mencari jalan pulang part 4(final)

- v -

Merenung wajah tua itu, aku tahu aku sangat-sangat menyayanginya. Cuma selama ini aku membutakan mata hatiku, meninggikan egoku merajakan kesombonganku. Merenung redup mata itu, aku sedar dialah yang aku rindui selama ini. Melihat jari jemari yang berkedut itu, aku kesal dengan masa-masa yang aku biarkan berlalu pergi selama ini dengan tidak mempedulikannya.

   Aku tahu aku amat menyayanginya. Aku tahu aku sangat merinduinya. Aku sedar yang aku sentiasa mahu dekat dengannya, tidak lagi mahu berpisah dengannya walau hanya sesaat. Dia sentiasa di hatiku.

   Betul kata orang, kita tak sedar betapa bernilainya sesuatu itu selagi ia masih menjadi milik kita. Kita hanya akan sedar tentang betapa bernilai dan istimewanya sesuatu itu bila ia hampir-hampir terlepas dari tangan kita.

   Aku juga begitu. Aku tidak menyedari tentangnya hingga aku jauh dari semua ini. Aku sentiasa menjauhkan diri. Aku menyalahkan dia kerana membiarkan aku menjadi terlalu berdikari. Hinggakan tak satu pun perkara yang aku kongsikan dengannya. Hingga semua perkara aku telan sendiri, hingga segala jerihnya aku tanggung sendirian tanpa sepicis pun dari rasa sakit yang aku tanggung dalam gerak langkahku membina kehidupan dengan aku berkongsi dengan mereka segala remuk dendam dan luka yang terpalit di hati.

   Aku berdiri di atas kaki sendiri. Aku tidak bergantung kepada mereka. Segalanya aku usahakan sendiri. Betapa kejamnya aku pada dia ibuku dan dia ayahku. Merantau jauh darinya, aku menyedari sesuatu. Hikmah disebalik didikannya.

   Dia bukan mahu aku menjadi anak sulung yang berdikari saja-saja begitu. Dia punya asbabnya.

   Dan bak kata temanku,

   “Anak pertama, curahan kasih sayang ibu ayah yang tulen. Adik-adik tak melalui apa yang kita lalui. Kegembiraan ibu bapa saat melihat kita pertama kali keluar dari rahim ibu...”

   Kata-kata yang menyentapkan hatiku sedikit sebanyak. Kata-kata yang menyedarkan aku kurang-kurangnya. Dan melihat dia dalam keadaan ini, aku sedar... betapa aku sudah melewati masa dan betapa aku sudah membazirkan segala masa pinjamanNya, untuk aku berbakti pada mereka.

   “Satu hari nanti awak akan sedar, betapa awak masa awak sangat sedikit dengan keluarga berbanding masa awak dengan rakan-rakan. Betapa masa awak banyak dihabiskan dengan mengejar ilmu daripada berbakti dengan ibu bapa.”

   Kata-kata itu kembali terngiang-ngiang di telingaku. Kata-kata Cikgu Ahmad Shafizal itu jelas terbukti hari ini. Saat aku menimbang-nimbang, mengira-ngira masaku sendiri. Sungguh, masaku dengan kedua-dua ibu ayahku sangat sedikit.

   Kenapa selama ini aku tak pernah mengambil segala peluang yang ada untuk cuba membahagiakan mereka? Kenapa aku tidak pernah untuk cuba menyenangkan hati mereka dengan segenap kudrat yang ada.

   Helaan nafasku terasa berat mau menjengah keluar dari rongga penafasan. Menoleh memandang drip ubat yang tersalur dari lengan ayah. Bahuku terasa berat semerta. Mata kupejamkan seketika.

   Menarik nafas sedetik dua sebelum kuhelakan kembali. Berat dan payah benar untuk aku bernafas senang saat ini. Rasa serba salah menguasai jiwaku. Terasa terbeban seluruh pundakku selagi semuanya tak aku hamburkan pada emak dan ayah. Mengapa baru sekarang aku sedar semua ini?

   Betul aku belum menjadi ibu. Tapi itu tak bermakna aku harus tidak sensitif akan hal ini. Seharusnya aku harus sedar, aku harus tahu tanggungjawab menjadi ibu bapa dalam mendidik anak-anak eraku.

   “Sempatkah lagi untukku memperbaiki segala-galanya? Sempatkah lagi?” Hatiku galau mencari jawapan sendiri. Dan aku sedang mengejar waktu yang tidak panjang mana untuk umur seorang ibu yang diizinkan Allah atau umurku yang masih bersisa untuk aku berbakti pada emak dan ayah.

   “Wardah sayang emak...” bisikku sambil memeluk emak erat dari belakang. Emak sekadar memandang. Mengangguk.

   “Wardah minta maaf...” ujarku lagi seraya tunduk mengucup jemari tua itu. Emak mengusap kepalaku saat hidung dan bibirku masih lagi mencecah jemari kanannya.

   “Wardah dah pulang...” balas emak. Aku memanggung kepala memandang emak. Emak menoleh memandang ayah.

   “Wardah dah pulang...” ujar emak pada ayah. Ayah mengangguk. Memandangku sebelum menghela nafas menahan sebak.

   Ya emak...

   Wardah dah pulang dari pemukiman Wardah di perlembahan batu. Wadah dah buang semuanya di sana. Wardah dah tinggalkan semuanya di sana. Wardah dah jumpa jalan pulang ke rumah...

   Bertahun Wardah di sana. Mencari jalan pulang...

   Bertahun Wardah di sana...

   Mengubah diri Wardah menjadi sama seperti mereka. Melupakan emak ayah, melupakan adik beradik. Sibuk memenuhi kehendak material sendiri hingga menjual nilai kekeluargaan dengan kesuntukkan masa.

   Wardah dah tinggalkan semua tu. Wardah tak mahu sisa tua emak dan ayah dihabiskan di rumah orang-orang tua sedangkan Wardah masih ada. Wardah tak mahu punya anak yang tak kenal siapa ibu bapanya kerana kesibukkan Wardah mengejar kekayaan. Dan Wardah tak kental membesarkan anak dalam hutan batu yang berkiblatkan barat dalam tunjang kehidupan melebih timur.

   Wardah dah berjumpa jalan pulang yang Wardah cari selama ini...



http://halaqah.net/v10/index.php?topic=7973.msg77685#msg77685

Comments

Popular Posts