Shafiyyah Binti Huyay Dipujuk Suami


Profil
·         Nama penuhnya ialah Shafiyyah binti Huyay bin Akhtab bin Sa’yah bin Amir bin Ubaid bin Kaab bin al-Khazraj bin Habib bin Nadhir bin al-Kham bin Yakhurn.
·         Daripada keturunan nabi-nabi iaitu keturunan Harun bin Imran bin Qahits bin Lawi bin Israel (Ya’qub) binIshaq bin Ibrahim. (Rujuk Siyar A’laam an-Nubalaa’, vol.2, hlm. 231).
·         Ibunya bernama Barrah binti Samaual daripada Yahudi Bani Quraizhah.
·         Shafiyyah dilahirkan sebelas tahun sebelum hijrah, atau dua tahun setelah masa kenabian Muhammad.
·         Pernah bersuamikan Salam bin Abi Al-Haqiq (atau Salam bin Musykam, salah seorang pemimpin Bani Quraizhah namun tidak lama.
·         Bernikah lagi dengan Kinanah bin Rabi' bin Abil Hafiq, salah seorang pemimpin Bani Quraizhah namun suaminya dibunuh oleh orang Islam selepas tertawan dalam perang Khaibar.
·         Ayahnya juga dibunuh dalam perang itu.
·         Shafiyyah ditawan lalu ditawarkan untuk menjadi isteri Nabi maka beliau menerimanya.
·         Hidupnya sering bertemankan air mata di sisi kecemburuan isteri-isteri Nabi.
·         Meninggal tatkala berumur sekitar 50 tahun, ketika masa pemerintahan Mu'awiyah.

Sekuntum Mawar Di Longkang Kedengkian
                Shafiyyah binti Huyay lahir dalam sebuah kaum yang sangat dengki terhadap Islam. Kaumnya tidak dapat menerima kenyataan bahawa Allah SWT telah memilih seseorang daripada bangsa Arab sebagai Rasul akhir zaman.
                Shafiyyah yang suka belajar sejak kecil, mengetahui dengan jelas sifat-sifat Rasul akhir zaman sebagaimana yang diterangkan oleh kitab suci mereka. Beliau ternanti-nanti kedatangannya. Apabila ada berita gembira dari Makkah tersebar ke segenap benua, beliau kabur menilai kebenarannya. Masakan tidak, bapanya sendiri sentiasa mengoborkan kebencian dan kedengkian terhadap Islam.
                Apabila Rasulullah SAW berhijrah ke Madinah, baginda tidak menunjukkan permusuhan kepada bangsa Yahudi. Baginda membuat perjanjian dengan mereka atas nama Piagam Madinah. Ada kelompok Yahudi yang menyukai Rasulullah, ada yang bersikap neutral dan ada yang menentang. Antara kelompok itu ialah Yahudi bani Qainuqa’(diampunkan), bani Nadhir (dihalau) dan bani Quraizhah (dibunuh).

Dalam Diam Mengagumi Muhammad
                Ibnu Ishaq berkata, “Aku mendapat khabar dari Abdullah bin Abu Bakar bin Muhammad bin Amr bin Hazm bahawa Shafiyyah binti Huyay bercerita…”
                Kata Shafiyyah, “Aku adalah anak kesayangan ayahku dan bapa saudaraku, Abu Yasir berbanding anak-anak yang lain. Jika mereka menemuiku, mereka pantas memelukku dan membiarkan anak-anak yang lain.”
                Beliau bercerita lagi tentang ayah dan bapa saudaranya keluar rumah sejak awal pagi untuk menyaksikan sendiri ketibaan Muhammad bin Abdullah di Quba’, di perkampungan bani Amr bin Auf. Apabila matahari terbenam, mereka berdua pulang.
                “Seperti biasa, aku menyambut mereka dengan wajah ceria. Demi Allah, mereka tidak menghiraukan dan wajah mereka sangat gelisah,” kata Shafiyyah.
                Beliau kehairanan tidak mendapat pelukan kasih mereka seperti selalu. Beliau lalu mencuri dengar perbualan mereka,
                “Kamu yakin dialah orangnya?” Bapa saudaranya bertanya.
                “Ya, demi Allah!” kata ayahnya.
                “Kamu mengenal cirri-cirinya dan dapat membuktikannya?” Tanya bapa saudaranya lagi.
                “Ya,” kata ayahnya dengan yakin.
                “Lalu, apa yang patut kita buat?”
                “Demi Allah! Aku akan memusuhinya sepanjang hidupku.” (As-Sirah an-Nabawiyah, Ibnu Hisyam.
                Terkedu Shafiyyah mendengar perbualan itu. Dirinya bingung memikirkan apa yang patut dilakukan. Tersepit antara kecintaan seorang anak dan kerinduan seorang umat kepada Nabinya.
                Beliau pernah bermimpi bulan jatuh ke kamarnya. Tatkala menceritakan mimpi itu kepada suaminya, beliau ditampar hingga lebam.
                “Kamu inginkan Raja Yathrib (Madinah) itu?” tengking suaminya.

Cekal Menghadapi Detik Ayah dan Suaminya Dibunuh
                Permusuhan Bani Quraizah semakin getir. Mereka menyiapkan 1500 pedang, 2000 batang tombak, 300 baju perang dan 500 perisai untuk memerangi kaum muslimin.
                Rasulullah SAW mengepung mereka selama 25 hari. Salah seorang musuh yang paling dkehendaki ialah Huyay bin Akhtab, ayah Shafiyyah. Dia mengkhianati muslimin dalam Perang Ahzab. Akhirnya, pihak musuh menyerah.
                Kaum muslimin menggali parit-parit besar di pasar Madinah, lalu tawanan Yahudi digiring ke tepi parit secara bergantian untuk dipancung. Itulah hukuman yang dikehendaki oleh Allah dan Rasul.
                Huyay bin Akhtab, bapa Shafiyyah turut ditawan. Dia merobek seluruh bajunya sepanjang satu ruas jari agar tidak dapat dimanfaatkan oleh kaum muslimin di kemudian hari. Tatkala tangannya dilingkar ke leher dan diikat kemas, dia sempat mencemuh Rasulullah SAW,
“Demi Allah! Aku tidak pernah menyesal telah memusuhimu.”
Lalu, pedang menebas lehernya.
Nabi Muhammad segera menyedari ancaman yang akan menimpa kaum muslimin dengan berpindahnya kaum Yahudi ke Khaibar kernudian membentuk pertahanan yang kuat di sana.
Khaibar digempur. Benteng terkuat Yahudi itu hancur. Suami Shafiyyah ditawan dan dibunuh. Shafiyyah juga menjadi tawanan dan menjadi milik seorang sahabat bernama Dihyah. Rasulullah SAW menukarnya dengan tujuh tawanan wanita yang lain. Baginda menutup wajah Shafiyyah yang cantik jelita. Tahulah muslimin, baginda sudah mengambil Shafiyyah sebagai isteri.

Tabah Meskipun Hadirnya Tidak Disenangi
Dari medan Khaibar, tentera muslimin berangkat pulang ke Madinah. Shafiyyah duduk di belakang unta Rasulullah.
Ketika hampir tiba ke Madinah, unta Rasulullah terpeleset lalu baginda jatuh bersama Shafiyyah. Rasulullah SAW segera berdiri dan melindungi Shafiyyah.
Setibanya di Madinah, ramai kaum wanita bersiap sedia menyambut kepulangan mereka. Tatkala mengetahui tentang Shafiyyah, mereka berkata,
“Semoga Allah menjauhi perempuan Yahudi ini.”
Hadirnya seorang puteri Yahudi yang cantik rupawan mengundang kecemburuan para isteri Rasulullah SAW. Apatah lagi pengkhianatan demi pengkhianatan kaum Yahudi menghiris hati semua orang Islam tika itu. Lagipun, Shafiyyah itu muda remaja berusia sekitar 17 tahun.
Rasulullah SAW meraikan kecemburuan mereka sebagai suatu lumrah yang tidak dapat dielak. Baginda lalu menempatkan Shafiyyah di rumah sahabat terdekatnya, Haritsah bin Nu’man al-Anshari, bukan di rumah salah seorang isteri baginda.
Salah seorang isteri Nabi mengejek Shafiyyah,
“Kami adalah  wanita-wanita Quraisy bangsa Arab, sedangkan kamu adalah wanita asing (Yahudi).”
Shafiyyah menangis kesedihan. Beliau cuba memenangi penerimaan wanita muslimah di situ. Bermula dengan Fatimah, beliau menghadiahkansepasang anting-anting emas dan kepada wanita yang sedang bersamanya. (Riwayat Ibnu Saad).
Cemburu Hafsah
Imam Tirmizi merekodkan satu kisah lumrah bagi isteri yang bermadu. Suatu hari, Hafshah menempelak Shafiyyah,
”Hei, anak Yahudi!”
Shafiyah menangis kesedihan.
Suaminya lalu memujuk,
“Sesungguhnya dinda adalah puteri seorang Nabi dan bapa saudaramu adalah seorang Nabi, suamimu ini juga seorang Nabi, lantas dengan alasan apa dia mengejekmu?”
Kemudian Nabi Muhammad SAW mendidik Hafshah,
“Bertakwalah kepada Allah wahai Hafshah!” 

Berkrisis Dengan Zainab
Aisyah menceritakan lagi karenah kecemburuan mereka terhadap Shafiyyah. Suatu ketika, Rasulullah SAW dalam satu perjalanan. Tiba-tiba unta Shafiyyah sakit, sementara unta Zainab ada lebih seekor.
Rasulullah berkata kepada Zainab,
“Unta tunggangan Shafiyyah sakit, mahukah dinda memberikan salah satu dari untamu?”
 Zainab menjawab,
“Dinda tidak mahu memberinya kepada perempuan Yahudimu itu.”
Rasulullah SAW terkilan. Sebagai didikan, baginda meninggalkan Zainab pada bulan Dzulhijjah dan Muharam bahkan Safar juga. Baginda tidak mendatangi Zainab selama tiga bulan.
Zainab berkata, “Sehinggakan aku berputus asa dan tidak berharap lagi.”
Ketika Rasulullah SAW masuk semula ke kamarnya pada bulan Rabiul Awwal, Zainab menebus kesalahannya dengan memberikan seorang hamba wanita yang tidak pernah diketahui oleh Rasulullah SAW.

Cemuhan Aisyah dan Hafsah
Aisyah bercerita lagi,
“Suatu hari, saya melihat bayangan Rasulullah datang. Ketika itu Shafiyyah mendengar cemuhan Hafshah dan Aisyah tentang dirinya dan mengungkit-ungkit asal-usul dirinya. Betapa sedih perasannya. Lalu dia mengadu kepada Rasulullah sambil menangis. Rasulullah menghiburnya, ‘Mengapa tidak engkau katakan, bagaimana kalian berdua lebih baik dariku, suamiku Muhammad, ayahku Harun, dan bapa saudaraku Musa.”
Apabila Shafiyyah mendengar lagi ejekan dari isteri-isteri Nabi yang lain, dia rasa terbela dengan pujukan suami. Maka diapun menjawab balas,
“Bagaimana kalian merasa lebih baik dariku, padahal suamiku adalah Muhammad, ayahku adalah (keturunan) Harun dan bapa saudaraku adalah Musa?”

Iktibar Daripada Suami Sesempurna Nabi
Mujurlah Rasulullah SAW bernikah ramai dalam 10 tahun terakhir daripada baki usianya. Baginda menunjukkan contoh kepada semua lelaki yang berpoligami agar berlaku lembut dalam menghadapi kecemburuan para isteri.  Tiada pukulan. Tiada kekasaran. Tiada ancaman keras. Yang ada hanyalah kelembutan komunikasi berkesan dan didikan dengan penuh kesabaran.
Berkat pernikahan Nabi, wanita-wanita hari ini yang dimadukan pula akan rasa terbela andai mereka tidak mampu mengawal karenah mereka lantaran cemburu. Wanita hari ini tidaklah sebaik para isteri Nabi. Kecemburuan mereka mungkin lebih dahsyat. Maka, suami yang tertekan dan berserabut dengan karenah para isteri tidak boleh sesuka hati menuduh mereka jahat, nusyuz (derhaka) dan diancam keras. Itu fitrah cinta yang perlu dididik agar tidak bertukar menjadi fitnah.
Bagi wanita yang tidak sanggup diazab hidup cemburu kerana takut agama mereka rosakpula, Islam meraikan pilihan mereka untuk mengenakan syarat ta’liq ketika akad nikah agar tidak dimadukan. (Rujuk lanjut buku Ciri-ciri Unggul Masyarakat Islam yang Kami Idamkan, karya Prof. Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi). Syarat ta’liq ini terpakai oleh jumhur ulama’ sejak zaman sahabat lagi. Itulah yang dicontohkan kepada kita oleh puteri-puteri Rasulullah SAW.
Bagi suami yang mahu terlepas daripada kesulitan hidup di dunia dan akhirat pula, lebih baik tidak bernikah ramai spertimana kata Syeikh Yusuf al-Qaradhawi dalam bukunya di atas. Demikian juga pendapat jumhur ulama. Maha bijak Allah SWT yang menurunkan peraturan yang meraikan kondisi individu yang berbeza-beza serta meraikan hak dan maslahah semua pihak.

Dikasihi Suaminya
                Ketika Nabi SAW sedang beri’tikaf, Shafiyyah menemui baginda di malam hari. Beliau berbincang sejenak dengan baginda. Kemudian, Rasulullah berdiri untuk menghantar Shafiyyah kembali ke rumah.
                Tiba-tiba, dua orang Anshar lalu di situ. Ketika melihat Nabi, mereka nampak aneh. Nabi takut mereka tersalah sangka.
                “Tunggu sebentar, dia ini adalah Shafiyyah binti Huyay.” Rasulullah berkata lagi,
                “Sesungguhnya syaitan mengikuti manusia seperti aliran darah. Aku takut dia telah meletakkan satu kejahatan dalam hatimu.” (HR Muslim).

Tetap Mencintai Suami Meskipun Dicemburui
Salah satu bukti cinta Shafiyyah kepada Muhammad terdapat pada hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Saad dalarn Thabaqatnya. Isteri-isteri Nabi berkumpul menjelang kewafatan baginda.
Shafiyyah berkata,
“Demi Allah, ya Nabi, dinda ingin apa yang kanda deritai ini menjadi derita dinda.”
Isteri-isteri Rasulullah memberi isyarat antara satu sama lain lantaran cemburu. Menjuih.
Melihat hal yang demikian, baginda berkata, “Berkumurlah!”
Dengan terkejut mereka bertanya,
“Dari apa?”
Baginda menjawab,
“Dari isyarat mulut (atau mata) kalian terhadapnya. Demi Allah, dia adalah benar.”
Shafiyyah rasa terbela.

Difitnah Hamba, Dibalas Kebaikan
Setelah Muhammad wafat, Shafiyyah merasa sangat terasing di tengah kaum muslimin kerana mereka selalu menganggapnya berasal dan Yahudi, tetapi dia tetap komitmen terhadap Islam dan mendukung perjuangan Muhammad.
Pernah suatu ketika hambanya mengadu kepada Saidina Umar bahawa Shafiyyah sukakan hari Sabtu dan berhubung baik dengan Yahudi. Umar lalu meminta keterangannya.
Beliau menjawab, “Aku tidak mencintai hari Sabtu lagi setelah Allah menggantikan dengan hari Jumaat. Berkenaan Yahudi, aku masih memiliki kerabat di kalangan mereka.”
Shafiyyah bertanya kepada hambanya,
“Kenapa kamu lakukan semua ini?”
“Godaan syaitan,” jawabnya. Shafiyyah lalu membebaskannya. Membalas kedengkian dengan kebaikan. Subhanallah!

Kemuliaan Hati Shafiyyah
Ketika terjadi fitnah besar atas kematian Utsman bin Affan, beliau berada di barisan Utsman. Beliau sering membentangkan kayu antara rumahnya dan rumah Uthman untuk menyalurkan makanan dan minuman. (Rujuk al-Ishaabah).
Ibnu Katsir berkata, “Shafiyyah adalah seorang wanita yang sangat menonjol dalam ibadah, kewarakan, kezuhudan, kebaikan dan sedekah.”
 Selain itu, beliau banyak meriwayatkan hadis Nabi. Beliau wafat pada masa kekhalifahan Mu’awiyah bin Abi Sufyan. Marwan bin Hakam mensolatinya, kemudian menguburkannya di Baqi’.

Comments

Popular Posts