Tuesday, June 5, 2012

abang tak mahu kahwin awal??




Lama sungguh saya tidak minum diluar, semenjak bercuti.Kebetulan pula, ada seorang teman mengajak saya pada malam itu mengajak minum dan makan diluar, bagaikan mengantuk disorongkan bantal, usai Isyak saya dan dia singgah di sebuah warung di tepi jalan.
Teman yang saya anggap adik itu sudah lama tidak saya ketemu, mungkin banyak perkara mahu disembangkannya. Nescafe panas yang baru tiba itu saya hirup perlahan.Sunyi seketika.Mungkin kerana sudah tidak lama bertemu, tidak tahu bagaimana harus memulakan bicara.Dia tersenyum sahaja memerhatikan saya minum, saya kehairanan.Namun cuba menyembunyikan dengan buat-buat menonton televisyen di depan saya.
Usai bertanya khabar, berbual sepatah dua bertanyakan akan hal keadaan masing masing.Keadaan sunyi kembali.Sesekali dia Menghirup Milo panasnya sambil memerhatikan kereta di jalanan.Saya khusyuk memerhatikan abang roti canai menebar rotinya.
“ Abang tak mahu kahwin awal ?” terpacul dari mulutnya soalan yang saya tidak terjangka jangka.Hampir tersembur Nescafe panas yang saya hirup tadi. Dia terkejut tidak sangka saya akan memberi reaksi sedemikian.
Saya tersenyum sebentar.
“ Siapa yang tak nak kahwin dik oii..semua orang nak“  jawab saya bersahaja.
“Habis tu kenapa abang tak ‘slow-slow’ start jalan kearah itu?” Bersungguh benar dia bertanya.
“Bukan senang nak melengkapkan iman yang separuh tu dik.Tidak semudah seperti melafaz akadnya, banyak perkara perlu difikirkan, dicongak kira kan.” Saya cuba merintis jalan bincang.
Saya menyambung lagi, kasihan pula melihat dia menggaru garu kepala kebingungan.
“Iya, memang benar ramai mahu kahwin awal, tapi banyak benda mahu difikirkan, tambahan kita sebagai lelaki, kalau yang masih belajar, kewangan macam mana, takkan bila dah kahwin kita masih nak suruh isteri kita bergantung harap pada ibu bapa mereka sepenuhnya, hantaran, kenduri, itu baru dari segi kewangan, lepas tu sudah benar benar bersediakah kita sebagai lelaki nak menanggung dosa isteri kita pula nanti.Itu baru sedikit dik, malah banyak lagi perlu diperkirakan.” Jelas saya kepadanya.
Takut pula saya mendengarnya, habis abang tak setuju lah tentang kahwin awal ni ” dia menyoal lagi.
“Bukan tak setuju. Kahwin awal tu bagus. Tapi jarang benar orang bercakap tentang persediaan, perkara-perkara yang perlu ditimbang-timbang. Sebagai contoh, bila dahulu ada seorang sahabat abang ini mahu kahwin awal, tapi bila ditanya bagaimana persediaan kewangan dia, bagaimana selepas kahwin pula dia mahu menyara isterinya, sedangkan dia juga masih lagi belajar seperti abang ni, sahabat abang ni mudah menjawab, kononnya bila kita sudah buat perkara baik, sudah tentu Allah akan murahkan rezeki ”
“ Betullah abang, mestilah Allah tolong kita sebab kita dah mendirikan sunnah yang dituntut!” dia mencelah, belum sempat saya menghabiskan ayat saya tadi.
Saya ketawa kecil. Benar dia masih lagi belum jelas lagi akan hal ini.
“Benar dik. Semestinya Allah tolong, tapi sunnatullah juga perlu di ambil kira. Kena ada juga sumber kewangan, persediaan walaupun sedikit. Kena pula keluarga sebelah perempuan minta hantaran tinggi, takkan kita nak bergantung harap kepada mak ayah kita sepenuhnya wang hantaran tersebut. Sebab tu abang kagum dengan ada beberapa kawan abang yang berhasrat mahu kahwin awal, mereka benar bukan sekadar berhasrat, tidak tunggu rezeki Allah datang menjemput, tapi mereka juga percaya padasunnatullah, ada yang mengumpul duit dengan berniaga top up telifon lah, macam-macam jenis kerja dibuatnya, sampai buka syarikat pun ada semata mata nak berkahwin awal! Kamu kena ingat bila berkahwin nanti, nafkah itu hukumnya wajib kepada isteri kamu, kalau kamu mampu seringgit, maka seringgit itulah wajib kepada kamu sebagai nafkah kepada isteri kamu ”
“ Wah! Kagum saya dengan kawan – kawan abang tu, banyak benar perlu dikirakan tu ” nampaknya dia mulai faham.
“Ya benar sekali, hakikatnya ia tidak semudah melafaz akad, selepas akad update status di facebook dan upload gambar kahwin kita facebook ” sinis saya menyambung.
Dia tergelak besar, sambil mengangguk- angguk mengiyakan.
“Itu baru sudut kewangan dik, mujahadah mencari sumber rezeki, tapi bagaimana pula mujahadah kita dengan bakal pasangan kita sepanjang tempoh taqdim atau bertunang tu, ramai orang apabila sudah mengikat tali pertunangan dengan masing-masing sudah macam suami isteri. Si perempuan segala benda mahu dicerita kepada si lelaki, yang lelaki pula melebihi ibu bapa si perempuan pula mengawal tunangnya. Lebih daripada itu pun banyak, tanyalah diri kita sekuat mana mujahadah kita sepanjang tempoh itu.Bagaimana kita mahu menuai buah yang elok daripada pokok yang akarnya sudah reput dik! ” saya sedikit berfalsafah.
“Benar abang, saya pernah berjumpa pasangan yang telah bertunang, tapi gaya percakapan dengan pasangan masing – masing mengalahkan orang yang sudah sepuluh tahun berkahwin, macam sudah ‘confirm-confirm’ mereka akan berkahwin dengan pasangan mereka.Siapa tahu, mungkin putus di tengah jalan? ” Dia menambah.
“ Ya, kalau si lelaki itu memimpin nafsunya sendiri dia sudah tidak mampu, apatah lagi bila berkahwin bagaimana dia mahu memimpin isteri dan rumah tangganya yang berganda ganda lagi cabarannya. Hakikatnya perkahwinan bukan sekadar mahu melepaskan keinginan syahwat semata, justeru ia sebuah ikatan yang disimpul bersama ikatan tanggungjawab, amanah dan komitmen antara satu sama lain ” jelas saya.
“Tadi abang ada sebut tentang hantaran, kenapalah ibu bapa si perempuan sekarang ni suka sangat meletakkan hantaran tinggi-tinggi sehinggakan menyusahkan si lelaki pula, tambahan pula yang lelaki ini masih lagi belajar, tentu sukar mahu cari duit untuk hantaran perempuan ni. kadang –kadang saya rasa ibu bapa ni macam nak jual anak pula” serius benar dia membangkang tentang hantaran perkahwinan yang tinggi.
Saya menghirup kembali Nescafe o saya yang sudah sejuk dek kerana rancaknya perbincangan yang hangat itu.Sambil itu sempat juga saya mencicip sedikit roti canai bawang yang tidak sempat disentuh lagi, sudah lama tiba di meja kami.
“Makan?” saya mempelawanya. Dia mengangguk sambil  menunggu nunggu saya menjawab persoalannya tadi.
“Itulah yang silapnya kita, bila diletakkan harga tinggi yang berpatutan kita katakan mereka mahu jual anak pula, sedangkan ibu bapa si perempuan ini menjaga pasangan kita daripada sebesar kotak kasut sehingga menjadi wanita sempurna, mahu melepaskan anak dara kesayangan yang dijaga bertahun-tahun dengan penuh kasih sayang kepada orang lain bukan perkara senang dik. Disinilah kita mahu menunjukkan kesungguhan kita mahu mendapatkan anak mereka dan menganggap harga hantaran yang ditetapkan sebagai cabaran kepada kita supaya bersungguh sungguh mendapatkan pasangan kita itu. Percayalah, benda yang kita dapatkan dengan penuh susah payah, penuh cabaran kita akan benar benar menghargai dan menjaganya berbanding dengan benda yang mudah didapati dan tiada cabaran untuk menghadapinya”jawab saya panjang lebar.
“Tapi kalau hantaran diletakkan terlalu tinggi sehingga menyusahkan pihak lelaki tu, tidak wajar juga kan?”dia cuba menegaskan sekali.
Saya mengangguk.

“Apa apa pun cubalah berunding bersepakat, yang lelaki janganlah teruk sangat  meminta ‘diskaun’, sehingga menjatuh aib keluarga. Cubalah semampu mungkin, mungkin itu petanda kesungguhan kita mahu mendapatkan anak perempuan mereka”
Dia termenung sebentar, sambil menyuakan beberapa suap roti canai  ke   mulutnya. Saya melihat pelanggan di belakang meja kami bangun untuk beredar, mungkin malam semakin lewat, kenderaan di jalan raya pun mulai berkurangan.
“Bagaimana pula bang dengan nikah ‘khitbah’, bukankah itu ‘jalan express’ untuk pelajar macam kita ini mahu kahwin awal, tunaikan yang wajib sudahlah” Dia memecahkan lamunan saya tadi.
“Itulah kita, semua mahu express sahaja. Kadang kadang kita kena berpijak pada realiti juga, nikah khitbah ni terlalu asing bagi masyarakat kita, susah mereka mahu menerimanya, mungkin ada sesetengah ibu bapa sahaja yang faham, tapi hakikatnya kebanyakan ahli masyarakat, keluarga dan ibu bapa kita tidak terbiasa dengan hal-hal sebegini. Akhirnya akan menyusahkan kita juga suatu hari nanti mungkin boleh menyebabkan hati ibu bapa kita terluka. Itu pandangan abang lah“ tegas saya menyatakan pendirian.
Mukanya berkerut, Nampak riak kerisauan.
“Bila abang cakap begini, saya jadi takut mahu kahwin, kalau orang lain tahu juga, mesti berasa takut, memandangkan terlalu banyak perlu di ambil kira ”
Saya ketawa kecil.
“Kenapa perlu takut? Anggaplah ia sebagai cabaran kepada kita semua, jangan hanya tahu bercakap sahaja tentang kahwin awal, tapi tidak pernah bercakap tentang soal persediaan sebelum menuju ke gerbang perkahwinan. Apa yang abang ceritakan tadi baru separuh. Hakikatnya segala persiapan seperti kewangan, persiapan rohani, hantaran dan sebagainya, bukanlah ia berniat yang mahu menyusahkan kita, justeru mahu melatih kita bertanggungjawab, kalau perkara perkara basic seperti ini tadi pun kita tidak mampu untuk cuba untuk dipenuhi, bagaimana mahu memimpin, menjadi Imam kepada keluarga kita nanti ”
“Benar bang, ramai dalam kalangan kawan kita ni cakap pasal kahwin awal nak, tapi persediaan tiada langsung!” nadanya bunyi agak marah.
“Begitulah, bukan senang dik mahu menjemput mawaddah, sakinah dan rahmah ke dalam masjid yang kita bina ni dik, tanpa persediaan yang secukupnya antara kedua dua pasangan bukan mawaddah dan sakinah yang datang tapi padah dan mehnah jadinya!” sambut saya sedikit bergurau.
“Yang penting sekali, kita para lelaki yang bakal memimpin rumah tangga perlulah ada  sebanyak ilmu rumah tangga, ilmu fiqh wanita dan ilmu ilmu berkaitan. Hal yang ini paling penting sekali, macam mana kapal nak bergerak kalau nakhodanya tidak punya layar, alamatnya boleh karam kapalnya di tengah lautan. Ya, kalau mahu tunggu ilmu cukup sampai bila-bila pun kamu tidak akan boleh kahwin, yang penting selepas berkahwin nanti teruskan mencari lagi ilmu kerana ianya suatu proses berterusan sehinggalah sampai bila bila pun! ” saya menambah.
“ Habis tu, macam mana pendapat abang tentang sahabat sahabat abang yang sudah kahwin awal tu, abang rasa mereka mencongak congak benda ini jugakah? ”
Wallahua’lam,  buat mereka yang telah selamat mendirikan rumah tangga pada usia muda, bersyukurlah mereka telah dimudahkan oleh Allah awal – awal lagi,  tinggal lagi mahu benar-benar melengkapkan iman mereka supaya bertambah sempurna dengan ikatan tanggungjawab dan komitmen mereka kepada pasangan masing masing, buat yang semakin hampir ke sana, persiapkanlah diri, anggaplah kesusahan kesusahan yang menimpa sebelum mereka berkahwin sebagai ujian kecil daripada Allah kepada kita untuk melatih kita lebih matang dan bertanggungjawab selepas berkahwin nanti, ingat! Bukan mudah mahu menjemput mawaddah, sakinah dan rahmah tadi tanpa itu semua. Buat kita yang masih bertamu di dataran mujahadah yang Allah sediakan kepada kita ini teruskan menyusuri perjalanan mujahadah kita, usah terlalu difikirkan sangat, insya Allah bila tiba waktu dan ketika yang dirasakan sesuai oleh Allah untuk kita, dengan sendirinya Allah akan menghantar pasangan kita itu ke dalam hidup kita.” Panjang lebar saya cuba membawa perbincangan kepada konklusinya, memandangkan jam sudah pun menghampiri jam 12.30 tgh malam.
Saya menghabiskan minuman lalu, usai bersalaman dengannya saya berbisik kepadanya.
“ Ingat, carilah teman untuk  menemani kita bersama dalam perjalanan menuju redha Allah, bukan teman untuk mencari murka Allah! “
Dia tersenyum mengangguk. Mudah mudahan dia faham.
Dalam perjalanan pulang, meredah kegelapan malam, saya termangu sendirian, sebolehnya saya tidak mahu berfikir tentang perkara perkara sebegini, tetapi desakan persekitaran menyebabkan saya dipaksa dan terpaksa memikirkannya juga. Sungguh usia usia sebegini di awal usia 20 an benar benar menguji iman, jiwa dan emosi, andai tidak kuat dan mudah rapuh, akhirnya akan tewas di tengah jalan jika tidak disertai jalan mujahadah yang bersungguh sungguh. Kalau diberikan peluang kepada saya, mahu sahaja usia awal 20 an sebegini cepat-cepat berlalu supaya saya tidak perlu memikirkan tentang perkara perkara sebegini lagi. Tapi insyaAllah saya yakin ladang mujahadah yang telah saya semaikan sekian lama, saya pohon agar Allah memberi natijah yang penuh dengan kebaikan saat saya menuai ladang mujahadah saya itu kelak suatu hari nanti. Saya pohon diberikan kesabaran dalam mencari hikmah liku liku bicara Ilahi ini kepada saya.
“Ya Allah, izinkan aku untuk terus bertamu di dataran mujahadah Mu yang luas lagi jauh ini, berikanlah ketenangan jiwa, kekuatan hati dan kelapangan akal fikiran serta kuatkan lagi pergantunganku kepada Mu saat aku menyusuri dataran mujahadah yang penuh berliku lagi tidak berpenghujung yang telah Engkau hamparkan kepadaku. ameen!”
“Dan kahwinkanlah orang-orang bujang (lelaki dan perempuan) dari kalangan kamu, dan orang-orang yang soleh dari hamba-hamba kamu, lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan memberikan kekayaan kepada mereka dari limpah kurniaNya kerana Allah Maha Luas (rahmatNya dan limpah kurniaNya), lagi Maha Mengetahui.”  Surah An Nur (ayat 32)

No comments:

Post a Comment