proses hati proses iman
Saya bersama lapan lagi sahibah seusrah duduk menikmati udara malam.
"Saidina Umar dulu, pernah beliau bawa sahabat duduk dalam satu bilik dan bertanya, kalaulah kamu diberi peluang membuat permintaan, apa yang kamu minta?" Saya bersuara. Satu persatu wajah sahibah saya pandang.
"Perabot."
"Keselesaan."
"Ukhwah."
"Keselesaan."
"Ukhwah."
Pelbagai jawapan yang muncul, menggamitkan suasana.
"Betul, semua betul. Mumtaz." Ayat saya berhenti sebentar di situ.
"Tapi... Sahabat menjawab, aku mahu bilik ini dipenuhi dengan emas, supaya aku boleh gunakannya untuk Islam. Saidina Umar berkata lagi, buatlah permintaan! Sahabat pun menjawab, aku mahu bilik ini dipenuhi dengan berlian supaya aku boleh gunakannya untuk Islam, dan sekali lagi Saidina Umar berkata, buatlah permintaan! Sahabat bingung dan membalas, Aku sudah tidak tahu mahu berkata apa lagi wahai Amirul Mukminin, apakah permintaanmu pula?"
Wajah semua sahibah saya tatap. "Agak-agak antum Saidina Umar nak apa?"
Semua diam, menanti bicara saya selanjutnya.
"Saidina Umar pun berkata, aku mahu bilik ini dipenuhi oleh manusia yang seperti Abu Ubaydah dan Muaz bin Jabal supaya aku boleh menghantar mereka untuk Jihad!"
Sahibah senyum, mengerti makna yang tersirat.
Sumber manusia adalah lebih penting dari kebendaan!
Segala kemaksiatan dan jenayah yang berlaku rata-ratanya berpunca dari permasalahan hati. Hati yang rosak dan hitam, mana mungkin dapat merasai lagi segala dosa yang dilakukan. Sensitiviti yang ada pada hati sedikit demi sedikit hilang dek kebiasaan dosa.
Hati, Ibarat sebuah cermin.
Cermin yang bersih dan bersinar, jika kita lihat ke dalamnya dan tiba-tiba pula ada jerawat baru di wajah kita, kita pasti nampak. Kita bolehlah picit ke, letak T3 ke, :)
Tapi... Jika cermin itu kotor dan berhabuk, kita lihatlah ke dalamnya, ada jerawat 5 biji baru naik pun susah untuk dilihat. Jadi payahlah untuk kita mengesan kekotoran di wajah.
Apabila hati kotor... dosa menjadi biasa, maksiat berleluasa.
Semuanya gara-gara sekeping hati yang sudah bertukar wajahnya. Hitam, kelam, sekelam masa depan yang semakin tenggelam.
Masyarakat yang kucar-kacir, Pemimpin yang pecah amanah, Pelajar yang memberontak sini-sana, Kes bunuh diri. Dan bermacam lagi...
Semua itu berpunca daripada satu perkara : HATI
Kerana itu terdapat satu hadith:
Dalam setiap badan manusia itu ada seketul daging, jika baik daging itu maka baiklah keseluruhannya, jika buruk daging itu maka buruklah keseluruhannya. Itu adalah HATI
Bersihkan Hati
Dosa adalah ibarat racun yang memakan diri, manakala hati pula adalah salah satu perkara yang amat sukar untuk dijaga.
Tsabit bin Qurah berkata : Kerehatan badan adalah dengan kurangnya makan, kerehatan jiwa adalah dengan kurangnya dosa dan kerehatan lidah adalah dengan kurangnya bercakap.
Berilah setiap kerehatan itu kepada diri, moga kelak hati suci kembali. Jika lalai ubatnya adalah dengan menyedari tugas yang Allah beri, Maka ubatlah hati yang penuh dosa dengan bertaubat kepada Ilahi!
Bersihkan hati, bersihkan diri. Ayuh menjadi 'sumber manusia' yang berharga untuk Islam.
Wallahu'alam.
Comments
Post a Comment