panduan menunaikan solat di dalam kapal terbang


Sejak akhir-akhir ini saya sering diajukan soalan berkaitan tatacara yang betul untuk menunaikan solat di dalam pesawat, mungkin kerana baru bermula cuti semester barangkali, maka ramai sahabat-sahabat yang ingin bermusafir pulang ke Malaysia, melancong dan sebagainya dengan menggunakan pelbagai jenis kenderaan terutamanya pesawat.

Tambahan juga, apabila saya didatangi salah seorang wakil daripada persatuan pada masa yang lalu, di dalam perbualan beliau mencadangkan agar saya menulis sedikit panduan atau penjelasan mengenai tajuk di atas. Di atas kesibukan masa dalam beberapa minggu ini. Alhamdulillah, akhirnya Allah swt beri saya kesempatan untuk menulis sedikit secara ringkas tata cara solat di dalam pesawat berdasarkan dalil.

Kewajipan Solat
Seperti mana yang kita semua maklumi bahawa solat adalah satu kewajipan yang sangat dituntut oleh agama. Maka umat Islam dilarang meninggalkan solat tanpa sebab walaupun berada dalam keadaan darurat sekalipun dalam keadaan perang, apatah lagi jika kita berada pada satu-satu tempat yang  memungkinkan kita untuk menunaikan solat seperti di atas kenderaan sebagai contoh. Larangan meninggalkan ini juga telah ditegaskan oleh Nabi saw di dalam hadisnya yang bermaksud: “Beza antara orang Muslim dan orang kafir adalah pada solat, sesiapa yang meninggalkannya, maka dia telah kufur.” (Riwayat Muslim no 82)

Justeru, ramai orang Islam yang masih lagi keliru dengan hal ini iaitu dengan sewenang-wenangnya meninggalkan solat tanpa sebab. Tidak kurang juga ada sesetengah pihak yang meringan-ringankan kewajipan ini dengan menggalakkan orang ramai menggantikan solat setelah sampai ke destinasi, dan ada juga yang mengatakan bahawa boleh solat hormat waktu, padahal perkara ini tidak ada asalnya di dalam sunah jika kita perhalusi. Allah swt telah berfirman yang bermaksud: “Dan mengharamkan mengada-ada  terhadap Allah apa yang kamu tidak ketahui .” (Al-A’rof:33)

Kita jangan terlalu bermudah-mudah dalam mengamalkan agama, tetapi hendaklah kita mengambil pandangan mereka yang ahli seperti para ulama’ Mujtahid yang  faham terhadap nas-nas, yang mempunyai usul di dalam perbahasannya. Oleh itu, saya akan cuba huraikan panduan ini dalam tajuk-tajuk yang kecil agar penerangan ini nampak mudah dan praktikal dengan izin Allah swt. Pembahagian ini adalah bertujuan untuk memudahkan para pembaca meneliti dan menilai hujah-hujah yang dikemukakan secara yakin dan adil.

Dalil Pensyariatan Solat Dalam Kenderaan Dan Keringanan Dalam Melaksanakannya
Kita dibolehkan menunaikan solat sama ada di dalam kereta, bas, pesawat, kereta api, dan lain-lain yang seumpama dengannya. Antara dalil yang membolehkan kita menunaikan solat di dalam kenderaan ialah daripada hadis Nabi saw yang bersabda ketika ditanya oleh seorang sahabat: “Bagaimanakah cara saya bersolat dalam perahu?” Baginda menjawab: “Bersolatlah di dalamnya dengan berdiri kecuali jika engkau takut tenggelam.”(Riwayat al-Bazzar dan Daruqutni, disahihkan oleh Imam al-Hakim). Berdasarkan hadis ini sebagai (illah) untuk membuktikan bahawa kita dibolehkan menunaikan solat ketika berada dalam apa-apa jenis kenderaan seperti apa yang saya sebutkan di atas.

Ya’la bin Murrah r.a menerangkan bahawa para sahabat pernah berserta Rasulullah saw dalam satu perjalanan, lalu sampai ke satu lembah sedang beliau berada di atas kenderaannya; dan langit pula sangat mendung dan di bawahnya sangat basah. Kemudian datang waktu solat lalu beliau memanggil tukang azannya, lalu ia azan dan iqamah, lantas Rasulullah saw terus maju kenderaannya dan solat berjemaah bersama mereka (para sahabat). Beliau memberi isyarat yang sujudnya lebih rendah dari rukuknya. (Riwayat Imam Ahmad dalam musnadnya 4/174)
Peristiwa di atas menjelaskan bahawa apabila ada kesukaran solat dalam keadaan berdiri di atas kenderaan kerana bahaya, ruang yang terbatas, dan amat menyukarkan, maka kita boleh solat dalam keadaan duduk. Kesukaran yang dihadapi itu tidaklah sampai kepada tahap darurat tetapi memadai dengan keadaan yang memberatkan.

Berdasarkan kedua-dua hadis di atas menjadi bukti bahawa boleh menunaikan solat-solat fardu di atas kenderaan, jika seseorang itu menghadapi suasana kesukaran maka ia boleh solat secara duduk. Demikianlah teladan yang diriwayatkan dari para sahabat seperti Anas bin Malik, Jabir, Tawus, Zaid dan lain-lain. Solat sebegini adalah tetap sah jikalau kesukarannya itu adalah benar-benar ikhlas dan tidak perlu diulangi. Akan tetapi jika seseorang itu mampu melaksanakan solat di atas kenderaan secara berdiri tetapi ia solat duduk, maka solat itu tidak dikira sah kerana dianggap sengaja mengabaikan dan meremehkan rukun kewajipan solat. Itulah pendapat yang dipegang oleh jumhur fuqaha’ seperti mazhab Syafie, Maliki, Hanbali dan lain-lain. (Imam an-Nawawi –Majmu’ Syarh al-Muhaddzab 3/241-234)

Lagi Hadis Nabi saw yang bermaksud: ““Hendaklah kamu tunaikan solat dengan berdiri. Jika tidak mampu, tunaikan dengan duduk. Jika tidak mampu, tunaikan dengan mengiring di atas rusuk. Jika tidak mampu, tunaikan dengan isyarat” (Riwayat Bukhari)

Berdasarkan dalil-dalil ini, ia banyak membantu kita untuk menunaikan kewajipan solat di dalam pesawat. Apabila kita berada di dalam pesawat, kita tidak digalakkan untuk bangun dari tempat duduk kita kerana khuatiri kita akan terjatuh disebabkan ke tidak kestabilan pesawat, maka kita diberi sedikit keringanan untuk solat secara duduk.

Bagaimana Untuk Menentukan Arah Kiblat Di Dalam Pesawat
Ini adalah perkara yang sukar juga apabila kita berada di dalam pesawat tatkala ingin menentukan arah kiblat kita. Sebagaimana yang kita sudah tahu bahawa menghadap ke arah kiblat adalah syarat sah solat, jika kita tidak menghadap ke arah kiblat maka solat kita tidak sah. Namun, apabila kita berada di dalam pesawat atau kenderaan yang lain, keringanan itu masih ada iaitu memadai di awal angkat takbir yang pertama kita menghadap ke arah kiblat dengan kadar 90 darjah kiri atau kanan, maka apabila pesawat bertukar arah selepas itu dan dada kita tidak lagi menghala ke arah kiblat, maka ia dimaafkan.

Walau bagaimanapun, jika dia mengetahui akan hal pergerakan pesawat atau kapal laut bergerak ke arah mana seperti kapten contohnya, maka ia wajib mengikut arah kiblat dengan memalingkan dadanya. Ini adalah berdasarkan hadis Nabi saw yang bermaksud: “Orang yang solat di atas kapal tetap menghadap kiblat setiap kali kapal itu berpindah arah.” (Diriwayatkan oleh Ibnu Abi Syaibah di dalam Al-Musannif 3/189 No:6634)
Lagi: “Mereka solat berjemaah di atas kapal dengan berdiri, dan mereka tetap menghadap kiblat ke arah mana pun kapal berputar.” (Dikeluarkan oleh Ibnu Abi Syaibah di dalam Al-Musannif 3/189 No:6637)

Athar di atas menunjukkan bahawa apabila seseorang itu tahu ke arah mana kapal berlayar seperti kapal laut atau pesawat, maka ia wajib menggerakkan badannya ke arah kiblat. Akan tetapi bagi kita yang tidak tahu selok-belok laluan pesawat atau kapal, memadai kita hanya mengangkat takbir pertama ke arah kiblat dan selepas itu dimaafkan.

Lagi satu hal keadaan, apabila memang kita tidak tahu langsung di mana arah kiblat kita. Selain sudah bertanya kepada anak kapal dan alat pembantu yang disediakan, maka kita dibenarkan untuk menganggarkan arah kiblat setepat mungkin. Hujah ini berdasarkan hadis yang bermaksud: “Jabir bin Abdillah r.a menerangkan: Kami pernah solat di satu malam yang mendung dan kami tidak mengetahui arah kiblat. Tatkala kami selesai solat kami perhatikan bahawa kami (sebenarnya) solat bukan menghadap ke arah kiblat. Lalu kami sampaikan hal ini kepada Rasulullah saw, lalu beliau berkata: Kamu telah melakukan yang terbaik. Seterusnya Jabir berkata: Dan beliau tidak menyuruh kami mengulanginya.” (Riwayat Imam Baihaqi di dalam Sunan al-Kubra)
Berdasarkan kepada hadis di atas, para fuqaha’ telah bersepakat bahawa solat tetap wajib dilakukan walaupun tidak menghadap ke arah kiblat dan tidak perlu mengulanginya.

Bagaimana Jika Tahu Yang Kita Membelakangkan Arah Kiblat?
Hal ini adalah sukar sedikit kerana apabila seseorang itu tahu di mana arah kiblat setelah berusaha, maka wajib baginya menghala ke arah kiblat. Jika kedudukan Mekah terlalu menghadap ke belakang secara 100%, dan solat secara duduk untuk menghadapnya sangat tidak mengizinkan. Perlu berusaha meminta izin pramugara/i untuk menggunakan mana-mana tempat yang sesuai bagi menunaikan.
Namun, jika arah Mekah hanya perlu menoleh 90 darjah kanan atau kiri, maka kita masih boleh menunaikan solat di tempat duduk kita. Apa yang penting semasa permulaan takbir dada kita menghadap ke arah yang dikehendaki, pergerakan kapal terbang selepas itu tidak perlu lagi dihiraukan.

Penentuan Waktu-Waktu Solat Dalam Pesawat
Seperti yang kita ketahui bahawa waktu ketika berada di bumi sedikit berbeza dengan keadaan waktu di angkasa, maka menjadi masalah pada kita untuk menentukan waktu-waktu solat terutamanya waktu solat subuh. Maka inilah masa yang paling sesuai untuk kita mempraktikkan ilmu pengetahuan kita dalam membaca pergerakan matahari seperti apa yang kita belajar daripada buku-buku fiqh.
Contohnya apabila kita ingin mengetahui waktu maghrib, maka apabila kita lihat sahaja di luar tingkap yang matahari sudah terbenam, maka masuklah waktu maghrib, apabila hilang cahaya kemerahan maka masuklah waktu isyak.

Adapun bagi waktu Zohor dan ‘Asar, boleh ditunaikan dengan berijtihad dan berusaha mencari  (untuk mengetahui masuknya waktu), apabila kita dapat mengetahui waktunya di negeri yang kita berada di atasnya, maka kita hendaklah melewatkan sedikit solat dari tempoh itu, kemudian barulah kita solat, ini kerana waktu kita berada di atas (di dalam pesawat) tidak sama seperti waktu di bumi. Kita juga boleh menjamakkan antara Zohor dengan ‘Asar, dan di antara Maghrib dengan ‘Isyak sama ada jama’ al-Taqdim ataupun jama’ al-Ta’khir berdasarkan mana yang lebih mudah untuk ditunaikan. Kita juga boleh bertanya kepada Kapten kapal terbang, kerana dia memiliki peralatan yang boleh mengetahui waktu-waktu solat di udara.
Dan ketahuilah, jika yang terlindung baginya (mana-mana) waktu solat, Maka dia berijtihad dengan kadar kemampuannya, kemudian dia solat, maka solatnya sah dan tidak perlu mengulanginya.

Contoh praktikal yang digambarkan oleh Ustaz Dr Zaharuddin semasa beliau ingin pulang ke Malaysia pada waktu subuh adalah seperti berikut: “kaedah saya menentukan masuk waktu Subuh adalah mengikut kiraan Dubai, sebagaimana yang pembaca boleh lihat, kami akan berlepas dari Dubai pada jam 03.15 pagi iaitu satu setengah jam sebelum Subuh di Dubai. Waktu Subuh di Dubai adalah 4.48 pagi. Jika melihat kepada petadunia, jika sebuah flight berlepas dari Dubai menghala ke Malaysia, dalam tempoh satu jam setengah, saya yakin kapal terbang itu akan berada di atas Indian Ocean. Maka waktu solat Subuh di tengah lautan itu boleh mengikut tanah yang terdekat dengannya, yang saya yakin iaitu Oman atau mungkin juga Karachi. Setelah disemak, waktu Subuh bagi Oman adalah pada jam 4.46 pagi ( waktu Oman adalah sama dengan Dubai) manakala Karachi pada jam 5.55 pagi. Namun setakat ini saya lebih yakin kapalterbang akan lebih dekat dengan ruang waktu Oman, justeru subuh dalam waktunya sama ada waktu Oman atau Karachi.”

Bagaimana Bagi Perempuan Yang Solat Tanpa Telekung Di Dalam Kenderaan
Perempuan yang baik apabila keluar sahaja daripada rumah, wajib baginya menutup aurat dengan sempurna. Maka tidak menjadi masalah padanya untuk melakukan solat dengan pakaian tersebut. Kita harus faham bahawa sejarah telekung bermula di asia tenggara. Jadi ramai yang salah faham bahawa menyangka yang telekung adalah syarat sah daripada solat. Kita perlu tahu bahawa syarat sah bagi solat ialah menutup aurat dengan sempurna seperti pakaian kita apabila keluar dari rumah. Telekung hanyalah alat untuk menutup aurat sama seperti pakaian yang lain.

Adakah Solat Yang Dilakukan Dengan Rukhsah Iaitu Dengan Mengambil Kemudahan Dan Kelonggaran Tadi Perlu Diulangi Semula
Tidak perlu mengulanginya semula. Ibadah yang wajib, jika telah dilaksanakan mengikut yang termampu dilakukan (walaupun dengan meninggalkan sebahagian syarat atau rukunnya kerana tidak berupaya dilakukan, bukan kerana sengaja untuk bermain-main atau mempermudah-mudahkan agama), maka dikira ibadah itu dan tidak perlu lagi diulangi. Inilah pandangan Imam al-Muzani (seorang murid terkenal Imam Syafi’ie) katanya: “Khusus mengenai solat fardhu, Imam al-Muzani berkata; “setiap solat yang wajib dilaksanakan di dalam waktunya sekalipun dilaksanakan dengan terdapat suatu kekurangan, tidak wajib diulangi semula”. (Syarah Soheh Muslim, Imam an-Nawawi, jil. 4, Kitab al-Haidh, bab at-Tayammum).

Dan pendapat ini juga disokong oleh Imam an-Nawawi kerana menurut beliau; pandangan ini paling kuat dari sudut dalilnya kerana Allah berfirman; “Maka bertaqwalah kamu kepada Allah sedaya supaya kamu” (at-Taghabun: 16).
Dan Nabi saw pula bersabda: “Apabila aku perintahkan kamu dengan suatu urusan, maka lakukanlah mengikut yang termampu oleh kamu.” (Riwayat dari Abu Hurairah r.a)
Jadi berdasarkan pandangan Imam al-Muzani di atas, tidak ada yang dikatakan solat hormat waktu (yakni solat yang dilakukan semata-mata untuk menghormati waktu solat, bukan untuk menggugurkan tuntutan solat) kerana solat yang dilakukan dengan rukhsah itu telah pun sah dan dikira oleh Syarak kerana ia dilakukan mengikut kadar kemampuan yang ada.

Akhirnya, kewajipan solat di dalam kenderaan tidak akan jatuh selagi mana seseorang itu berilmu untuk mendapatkannya. Meninggalkan solat dengan sengaja merupakan dosa yang amat besar, malangnya berapa ramai yang memenuhi solat lima waktunya sehari semalam! Amat sedikit sekali bilangannya apatah lagi jika berada dalam keadaan tertentu, maka lebih senang untuk meninggalkannya.

Justeru, pendekatan ilmu itu sangat penting bagi melaksanakan ibadah serta disiplin-disiplinnya dengan sempurna sebagaimana tempat-tempat yang saya sebutkan di atas. Kita tidak boleh lagi memberi alasan bahawa kita tidak tahu itu dan ini mengenai ibadah kita, sedangkan kita masih lagi malas mencari ilmu. Oleh itu, Nabi saw telah menegaskan kepada orang yang malas menuntut ilmu dengan sabdanya: “Mencari ilmu adalah fardu ke atas setiap orang Islam.” (Riwayat Sahih Ibnu Majah)

Sesiapa yang masih keliru atau tidak faham, boleh terus bertanya kepada saya sama ada terus komen di bawah atau pun di bahagian Hubungi Penulis yang telah saya sediakan di tag di atas. Semoga dengan penyampaian semi ilmiyah ini dapat membantu kita semua dalam melaksanakan ibadah berdasarkan konsepnya yang betul serta mudah dalam pelaksanaannya.

Sekian,
Muhammad Fathullah Al-Haq
Universiti Yarmouk, Irbid, Jordan.

Comments

Popular Posts