibatnya Safi terbabas melanggar sepohon pokok.

Nizam tabah mendengarnya.

Cerita dari Pak Arshad pula menyatakan sebelum Safi menghembuskan nafas terakhir,dia meminta Pak Arshad mengambil telefon di dalam beg bimbitnya. Safi sempat membaca sms terakhir yang dikirim dari Nizam dan tersenyum indah. Dia berpesan kepada Pak Arshad agar memberitahu Nizam untuk memaafkan segala kesalahan dan meredhai dia sebagai isterinya. Dia menghembuskan nafas terakhir dengan lafaz syahadah.

Dalam ketabahannya,air mata Nizam mengalir perlahan.

--------------------------

Perlahan, Nizam membuka kain putih yang menutupi wajah isterinya. Dia mengucupi dahi jenazah isterinya dan memandang wajah bersih Safi. Nizam mengatur nafas dan tersenyum indah memandang jenazah isterinya.

” Allah mengetahui bahawa abang telah meredhai Safi sebagai isteri yang solehah pada abang. Bagi abang, Safi adalah sebaik-baik kesenangan dunia. Safi telah mentaati perintah Allah dengan sabar melayani segala kehendak suami Safi. Abang memaafkan segala kesalahan Safi sama ada yang tersurat mahupun tersirat. Abang meredhai Safi pergi. Sungguh, Safi seorang isteri yang terbaik pada abang. Semoga Safi tergolong dalam golongan mereka yang beriman dan beramal soleh. Berbahagialah duhai isteriku,Safi..”

Rasulullah s.a.w bersabda ; ”Sesiapa saja wanita yang meninggal dunia dan suaminya meredhainya maka ia masuk syurga.” (Tirmidzi, Ibnu Majah, Hakim)

----------------------

”Janganlah kamu bersikap lemah dan janganlah (pula) kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi (darjatnya) jika kamu orang-orang yang beriman.” - Ali Imran : 139

Kasih sayang bukan melemahkan hati, bukan membawa putus asa, bukan menimbulkan tangis sedu sedan. Tetapi, kasih sayang menghidupkan pengharapan, menguatkan hati dalam perjuangan menempuh onak duri penghidupan. – Hamka.

Berbahagialah orang-orang yang beriman.
Penghujungnya adalah kebahagian, bagi setiap yang beriman pada Allah dan Rasul Nya.
----------------------------------------------- 

TAMAT

Comments

Popular Posts