Amir bin Abdullah al-Tamimi: Munajatnya Bernilai Sastera


Profil
·         Dilahirkan pada masa pemerintahan khalifah Umar r.a. di kota Basrah,
·         Berbadan tegap, panjang janggutnya, wajahnya bercahaya, banyak beribadah, mulia akhlaknya dan dibesarkan dalam lingkungan orang-orang bertakwa (para sahabat) sejak kecil.
·         Ahli ibadah dan zuhud.
·         Tentera Muslim yang melemahkan Persia.
·         Diusir dari Basrah ke Syam kerana fitnah.
·         Wafat di Palestin.
Kelahiran di Lingkungan Iman
            Tangisan pertama Amir bin Abdullah al-Tamimi membuatkan bibir ibunya berkuntum senyuman. Dunia terasa lebih bercahaya dengan sinar harapan. Meskipun puteranya itu tidak sempat bertemu Rasulullah SAW, namun dia terpilih untuk lahir sebagai tabiin. Penuh kemuliaan.
            Pada saat itu, kota Basrah basah dengan roh jihad. Khalifah Umar al-Khattab menjadikan Basrah sebagai pos penyerangan kaum muslimin terhadap orang-orang Persia. Pemuda-pemuda Basrah siap sedia berlatih senjata dan sanggup menggadai nyawa bila-bila masa sahaja.
Celiknya mata Amir bin Abdullah al-Tamimi dalam lingkungan para pejuang itu. Khalifah Umar al-Khattab membuktikan bahawa Islam bukan agama teroris. Tiada suatu kotapun yang diserang tanpa menunjukkan etika yang tinggi. Terlebih dahulu, kaum muslimin menawarkan kepada musuh sama ada masuk Islam, membayar cukai (jizyah) atau berperang.
Amir bin Abdullah al-Tamimi melalui zaman kanak-kanaknya dengan menyaksikan jihad demi jihad orang-orang dewasa. Lantas, menjadi tentera segagah mereka berkobar-kobar di imaginasi kecilnya saban hari.
Berjiwa Tentera
Ketika usia Amir meningkat dewasa, beliau senantiasa ikut dalam peperangan yang dilakukan oleh para sahabat r.a,. Amir tahu beliau berhak mendapat harta rampasan perang namun beliau tidak pernah tergiur mengumpul emas dan permata yang diperoleh. Beliau sangat zuhud terhadap dunia. Redha Allah matlamatnya. Syahid cita-citanya.
Pemimpin Basrah saat itu adalah seorang sahabat yang terkenal, iaitu Abu Musa al-Asy’ariy r.a.. Beliau memimpin langsung pertempuran-pertempuran kaum muslimin, Amir selalu mengikuti Abu Musa dan tidak pernah berjauhan daripada beliau.
Setiap hari Amir membahagi waktunya menjadi 3 bahagian:
1)    Mengajar Islam di masjid Basrah.
2)    Berkhalwat (menyendiri) di malam hari untuk bersujud dan berjihad fi sabilillahdengan pedangnya. Sehingga beliau digelar: Abidil Bashrah wa zaahidihaa (Ahli ibadah dan ahli zuhud dari Basrah).
3)    Jihad
Munajat di Malam Gelita
Pada saat malam membungkus warna alam, burung-burung gurun menutup kepak di sarang, rembulan dan bintang bak pengantin dihiaskan, berdirilah Amir bin Abdullah at-Tamimi di hadapan Kekasih agungnya. Membongkokkan badan dan menyungkur sujud.
Saat ‘dating’ dengan Pencipta terasa sangat istimewa. Tidak hairanlah, setiap malam dia ternanti-nanti saat itu. Lazat dan nikmat pada jiwa.
Pada setiap malam dalam peperangannya, ketika para pasukan telah terlelap, beliau selalu menyendiri solat lalu dengan berlinangan air mata beliau merintih: “Ilahi, Engkau telah menciptakanku dengan ketentuan-Mu dan telah Kau tempatkan aku dalam cubaan dunia ini. Lalu Kau katakan dalam firman-Mu: Bersabarlah! Maka bagaimana aku dapat bersabar dari kelembutan-Mu?”  
“Ilahi, Engkau Maha Mengetahui, jika seluruh dunia ini ada yang memintanya dariku nescaya akan kuberikan seluruhnya. Duhai, betapa aku cinta kepada-Mu, maka mudahkanlah aku dari musibah yang menimpaku ini, relakan aku atas qadha’-Mu. Sungguh aku tidak peduli dengan yang lain wahai Kekasih, selain cinta-Mu pada-Ku…”
Lalu beliau terus solat dan berdoa sampai subuh, Ketika hampir subuh, beliau berdoa lagi: “Ilahi, subuh telah tiba, dan orang-orang telah mulai bangun untuk mencari rezeki-Mu, dan tiap mereka berhajat kepada-Mu. Adapun hajat Amir kepada-Mu hanyalah ampunan-Mu. Ya Allah, kabulkanlah hajatku dan hajat mereka… Ilahi,  hanya satu hajatku yang Kau tolak, iaitu agar Kau lepaskan rasa kantuk dariku siang dan malam selamanya, agar aku dapat beribadah kepada-Mu sebagaimana cintaku kepada-Mu (yang tidak pernah mengantuk) …”
Disenangi Rakan-Rakan
Walaupun beliau banyak beribadah, namun itu tidak bermakna beliau bersikap individualistik dan tidak berkawan. Bahkan beliau bagaikan ‘Ubbadun fil Lail wa Fursanun bin Nahar (Ahli Ibadah di malam hari dan penunggang kuda di siang hari sebab selalu terkehadapan di medan jihad).
Beliau selalu berpesan kepada teman-temannya di medan jihad: “Aku minta pada kalian 3 permintaan. Harapnya, janganlah kalian tolak. Pertama, aku ingin menjadi pelayan kalian yang menyediakan semua keperluan kalian. Kedua, aku ingin terus menjadi mu’azzin (juru azan) kalian setiap waktu solat. Ketiga, aku ingin menafkahi semua keperluan kalian dengan wangku semampuku.”
Peribadinya yang suka mengambil berat keperluan orang lain itu menyebabkan dirinya sangat disenangi. Disayangi Allah dan disayangi manusia.
Memilih Zuhud
Ketika kaum muslimin berhasil mengalahkan kerajaan Persia maka berlimpahlah pelbagai harta yang tidak ternilai seperti mahkota-mahkota dan perhiasan dari emas dan berlian yang sangat indah dan mahal ke tangan kaum muslimin. Kebetulan, kaum muslimin dalam keadaan sangat miskin saat itu.
Amir bin Abdullah adalah orang pertama yang berhasil membuka gudang penyimpanan harta Maharaja Persia, lalu dibawanya semua itu kepada panglimanya Qa’qa bin Amru sambil berkata: “Inilah semua simpanan kekayaan raja-raja Persia yang terbaik.”
Maka Qa’qa memandangnya seakan tidak percaya, Maka kata Amir : “Demi Allah, semuanya ini tidak berharga bagiku walaupun sehujung kukuku ini.”
Pengasih dan Penyantun
Dididik dalam suasana jihad tidak menjadikan beliau berjiwa keras dan kasar. Beliau memang tegas tapi penyantun orangnya. Walaupun beliau seorang mujahid yang selalu bertempur melawan pelbagai pasukan musuh, tetapi beliau sangat pengasih.
Pernah suatu ketika beliau melihat seorang Ahlu Dzimmah (orang kafir yang tunduk pada peraturan negara Islam) yang dianiaya, Maka beliau membela dengan menampar orang yang menganiaya itu, sehingga beliaupun dikeroyok beramai-ramai dan dicekik lehernya,
Sambil tercungap-cungap mempertahankan diri, beliau berkata: “Wallahi! Jangan sekali-kali berani mengusik Dzimmah ar-Rasul selama aku masih hidup…”
Membalas Fitnah dengan Doa Kebaikan
Sebagai seorang yang sangat zuhud, beliau senantiasa berpesan agar jangan sekali-kali mendekati pintu para penguasa, Beliau tidak bermaksud menghukum penguasa semuanya jahat. Beliau hanya mengambil sifat hati-hati daripada terpesona dengan pangkat dan harta.
Malangnya, kenyataan beliau diputar belit. Beliau difitnah sehingga mengakibatkannya diusir oleh khalifah agar ia pindah ke Syam (sekarang Syria dan Jordan). Sekalipun demikian beliau tidak pernah marah, Bahkan beliau selalu berdoa:
“Ya Allah, siapapun yang telah mendustakan aku dan menyebabkan keluarnya aku dari kota ini dan memisahkanku dari sahabat-sahabatku telah kumaafkan. Maka berilah mereka‘afiah (keselamatan) di dunia dan akhirat mereka, dan matikanlah kami dalam ampunan, rahmat dan keampunan-Mu.”
Beliau sering menangis tiba-tiba, sambil mengulang kata-katanya: “Aku takut akan menyesal, pada hari di mana tidak berguna lagi harta dan anak-anak, kecuali orang yang datang kepada Allah dengan hati yang selamat.”
Perginya Kepada Kekasih yang Dirindui
Amir bin Abdullah at-Tamimi wafat di bumi kiblat pertama kaum muslimin iaitu Palestin. Ketika hampir wafat, beliau berkata sambil berlinangan air mata: “Alangkah panjangnya jalan dan alangkah sedikitnya bekal.”
Berkata al-Qamah bin Muriid (ulama Nejd): “Zuhud berakhir pada 8 orang. Yang paling utama di antara mereka adalah Amir bin Abdullah.” Semoga Allah s.w.t. merahmatinya, Amin.
Diadaptasi dari kitab : SUAR MIN HAYATI TABI’IN, karangan Dr. Abdul Rahman Rif’at Basya.

Comments

Popular Posts