mencari jalan pulang part 3

- iv -

Lebaran seharusnya diiringi alunan takbir, bukan gema yassin. Lebaran seharusnya dikunjungi riang dan ria bukan tangis dan durja. Lebaran harus wujud dalam wajah yang ceria bukan dengan duka yang berpanjangan.

   Lama aku duduk di dalam kereta. Membuang segala rasa marah, dendam dan ego seorang anak. Memaksa kaki memijak tanah sebelum menggesa kudratku melangkah ke rumah yang dulunya menjadi tempat aku berteduh.

   Wajah rumahku sudah jauh berbeza, tapi dekorasi dalamnya masih sama. Di satu sudut berhampiran tangga ada gambarku saat graduasi dulu. Di satu sudut lagi, ada gambarku semasa di Sekolah Menengah Teknik dahulu. Hampir semua yang melibatkanku masih kekal. Cuma aku yang berubah.

   Pandangan setiap insan tuhan di dalam rumah terarah padaku. Wajah tua ayah yang dimamah usia menjamah pandangan mataku.

   Aku kaku di situ. Tidak bergerak.

   Segala-galanya bagai mimpi. Aku membuang masa yang lama untuk mencari jalan pulang ke rumahku sendiri. Aku membuang masa yang lama untuk mencari cintaku pada emak dan ayahku yang dikaburi ego hatiku.

   Bibir ayah bergetar...

   “Kenapa kau balik?”

   “Nak tengok kami dah mati ke belum?”

   Aku diam tidak berkutik. Aku tahu aku wajar dipersalahkan. Aku menjadi seego-ego manusia yang wujud di muka alam ini.

   “Puas hati kau sekarang? Terbalas dendam kau sekarang?” soal ayah. Aku menggeleng. Kepalaku menggeleng kiri dan kanan. Menafikan setiap butir tuduhan ayah.

   Aku tak pernah puas hati. Aku tidak pernah lega! Aku sebaliknya hidup dalam bersalah di bawah egoku sendiri!

   “Wardah bersalah ayah...” ujarku perlahan merapati ayah. Memeluk lututnya memohon maaf. Jemari tua itu cuba aku tarik untuk aku kucupi, tapi pantas di tepis ayah.

   “Kau bukan anak aku!”

   “Anak aku dah lama mati... Anak aku tak pernah sakitkan hati emaknya, ayahnya...” rajuk ayah.

   Air mataku mengalir. Aku tak salahkan ayah lagi. Kerana aku sudah berjanji dengan hatiku, membuang segala rajukku. Membuang segala rasa pentingkan diri. Kerana aku sedar, aku bukan orang barat yang sewenang-wenangnya mengenepikan ibu dan bapanya. Kerana aku masih terikat dengan karma Allah yang menentukan tanggungjawab anak kepada ibu bapanya tidak usai pada tahap-tahap tertentu sahaja.

   “Kalau ayah mahu Wardah pergi, Wardah akan pergi...”

   “Tapi izinkan Wardah jumpa emak dulu...” ujarku. Ayah menoleh memandangku.

   “Untuk apa kau jumpa dia... Kau nak bunuh dia ego kau lagi?”

   “Wardah nak ubati rindu emak...” ujarku perlahan.

   “Untuk apa baju Wardah emak peluk, kalau tubuh Wardah ada di sini, untuk apa Wardah di rindu kalau sudah Wardah ada di sini...” ujarku.

   “Wardah akan pergi... Kalau itu boleh membuatkan emak sihat tanpa sepicing ingatan emak ada pada Wardah.” Ujarku. Ayah diam. Tidak menyuruh tidak juga membantah. Dia cuma dia. Tegak memerhati lagak pantung cendana.




Comments

Popular Posts