jumpa aku di alam barzakh 3

Tiba-tiba, Kid tersedar. Dia membuka dua kelopak matanya dan melihat dirinya berada di salah sebuah hospital di daerah tempat tinggalnya. Dia menoleh ke kiri, ayahnya melempar senyuman kegembiraan.
Kemudian, dia menoleh ke kanan dan tidak semena-mena seorang wanita yang amat dikenalinya memeluknya dengan esakan gembira.
"Ibu?" Kid kehairanan. Apa yang dia ingat adalah, dia sedang bersama seorang lelaki tua yang turut berada di dalam kuburnya. Dia diseksa dan dipukul bertalu-talu namun dia tidak bisa melihat wajah si pemukul tersebut.
Namun, dalam kebingungan tersebut, dia berasa bersyukur kerana dia belum lagi menjadi penghuni Alam Barzakh yang sebenar-benarnya. Setelah mendapat sedikit kekuatan untuk berbicara, dia bertanya kepada ibunya tentang apa yang sudah berlaku terhadap dirinya.
Ibunya memberitahunya dengan nada sebak bahawa dia sudah koma hampir 5 bulan dan terlantar dengan menggunakan bantuan oksigen di hospital tersebut.
"Alhamdulillah, terima kasih Ya Allah! Kau masih memberi peluang kepadaku untuk beribadah dan bertaubat kepada-Mu. Aku bersyukur ya Allah," Kid memanjatkan kesyukuran kepada Ilahi.
Jelas sekali peristiwa misteri ketika dia dipertemukan dengan lelaki tua itu di dalam kuburnya sendiri telah betul-betul menyedarkan dirinya untuk kembali ke jalan yang diredhai Allah.
Selepas tiga hari dia tersedar daripada koma, dia telah dibenarkan pulang ke rumah. Sepanjang perjalanan pulang, Kid hanya berdiam diri.
Otaknya ligat berfikir tentang lelaki tua yang pernah dimaki hamun dan dikasarinya sebelum dia terlantar koma. Di mindanya hanya satu, iaitu ingin memohon maaf daripada semua orang yang telah dikhianatinya suatu ketika dahulu. Bukan sahaja pakcik tua itu malah, Mak Mah, Linda dan ramai lagi orang kampung telah dianiyanyai olehnya.
Setibanya di rumah, Kid terus menuju ke surau menunggu kehadiran lelaki tua itu. Puas sudah ibu dan ayahnya melarangnya untuk keluar rumah kerana tahap kesihatannya masih rendah tetapi dia tetap merayu agar dibenarkan keluar kerana katanya ada urusan penting yang ingin dia selesaikan.
Kid menunggu lelaki tua itu di tempat yang biasa dia melepak bersama kawan-kawannya, iaitu berhampiran dengan surau kampung tersebut.
Kid atau nama sebenarnya Mohammad Naqid Bin Abdullah setia menunggu lelaki tua itu lengkap dengan mengenakan sepersalinan baju melayu bewarna biru laut dan berkopiah putih.
Lan yang sedang menunggang motosikal dan melalui jalan tersebut kehairanan kerana terlihat kelibat Kid yang lengkap berkopiah itu di tepi jalan tersebut. Dia tidak mengetahui lagi berita bahawa Kid telah sedar daripada koma. Lan serta-merta memberhentikan motosikalnya dan menghampiri Kid.
**********
"Kid, bila kau sedar daripada koma? Bila kau keluar dari hospital? Tak datang rumah aku pun?" Lan mengajukan soalan demi soalan kepada Kid. Dia gembira kerana rakannya itu telah pulang ke kampung halaman.
"Oh, kau rupanya Lan. Alhamdulillah, aku dah sedar sejak tiga hari lepas. Baru Pagi tadi aku dibenarkan keluar dari hospital. Maaflah, aku sibuk sekarang ni," jawab Kid perlahan dan tenang.
"Sibuk? Takpelah kalau kau sibuk. Eh, tapi yang aku pelik hari ni kan hari Khamis. Apasal kau pakai baju melayu, nak sembahyang Jumaat ke?" Lan bertanya lagi.
"A'ah, aku sibuk sikit. Bukan nak sembahyang Jumaat la. Aku tunggu orang tua yang ajak kita solat berjemaah hari tu. Aku nak minta maaf kat dia. Kau ada nampak dia tak?"
"Dah 5 bulan kau koma Kid. Orang tua tu dah meninggal betul-betul dua bulan lepas kau kemalangan. Tak apalaj, aku nak ke kedai ni. Mak aku kirim beli barang dapur. Nanti bising pulak mak aku kat rumah tu." Lan menjawab pertanyaan Kid dan terus beredar ke kedai Pak Mail.
Kid terkejut dengan khabar berita yang baru didengarinya itu. Dia menundukkan kepalanya ke tanah. Air matanya mula menitis. Kid sedih kerana lelaki tua itu telah meninggal dunia, sedangkan dia tidak sempat untuk meminta maaf kepada orang tua tersebut.
Kid terharu dan sebak kerana ketika peristiwa misteri yang terjadi di kuburnya itu berlaku, lelaki tua itulah yang telah banyak menyedarkannya tentang kesalahan-kesalahan lampaunya. 
Air matanya menitis tanda terima kasih dan memohon maaf kerana orang tua tersebut telah mengembalikan dia ke jalan yang diredhai Allah.
Bibir Kid terkumat-kamit membaca surah al-Fatihah untuk dihadiahkan kepada lelaki yang dia tidak pernah dikenalinya tetapi banyak mengajarnya erti kehidupan itu. Pertemuannya dengan lelaki tua itu yang begitu singkat di alam kubur telah banyak merubah cara hidup Kid ke jalan yang lurus.
Azan Maghrib berkumandang. Kid mengesat air matanya dan bingkas bangun berjalan menuju ke surau. Dia mengambil wudhu' di kolah surau dengan tertib sekali. Selesai mengambil wudhu', dia melangkah perlahan melalui daun pintu surau dan masuk ke ruang solat.
Selesai solat Maghrib berjemaah, Kid masih duduk di lantai menangisi segala apa yang telah dia lakukan. Siak surau itu melihat Kid setelah selesai menunaikan solat sunat Ba'diah. Dia menghampiri Kid kerana itu adalah pertama kali seorang anak muda itu dilihatnya datang berjemaah ke surau itu.
"Assalamualaikum anak muda. Anak baru berpindah ke kampung ini ke?" Siak surau menyapa Kid.
"Waalaikumsalam. Tak, saya dh lama tinggal di sini. Cuma tak pernah datang ke sini." Kid membalas.
"Oh... bagus la anak datang ke sini, surau ni pun memerlukan warga muda untuk solat berjemaah disini. Takut nanti bila kami yang tua-tua sudah tak ada, tiada siapa yang ingin mengimarahkan surau ini lagi." Siak surau tersebut meluahkan rasa hatinya.
"Insya-Allah pak cik. Boleh saya tanya sikit?" Kid memulakan perbualan untuk mengetahui siapa sebenarnya lelaki tua yang telah mengubah dirinya.
"Ya nak, tanyalah." Siak membalas.
"Pak cik kenal dengan lelaki yang selalu datang ke surau memakau jubah putih. Kawan saya cakap lelaki tu dah meninggal 3 bulan yang lepas. Betul ke?" Kid bertanya.
"Oh itu arwah Hj. Hussain. Dia baru berpindah ke kampung ini 6 bulan yang lepas. Hidupnya sebatang kara, selepas kematian isterinya di Kuala Lumpur, dia berpindah ke sini. Katanya, dia tak ada anak dan sanak saudara lagi. Anak kenal ke dengan dia?" Siak menjelaskan pertanyaan Kid.
"Saya bukan siapa-siapa dengannya. Disebabkan dia la saya datang ke sini pak cik. Tapi saya dah tak sempat berjumpa dengan dia untuk memohon maaf dan berterima kasih. Kalau pak cik tak kisah, pagi esok boleh bawa saya ke kubur dia?" 
"Insya-Allah. Jika tiada aral melintang, pak cik tunggu kamu di surau ni esok pagi."
*********
Kid mengambil senaskah surah Yaasin untuk di bawa ke perkuburan. Sesampainya Kid dan Siak di tanah perkuburan Islam kampung Sri Damai, Kid di bawa ke kubur Hj, Hussain yang terletak tidak jauh dari pintu pagar. Dia mengambil beberapa helai surat khabar lama di dalam raga motosikalnya untuk dibuat alas duduk.
"Anak, boleh pak cik bertanya sedikit? " Siak bersuara ketika perjalanan ke tempat Kid parkir motosikalnya.
"Ye, tentu saja boleh. Tanyalah pak cik." Kid memberi respon yang positif.
"Boleh pak cik tahu apa sebenarnya hubungan anak dengan arwah Hj. Hussain? " Tanya Siak kepada Kid kerana beliau hairan dengan perilaku Kid yang tiba-tiba beriya-iya meminta bantuannya agar dibawa ke kubur Hj. Hussain. 
Kid melabuhkan punggungnya di sebuah pondok yang berada di luar kawasan perkuburan berdekatan dengan tempat dia memakir motosikalnya dan menceritakan segalanya yang terjadi antara mereka berdua sehinggalah tamat. Siak begitu terharu mendengar cerita Kid tentang apa yang terjadi di antara Kid dan arwah Hj. Hussain. Baginya pertemuan Kid dan arwah Hj. Hussain telah diatur oleh Allah agar Kid berubah menjadi seorang yang soleh. Jelas sekali Allah Maha Penyayang. 
Selepas dua bulan Kid mengimarahkan surau kampung Sri Damai, Kid telah menerima tawaran untuk melanjutkan pengajiannya ke sebuah IPTA di sebuah negeri berhampiran ibu kota Kuala Lumpur. 
Begitu banyak sekali manfaat yang dia peroleh melalui peristiwa-peristiwa yang terjadi padanya. Dia berazam untuk menjadi insan yang soleh dan diberkati Allah sepanjang hidupnya.
Tamat.

Comments

Popular Posts