Tuesday, January 31, 2012

antara membimbing perasaan dan melayan perasaan


Masa beredar tiada siapa mampu menghalang. Dari usia yang muda, seorang kanak-kanak perlahan-lahan menginjakkan diri ke fasa remaja. Seorang remaja perlahan-lahan menginjakkan diri ke dunia dewasa. Dalam perjalanan itu, tidak ringan jalan yang ditempuh.


Gelora nafsu adalah antara mehnah yang harus ditempuhi oleh setiap remaja. Mahu ataupun tidak, itulah ketentuan yang harus dihadapi oleh setiap pemuda. Jiwa yang muda begitu bersemangat dan berkobar-kobar. Dan, pada titik inilah kita semua mengenal apakah itu perasaan cinta.


Inilah titik yang amat kritikal dalam dunia remaja. Sesiapa yang mampu melepas titik kritikal ini, maka beruntunglah mereka apabila dewasa. Sesiapa yang tewas, perjalanan mereka seterusnya dirasakan sukar sekali. Hanya iman dan ilmu di dada mampu menjadi teman terbaik dalam menempuh titik kritikal ini.


Tanpa iman dan ilmu, manusia mudah jatuh ke dalam perangkap keji nafsu. Nafsu memperlihatkan kepada mata segala kejahatan itu indah, dan segala kebaikan itu buruk. Nafsu juga mengawal hati untuk bertindak agar keperluan buasnya dipenuhi tanpa mengira soal halal dan haram dalam Islam.


Maka, kita tidak hairan, mengapa saban hari ada sahaja gadis yang sanggup membiarkan kehormatannya dirobek tanpa hak dengan kerelaannya. Usahlah kita terkejut beruk apabila melihat di mana-mana sahaja ada bayi yang ditinggalkan, buah daripada perbuatan zina.


Hanya satu sahaja langkah yang paling berkesan untuk menghukum nafsu kita, iaitu syariat. Syariat Islam datang membawa rahmat dan kemudahan kepada manusia. Syariat Islam datang menghapuskan sebarang musibah dan kesusahan yang menimpa manusia akibat kegagalan mengawal nafsu.


Bermula dari awal lagi, Allah SWT menyuruh remaja yang sudah memasuki tahap akil baligh, untuk menundukkan pandangan. Firman Allah SWT:


�Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram).� (Surah An-Nur ayat 30)

Demikian juga, perintah Allah SWT ini juga tertakluk kepada para gadis dalam ayat yang seterusnya. Betapa bijaksananya Allah SWT, kerana Allah SWT Maha Mengetahui bahawa mata adalah suatu panahan beracun yang sangat berbahaya kepada manusia. Jika mata tidak dikawal, mata itu sendiri membawa bencana kepada manusia.


Di dalam sebuah hadith yang direkodkan oleh Imam al-Bukhari menceritakan, dalam perjalanan Rasulullah SAW bersama Fadhl ibn �Abbas RA, seorang wanita telah melintasi mereka. Kerana anggun dan jelitanya wanita tersebut, mata Fadhl ibn �Abbas RA tidak berkelip-kelip menatap wanita itu. Rasulullah SAW yang menyedari hal itu terus memalingkan wajah Fadhl ke arah yang lain.


Bagi yang sudah tersasar dari jalan yang lurus, masih tidak terlambat untuk kalian meluruskan jalan yang ditempuhi. Bersihkanlah hati yang kian menghitam dengan syariat Allah SWT. Bersahabatlah dengan sahabat-sahabat yang mampu membimbing dan mengawal kita daripada tersasar untuk kali yang seterusnya. Sesungguhnya Allah SWT Maha Pengampun lagi Maha Penyayang kepada kita.


Juga, dalam keperluan kita mentarbiyah diri dengan syariat, wujudnya suatu golongan yang terumbang-ambing umpama kapal di tengah lautan. Dek kerana terlalu syadidnya cara mereka dalam mengawal diri daripada terjerumus ke lembah zina, menyebabkan segala urusan harian menjadi sukar. Semuanya disebabkan berlakunya ketidakjelasan dalam bab ikhtilat.


Sehingga kadang-kadang, disebabkan cara yang terlalu syadid ini, ramai di antara kita yang mengalami konflik perasaan. Mereka berada di tengah-tengah: antara memenuhi kehendak perasaan dengan membimbing perasaan (dengan cara yang terlalu keras). Akibatnya, ramai yang mengambil jalan untuk �melayan perasaan� mereka.


Kemunculan novel-novel dan cerpen-cerpen cinta memburukkan lagi keadaan ini. Mereka disuap dengan khayalan dan imaginasi seperti yang digambarkan dalam novel, tanpa diajar bahawa sebenarnya realiti bukanlah seperti yang digambarkan dalam novel. Akibatnya, mereka tewas dan menjadi kecewa apabila berhadapan dengan realiti yang sedikit lari daripada imaginasi novel.


Sedarlah, apa yang kalian baca hanyalah sekadar imaginasi pengarang. Bersikaplah realistik, dan pandanglah dunia realiti. Apa yang kalian nampak sebenarnya jauh lebih banyak berbanding apa yang digambarkan dalam kisah-kisah cinta.


Tidak salah membaca novel, tetapi dalam masa yang sama usahakanlah untuk mempelajari agama. Jika anda merasakan nafsu anda bergelora, sibukkanlah diri dengan urusan menuntut ilmu fardu ain dan fardu kifayah untuk mencapai cita-cita anda. Jika sudah tidak mampu, maka pilihlah jalan sunnah Nabi SAW, yakni bernikah, kerana dalam pernikahan adanya ketenangan.


Contohilah Rasulullah SAW, usia muda Baginda dihiasi dengan pekerjaan dan perniagaan. Contohilah �Abdullah ibn �Abbas RA, usia muda beliau dipenuhi dengan kegiatan menuntut ilmu pengetahuan. Contohilah Usamah bin Zaid, usia mudanya digunakan untuk menyahut seruan jihad. Mereka semua adalah ikon-ikon remaja yang realistik, bukannya utopia.


Dunia masih luas untuk kita terokai. Perjalanan kita masih jauh untuk tiba ke destinasinya, sedangkan usia kita semakin hari semakin memendek. Sedarlah, kewajipan dan kerja-kerja kita lebih banyak daripada masa yang kita ada. Mengapa perlu kita membazirkan masa melayan hawa nafsu yang tidak pernah kenyang?


Sama-samalah kita berdoa, memohon perlindungan Allah SWT daripada kejahatan hawa nafsu kita. Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku memohon perlindungan dengan-Mu daripada ilmu yang tidak memberikan manfaat, daripada hati yang tidak khusyuk, daripada nafsu yang tidak pernah kenyang, dan daripada doa yang tidak Engkau dengari.



* Penulis ialah pelajar matrikulasi di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dalam aliran Sains Fizikal. 


Sumber dari blog : daiesiber.blogspot.com

No comments:

Post a Comment