Abu Marwan 'Abd al-Malik ibn Zuhr

Abu Marwan 'Abd al-Malik ibn Zuhr

Ibn Zuhr, dikenali di Barat sebagai Avenzoar, merupakan ahli perubatan, pakar klinikal dan parasitologis paling agung semasa Zaman Pertengahan. Sesetengah sejarawan sains telah mengisytiharkan beliau seorang yang teragung di kalangan ahli perubatan Islam sejak al-Razi (Rhazes) di Baghdad. Beberapa orang yang sezaman dengan beliau menggelar beliau sebagai ahli perubatan terhebat sejak Galen.

Abu Marwan ‘Abd al-Malik ibn Zuhr dilahirkan di Seville, Sepanyol pada tahun 1091M. Beliau adalah lepasan Universiti Perubatan Cordova (Qurtubah dalam bahasa Arab). Setelah menetap singkat di Baghdad dan Kaherah, beliau pulang ke Sepanyol dan bekerja untuk kerajaan al-Murabitun sebagai seorang ahli perubatan. Kemudian, Ibn Zuhr bekerja untuk ‘Abd al-Mu’min, pemerintah kerajaan al-Muwahhidun pertama, sebagai ahli perubatan dan menteri. Beliau menumpukan karier beliau di Seville dan meninggal dunia pada tahun 1161M.

Ibn Zuhr membataskan karya beliau hanya dalam perubatan, bertentangan dengan amalan lazim saintis Muslim yang selalunya bergiat dalam beberapa bidang. Bagaimana pun, dengan memfokuskan dalam satu bidang beliau telah membuat banyak sumbangan tulen dan bertahan lama. Beliau menekankan pemerhatian dan ujikaji dalam hasil kerja beliau. Dr. Neuberger dalam Sejarah Perubatan (History of Medicine) menulis bahawa “Ibn Zuhr mahir dalam seni pembedahan jasad manusia yang telah mati dan mengetahui anatomi dengan mendalam. Teknik pembedahan beliau sangat baik.”

Ibn Zuhr membuat beberapa pencapaian besar sebagai seorang pengamal perubatan. Beliau merupakan orang pertama yang menguji ubat-ubatan yang berbeza ke atas haiwan sebelum memberinya kepada manusia. Juga, beliau merupakan orang yang menerangkan kudis buta, hama gatal dengan mendalam, dan dengan itu dianggap sebagai parasitologis pertama. Beliau juga merupakan orang pertama yang memberi penerangan penuh mengenai pembedahan trakeotomi dan mempraktikkan pemberian makanan secara terus (direct feeding) melalui tekak dalam kes-kes apabila pemberian makanan secara biasa tidak dapat dilakukan. Sebagai pakar klinikal, beliau menyediakan penerangan klinikal mengenai phthisis usus, radang di bahagian tengah telinga, peri carditis dan tumor mediastinal di kalangan yang lainnya.

Ibn Zuhr menulis banyak buku-buku hebat bagi pakar perubatan dan juga bagi orang awam. Beberapa buah buku beliau telah diterjemahkan ke dalam bahasa Latin dan Hebrew dan mendapat permintaan tinggi di Eropah sehingga lewat kurun ke-18. Hanya tiga buah buku beliau yang besar masih wujud. Ibn Zuhr menulis Kitab al-Taysir fi al-Mudawat wa al-Tadbir (Buku Ringkasan Mengenai Rawatan dan Diet) atas permintaan Ibn rushd. Buku ini mengandungi banyak sumbangan tulen beliau. Buku ini membincangkan keadaan-keadaan dan terapi patologi dengan mendalam. Buku kedua ialah Kitab al-Iqtisad fi Islah al-Anfus wa al-Ajsad (Buku [Kursus] Pertengahan Mengenai Pembaikan Jiwa dan Jasad) merumuskan penyakit-penyakit yang berbeza, rawatan dan kebersihan. Buku ini juga membincangkan peranan psikologi dalam rawatan. Buku ini ditulis dalam bentuk yang mudah difahami bagi bukan pakar. Buku ketiga ialah Kitab al-Aghaziyah (Buku Mengenai Pemakanan) membincangkan pelbagai ubat-ubatan, dan kepentingan makanan dan nutrisi.

Pengaruh Ibn Zuhr ke atas kemajuan sains perubatan dapat dirasai buat beberapa abad di segenap pelosok dunia.

Comments

Popular Posts