Wednesday, June 27, 2012

melihat mesir dari kaca mata Dzulkarnain-seputar Prof. Dr. Muhammad Mursy


mursi
Alhamdulillah, Mesir digemparkan dengan berita kemenangan Dr. Muhammad Mursy sebagai Presiden, bermula tahun 2012 ini. Kelihatan, setelah pengumuman berita tersebut, rata-rata rakyat mesir keluar dari kenderaan masing-masing untuk sujud tanda syukur. Tidak ketinggalan juga jutaan orang di medan tahrir yang melakukan perkara yang sama.
Kesyukuran ini bersebab.
Umat Islam diseantero dunia tidak akan bersyukur atas suatu perkara yang tidak layak bagi mereka, hari ini, mereka semua sujud syukur kerana melihat bibit-bibit kemenangan Islam itu semakin hampir – jatuhnya pemimpin zalim, bangunnya pembela kebenaran.
Kacamata Dzulkarnain.
Kita disunatkan membaca surah al-Kahfi disetiap malam jumaat atau pagi hari Jumaat. Namun, adakah kita sedikit menghayatinya?
Di dalam surah ini, menceritakan pelbagai kisah menarik – Kisah para pemuda yang lari bersembunyi ke sebuah gua dari pemerintah zalim, dikawal pula oleh anjing mereka. Anjing yang dikira sebagai anggota dalam kumpulan tersebut. Cerita Nabi Musa dan Khidir yang berkelana meneliti tanda-tanda kebesaran Allah. Juga, Cerita Dzulkarnain dan Penduduk Di Antara Dua Buah Gunung.
Siapakah Dzulkarnain? Dan bilakah zamannya? Tidak diterangkan oleh Allah Taala di dalam Al-Quran, kerana yang penting ialah pengajaran yang baik yang terdapat dalam kisahnya.
Kisah Dzulkarnain dan Penduduk di Antara Dua Buah Gunung
Suatu hari, Dizaman Rasulullah Saw, kaum Musyrikin Arab telah datang bertanya baginda berkenaan kisah Dzulkarnain. Mereka bertanya lantaran suruhan dari kaum Yahudi bagi menguji kebenaran wahyu Nabi saw.
Lalu Allah Taala memerintahkan Nabi untuk berkata : “Akan aku bacakan kepada kamu semua  (wahyu Allah yang menerangkan ) sedikit tentang perihal Dzulkarnain”.
Allah swt bercerita melalui wahyu yang dibacakan oleh Rasulullah saw :
“ Sesungguhnya, Kami telah memberikan kepadanya kekuasaan memerintah dimuka bumi ini. Dan kami jadikan setiap sesuatu itu, ada sebabnya. Lalu, Dzulkarnain menuruti sebab-sebab tersebut.”
Allah berikan Dzulkarnain kekuatan, kekuasaan dan ketenteraan untuk menjayakan segala apa yang hendak dilakukannya.
Allah mahu menguji kebijaksanaan Dzulkarnain terlebih dahulu, kerana pemimpin yang terbaik adalah yang mempunyai akal yang cerdas. Lalu, ketika Dzulkarnain pergi bersama tenteranya ke satu tempat yang diduduki oleh satu kaum yang ingkar, Allah ilhamkan perintah kepada Dzulkarnain:
“Wahai Dzulkarnain! Pilihlah, sama ada engkau mahu menyeksa mereka (kerana kufur dan ingkar), atau engkau bertindak secara baik terhadap mereka”.
Dzulkarnain tegas berkata:
“Adapun, orang yang melakukan kezaliman (kufur dan derhaka), maka kami akan menyeksanya; kemudian dia akan dikembalikan kepada Tuhannya, lalu diazabkannya dengan azab siksa yang seburuk-buruknya.”
“Manakala, orang yang beriman serta beramal soleh, maka baginya balasan yang sebaik-baiknya; dan kami akan perintahkan kepadanya perintah-perintah kami yang tidak memberati’.
Inilah kebijaksanaan Dzulkarnain.
Mereka yang melakukan kezaliman, hendaklah dikenakan hukuman bagi mencegah orang lain dari melakukannya, bahkan ia juga satu pencegahan kepada diri penjenayah tersebut. Adapun, bagi orang yang baik dan taat pula, hendaklah dilayan dengan seeloknya, dan diberikan bantuan kepada mereka supaya mereka terus taat kepada pemimpin dan hidup dalam aman dan damai.
Setelah Dzulkarnai melepasi ujian tersebut, beliau menuju ke sebuah tempat diantara dua gunung. Disitu, beliau menjumpai satu kaum yang berbahasa pelik, yang sukar difahami bahasanya.
Mereka ditindas oleh satu kaum yang lain. Kaum Yakjuj dan Makjuj.
Apabila kaum ini melihat kemampuan Dzulkarnain, serta mereka sedar akan diri mereka yang teraniaya, mereka memohon pertolongan Dzulkarnain dengan cagaran hadiah yang lumayan. Asal saja, Dzulkarnain membina tembok pemisah antara dua kaum tersebut.
Apa kata Dzulkarnain?
“(Kekuasaan dan kekayaan) yang Tuhanku berikan padaku itu lebih baik (dari tawaran kamu semua). Oleh itu, bantulah daku dengan tenaga (kamu beramai-ramai – meliputi tukang-tukang, tenaga buruh dan alat-alat yang diperlukan). Aku akan membina antara kamu dan mereka sebuah tembok penutup yang kukuh.”
Kesedaran sudah ada, lalu perkara asas seterusnya yang diperlukan untuk perubahan adalah : pengorbanan diri dan harta benda.
Perintah Dzulkarnain setelah diangkat menjadi pemimpin :
“Bawalah kepadaku ketul-ketul besi”
Sehingga apabila ia terkumpul separas tingginya menutup lapangan antara dua gunung itu, dia pun memerintahkan untuk membakar besi-besi tersebut. Sehingga apabila besi itu menjadi merah menyala seperti api, berkatalah Dzulkarnain :
“Bawalah tembaga cair supaya aku tuangkan atasnya”
Maka terbinalah sebuah tembok pemisah antara kaum tersebut dengan kaum Yakjuj dan Makjuj, atas kepandaian dan kebolehan Dzulkarnain.
Lalu, kaum tersebut terselamat dari kezaliman Yakjuj dan Makjuj sehinggalah sampai ke hari Kiamat, di hari kebangkitan semula Yakjuj dan Makjuj.
Dr Muhammad Mursy : Persis Kisah Dzulkarnain.
1-      Kaum diantara dua gunung itu, sedar bahawa mereka ditindas dan dizalimi, lalu mereka mahu mengeluarkan diri dari penindasan dan kezaliman tersebut.
Kesedaran ini juga wujud kepada rakyat Mesir yang sudah kenal pemimpin mereka yang zalim. Lalu, tercetuslah revolusi Mesir 25 Januari 2011. Revolusi yang menggulingkan Presiden ketika itu, Mubarak.
Kesedaran dari rakyat sangat penting bagi memastikan pemimpin mudah menggorak langkah-langkah perubahan.
2-      Dzulkarnain mempunyai bakat kepandaian kejuruteraan membina tembok. Beliau bijak menjadikan tembok itu kukuh dengan sekukuh-kukuhnya. Inilah bakat beliau.
Manakala, Prof. Dr. Muhammad Mursi, yang merupakan seorang hafiz Al-Quran ini telah mempunyai bakat yang diiktiraf dunia.
Pengajian tertinggi Dr. Mursi adalah apabila beliau berpindah ke Kaherah dengan melanjutkan pendidikannya di Universiti Kaherah dalam bidang Kejuruteraan pada tahun 1970 hingga 1975. Selepas itu, beliau memperoleh Sarjana dalam bidang Kejuruteraan Metalurgi di Universiti yang sama (Kaherah) pada tahun 1978. Tahun yang sama, beliau berangkat ke Amerika Syarikat untuk melanjutkan pelajarannya bagi memperolehi Sarjana Kedoktoran, beliau memperolehinya pada tahun 1982 di Universiti Southern California.
Beliau dilantik untuk menjadi pensyarah di Universiti Southern California, kemudian menjadi pembantu Prof. di Universiti California-North Ridge. Setelah kembali dari Amerika Syarikat, beliau ditawarkan sebagai Profesor dan Ketua di Jabatan Fakulti Kejuruteraan Material pada tahun 1985 hingga tahun 2000 di Universiti Zaqaziq.
Beliau sangat terkenal dalam bidang akademik melalui pelbagai kajian dalam bidang industri yang menyentuh pengeluaran hasil bumi Mesir, malah mempunyai puluhan kajian dalam menyelesaikan kajian permukaan logam yang dianggap sebagai bidang utama kepakarannya, sehingga kajiannya diiktiraf oleh NASA pada tahun sekitar lapan puluhan yang lalu.
3-      Dzulkarnain diuji oleh Allah dengan diberikan pilihan untuk menyeksa atau membiarkan kaum yang ingkar sebelum diangkat menjadi pemimpin buat suatu kaum yang lain.
Selepas terjadinya pemalsuan parlimen pada pilihanraya tahun 2005, Dr. Mursi menjadi tulang belakang dalam melakukan demonstrasi dan menyokong kehakiman yang bebas. Akibatnya, pada tarikh 18 Mei 2006 beliau ditangkap bersama 500 orang anggota Ikhwanul Muslimin di depan bangunan Mahkamah Kaherah dan bangunan mahkamah Al-Jala di ibu negara Kaherah, serta menghuni penjara selama 7 bulan.
Dr. Mursi juga pernah ditangkap bersama-sama dengan sebahagian besar pimpinan Ikhwanul Muslimin yang lain, pada hari Jumaat pagi, yang terkenal sebagai Jumaat Kemarahan (Jumaat Al-Gadhab), 28 Januari 2011.
Tidak hanya beliau yang dizalimi, keluarganya turut menjadi sasaran penangkapan, anaknya Dr. Ahmad ditangkap di saat Dr. Muhammad Mursi mencalonkan diri pada pilihanraya tahun 2000.
Inilah ujian yang dikenakan buat pemimpin. Namun, pemimpin yang kuat akan terus sabar dan terus berpegang pada penderian hidup. Serta terus bergerak tanpa henti.
4-      Dzulkarnain diangkat menjadi pemimpin, beliau tidak mencalonkan dirinya.
Ikhwanul Muslimin, sebuah gerakan Islam yang telah bertapak lebih kurang 80 tahun telah mencalonkan Dr. Muhammad Mursi sebagai Presiden Parti Kebebasan dan Keadilan sebelum mencalonkan pula beliau sebagai Presiden Republik Arab Mesir.
Beliau juga disokong kuat oleh para ulama serta pemimpin-pemimpin dunia. Asy-Syeikh Muhammad Hassan, Asy-Syeikh Dr. Yusuf Al-Qaradhawi, dan Asy-Syeikh Muhammad Hussain Ya`qub diantara ulama yang berada dibelakang beliau.
Bahkan, Dr. Hazim Abu Ismail yang hampir menjadi calon presiden Mesir di pusingan pertama juga menyokong beliau.
5-      Dzulkarnain menggunakan kepakarannya untuk menyelesaikan masalah kaum diantara dua buah bukit.
Setelah diangkat menjadi Presiden Mesir yang baru pada 24 Jun 2012.. Dr. Muhammad Mursi perlu melaksanakan tugasnya menyelesaikan masalah rakyat. Masalah yang membelenggu kehidupan rakyat sejak dari dahulu, dan inilah titik tolak perjuangan rakyat mengangkat beliau.
Ekonomi
1.      Keadaan ekonomi yang parah dengan 44% kadar kemiskinan tegar.
2.      Kadar pengangguran yang tinggi, sekitar 12% dari 26 Juta 338 jumlah guna tenaga.
3.      Sektor pelancongan yang menurun sebanyak 35% yang mana 11% dari KDNK negara datang dari sumber berkenaan.
Sosial
1.      Sebanyak 30% rakyat Mesir tinggal di kawasan yang tidak tersusun dan terdedah kepada bahaya.
2.      Kadar buta huruf yang tinggi iaitu sebanyak 29% kerana kegagalan sistem pendidikannya.
3.      Dianggarkan kira-kira 12 juta rakyatnya menghidap penyakin bahaya, VIRUS C kerana bekalan air yang tidak bersih.
4.      Dianggarkan kira-kira 93 ribu anak-anak jalanan (tidak beribu bapa dan terbiar) yang mana, 60% dari angka berkenaan datang dari Kaherah.
Masalah yang sangat rumit ini, juga pernah diterima oleh Dzulkarnain.. maka, kita mengharapkan Dr. Muhammad Mursi mencontohi perilaku demikian.
6-      Dzulkarnain ditawarkan dengan harta benda, namun beliau menolaknya kerana merasa cukup dengan pemberian Allah Taala.
Maka demikian itu jualah yang bakal diterima oleh Dr. Mursi. Beliau bakal dihadapkan dengan harta benda dunia, persoalannya.. hanya mahu menerima dan meninggalkan kerja atau sebaliknya. Namun, pemimpin yang mempunyai keteguhan kepimpinan pasti menjadikan Allah sebagai tujuan asal dan terakhir baginya.
Lihatlah keikhlasan Dr. Mursi dalam menunaikan janji beliau sebelum pilihanraya, sepertimana yang disebutkan oleh Dr. Mahmud Hussain, Setiausaha Agung Ikhwanul Muslimin :
" Keahlian Dr. Muhammad Mursy , presiden yang bertanding dalam Pilihan Raya Republik Arab Mesir bagi Gerakan Ikhwanul Muslimin dan parti Kebebasan dan Keadilan, telah berakhir, setelah pengumuman keputusan Pilihanraya Presiden. Ini adalah bagi menunaikan janji yang yang telah beliau putuskan sebelum pilihanraya,; bahawa beliau akan menjadi Presiden buat Semua Rakyat Mesir."
Semoga kejayaan terus berada ditangan umat islam.

No comments:

Post a Comment