nur islam part 1

Digosok-gosok lagi matanya. Dia seakan-akan tidak percaya apa yang dilihatnya. Apakah aku kembali ke zaman unta, ke zaman kolot dan purba? begitulah detik hatinya. Dikesat hidungnya yang berair dengan kertas tisu. Kertas itu kemudiannya dicampakkannya ke tepi jalan.

"Assalamualaikum, pakcik.. tolong kutip kertas itu. Nanti pakcik rugi di Akhirat. Kebersihan itu separuh daripada iman." Bunyi satu suara di belakangnya. Ia bingkas berpaling. Siapa berani menegurku? Aku Datuk Dr.Johar, orang besar negara ini. 
"pakcik, biarlah saya tolong kutip,sebelum Penguatkuasa Iman dan Islam datang. Nanti didendanya pakcik," kata budak kecil berpakaian putih dengan serban yang melilit kepalanya. 
Datuk Dr. Johar membetulkan tali lehernya. Ah, kalau dia datang biar aku sogok dengan duit ini . Siapa yang tak kelabu mata,tengok duit merah, biru berlapis-lapis. Namun, Datuk Dr. Johar terus hairan. Bangunan pencakar langit dengan wajah pembangunan yang sofistikated. Ada helikopter bersimpang -siur bergerak di udara. Railbus bercerakah ke sana sini. Bullet train meluncur bagaikan panah dilepaskan dari busurnya. Kesibukan yang layak dipikul oleh manusia-manusia moden. Namun peliknya, pakaian mereka, tingkah-laku mereka...Ah, di mana aku sekarang ini, gerutu hati Datuk Dr.Johar. 
"Hoi budak, Aku dimana sekarang ?" soalnya kepada budak yang menegurnya tadi. Budak itu tersenyum. Mukanya cerah dan indah. Tenang dan bersuara lunak. Apakah ini Aladin, budak Arab dengan lampu ajaibnya: teka-teki itu terus menerjah kepala dan kotak fikir Datuk Dr. Johar. Budak itu membuka mulut hendak menjawab. Belum sempat,tiba-tiba datang sebuah kereta jenis Ferrari, merah dan
bercahaya. Keluar dua orang lelaki dengan pakaian yang hebat dan segak.Serban mereka berwarna hitam berjalur biru.

"Assalamualaikum....Maaf, pakcik. Kami terpaksa mendenda pakcik.Kesalahan membuang sampah ini sudah belasan tahun tidak berlaku di Darul Taqwa ini. Kami terpaksa mendenda pakcik. Kebersihan itu lambang iman. Negara ini menitikberatkan iman.... Pakcik didenda, 30 kali subhanallah, 30 kali astaghfirullah
dan selawat 100 kali. " Kata pegawai penguatkuasa itu dengan lembut. Datuk
Dr. Johar tersentak. Apa namanya undang-undang ini. Tak ada dewan bandaraya
di seluruh pelusuk dunia mengamalkannya. Dia tercengang-cengang. Namun egonya membumbung tinggi. Apa ? Dia nak marahkan aku ? 

" Ni duit lima ratus. Saya tak mahu buat apa yang kamu minta. Kita selesaikan di sini saja. Berapa gaji yang kamu dapat sebulan ? " tanyanya angkuh. 

"Pakcik, kita bekerja kerana Allah, bukan kerana gaji. Lagipun duit bukan ada
harga lagi di zaman ini. Semuanya dipandang sebagai alat, bukan matlamat," kata pegawai berjanggut dan berjambang itu dengan tenang. 

"Oh, oh .... maafkan kami, pakcik. Kami nak tanya sikit, kenapa pakcik pakai
pakaian zaman dulu? Mana pakcik dapat pakaian macam itu ?" Tanya pegawai itu
pula. Aku yang gila, atau dia yang gila? Detak hati Datuk Dr. Johar. Dia berjalan ke arah kereta Ferrari yang berkilat itu. Melalui cerminnya dia nampak perawakannya dengan jelas. Tak ada yang salah. Tali leher, kemeja dan kotnya masih kemas dan segak. Daripada jenama yang mahal pula - Pierre Cardin. Kasutnya hitam berkilat
daripada jenis Bally. Ah! Aku masih unggul. Lelaki tampan, lambang status dan kejayaan. Dia yang kolot, dia yang ketinggalan zaman.


"Anak muda, pakaian pakcik ni pakaian pemimpin. Pakcik orang besar di negara ini. Pakcik dah keliling dunia dengan pakaian ni. "


"Pakcik, itu pakaian puluhan tahun yang lampau. Ketika Islam belum berdaulat di Darul Taqwa ni. Moyang -moyang kami dulu saja yang pertahankan pakaian macam itu. Itu pakaian orang kuno di Barat. Sekarang, kami hanya dapat lihat gambar-gambarnya saja. Itupun dalam buku sejarah zaman peralihan Islam. Orang Barat zaman moden ini dah berpakaian macam yang kami pakai. Tak ada orang yang pakai macam tu kecuali orang-orang bukan Islam yang dijamin kebebasannya dalam sebuah negara Islam seperti darul Taqwa." Datuk Dr. Johar termanggu-manggu kebingungan.

"Di mana aku sebenarnya ni?" Dia bertanya lagi kepada pegawai penguatkuasa
dan budak kecil di tepi jalan. Dia masih kenal, Ini Jalan Chow Kit ditengah
bandar Kuala lumpur. Masih ada Masjid Pakistan dan Masjid Kampung Baru di
sebelah sana. Tetapi itu sahaja, yang lain tak ada.


"Pakcik di bandar Mutmainnah. Ini jalan Mujahadah, namanya. Saya Haji
Din,Pegawai Penguatkuasa Iman dan Islam. Diberi amanah untuk memastikan
kebersihan lahir batin bandar ini." Apa? Bandaraya Kuala Lumpur dah jadi
Bandaraya Mutmainnah? Jalan Chow Kit dah jadi jalan Mujahadah? Apa dia mutmainnah? Apa dia mujahadah tu? Apa yang terjadi ni? Soalan-soalan itu terus menyerang benak Datuk Dr. Johar.


"Pakcik, kami rayu pakcik membayar denda tadi. Kalau tak boleh sekarang,
lepas sembahyang nanti pakcik laksanakanlah. Demi kebaikan pakcik dunia dan Akhirat..." Tiba-tiba terdengar suara orang memberi salam dari jauh . Nyaring dan jelas. Seorang lelaki pertengahan umur seorang kepada pegawai penguatkuasa. 

"Tuan, hukumlah saya. Saya mengumpat tadi. Ya Allah ! seksa Neraka amat
pedih..Tolonglah, tuan. Hukum saya di dunia sebelum saya di hukum di Akhirat!" rayu lelaki itu. Pegawai tadi berpaling ke arah lelaki yang baru datang, dan kesempatan itu diambil oleh Datuk Dr. Johar. Ia lari sekuat-kuat hati.Peliknya mereka tidak mengejarnya. Ia terlepas...Lega. Dahaga , lapar mula menggigit tekak dan perutnya. Dia mesti makan.Dia perlu minum. Tapi di mana? Tiba-tiba ia terdengar suara komputer dari sound system di tepi-tepi jalan :


"Assalamualaikum, kepada seluruh penduduk Kota Mutmainnah. Syed Al Abrar,
hartawan besar berada di jalan Uwais Al Qarni. Dia merayu fakir miskin supaya sudi menerima sedekahnya. Hari ini ia menjamu nasi dan minuman. Sila
datang!" Datuk Dr. Johar orang besar Darul Ghurur itu tidak akan mencemar
duli menagih nasi. Dia ada duit, mampu membelinya sendiri.

Comments

Popular Posts