Monday, February 20, 2012

lelaki pelindung wanita pupus??

DALAM hadis yang diriwayatkan Anas bin Malik, Rasulullah saw bersabda yang bermaksud:
Antara tanda hari kiamat ialah ilmu semakin sedikit dan kejahilan semakin banyak, zina akan berleluasa, wanita semakin ramai dan lelaki [qowwamun] semakin kurang sehingga 50 wanita hanya dilindungi seorang lelaki. (Bukhari dan Muslim)
Ia adalah satu topik menarik yang selalu dibincangkan dalam pelbagai forum kebapaan iaitu seolah-olah kini nilai kelelakian semakin pupus sama ada dari segi mahupun tanggungjawab. Mengapakah fenomena ini terjadi, apakah puncanya, dan bagaimanakah langkah terbaik untuk mengatasinya? Mungkin ramai yang beranggapan ia membawa maksud bertambahnya bilangan lelaki lembut yang meniru gaya hidup wanita, seperti yang pernah dibincangkan di akhbar tempatan suatu masa dahulu, atau semakin kurangnya bilangan lelaki di dunia pada masa ini.

Pada hakikatnya yang dimaksudkan ialah kurangnya lelaki yang menjalankan peranan mereka sebagai lelaki seperti yang diperintahkan Allah di dalam al-Quran iaitu lelaki sebagai qowwamun (pelindung) kepada wanita.
Allah berfirman di dalam surah an Nisa ayat 34 Yang bermaksud:
Kaum lelaki adalah pemimpin bagi kaum wanita kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka (kaum lelaki) atas sebahagian yang lain (kaum wanita) dan kerana mereka (lelaki) telah menafkahkan sebahagian daripada harta mereka.

Lelaki mendapat dua bahagian lebih daripada kaum wanita dalam pembahagian harta pusaka, lelaki dikehendaki membayar mahar apabila berkahwin, lelaki dikehendaki menggauli isterinya dengan baik, lelaki juga diizinkan berpoligami hingga 4 orang isteri dengan syarat mampu berlaku adil. Mengapakah lelaki diberi kelebihan oleh Allah daripada wanita dalam banyak perkara? Jawapannya ialah kerana lelaki itu memimpin perempuan, bukan perempuan memimpin lelaki dan tidak pula sama kedudukannya.

Lelaki memimpin wanita bukan sahaja berlaku pada manusia, bahkan pada haiwan. Lihatlah bagaimana haiwan jantan memimpin yang betina. Jika ada sekumpulan itik jantan dan betina maka itik jantan yang memimpin berpuluh-puluh itik yang mengiringinya dan begitulah seterusnya.
Maksud hadis riwayat Imam Bukhari dan Muslim ada menyatakan bahawa antara tanda akhir zaman ialah lelaki semakin kurang daripada wanita dan yang lebih parah, 50 wanita hanya dijaga seorang lelaki.

Merujuk kepada matan hadis itu, Rasulullah juga menggunakan perkataan qowwamun yang bermaksud pelindung untuk 50 wanita dan baginda tidak menggunakan perkataan ar-rijal yang membawa makna lelaki di dalam bahasa Arab. Maksudnya, golongan lelaki yang menjaga wanita semakin sedikit bilangannya pada hari ini.

Yang ramai ialah lelaki yang tidak menjadi penjaga wanita, sebaliknya mengeksploitasi, merogol dan menjadikan mereka sebagai alat melepaskan nafsu.
Lihatlah laporan yang selalu dipaparkan di media cetak dan elektronik mengenai moral atau akhlak masyarakat kita, khususnya orang Melayu Islam yang semakin hari semakin tenat.

Peningkatan kes rogol, sumbang mahram, bunuh, samun, ragut wanita, dera isteri, anak dan pembantu rumah, jelas menunjukkan betapa hilangnya nilai serta peranan ramai lelaki di negara ini. Fenomena ini bukanlah merujuk kepada hilangnya sifat kelelakian kerana mereka bertukar jantina, tetapi disebabkan tidak menjalankan tugas sebagai lelaki yang sebenarnya sebagai pelindung kepada wanita, seperti yang termaktub di dalam al-Quran dan hadis nabi.

Jika seseorang lelaki itu mempunyai sifat pelindung maka dia akan melihat wanita sebagai kelompok insan yang memerlukan perlindungan, dihormati, dijaga maruah mereka, tidak dikasari, tidak diekspolitasi, apatah lagi diperlakukan sesuka hati seumpama barang mainan. Pendek kata jika masyarakat mempunyai ramai lelaki pelindung, kuranglah masalah kekeluargaan dan sosial.

Dalam kehidupan berkeluarga, masyarakat amat memerlukan lelaki bersifat pelindung. Mereka tidak akan malas di rumah dan membiarkan isteri dan anak sahaja membanting tulang setiap hari. Selain itu mereka tidak akan memukul atau mendera sama ada isteri mahupun anak, tidak menengking, tidak mengherdik, tidak memaki, mencaci dan mencarut kepada isteri dan ahli keluarganya. Lelaki pelindung juga tidak akan menggadaikan maruah anak dan isterinya walau sesulit manapun masalah yang dihadapinya. Sayangnya lelaki pelindung semakin pupus bilangannya dalam masyarakat hari ini.

Namun, wanita juga turut menyumbang kepada pelupusan sifat pelindung lelaki berikutan lantangnya suara sumbang golongan aktivis wanita yang ingin menyamaratakan taraf wanita dan lelaki tanpa menyedari akan risikonya. Mereka juga galak menyeru kepada usaha dominasi wanita terhadap tugas yang selama ini dipegang kaum lelaki. Pada masa sama, semakin ramai pula wanita yang rela diri mereka dieksploitasi oleh lelaki yang mementingkan nafsu dan keuntungan material semata-mata, hingga wujudnya golongan Pelayan Pelanggan (GRO) atau pelacur yang dianggap bukan lagi suatu masalah dalam masyarakat.

Media massa berlumba-lumba menggunakan wanita untuk melariskan produk mereka. Apa logiknya wanita berpakaian ketat dan seksi berbaring di atas kereta baru yang hendak dilancarkan? Perkara seumpama ini tidak akan berlaku jika lelaki mempunyai sifat pelindung dan wanita pula menyedari mereka wajib dilindungi, bukan dieksploitasi atau diperalatkan untuk kepentingan duniawi.

Persoalannya disini, bagaimanakah caranya untuk menyedarkan kaum lelaki mengenai tugas mereka? Dalam hal ini, lelaki Muslim perlu menyedari kedudukan mereka di hadapan Allah dan kembali kepada Islam yang mengangkat martabat wanita dengan lelaki sebagai pelindung martabat tersebut.
Jika lelaki Muslim sedar bahawa dia hamba Allah, maka dia wajib menurut perintah Allah. Jika ingin mengikuti perintah Allah, dia wajib patuh ajaran al-Quran yang menyuruh lelaki menjadi pelindung kepada wanita dan mengikut contoh pelindung terbaik iaitu baginda Rasulullah saw. Rasulullah tidak pernah menyakiti apatah lagi menganiaya dan menzalimi wanita, terutama isteri baginda sendiri. Baginda mengajar kita melindungi wanita yang menjadi sebahagian daripada unsur utama masyarakat Islam. Dengan mengikuti sunnah Baginda, seseorang lelaki itu akan sentiasa menjadi pelindung kepada wanita.

Sabda Rasulullah di dalam sebuah hadis :
Daripada Muawiyah b Haidah al Qusyairi bahawa dia pernah bertanya kepada Rasulullah:
Ya Rasulullah! Apakah hak isteri kami ke atas suaminya. Baginda menjawab, jika engkau makan dia pun hendaklah diberi makan, jika engkau membuat pakaian, dia hendaklah diberi pakaian, kalau memukul jangan mukanya dipukul dan jangan dikatakan dia buruk. (Abu Daud).......


No comments:

Post a Comment