mencari jalan pulang part 2

- iii -

“Selamat berhari raya Wardah...” ujar teman-teman sepejabat pada hari terakhir kerja. Aku sekadar mengangguk.

   “Selamat hari raya..” ucapku kembali.

   Memandang ke luar tingkap, seperti biasa seperti tahun-tahun yang berlalu. Perlembahan lembah batu ini akan sunyi tanpa sebarang kebisingan bunyi yang memeritkan gegendang telinga. Tanpa karbon monoksida yang memenuhi ruang udara. Dan buat seketika, langit biru kembali tenang tanpa hingar bingar alam.

   Dan aku?

   Aku meneruskan rutinku, menjadi seperti manusia-manusia individualistik yang selalu aku nampak dan benci sebelum ini. Kerana aku sudah menyerap intipati kehidupan mereka untuk meneruskan keberlangsungan hidupku di bandar ini. Aku sendiri sudah menjadi manusia yang mementingkan diri sendiri. Ego! Tak tahu mengalah dan tak mahu mengalah.

   Saat takbir bergema, aku memandang ke luar tingkap kediaman yang aku huni. Kosong. Sepi dan sunyi, sesunyi dan sesepi hatiku.

Dari satu saluran ke satu saluran alat kawalan jauh aku tekan. Dari satu cerita ke satu cerita aku tontoni. Semuanya tidak bisa mengembirakan aku hatta menghilangkan rusuh di hati.

Aku laksana kekasih yang hilang pasangan. Aku seperti patung tidak bernyawa. Hati dan atmaku kosong. Dan seperti keterbiasaanku di malam raya, seperti yang lepas-lepas, aku tiada sebarang pesiapan. Tiada langsir yang mahu aku tukar, tiada kuih yang perlu aku buat, tiada baju raya yang aku tempah. Kerana aku tidak meraikan lebaran. Puasa bagiku satu kewajipan, lebaran padaku menonton tv menikmati hidangan rancangan yang disediakan oleh stesen televisyen.

Hari raya bukan milikku, sejak kewujudan aku tidak diperlukan. Dan hari-hari begini, aku akan beradu lebih cepat dari biasa. Mengurung diri di rumah dari keluar.

Baru saja aku mahu melangkah ke bilik, memaksa mataku untuk terus beradu.  Meneruskan rutin seperti tahun-tahun yang lalu, dentingan loceng mengunci gerak kakiku. Bergerak ke ruang depan, kunci pintu aku buka. Wajah Firdaus terbentang di depanku bersama-sama Wazir. Aku tertegak di muka pintu.

“Tak jemput kami masuk?” soal Firdaus menyedarkanku wujudnya mereka di depanku.

“Apa korang buat di sini?” terjahku tanpa sebarang basa-basa basi. Tanpa sempat mereka melabuhkan punggung ke sofa dulu. Aku tidak mahu buang masa. Aku mahu terus straight to the point tanpa ada belok-belok hatta kiri mahupun kanan. Apatah lagi dengan wujudnya Wazir di depanku. Anak kesayangan emak dan ayah.

Firdaus menarik nafas. Barangkali sesak dengan gelojoh aku menerjah begitu tanpa sebarang pamitan salam atau khabar.

“Kami datang nak ajak kau balik.” Ajak Firdaus.

Aku memandang dia. Wajahku tidak beriak. Sama seperti hatiku yang tidak mahu menurut.

“Aku tak ada tempat nak balik.” Aku menjawab datar. Firdaus memandangku dalam. Wazir merenung aku.

Aku tidak mahu ambil tahu apa yang ada dalam fikiran Wazir. Apa yang aku tahu, aku tak mahu bertemu dia. Aku tak mahu ada apa-apa hubungan lagi dengan dia.

“Baliklah Wardah. Mereka di kampung menanti.” Pujuk Firdaus lagi.

“Aku tak ada kampung.” Ujarku tegas kali ini.

“Aku sebatang kara.” Tekanku lagi. Kali ini sinar mata Wazir menikam pandanganku. Aku langsung tidak peduli apa yang difikirkannya.

“Kenapa perlu memilih untuk menjadi Tanggang kalau kau boleh memilih untuk menjadi orang lain Wardah?”

   “Kenapa pilih neraka kalau kau boleh memilih syurga?”

Aku diam. Soalannya tidak aku jawab. Kerana aku tahu aku lebih dekat dengan neraka berbanding syurga. Kerana aku tahu, sejak dulu lagi syurga bukan milikku. Dan aku cuba menjauhi neraka dengan cuba mengurangkan dosaku dengan emak dan ayah dengan berjauhan begini.

“Wardah...” seru Firdaus lagi. Aku bingkas berdiri. Wajah Firdaus aku tenung dalam.

“Kerana aku lebih dekat dengan neraka berbanding syurga, kerana keredhaan emak dan ayah tak pernah ada bersama-sama dengan aku. Dan kerana mereka dah buang aku.” Laju saja aku menjawab sambil menuduh. Membenarkan kata-kata hati tanpa mencari sebuah kebenaran di sebalik fantamorgana yang aku sendiri cipta.

Wazir bingkas berdiri. Matanya sudah mula memerah. Gepalan jemarinya menaikkan urat belikat lengannya. Menahan amarah padaku barangkali.

“Kalau kau rasa mereka buang kau...” getar suara Wazir menuturkan kata. Tubir matanya bertangkung air. Menahan rasa sikap kejamku agaknya.

“Aku tak perlu bersusah ke mari, melutut kat kaki kau nak minta kau balik!” keras suara Wazir menutur kata.

“Semuanya, sebab orang tua yang kau dah buang dari hidup kau, orang tua yang mengandungkan kau sembilan bulan tu tengah nazak!”

   “Dalam pejam mata masih tersebut-sebut nama kau. Dalam cungak nafas masih berbisik nama kau. Dalam kering tubuh memeluk erat baju kau!”

“Dan kerana perempuan tua itu aku sanggup sujud kat kaki kau. Kerana aku tak sanggup tengok jasad emak aku terseksa menanggung rindu dendam pada anak yang dah tak mengaku ibunya sendiri.” Lengking suara Wazir meluahkan rasa.

“Dan kerana emak, aku datang dari jauh biarpun ayah menghalang... sebab aku tak mahu mak pergi dalam ralat. Dan aku tak mahu satu-satunya kakak aku tak cium bahu syurga hanya semata-mata membenci ibu sendiri...”

Aku diam tak berkutik. Saat kata-kata itu yang dilafazkan.

Dia... Perempuan itu yang cuba aku lupakan.
Dia... Lelaki itu yang aku cuba padamkan dari ingatan.
Sebenarnya tak pernah sepicing waktu berlalu tanpa aku melupakan mereka. Tanpa aku merindui mereka. Cuma aku lebih membesarkan egoku daripada tanggungjawabku sebagai anak untuk mengalah. Aku mengabaikan mereka terus, tanpa sedikit pun menaburkan bakti pada mereka.

“Pergilah...” luahku perlahan. Berdegil dengan pendirianku.

Comments

Popular Posts