si penanggung dosa 1
Malam meski kelam, ada bintang-bintang yang bertaburan menghiasai dada langit di sisi bulan yang terang benderang. Suasana sepi, tenang, jernih, disebulungi tompokan-tompokan embun yang tipis yang merangsangkan perasaan sedih, bimbang dan rasa haru yang halus. Pada celah-celah tingkap ada tiupan bayu yang menghembus perlahan bersama panggilan-panggilan cinta,
"Adakah di sana orang yang meminta sesuatu? Adakah di sana orang yang meminta ampun? Adakah di sana orang yang bertaubat?".
Aku bangkit membersihkan diri. Dengan rasa penuh kehinaan perlahan-lahan aku ratakan air ke setiap anggota wuduk. Seperti membasuh kotoran dosa-dosa. Sungguh-sungguh aku basuhi.
Dengan penuh takzim dan rendah hati aku mengangkat takbir, kedua telapak tangan ku benar-benar menghadap kiblat. Aku memasang niat sembari memandang tepat ke tempat sujud.
"Allahu ak..."
Ah, tiba-tiba sekujur tubuh berbaring manja di atas sejadah solatku. Yang hanya dibaluti kain tipis dan telus, dia tersenyum manja.
Astaghfirullah!
Kenapa Syafiqah tiba-tiba...? Mata berkelip seribu. Istighfar merewak pada bibir. Ya Allah, Ya Allah!
Syafiqah kelihatan tersenyum. Jari-jari kecilnya nakal bermain, perlahan-lahan menyelak kain pada tubuhnya. Dia mengoda-goda aku.
"Sayang, marilah. I miss U darling..." Dia menggilai tawa. Astaghfirullah! Aku pejamkan mata.
"Celaka! Berambus..." tegas aku dalam hati. Dia malah galak ketawa malah mengacah-acah aku untuk menidurinya. Aku menangis. Hati aku meraung. Tuhan! Tuhan!
Syafiqah. Sosok wanita muda cantik bertubuh mugil. Dia manusia keji yang telah membawa aku ke lembah nista. Dari satu hotel ke satu hotel yang lain dan dari sebuah bilik ke sebuah bilik kami kunjungi demi memuaskan nafsu serakah.
Aku tidak jadi bersolat. Setiap kali aku bertakbir, bayang Syafiqah datang menganggu-ganggu. Menjadikan aku tenggelam dalam kesedihan. Aku pejamkan mata. Aku menangis lagi. Oh Tuhan, hamba yang hina ini datang kepadaMu. Hamba ingin bertaubat, ya Allah. Air mata keinsafan jatuh berguguran melunturkan bayang-bayang Syafiqah, lenyap.
Aku duduk berpangku di atas sejadah. Dalam tangis yang masih tersisa di pipi, aku menggapai mushaf al-Quran. Aku selak lembaran demi lembaran kemudian membacanya dengan hati khusyuk.
Sewaktu aku sungguh-sungguh menekuni ayat pada surah At-Taubah itu, terbayang aksi-aksi asmara aku bersama Syafiqah. Jantung aku berdegup kencang.
Oh Tuhan, apakah ini? Mohon hentikan. Aku pejamkan mata. Malu dengan perilaku sendiri. Aku menangis lagi. Aku merasa kotor. Tubuh terasa jijik. Tubuh yang pernah dirangkul dan dicumbu wanita tidak halal.
Aku menangis penyesalan.
Ayat-ayat suci pada mushaf seperti mengkeji-keji, menyumpah serapah aku.
"Maka Allah dan RasulNya serta orang-orang yang beriman akan melihat apa yang kamu kerjakan, dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) yang mengetahui perkara-perkara yang Ghaib dan yang Nyata, kemudian ia menerangkan kepada kamu apa yang kamu telah kerjakan".
Jangan sentuh aku, jiwa kau kotor dan keji. Ah, kitab suci itu membentakku. Aku jadi menggigil ketakutan bersama derai air mata. Aku menangis dan terus menangis. Jika dahulu, aku sering galak ketawa. Puas bersama wanita yang tidak halal. Aku bangga, nekad dan berani melakukan nista. Tapi saat ini, di tengah malam yang pekat ini, hanya air mata ketakutan dan keinsafan bersama. Aku menyesal sesungguh-sungguhnya.
Air mata merambu-rambu. Ingatan pada Syafiqah sesekali hadir menganggu membawa ingatan pada tempat-tempat yang pernah ternoda dengan maksiatnya. Berkali-kali aku mencerca diri, aku merasa jijik dengan diri sendiri. Seluruh hati, ruh dan jiwa terasa kotor kerna dosa maksiat dahulu.
Aku termenung lama. Terkesima dengan apa yang aku alami. Hendak bersolat tidak bisa. Hendak tilawah juga tidak bisa, malah dicerca hina. Dikeji, keji, keji. Allah benar-benar tidak menerimaku, fikirku. Hina sangatkah aku? Apakah aku sangat keji? Oh Tuhan, Engkau mengetahui bahawa aku hamba yang berdosa, akankah hamba terus tersesat seperti ini. Aku benar-benar ingin menjadi hambaMu. Ya Allah, hamba bertaubat, hamba bertaubat kepadaMu...
Comments
Post a Comment