Thursday, June 7, 2012

Jangan hingga kesemua pintu itu kamu tutup.



Ada masa kadangkala kita ini melihat diri kita tidak punya harapan. Pelbagai jenis tidak punya harapan yang mungkin kita hadapi. Lain manusia, lain tidak punya harapannya.
Ada orang merasakan, dirinya tidak punya harapan untuk menjadi baik, soleh, bertaqwa dan sebagainya. Setiap kali dia berusaha ke arah kebaikan,dia mesti jatuh. Ataupun, dia menyedari bahawa dia perlu jadi baik adalah apabila dia telah tenggelam dalam lautan kemasiatan, dan kemaksiatan itu telah menjadi darah dagingnya.
Ada orang lain pula, merasakan bahawa dirinya tidak punya harapan untuk bahagia. Dalam hidupnya hanya ada kesusahan. Dari kecil tidak difahami. Asyik dibenci walau telah mencuba yang terbaik. Sering gagal walau telah berusaha. Dan dalam apa jua kerjanya, tindakannya, perjalanan hidupnya, pasti ada dugaan dan cubaan yang membawa derita mengekorinya.
Dan ada macam-macam jenis lagi ‘perasaan tidak punya harapan’ yang wujud pada manusia.
Dan perasaan-perasaan ini biasanya membawa kita kepada ‘penutupan kepercayaan kita kepada Allah SWT’. Kita rasa Allah tidak menyebelahi kita. Kita rasa Allah memang nak masukkan kita dalam neraka. Kita rasa Allah memang telah mentakdirkan kita dengan penderitaan. Kita rasa itu, dan kita rasa ini.
Tetapi guru saya, Dr Ala’ Hilat berpesan:
“Hendaklah kamu, jangan hingga kesemua pintu antara kamu dengan Allah SWT, kamu tutup.”
Kisah Imam Ahmad dan seorang pencuri 1
Dr Ala’ mengeluarkan ayat itu, selepas dia menceritakan kepada kami akan kisah Imam Ahmad ibn Hanbal Rahimahullah, dengan seorang lelaki yang sering mencuri.
Lelaki itu, kerjanya mencuri. Satu hari, Imam Ahmad menangkapnya mencuri di sebuah kedai. Pada hari yang lain, Imam Ahmad menangkapnya lagi di tempat yang lain. Dan pada satu hari yang lain, sekali lagi Imam Ahmad menangkapnya di tempat yang lain. Itu di kala Imam Ahmad terjumpa akan pencuri itu, dan bagaimana agaknya sikap pencuri itu di tempat yang tidak dijumpai Imam Ahmad?
Pastinya dia mencuri lebih banyak lagi, dan tidak pula berhenti dari perbuatannya itu walau telah ditangkap beberapa kali.
Namun pada suatu hari, Imam Ahmad melihat seorang lelaki yang khusyuk solat sebelum masuk waktu Subuh di hadapan Kubur Rasulullah SAW, dalam Masjid Nabawi. Bila diperhatikan dengan lebih teliti, barulah Imam Ahmad perasan bahawa lelaki yang sedang bersolat itu, adalah lelaki yang telah ditangkapinya beberapa kali.
Imam Ahmad agak terkilan dengan apa yang dilihatnya. Dia tahu lelaki itu masih mencuri. Tetapi kini lelaki itu dengan selambanya muncul di kubur Rasulullah SAW. Sedang tempat itu adalah tempat yang mulia.
Imam Ahmad segera mendapatkan lelaki itu selepas lelaki itu menyempurnakan solatnya. Lengan lelaki itu ditarik.
“Wahai Fulan, tidakkah engkau malu kepada Allah dan Rasulullah SAW? Engkau adalah seorang pencuri, dan kini engkau bersolat berdekatan kubur Rasul SAW? Apakah engkau tidak malu berada di tempat semulia ini?”
Lelaki itu menjawab: “Wahai Syeikh, janganlah kau memarahiku. Ya, aku memang pencuri. Dan selepas ini aku pasti akan keluar lagi mencuri. Tetapi wahai Syeikh, inilah dia pintu yang aku masih buka untuk Allah SWT. Aku telah menutup semua pintu yang lain Syeikh. Tetapi pintu ini, aku masih membukanya. Aku berharap, moga-moga nanti, dari pintu inilah aku keluar daripada kehidupanku yang sebegini.”
Imam Ahmad terdiam. Lantas, membiarkan lelaki tersebut.
Yang dimaksudkan oleh lelaki itu amat difahaminya. Lelaki itu tidak boleh tidak mencuri. Itu seakan-akan telah menjadi darah dagingnya. Lelaki itu telah berputus asa untuk berhenti mencuri. Dia telah berputus asa untuk menjadi seorang yang baik. Tetapi dia tetap membuka sebuah pintu, yakni amalannya itu, solat sebelum subuh di hadapan Kubur Rasulullah SAW. Dia kekal melaksanakan amalannya itu, walaupun dia telah berhenti melaksanakan perkara-perkara lain. Dia masih membuka sedikit ruang, untuk percaya bahawa dia masih punya harapan.
Kisah Imam Ahmad dan seorang pencuri 2
Selepas beberapa tahun berlalu, Imam Ahmad tidak lagi melihat lelaki itu. Juga tidak lagi menjumpainya mencuri. Dan apabila tiba satu musim Haji, Imam Ahmad pun berangkat ke Makkah.
Di Makkah, dia perasan akan seseorang yang sedang berada di bawah lembayung Kaabah. Meratap dan menangis hiba sehiba-hibanya. Wajah orang itu pucat, dan tubuhnya kurus. Namun wajah itu seakan punya nur. Mata lelaki itu kelihatan agak kehitaman tanda banyaknya tangisan.
Imam Ahmad tertarik dengan kesungguhan lelaki itu, lantas mendekatinya.
Alangkah terkejutnya, apabila dia rupanya mengenali lelaki itu.
“Wahai fulan, bukankah engkau pencuri yang meninggalkan satu pintu antara dia dan Allah terbuka?”
Lelaki itu memandang Imam Ahmad. “Ya, wahai Syeikh. Akulah orang itu. Dan daripada satu pintu yang belum aku tutup itu, Allah keluarkan aku, menjadi aku yang hari ini.”
Dan Imam Ahmad Ibn Hanbal hanya mampu memuji Allah SWT akan apa yang diperhatikannya.
Allah itu, Maha Besar.
Dr Ala’ selepas menceritakan kisah itu, berkata kepada kami:
“Allah itu Maha Besar. Dia tidak sekecil kita yang diciptaNya. Allah itu Maha Besar, hingga dosa-dosa yang kita lakukan ini Dia mampu berikan masa. Sebab Dia terlalu besar untuk rasa terhina dengan dosa-dosa kita. Dia tidak terus mengazab kita. Lihatlah kaum-kaum sebelum kita, Allah menghantar terlebih dahulu Rasul. Maka percayalah bahawa Allah itu tidak sesekali meninggalkan kita. Percayalah bahawa Allah itu tidak akan sesekali menzalimi kita. Yang sebenarnya berlaku adalah, kita yang tidak mampu mencapai hakikat kebesaran Allah SWT yang sedang berjalan ke atas kita.”
Dr Ala’ menyatakan bahawa, kita tidak pernah tahu apa yang Allah inginkan daripada kita. Bila Allah berikan kita ujian, kita tidak pernah tahu apakah yang Allah inginkan daripada kita dengan menurunkan ujian itu. Bila Allah berikan kita penderitaan, kita tidak pernah tahu apakah yang Allah inginkan daripada kita dengan penderitaan itu. Bila Allah berikan kita kesukaran, halangan, cabaran, kesakitan, kita tidak pernah tahu apakah yang Allah inginkan daripada kita dengan semua itu.
Tetapi kita sepatutnya tahu bahawa, Allah itu tidak menginginkan sesuatu, melainkan hanya kebaikan untuk hamba-hambaNya.
“Sesungguhnya Allah tidak sekali-kali menganiaya (seseorang) sekalipun seberat zarah (debu).” Surah An-Nisa’ ayat 40.
“Itulah ayat-ayat keterangan Allah, kami bacakan dia kepadamu (wahai Muhammad) dengan benar. Dan (ingatlah), Allah tidak berkehendak melakukan kezaliman kepada sekalian makhlukNya.” Surah Ali-Imran ayat 108.
Daripada Abu Zar al-Ghifaari r.a, daripada Rasulullah s.a.w berdasarkan apa yang diriwayatkannya daripada Tuhannya yang Maha Mulia lagi Maha Tinggi bahawasanya Dia(Allah) berfirman : “Wahai hamba-hamba-Ku! Sesungguhnya Aku mengharamkan ke atas diri-Ku kezaliman dan Aku menjadikan ia dikalangan kamu sebagai perkara yang diharamkan, maka janganlah kamu saling zalim menzalimi di antara satu sama lain…” Hadith riwayat Muslim.(terdapat juga di dalam Hadith 40 An-Nawawi).
Allah tidak akan menzalimi hamba-hambaNya. Mustahil.
Tinggal kita melihat Allah sebagai zalim, sebagai tidak memerhatikan, sebagai meninggalkan kita, kerana kita adalah ‘manusia’. Makhluk. Tidak mampu mencapai dan memahami ‘Maha Besar’ Allah itu.
Penutup: Kekalkanlah kepercayaan, walaupun sedikit. Yakinlah.
Maka akhirnya Dr Ala’ berpesan:
“Hendaklah kamu, jangan hingga kesemua pintu antara kamu dengan Allah SWT, kamu tutup.”
Percayalah. Walaupun seperti menelan pasir peritnya. Bersabarlah. Walaupun seperti sedang berada di atas bara api penderitaannya. Dan walau apa pun yang terjadi, walaupun kita sudah terjatuh dalam gaung yang terdalam sekali dalam berputus asa kepada Allah SWT, dalam bermaksiat kepada Allah SWT, kekalkanlah walau secebis kepercayaan yang kita mampu.
Moga-moga daripada pintu kita yang masih kita buka itulah, Allah akan keluarkan kita daripada segala penderitaan, daripada segala masalah, daripada segala mehnah dan tribulasi, daripada kesedihan, daripada maksiat, daripada kejatuhan, daripada keingkaran yang kita lakukan dan hadapi.
Sebab Allah itu Maha Besar.
Dan mustahil dengan kebesaranNya itu, Dia meninggalkan kita atau menzalimi kita.
“…Allah tidak sekali-kali akan memungkiri janji-janjiNya.” Surah Az-Zumar ayat 20
LangitIlahi.com.

2 comments:

  1. Salam.

    Terkesan sungguh dengan penulisan ni. Selalu rasa gagal. Jangan tutup pintu dengan Allah. InsyaAllah..

    ReplyDelete
  2. waalaikumussalam..2 la..ni sbgai peringatan utk dri sndri jgk..jgn terlambat utk menyedari k..=)

    ReplyDelete