Thursday, January 19, 2012

hijrah sebelum terlambat

Di keheningan fajar ini, aku rasakan seluruh tubuh dan jiwaku berada dalam situasi yang damai dan menenangkan. Selama ini tidak pernah sekelumit pun ku rasakan perasaan seindah ini.
Terima kasih Allah, kerana Engkau masih memberi ruang kepada hamba-Mu yang sangat hina ini untuk menikmati perasaan ini. Saat inilah baru aku tersedar bahawa diriku ini sangat mencintai dan merindui-Mu.
Saat ini baru ku rasakan betapa nikmat dan manisnya cinta dan rindu kepada-Mu. Baru kini ku merasakan hebatnya kuasa cinta ini, Ya Allah.
Syukur pada-Mu ya Allah kerana Engkau telah memilih diri ini untuk menerima hidayah dan cinta-Mu. Sesungguhnya aku benar-benar menyedari betapa hinanya aku pada pandangan-Mu.
Betapa dosaku luas meliputi ruang langit dan bumi. Kosongnya amalanku ini untukku persembahkan kepada-Mu nanti. Terlalu banyak sifat mazmumah dalam diriku sehinggakan tidak mampu ku perhitungkan lagi. Kerasnya hatiku sehingga hidayah-Mu sukar untukku menerimanya. Ku tahu tiada nilaianku di sisi-Mu, ya Allah.
Namun sesungguhnya, Engkau Maha Pengasih ya Allah. Engkau masih memberi peluang kepada diriku ini untuk melakukan transformasi diri. Rahmat-Mu Maha Luas ya Allah. Syukur yang tidak terhingga ku panjatkan kepada-Mu.
Di kesunyian fajar ini, air mataku laju menuruni sejadah. Kesilapan lampau terbayang-bayang mengisi ruang ingatan satu persatu. Episod silam membawaku ke lembah kehinaan yang membuatkan aku digelumangi debu-debu dosa.
Betapa menyesalnya aku ya Allah. Kenapa selama ini aku leka dan lalai? Kenapa selama ini hatiku buta ya Allah. Terlalu banyak masa yang telah aku persia-siakan. Selama ini aku mempermainkan taubat kepada-Mu ya Allah. Selama ini ibadatku bukanlah untuk-Mu ya Allah, tetapi kerana sifat menunjuk-nunjuk dan riak yang hadir dalam diriku. Aku terlalu menyesal ya Allah.
Aku pohon kepada-Mu ya Allah, kurniakanlah kepadaku kekuatan untuk melakukan hijrah ini. Aku ingin berhijrah ya Allah, hijrah kerana-Mu. Bukanlah hijrah kerana manusia, bukan juga hijrah untuk mendapatkan dunia tapi hijrah yang sebenar-benarnya.
Aku ingin berhijrah untuk mendapatkan cinta dan redha-Mu. Sambutlah cinta dan rinduku ini ya Allah. Akan ku tatang hidayah-Mu ini dengan ilmu. Ilmu yang akan aku manfaatkan untuk memperbaiki hati dan diriku, yang dapat memberi cahaya kepada jiwa dan hidupku.
Ilmu yang akan aku persembahkan untuk-Mu adalah ilmu yang akan membawa diriku menuju cinta-Mu. Ilmu yang dapat menjadikan hatiku ini lembut dan syahdu. Ilmu yang dapat mengubah seluruh kehidupanku. Kurniakanlah kepadaku ilmu yang dapat membuat diriku semakin mencintai-Mu ya Allah.
Semoga kita digolongkan dalam golongan manusia yang dipilih Allah untuk menerima hidayah-Nya. Betapa bertuahnya kita seandainya dipilih. Membuktikan betapa luasnya rahmat dan kasih sayang Allah. Lihatlah betapa kerdilnya kita di muka bumi ini, tetapi sayangnya dalam kalangan kita masih ada manusia yang sombong.
Marilah kita sama-sama melakukan hijrah diri. Hijrah yang dapat mengubah hati dan jiwa kita. Hijrah yang dapat meruntuhkan keegoan dan sikap takbur manusia. Hijrah yang dapat meruntuhkan hati dan jiwa yang keras. Hijrah yang memberi kesedaran kepada kita bahawa segala yang kita lakukan di dunia ini adalah semata-mata untuk mendapatkan cinta dan redha Allah.
Lakukanlah hijrah diri ini ketika kita masih mampu melakukan amal ibadat. Lakukan hijrah tatkala Allah memberi kelapangan masa dan kesihatan kepada kita. Lakukan hijrah diri ini ketika diri masih diberi peluang. Lakukan hijrah diri ketika diri masih muda. Lakukan hijrah diri ini tatkala nyawa kita masih belum sampai di halkum. Kelak, jika hijrah diri ini tidak disambut, kitalah manusia yang paling rugi dan paling malang di dunia dan di akhirat.
Marilah kita berhijrah bersama-sama!

No comments:

Post a Comment