hidayah Allah itu milik semua
Titisan jernih air mata menyubur cinta
Dan rindu pun terus berbunga
Mekar tidak pernah sekali layu
Damainya hati ini
Yang dulu sering resah keliru
Aku merebahkan diri di atas katil sebaik sahaja usai menunaikan solat zohor. Mengenangkan keempukan katil ini, ingin sahaja aku memejamkan mata seketika lantaran kepenatan kuliah seharian semenjak pagi tadi. Mengisi jadual yang terlalu padat untuk hari ini, namun tidak mengapalah. Berkorban sebentar untuk bahagia mendatang. Aku cuba juga untuk menongkat mataku. Khuatir jika aku tertidur lalu terlajak hingga ke waktu Asar. Tidak sesekali untuk tidur di dalam kuliah, prinsip yang kupegang sebagai tanda menghormati guru yang mengajar jika ingin ilmu yang dipelajari itu barakah. Aku merenung dalam-dalam ke dinding kosong putih bilikku sambil bibirku tidak berhenti mengukir senyuman seorang diri. Ligat kotak ingatanku berhempas pulas mengingatkan sesuatu.
***********
“Kaisara bukannya nak datang sini pun. Mama dengan papa tu yang suka sangat buat keputusan sendiri. Kaisara tak kira, Kaisara tetap dengan keputusan nak balik Malaysia hari ini juga. Kalau tidak, Kaisara akan beli tiket kapal terbang pulang ke Malaysia sendiri.” Lama kemudian tidak kedengaran lagi suara orang bercakap-cakap melalui telefon. Aku perlahan-lahan cuba menekapkan telinga di luar pintu bilik. Bimbang kehadiranku di dalam kamar tidur itu akan mengganggu perbualan mereka anak-beranak. Kini yang jelas kedengaran ialah tangis di hujung sendu.
Kaisara Sabrina, engkau juga punyai cerita hebat dan indah dalam hidupmu, sehebat dan seindah namamu yang bererti permaisuri kesabaran. Langsung tiada siapa yang tahu tentang kisah kemudian harimu melainkan cinta teragung itu.
Aku memberanikan diri membuka daun pintu kamarku itu. Terlihat sekujur tubuh badan Kaisara di atas katil dalam keadaan wajahnya cemberut masam mencuka. Aku terkaku melihat perlakuan Kaisara. Serba salah untuk menegur. suasana di dalam bilik menjadi sunyi-sepi seketika, hanya kedengaran bunyi hon kenderaan di jalanan yang datang dari arah balkoni, juga bunyi rengekan keldai yang barangkali cuba meminta simpati tuannya kerana bebanan di badannya terlalu berat.
Aku memandang sepi ke arah beg-beg bagasi kepunyaan Kaisara. Pakaian dan barang-barang keperluannya masih belum dikeluarkan dari beg-beg bagasinya. Seringkali juga aku bertanya kepadanya tentang mengapa tidak mengemaskan lagi barang-barang itu ke dalam almari. Soalanku itu selalunya tidak berbalas. Jika ringan mulutnya muncullah beberapa patah kata “ Rindu mama dan papa. Kaisara nak balik Malaysia sekarang.”Sebagai sahabat tambahan pula aku ini teman sebiliknya, sungguh risau aku melihat Kaisara dalam keadaan begitu setiap hari. “Harus dilakukan sesuatu, sudahlah minggu depan kuliah pertama akan bermula” desis hati kecilku.
***********
Ketika diri ini mencari sinar-Nya
Secebis cahaya itu muncul menerangi laluan
Adakalanya langkah ini tersasar terjelepuk
Tersungkur sakit di lembah kegelapan
Aku bangun dari pembaringan. Tidak gemar untuk bermalasan-malasan kerana itu bukanlah sifat-sifat orang yang ingin berjaya. Aku menarik beg sandang kuliah yang kubawa tadi. Aku keluarkan semua buku nota yang dipelajari hari ini. Cadangnya aku ingin mengulangkaji semula apa yang telah dipelajari di gamaah tadi. Aku cuba pula mencapai buku diariku di atas meja bersebelahan katil. Mencatatkan apa yang terjadi hari ini dan juga menulis perancanganku untuk hari ini memang rutinku setiap hari.
Doktor-doktor di gamaah sangat hebat dan mantap ilmu mereka. Aneh aku melihat mereka di gamaah semuanya ke kelas mengajar tanpa membawa buku, tetapi apa yang diajar dan disebut satu-satu serupa dengan ayat di dalam buku sukatan. Begitu kuat ingatan mereka walaupun sudah dimamah usia. Merasa amat kagum melihat situasi itu mengenangkan diri ini yang masih lagi muda remaja. Gamaah adalah istilah bahasa arab ammiyah yang bermaksud universiti. Bahasa arab ammiyah ialah bahasa arab pasar di Mesir.
Aku kagum apabila acap kali mereka mengajarkan ilmu perubatan kepada kami. Pasti mereka tidak lupa untuk mengaitkan dengan siapakah pencipta kita. Terasa benar-benar hebatnya akan kekuasaan Allah SWT yang telah menciptakan manusia ini dengan sebaik-baik kejadian.Tiada syak dan ragu-ragu lagi sejak dari dahulu. FirmanNya yang indah,. ‘Sesungguhnya Kami menciptakan manusia itu dengan sebaik- baik kejadian‘ (Surah at-Tin:4).
Jika ditelusuri segenap inci tubuh badanku. Seinci urat saraf dan nadi yang menyelusuri tubuh badanku. Organ-organ di dalam tubuh badan yang tidak kelihatan dengan mata kasar membuatkan kita mampu menjalani pentas kehidupan setiap hari. Sekecil-kecil zarah mampu dicipta oleh Allah di dalam badan manusia.
Aku amat terkesan dengan satu ayat yang aku sendiri pernah mendengarnya ketika aku menonton video motivasi oleh salah seorang tokoh doktor wanita muslimah yang sangat aku kagumi di Malaysia. Nama beliau tidak asing lagi di telinga masyarakat. Prof. Dr. Muhaya bukan sahaja seorang doktor pakar mata malah juga seorang penyampai motivasi. Teknik penyampaianya yang bersahaja dengan suara beliau yang lemah-lembut penuh keibuan itu pasti bakal menarik sesiapa sahaja untuk tersentuh ketika mendengar bayt-bayt mutiara daripadanya. Beliau pernah berkata, “Doktor ialah orang yang dapat mengkaji ciptaan Allah yang paling tinggi. Sebab itu saya kata, kalau doktor yang belajar ciptaan Allah tetapi masih buta hatinya memang orang yang paling buta. “
Tidak dapat ku bayangkan jika suatu hari nanti Allah menarik salah satu pinjamannya daripada kita, nescaya ketika itu siapalah kita. Gemar akan firman Allah yang sering diulang-ulang tanda peringatan bersama di dalam surah Ar-Rahman. “Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan?” Tidak kita ditimpa ujian jika bukan sebagai tanda kasih sayang-Nya. Tidak kita ditimpa ujian jika bukan kerana kitalah insan terpilih yang mampu memikul ujian itu. “….Allah tidak akan memberikan beban hidup seseorang, melainkan menurut kadar kemampuannya….” ( Al-Baqarah : 233).
***********
“ Fathiah, saya nak bertanya sedikit. Macam mana awak boleh bercita-cita nak menyambung pelajaran di Mesir? ” Aku baru ingin membuka mulut untuk menjawab soalannya namun Kaisara laju terus memintasku. “Kaisara tak pernah terlintas di hati nak menyambung pelajaran di sini. Sudahlah Mesir negara yang mundur. Langsung tak berminat untuk belajar perubatan. Cita-cita Kaisara yang sebenarnya adalah ingin menyambung pelajaran di United Kingdom dan menjadi seorang ahli perniagaan. Kaisara tak berminat nak memakai tudung apatah lagi tudung labuh seperti Fathiah pakai. Kaisara kasihankan papa yang semakin hari semakin bertambah usia tuanya dan tiada sesiapa anak papa yang dapat menyambung tugas papa merawat pesakit di klinik yang papa sendiri usahakan sejak dari Kaisara kecil.”
Noor Fathiah yang beerti cahaya kemenangan. Nama yang diberikan oleh ibu ayahku atas cadangan sahabat ayahku yang merupakan seorang ustaz. Walaupun namaku itu ringkas namun aku sangat suka dan berbangga dengan namaku. Ia merupakan doa dan juga pemberian daripada orang tuaku. Berbeza dengan Kaisara.“Kaisara langsung tak suka dengan nama yang orang tua Kaisara berikan kepada Kaisara. Kaisara sudah merancang ingin meletak nama anak Kaisara nanti Puteri Balqis Alisha Qistina. Barulah nampak seperti moden sedikit.”
Aku pernah terbaca sebuah artikel di blog seorang ustaz yang menuntut di Jordan yang tajuknya berbunyi‘Syariat Islam Pada Awal Kelahiran Manusia: Memberikan Nama Yang Baik.’ Maka ustaz itu berkata suruhan ini bertepatan dengan hadis nabi s.a.w yang bermaksud,
“Sesungguhnya pada hari kiamat kelak, manusia akan dipanggil menghadap Allah swt dengan nama masing-masing dan nama bapa masing-masing (seperti mana nama di dunia). Oleh itu, pilihlah nama yang baik-baik untuk kamu sekalian.” (Direkodkan Oleh Abu Daud, Ibnu Hajar Al-Asqolani dan lain-lainnya).
Memang sedap nama bakal anak Kaisara dan punyai makna yang menarik juga tetapi aku aneh apabila mendengar Kaisara tidak suka akan namanya sendiri. Terasa seperti ingin menggaru kepala yang tidak gatal.“Kaisara kenapa cakap begitu, kecil hati mama papa Kaisara kalau mereka dengar. Mereka sudah merasakan nama Kaisara yang terbaik ketika hendak menamakan Kaisara. Kan indah maksudnya. Cuba Kaisara bayangkan jika nanti apabila anak Kaisara sudah membesar lalu dia juga tidak suka dengan nama yang Kaisara berikan kepadanya. Sedangkan Kaisara sudah merasakan nama itulah yang terbaik untuk dia, pasti sedih bukan.” Aku nampak Kaisara menundukkan kepalanya sambil mengangguk lemah.
Aku cuba untuk memancing minat dan mengambil hati Kaisara semula. “Kaisara, awak tahu kenapa Fathiah teringin benar hendak menyambung pelajaran di Mesir.?” Kaisara menggelengkan kepalanya lantas bertanya“Kenapa?” “ Sebab di Mesirkan ada Fahri dalam cerita Ayat-Ayat Cinta dan Abdullah Khairul Azzam dalam cerita Ketika Cinta Bertasbih. Biar Fathiah jadi Aisyah untuk Fahri dan Anna Althafunnisa untuk Abdullah Khairul Azzam.” Meluncur keluar tawa Kaisara.
“Sini bumi anbia, Fathiah simpan cita-cita hendak menyambung pelajaran di Mesir sejak Tingkatan 3 lagi. Kaisara, sekurang-kurangnya awak sangat sayangkan mama dan papa awak. Fathiah yakin suatu hari nanti Allah pasti akan tunjukkan hikmah mengapa Kaisara dihantar ke sini sedangkan ada sahabat Fathiah yang menangis, tidak dapat menyambung pelajaran di sini. Bak kata bijak pandai, menanti hikmah berbuah.” “Apa Fathiah?” tanya Kaisara sambil menahan ketawa. “Menanti hikmah berbuah.” Aku turut tertawa, alhamdulillah berjaya membuat dia ketawa semula.
“Kaisara, jom kita ke kelas tafaquh malam ini di Bait Izzah.” “Errr, tak pe lah Fathiah, awak je la yang pergi.” “Betul ni tak nak pergi, best tajuk malam ini, Ustaz Nazrul akan menyampaikan tajuk ‘Hidayah Allah itu indah’.” Dia tersenyum sambil menggeleng.
***********
Cintaku ini takkan pudar kusam diuji dugaan
Mengharum mewangi mekar dalam harapan
Moga kan kesampaian kepada Tuhan
Lantaran diri hamba ini terlalu kerdil dan hina
“…Mawlaya Salli Wassalim da-Iman Abadan Ala Habi Bika Khairil Khalqi Kulli’mi da-Iman Abadan Ala Habi Bika Khairil Khalqi Kulli’mi …” Telefon bimbitku berbunyi memainkan lagu kegemaranku ‘Mawlaya Salli Wassalim’ nyanyian Talib Al-Habib. Aneh melihat nama yang tertera di skrin telefon bimbitku namun aku angkat jua panggilan itu. “Assalamualaikum Fathiah, Kaisara nak beritahu bahawa ada akhowat baru berpindah masuk ke kawasan Awal Shober berdekatan kawasan Masjid Daba’. Nanti Fathiah kemaskinikan data yang terbaru kemudian emailkan kepada Kaisara.” Aku mendengar apa yang baru dikhabarkan oleh Kaisara sambil mencatat sedikit peringatan untuk diriku di atas sehelai kertas.
Itulah tugas Kaisara selaku Timbalan Pengarah Villa Taqwa, Unit Perumahan, Persatuan Perubatan Cawangan Tanta dan aku pula hanyalah selaku anak buahnya yang merupakan Ketua Akhowat bagi kawasan Awal Shober. Akhowat bermaksud saudara perempuan. Kaisara sudah tidak tinggal sebilik denganku kerana kami sudah berpindah ke rumah baru yang biliknya lebih banyak. Jika dia malas untuk ke bilikku untuk memberitahu sesuatu, dia pasti sahaja akan menghubungiku melalui telefon.
Selepas Asar, aku segera bersiap-siap untuk menjalankan tugasku, Aku diminta untuk menjadi hakim bagi Pertandingan Villa Taqwa. Angin petang itu sepoi-sepoi bahasa, kelihatan kanak-kanak arab sedang berlumba lari di tanah lapang. Aku berjalan tenang sambil terkenangkan memori setahun lalu, tersenyum panjang aku dibuatnya.
***********
Suatu hari sewaktu fatrah imtihan akhir tahun Kaisara bertanya kepadaku, “Fathiah, kenapa dalam hidup ini, kita tidak dapat sahaja apa yang kita hendak, kan senang kalau macam itu, Tidak perlu bersusah payah untuk membaca buku, menghafal segala maklumat yang banyak ini.” Aku tersenyum ketika mendengar soalannya sambil menyelak helaian buku yang perlu dibaca, “Maksud Kaisara, hendak kejayaan ini datang bergolek tanpa usaha.” Dia tersengih seperti kerang busuk duduk di tepi birai katilnya. “Mustahilkan Fathiah tetapi banyak sangat halaman buku yang perlu baca dan hafal,“ balasnya menyedari akan kelucuan soalan itu. Aku senyum lagi sambil mentafsir mungkin kerana sahabatku ini tertekan kerana terlalu banyak belajar, soalan sebegitu juga boleh muncul. “Memang mustahil pun, sebab itu bukan tujuan hidup ini diciptakan. Kalau semua benda yang kita minta dan terus dapat, jatuh ‘kedebuk’ di depan mata. Itu namanya syurga bukan dunia.” sambungku.
“Seorangpun tidak mengetahui apa yang disembunyikan untuk mereka yaitu (bermacam-macam ni’mat) yang menyedapkan pandangan mata sebagai balasan terhadap apa yang telah mereka kerjakan.” (As Sajdah : 17)
Begitulah rutin aku dan kaisara setiap hari, ada sahaja topik yang ingin dibincangkan, ada sahaja tazkirah yang ingin dikonsikan. Kami berpesan-pesan kepada kebaikan. Apabila Kaisara mengeluh kepenatan. “Kaisara, Fathiah pernah mendengar video kuliah yang disampaikan oleh Dr.Asri. Beliau berkata perjuangan bukan mesti berakhir dengan kemenangan. Mungkin generasi kemudian menang. Orang selepas ni menang tapi ketika kita berjuang, bukan kita nak mengutip kemenangan, kita mengutip pahala, kita mengutip balasan di sisi Allah, kita mengharapkan Allah mengampunkan dosa-dosa di atas ujian-ujian yang diberikan kepada kita.”
Kaisara sudah tidak seperti dahulu, kini dia tampak lebih tabah dan berdikari. Dia sudah dapat membiasakan diri dengan kehidupan di bumi kelahiran Nabi Musa ini. Lewat petang itu, Kaisara mengajukan soalan kepadaku. “Fathiah, Kaisara hendak bertanya tudung yang Fathiah pakai itu bidang berapa.” “60 Kaisara, pergilah ambil di dalam almari jika ingin mencubanya.” “Besar sangat tuh Fathiah, Kaisara rasa Kaisara nak pakai tudung yang menutup dada lagipun tudung bawal yang Kaisara selalu pakai tuh jarang.”. “Alhamdulillah,” balasku dengan senyuman penuh bermakna di dalam hati.
***********
Syukur sungguh di hati ini kupanjat pada-Nya
Dikurniakan anugerah teman sejati
Menunjuk jalan lurus jalan dekati-Nya
Tika diri ini dalam kebuntuan
Hari ini tanggal 31 Januari 2010, merupakan ulangtahun kelahiran salah seorang teman serumahku. Kami semua telah berpakat untuk menyambut sambutan hari lahirnya di sebuah restoran yang menyediakan makanan Syria ‘Tarboush’. Aku terpandang sesuatu yang lain pada Kaisara tetapi aku sendiri tidak tahu apakah itu. Setelah aku mengamati Kaisara. Aku perasan yang dia sudah memakai tudung labuh bidang 60.
Alhamdulillah. “Kaisara nampak ayu, kelihatan seperti Dr. Kaisara gitu. Fathiah dapat bayangkan apabila Kaisara sudah menjadi doktor nanti.” Kaisara tersenyum mendengar aku memujinya. Kaisara mampir ke arahku berjalan seiringan lalu berbisik di telingaku. “Kaisara tekad hendak berubah untuk menjadi yang lebih baik.”
“You’ll never reach perfection because there’s always room for improvement. Yet get along the way to perfection, you’ll learn to get better.”
― Hlovate, Versus
― Hlovate, Versus
Malam itu Kaisara datang ke bilikku menceritakan bagaimana dia tergerak hati untuk berubah. “ Sewaktu usrah minggu lepas, hati Kaisara bagaikan sedikit tersentap apabila Kak Syahirah bertanya kepada kita. Apakah tujuan kita hidup di atas muka bumi ini. Kaisara bertanya kepada hati Kaisara sendiri, selama 20 tahun Kaisara apa tujuan Kaisara hidup di atas muka bumi ini. Kak Syahirah berkata lagi jika kita orang Islam tidak tahu apakah tujuan hidup ini diciptakan, maka kita ini samalah seperti orang-orang kafir, kerana mereka juga tidak tahu tujuan mereka hidup di atas muka bumi ini untuk apa.”
Aku terdengar di hujung suara Kaisara ada getaran. Aku sendiri mulai merasa sebak. “Esok harinya Kaisara terjumpa sebuah artikel yang memang tepat terkena ke batang hidung Kaisara, artikel berkisar tentang apakah yang telah kita semua lakukan sepanjang kita hidup di muka bumi ini. Sebelum ini bukannya Kaisara tidak pernah terdengar atau mendengar, cumanya Kaisara hiraukan semua tu, entah kenapa kali ini hati Kaisara sangat-sangat tersentuh merasa banyaknya dosa yang Kaisara lakukan,” Air mata Kaisara laju mengalir, tidak berhenti mengalir, aku terus menarik tubuh badannya, memeluknya erat, dia membalas pelukan. Air mataku jua turut turun. Terasa basah bajuku terkena air mata Kaisara.
“Dan tidaklah Aku ciptakan jin dan Manusia melainkan untuk beribadah kepadaku”. [Adz Dzariyat [51] : 56].
Ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat: “Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi”. Mereka berkata: “Mengapa Engkau hendak menjadikan (khalifah) di bumi itu orang yang akan membuat kerusakan padanya dan menumpahkan darah, padahal kami senantiasa bertasbih dengan memuji Engkau dan mensucikan Engkau?” Tuhan berfirman: “Sesungguhnya Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui“. (Q.S. Al-Baqarah: 30)
“Fathiah, Kaisara rasa indah sangat perasaan Kaisara yang sekarang ini. Kaisara sangat rasa bersyukur Allah gerakkan hati Kaisara untuk berubah walaupun sedikit terlambat.” “Better late than never, Kaisara,”kataku. “Rasa indah sangat hidayah Allah ini. Rasa semacam hendak pecah dada Kaisara ini, gembira yang tidak terperi. Bersyukur Allah tempatkan Kaisara di bumi Mesir ini. Banyak sebenarnya yang Kaisara belajar dari sekeliling Kaisara. Biah solehah yang selalu dipelihara di bumi Tanta ini, sahabat-sahabat di sekeliling Kaisara yang sangat baik hati selalu membimbing Kaisara. Kaisara mahu perbaiki dan mempertingkatkan lagi amal ibadat Kaisara. Sekarang baru Kaisara faham apa maksud Fathiah dahulu. Tidak sia-sia Kaisara menanti hikmah berbuah. Hikmah itu berbuah juga akhirnya. Alhamdulillah.”
Aku teringat pada kata-kata Syeikh Rohimuddin Nawawi Al Batany, “Manusia menerima bisikan-bisikan dari syaitan dan iblis, Syaitan ini lemah, jika dia membisikkan kejahatan kepada kita, dan kita melawannya, esok hari dia datang semula dengan bisikan kejahatan yang lain pula kerana syaitan ini cepat goyah, putus asa dan tidak sabar. Bisikan kedua datangnya dari nafsu. Setiap orang punya nafsu yang sama cumanya yang lebih dominan pada setiap orang itu lain-lain. Nafsu itu tidak akan berhenti melainkan kita meninggal dunia. Jadi untuk melawan nafsu itu, perlulah bermuhajadah.
Banyak makan, banyak tidur, banyak tidur, banyak cakap, banyak cakap, banyak salah, banyak salah, keras hati, keras hati, susah terima kebaikan.
Bisikan yang ketiga datangnya dari Malaikat. Kebiasaanya kita tahu akan kelebihan-kelebihan membaca al Quran kemudian terdetik di hati untuk membaca al Quran. Itulah bisikan malaikat. Yang terakhirnya bisikan Allah. Ini untuk orang-orang yang suci yang dinamakan hidayah Allah. Jika datang hidayah Allah ini, tidak dapat ditolak lagi, tiada siapa dapat menolaknya. “
***********
“Fathiah, awak termenung jauh sangat tu. Teringat ke siapa tu?. Jom solat magrib berjemaah. Selepas ini, kita hendak ke kelas Tafaquh Ustaz Hairul.” “Eh tak teringat ke siapa-siapalah. Jom.” Segeraku bangun dari meja belajarku bingkas mengambil wudhuk untuk menunaikan solat berjemaah. Indahnya perasaan ini. Usai solat magrib itu, aku menarik Kaisara lalu mulutku mendekati telinganya berbisik. “Ana uhibbuki fillah (Saya sayang awak kerana Allah)”. Kaisara terus memelukku, “Wa ana uhibbuki fillah kaman (dan saya sayang awak kerana Alllah juga).” Sahabatku, jika jannah Allah itu sekuntum bunga, sudah pasti aku akan memetik bunga itu untukmu. Jikalau jannah Allah itu seekor burung, sudah pasti akan ku tangkap burung itu. Jika jannah Allah itu sebuah rumah. Pasti akan ku binakannya untukmu, tetapi jannah Allah itu sebuah tempat yang tidak terlihat dek mata yang lemah ini, lantas yang ku mampu ialah memanjatkan doa semoga Allah menyediakan tempat buatmu di sana kelak. Alhamdulillah. Banyak kemanisan dapat dirasai. Indahnya jika semua kerana Dia. Sweetkan Allah. Jangan pernah lelah menanti hikmah berbuah. Jika bukan sekarang, mungkin akan datang. Jika bukan di sini, pasti di sana Allah buka hijab hikmah yang selama ini menjadi rahsia. Moga semua sampai kejannah-Nya.
-Tamat-
__________________________________
Oleh: Norashikin Binti Abdullah
Pelajar Perubatan di Tanta Universiti, Mesir.
Comments
Post a Comment